Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 RENCANA PEMBELAJARAN 25

Bergantunglah pada Yehuwa semasa Anda Tertekan

Bergantunglah pada Yehuwa semasa Anda Tertekan

“Aku sangat tertekan.”​—1 SAM. 1:15.

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita harus memperhatikan amaran Yesus?

SEMASA menubuatkan keadaan hari-hari terakhir, Yesus berkata, “Perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan . . . kekhuatiran hidup.” (Luk. 21:34) Mengapakah kita harus memperhatikan amaran itu? Kerana kita juga menghadapi masalah dan tekanan yang dihadapi orang lain di dunia.

2. Apakah cabaran dan masalah yang dihadapi saudara saudari kita?

2 Ada kalanya, situasi kita ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Fikirkan contoh John, * seorang Saksi yang menghidap sklerosis berbilang (sejenis penyakit saraf yang teruk). Isterinya yang sudah bersamanya selama 19 tahun tiba-tiba meninggalkannya. Kemudian, dua orang anak perempuannya berhenti menyembah Yehuwa. Sepasang suami isteri yang bernama Bob dan Linda pula menghadapi cabaran yang berbeza. Mereka berdua kehilangan kerja dan kemudiannya terpaksa berpindah kerana tidak dapat membayar ansuran rumah. Lebih teruk lagi, Linda didapati menghidap penyakit jantung yang boleh membawa maut, dan dia juga diserang sejenis penyakit yang merosakkan sistem pertahanan badannya.

3. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada Filipi 4:6, 7?

3 Yehuwa, Pencipta kita dan Bapa kita yang penyayang, memahami perasaan kita semasa kita dilanda pelbagai masalah, dan Dia ingin membantu kita supaya kita berjaya menanganinya. (Baca Filipi 4:6, 7.) Bible mengandungi banyak kisah tentang cabaran yang dihadapi hamba-hamba Tuhan dan cara Yehuwa membantu mereka menghadapinya. Mari kita kaji beberapa contoh.

 ELIA “MEMPUNYAI PERASAAN SEPERTI KITA”

4. Apakah cabaran yang dihadapi Elia? Sepanjang waktu yang susah itu, apakah perasaan Elia terhadap Yehuwa?

4 Elia menyembah Yehuwa pada zaman yang amat mencabar. Raja Ahab, seorang raja Israel yang tidak setia, telah mengahwini Izebel, seorang penyembah Baal. Pasangan yang jahat ini telah membunuh ramai nabi Yehuwa dan menyebabkan negeri Israel penuh dengan penyembahan Baal. Elia berjaya melarikan diri, dan Yehuwa telah menjaganya semasa negeri itu dilanda kebuluran yang dahsyat. (1 Raj. 17:2-4, 14-16) Elia juga bergantung pada Yehuwa semasa dia berdepan dengan para nabi Baal dan penyembah Baal. Elia telah menggesa orang Israel untuk menyembah Yehuwa. (1 Raj. 18:21-24, 36-38) Sepanjang waktu yang susah itu, Elia melihat banyak bukti bahawa Yehuwa sedang menyokongnya.

Yehuwa mengutus malaikat untuk menguatkan Elia (Lihat perenggan 5-6) *

5-6. Menurut 1 Raja-Raja 19:1-4, apakah perasaan Elia? Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi Elia?

5 Baca 1 Raja-Raja 19:1-4. Semasa Izebel mengugut hendak membunuh Elia, dia berasa takut lalu melarikan diri ke Beer-syeba. Elia berasa sangat tawar hati sehingga “berdoa memohon agar dia mati.” Mengapakah Elia berasa begitu? Dia tidak sempurna dan “mempunyai perasaan seperti kita.” (Yak. 5:17) Barangkali dia terlalu penat dan tertekan. Dia mungkin berfikir bahawa usahanya untuk mempertahankan ibadat sejati sia-sia sahaja. Elia berasa bahawa keadaan di Israel tidak bertambah baik, dan dia berfikir bahawa dia sahajalah yang menyembah Yehuwa. (1 Raj. 18:3,  4, 13; 19:10, 14) Kita mungkin tidak sangka bahawa seorang nabi yang setia akan mempunyai reaksi sebegitu. Namun, Yehuwa faham benar perasaan Elia.

6 Semasa Elia meluahkan keperitannya, Yehuwa tidak memarahinya. Sebaliknya, Yehuwa telah menguatkannya. (1 Raj. 19:5-7) Kemudian, Yehuwa membetulkan fikiran Elia dengan menunjukkan kuasa-Nya yang menakjubkan. Selepas itu, Yehuwa memberitahu Elia bahawa masih ada 7,000 orang di Israel yang enggan menyembah Baal. (1 Raj. 19:11-18) Melalui cara-cara ini, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi Elia.

CARA YEHUWA MEMBANTU KITA

7. Bagaimanakah kita digalakkan setelah merenungkan cara Yehuwa membantu Elia?

7 Adakah anda berasa tertekan kerana menghadapi masalah tertentu? Jika ya, pengalaman Elia pasti dapat melegakan hati kita! Yehuwa memahami perasaan Elia, dan Dia juga memahami perasaan kita. Yehuwa tahu keterbatasan kita, fikiran kita, dan pergelutan kita. (Mzm. 103:14; 139:3, 4) Jika kita meniru Elia dengan bergantung pada Yehuwa, Dia akan membantu kita supaya kita berjaya menghadapi tekanan.​—Mzm. 55:22.

8. Bagaimanakah Yehuwa akan membantu anda semasa anda tertekan?

8 Semasa anda tertekan, anda cenderung berfikiran negatif dan berasa tawar hati. Pada waktu sedemikian, ingatlah bahawa Yehuwa akan membantu anda. Bagaimana? Dia menjemput anda untuk meluahkan kekhuatiran anda kepada-Nya, dan Dia berjanji untuk menjawab ketika anda berseru meminta tolong. (Mzm. 5:3; 1 Ptr. 5:7) Maka, berdoalah selalu dan beritahulah Yehuwa masalah anda. Anda tidak akan mendengar suara Yehuwa dari syurga, seperti yang berlaku kepada Elia. Namun, anda dapat mendengar suara Yehuwa menerusi Firman-Nya, iaitu Bible, dan organisasi-Nya. Kisah-kisah dalam Bible juga dapat melegakan hati anda dan memberi anda harapan. Selain itu, saudara saudari dapat menggalakkan anda.​—Rm. 15:4; Ibr. 10:24, 25.

9. Bagaimanakah sahabat yang baik dapat membantu kita?

9 Yehuwa kemudiannya menyuruh Elia untuk mengagihkan sesetengah tugasnya kepada Elisa. Melalui cara ini, Elia telah mendapat seorang sahabat baik yang dapat membantunya menanggung beban di hati. Begitu juga, semasa kita mempunyai sahabat akrab yang dapat menjadi tempat mengadu, beban di hati kita pun akan menjadi lebih ringan. (2 Raj. 2:2; Ams. 17:17) Jika anda tidak mempunyai sahabat sebegini, berdoalah kepada Yehuwa. Mintalah bantuan-Nya untuk mencari seorang rakan seiman yang matang, yang dapat mendengar keluhan anda.

10. Bagaimanakah pengalaman Elia menggalakkan kita? Bagaimanakah janji di Yesaya 40:28, 29 menggalakkan kita?

10 Yehuwa telah membantu Elia supaya dia berjaya menghadapi tekanan dan berkhidmat dengan setia selama bertahun-tahun. Yehuwa juga dapat memberi kita bantuan yang sama. Seperti Elia, ada kalanya kita mungkin begitu tertekan sehingga letih lesu secara fizikal dan emosi. Namun, jika kita bergantung pada Yehuwa, Dia akan memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk terus menyembah-Nya.​—Baca Yesaya 40:28, 29.

HANA, DAUD, DAN SEORANG PEMAZMUR BERGANTUNG PADA YEHUWA

11-13. Bagaimanakah tekanan telah mempengaruhi tiga orang hamba Tuhan pada masa lampau?

11 Watak-watak Bible lain juga pernah berasa sangat tertekan. Sebagai contoh, Hana berasa malu dan susah hati kerana dia mandul dan asyik dihina oleh madunya Penina. (1 Sam. 1: 2, 6) Situasi itu membuatnya begitu sedih dan tertekan sehingga dia menangis dan hilang selera makan.​—1 Sam. 1:7, 10.

12 Raja Daud juga pernah mengalami tekanan yang besar. Misalnya, dia dibebani rasa bersalah kerana melakukan banyak kesilapan. (Mzm. 40:12) Anak kesayangannya Absalom telah mencuba merampas takhtanya dan akhirnya dibunuh. (2 Sam. 15:13, 14; 18:33) Selain itu, Daud telah dikhianati oleh salah seorang sahabatnya yang paling akrab. (2 Sam. 16:23–17:2; Mzm. 55:12-14) Daud telah meluahkan perasaan kecewanya dalam banyak mazmur yang digubahnya, tetapi dia juga mengungkapkan keyakinannya yang teguh kepada Yehuwa.​—Mzm. 38:5-10; 94:17-19.

Apakah yang membantu pemazmur itu menyembah Yehuwa dengan sukacita semula? (Lihat perenggan 13-15) *

13 Fikirkan juga contoh seorang pemazmur di “rumah suci Tuhan yang agung,” yang mungkin seorang Lewi daripada keturunan Asaf. Dia cemburu terhadap gaya hidup orang jahat lalu berasa tertekan. Akibat itu, dia berasa tidak puas dan tidak bahagia. Dia bahkan mula berfikir bahawa usahanya untuk menyembah Yehuwa tidak berbaloi.​—Mzm. 73:2-5, 7, 12-14, 16, 17, 21.

14-15. Daripada tiga contoh Bible tadi, bagaimanakah kita dapat menerima bantuan Yehuwa?

14 Ketiga-tiga penyembah Yehuwa yang disebut tadi telah bergantung pada bantuan Yehuwa. Mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh dan meluahkan kekhuatiran mereka kepada Tuhan. Dengan jujur, mereka memberitahu Yehuwa sebabnya mereka begitu tertekan. Selain itu, mereka tetap pergi ke Rumah Yehuwa untuk menyembah-Nya.​—1 Sam. 1:9, 10; Mzm. 55:22; 73:17; 122:1.

15 Hasilnya, mereka telah merasai bantuan dan belas kasihan Yehuwa. Hana tidak lagi berasa susah hati. (1 Sam. 1:18) Daud pula menulis, “Orang yang melakukan apa yang benar  mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.” (Mzm. 34:19) Pemazmur itu kemudiannya berasa bahawa Yehuwa seolah-olah ‘memegang tangan kanannya’ dan membimbingnya dengan penuh kasih. Dia berkata, “Aku berasa bahawa sungguh baik untuk mendekati Tuhan. Aku telah menjadikan Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, sebagai tempat perlindunganku.” (Mzm. 73:23, 24, 28) Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh mereka? Ada kalanya kita akan berasa tertekan kerana dibebani masalah yang besar. Namun, kita dapat mengharunginya jika kita merenungkan cara Yehuwa membantu orang lain, berdoa dan bergantung pada-Nya, dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh-Nya.​—Mzm. 143:1, 4-8.

BERGANTUNGLAH PADA YEHUWA, MAKA ANDA AKAN BERJAYA

Pada mulanya, seorang saudari ingin menyisihkan diri, tetapi keadaannya bertambah baik apabila dia mencari peluang untuk membantu orang lain (Lihat perenggan 16-17)

16-17. (a) Mengapakah kita tidak patut menyisihkan diri? (b) Bagaimanakah kita dapat dikuatkan semula?

16 Tiga contoh Bible tadi juga mengajar kita bahawa kita tidak patut menyisihkan diri daripada Yehuwa dan umat-Nya. (Ams. 18:1) Semasa Nancy ditinggalkan suaminya, dia berasa sangat tertekan. Dia berkata, “Saya sering berasa saya tidak mahu berjumpa atau bercakap dengan sesiapa pun. Namun, semakin saya mengasingkan diri, semakin sedih hati saya.”  Keadaan Nancy bertambah baik apabila dia berusaha membantu orang lain yang menghadapi masalah. Dia menjelaskan, “Saya mendengar dengan teliti semasa orang lain memberitahu saya kesusahan mereka. Apabila saya semakin menyelami perasaan mereka, saya tidak begitu berfokus kepada masalah sendiri.”

17 Kita dapat dikuatkan semula dengan menghadiri perjumpaan di sidang. Semasa di perjumpaan, kita memberi Yehuwa peluang untuk ‘menolong kita dan melegakan hati kita’ melalui kuasa suci, Bible, dan umat-Nya. (Mzm. 86:17) Perjumpaan juga memberi kita peluang untuk saling menggalakkan. (Rm. 1:11, 12) Seorang saudari yang bernama Sophia berkata, “Yehuwa dan saudara saudari telah membantu saya terus bertahan. Saya sangat menghargai perjumpaan di sidang. Apabila saya semakin kerap menyertai kerja penyebaran dan kegiatan sidang, saya semakin mampu menangani stres dan kerisauan.”

18. Semasa kita berasa tawar hati, apakah yang akan diberikan Yehuwa untuk membantu kita?

18 Semasa kita berasa hilang semangat, ingatlah bahawa Yehuwa bukan sahaja menjanjikan masa depan yang bebas daripada tekanan, tetapi Dia juga berjanji untuk membantu kita menangani tekanan pada masa sekarang. Tuhan akan memberi kita “keinginan dan kekuatan” untuk melawan perasaan tawar hati atau putus harapan.​—Flp. 2:13.

19. Apakah jaminan yang diberikan di Roma 8:37-39?

19 Baca Roma 8:37-39. Rasul Paulus meyakinkan kita bahawa tiada apa-apa pun yang dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan. Bagaimanakah kita dapat membantu saudara saudari yang tertekan? Rencana seterusnya akan menunjukkan cara kita dapat menyokong dan mengasihani mereka yang tertekan, seperti yang dilakukan oleh Yehuwa.

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

^ per. 5 Jika kita terlampau tertekan atau tertekan untuk masa yang panjang, hal itu dapat menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi kita. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita? Kita akan mengkaji cara Yehuwa membantu Elia menangani tekanan. Kita juga akan belajar daripada contoh-contoh Bible yang lain tentang cara untuk bergantung pada Yehuwa semasa kita tertekan.

^ per. 2 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Malaikat Yehuwa membangunkan Elia dengan lembut dan memberinya roti dan air.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Seorang pemazmur, yang mungkin berasal daripada keturunan Asaf, berasa gembira semasa dia menggubah mazmur dan bernyanyi bersama orang Lewi yang lain.