Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Sayangnya, Dia Kehilangan Perkenan Tuhan

Sayangnya, Dia Kehilangan Perkenan Tuhan

SEBAGAI penyembah Yehuwa, kita tentu menginginkan perkenan-Nya. Tetapi siapakah yang akan dicucuri berkat dan perkenan Tuhan? Pada zaman Bible, terdapat individu yang diperkenankan Tuhan meskipun mereka pernah melakukan dosa serius. Sesetengah orang pula memiliki sifat baik tetapi akhirnya kehilangan perkenan Tuhan. Jadi, apakah yang dicari Yehuwa dalam diri kita? Mari kita kaji contoh Rehabeam, raja Yehuda, untuk mengetahui jawapannya.

PERMULAAN YANG KURANG ELOK

Bapa Rehabeam, iaitu Salomo, telah memerintah di Israel selama 40 tahun. (1 Raj. 11:42) Selepas Salomo meninggal pada tahun 997 SM, Rehabeam bertolak dari Yerusalem ke Sikhem di utara untuk dijadikan raja. (2 Taw. 10:1) Adakah dia risau kerana bakal menggantikan Salomo, raja yang terkenal dengan kebijaksanaannya? Tidak lama selepas itu, keupayaan Rehabeam untuk menyelesaikan masalah yang rumit telah diuji.

Orang Israel berasa ditindas dan menghantar wakil untuk menghadap Rehabeam. Mereka berkata, “Ayahanda tuanku telah memberi hamba sekalian beban yang berat. Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba sekalian dan tidak memperlakukan hamba sekalian dengan kasar, hamba sekalian akan mengabdi kepada tuanku.”​—2 Taw. 10:3, 4.

Rehabeam mungkin berasa terjepit kerana permintaan itu. Jika dia menurut kehendak rakyat, dia dan orang di istananya perlu mengurangkan kemewahan hidup yang dinikmati dahulu. Tetapi jika dia menolak, rakyat mungkin memberontak. Apakah yang akan dilakukan raja baharu itu? Mula-mula, dia bertanya kepada para orang tua yang merupakan penasihat Salomo dahulu, tetapi akhirnya dia mengikut cadangan pemuda-pemuda yang sebaya dengannya pula. Rehabeam memutuskan untuk menindas rakyat. Dia memberitahu mereka, “Beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan berbuat demikian dengan cambuk yang berduri besi.”​—2 Taw. 10:6-14.

Apakah pengajarannya? Adalah lebih bijak untuk mendengar nasihat orang yang lebih tua dan matang secara rohani. Oleh sebab mereka berpengalaman dan berpandangan jauh, mereka biasanya dapat memberi kita nasihat yang berguna.​—Ayb. 12:12.

 “MEREKA MEMATUHI FIRMAN YEHUWA”

Keputusan Rehabeam mencetuskan pemberontakan rakyat, maka dia mengumpulkan tenteranya untuk berperang. Tetapi Yehuwa mengutus Nabi Semaya untuk memberitahunya, “Janganlah berperang melawan saudara-saudaramu Israel. Setiap orang haruslah pulang ke rumah masing-masing kerana Akulah yang telah menyebabkan hal ini berlaku.”​—1 Raj. 12:21-24. *

Dapatkah anda bayangkan perasaan Rehabeam terhadap arahan itu? Sebelum ini, dia mengugut untuk menyebat rakyatnya dengan “cambuk yang berduri besi,” tetapi kini dia harus berdiam diri dan melihat 10 suku itu memberontak! (Bandingkan 2 Tawarikh 13:7.) Bagaimanakah dia akan dipandang oleh rakyatnya? Meskipun begitu, raja itu dan tenteranya “mematuhi firman Yehuwa dan pulang ke rumah.”

Apakah pengajarannya? Adalah bijak untuk mematuhi Tuhan walaupun kita mungkin diejek. Tuhan akan memberkati dan berkenan kepada orang yang mentaati-Nya.​—Ul. 28:2.

Apakah yang berlaku setelah Rehabeam membatalkan rancangannya untuk berperang? Dia berfokus untuk membina kota di kawasan Yehuda dan Benyamin yang diperintahnya, dan dia mengukuhkan pertahanan beberapa kota sehingga “menjadi sangat kuat.” (2 Taw. 11:5-12) Lebih penting lagi, Rehabeam berpegang pada hukum Yehuwa sementara kerajaan 10 suku Israel yang diperintah Yerobeam semakin terjebak dalam penyembahan berhala. Hasilnya, ramai orang dari situ “menyokong Rehabeam” dan pergi ke Yerusalem untuk menjalankan ibadat sejati. (2 Taw. 11:16, 17) Kepatuhan Rehabeam telah mengukuhkan pemerintahannya.

REHABEAM BERDOSA LALU BERTAUBAT

Tetapi setelah kerajaannya kukuh, Rehabeam meninggalkan hukum Yehuwa dan mula mengikut agama kafir! Mengapa? Adakah dia dipengaruhi ibunya yang berbangsa Ammon? (1 Raj. 14:21) Kita tidak tahu, tetapi rakyat Rehabeam telah mengikut jejaknya. Maka Yehuwa membiarkan Raja Sisak dari Mesir untuk menawan banyak kota di Yehuda, biarpun kota-kota itu pernah diteguhkan Rehabeam dahulu.​—1 Raj. 14:22-24; 2 Taw. 12:1-4.

Situasi menjadi lebih teruk apabila Sisak dan tenteranya datang menyerang Yerusalem, tempat Rehabeam memerintah. Pada masa itu, Nabi Semaya menghadap Rehabeam dan para pemimpinnya untuk menyampaikan firman Yehuwa yang berbunyi, “Kamu telah meninggalkan Aku, maka Aku juga akan meninggalkan kamu dan menyerahkan kamu ke dalam tangan Sisak.” Apakah reaksi Rehabeam terhadap disiplin itu? Bible menyatakan, “Raja dan para pemimpin itu merendahkan diri dan berkata, ‘Yehuwa melakukan apa yang benar.’” Oleh itu, Yehuwa menyelamatkan Rehabeam dan Yerusalem daripada dimusnahkan.​—2 Taw. 12:5-7, 12.

Selepas itu, Rehabeam terus memerintah kerajaan Yehuda. Sebelum mangkat, dia memberikan banyak hadiah kepada anak-anaknya, barangkali agar mereka tidak melawan Abia, saudara mereka yang bakal menjadi raja. (2 Taw. 11:21-23) Tindakannya itu menunjukkan bahawa dia lebih bijak berbanding semasa dia muda.

BAIK ATAU JAHAT?

Meskipun begitu, secara keseluruhannya, Rehabeam tidak diperkenankan Tuhan. Bible menyatakan bahawa dia “melakukan apa yang jahat kerana dia tidak bertekad dalam hatinya untuk mencari Yehuwa.”​—2 Taw. 12:14.

Tidak seperti Raja Daud, Rehabeam gagal memupuk hubungan yang akrab dengan Yehuwa

Ya, walaupun Rehabeam ada kalanya mematuhi Tuhan dan berjasa kepada umat Tuhan, dia tidak menjalin hubungan akrab dengan Yehuwa, dan tidak berusaha keras untuk menyenangkan hati-Nya. Akhirnya dia terjerat dalam salah laku dan ibadat palsu. Mungkin anda tertanya-tanya, “Semasa Rehabeam menerima nasihat Tuhan,  adakah dia melakukannya kerana dipengaruhi orang lain, atau adakah dia benar-benar bertaubat dan ingin menyenangkan Yehuwa?” (2 Taw. 11:3, 4; 12:6) Pada kemudian hari, dia berbuat jahat lagi. Betapa berbezanya dia daripada datuknya, Raja Daud! Walaupun Daud melakukan dosa serius, dia bertaubat dengan tulus, dan dia mengasihi Yehuwa dan ibadat sejati seumur hidupnya.​—1 Raj. 14:8; Mzm. 51:1, 17; 63:1.

Banyak yang dapat kita pelajari daripada kisah Rehabeam. Memang baik untuk jaga keperluan keluarga dan berusaha agar berjaya dalam hidup. Namun untuk mendapat perkenan Yehuwa, kita mesti mengutamakan ibadat sejati dan berpaut padanya.

Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu memupuk kasih yang mendalam terhadap Yehuwa. Sebagaimana kita menambah kayu untuk memarakkan api, kita juga perlu rajin mempelajari dan merenungkan Firman Yehuwa, dan berdoa dengan tekun agar kasih kita kepada Yehuwa tetap membara. (Mzm. 1:2; Rm. 12:12) Kasih itu akan memarakkan keinginan kita untuk sentiasa menyenangkan hati Yehuwa, dan mendorong kita untuk bertaubat dengan tulus apabila melakukan salah. Tidak seperti Rehabeam, kita ingin tetap setia dalam ibadat sejati.​—Yud. 20, 21.

^ per. 9 Oleh sebab Salomo tidak setia, awal-awal lagi Yehuwa sudah menyatakan bahawa kerajaannya akan terbelah.​—1 Raj. 11:31.