Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Salam Membawa Kesan yang Mendalam

Salam Membawa Kesan yang Mendalam

“HELO! Apa khabar?”

Anda tentu sering memberikan salam sedemikian, dan salam anda mungkin diiringi jabat tangan atau pelukan. Biarpun setiap budaya mempunyai ciri tersendiri, tujuan untuk bersalam adalah sama. Sebenarnya, orang yang tidak memberikan atau membalas salam mungkin dianggap biadab atau tidak pengasih.

Namun, bukan semua orang suka memberikan salam. Ada yang teragak-agak memberikan salam kerana rasa malu atau kurang keyakinan diri. Yang lain berasa susah untuk memberikan salam kepada orang dari bangsa, budaya, atau latar belakang yang lain. Biarpun begitu, salam yang singkat dapat membawa kesan yang positif.

Tanyalah diri, “Apakah kesannya jika saya memberikan salam? Apakah yang diajarkan Bible tentang memberikan salam?”

MEMBERIKAN SALAM KEPADA “SEGALA MACAM ORANG”

Sewaktu Rasul Petrus mengalu-alukan Kornelius, iaitu orang Kristian bukan Yahudi yang pertama, ke sidang, dia berkata, “Tuhan tidak berat sebelah.” (Kis. 10:34) Kemudian, Petrus menulis bahawa Tuhan “ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Kita mungkin mengaitkan ayat itu dengan orang yang baru belajar kebenaran. Namun Petrus juga mendesak orang Kristian, “Hormatilah segala macam orang, kasihilah semua saudara seiman.” (1 Ptr. 2:17) Maka, kita dapat menunjukkan hormat dan kasih dengan menyapa semua orang, tidak kira bangsa, budaya, atau latar belakang mereka.

Rasul Paulus menggesa ahli sidang, “Sambutlah satu sama lain sebagaimana Kristus telah menyambut kamu.” (Rm. 15:7) Dalam suratnya, dia juga menyebut beberapa orang saudara yang “membantu dan menguatkan” dia. Memandangkan Syaitan sedang menyerang umat Tuhan dengan ganas hari ini, rakan seiman kita pasti lebih perlu dikuatkan!​—Kol. 4:11, nota kaki; Why. 12:12, 17.

Contoh dalam Bible menunjukkan bahawa salam bukan sahaja dapat membuat orang berasa dialu-alukan.

SALAM MEMBAWA BANYAK MANFAAT

Semasa Yehuwa hendak memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria, Yehuwa mengutus satu malaikat kepada Maria. Malaikat itu berkata kepadanya, “Salam sejahtera, hai kamu yang sangat diperkenankan Tuhan. Yehuwa menyertaimu.” Maria berasa “tidak tenteram” kerana tidak tahu tujuan kedatangan malaikat itu. Lalu malaikat itu berkata, “Janganlah takut, Maria. Tuhan berkenan kepadamu.” Setelah malaikat itu menjelaskan bahawa Tuhan ingin dia melahirkan Mesias, Maria tidak risau lagi. Dia menjawab, “Aku hamba perempuan Yehuwa! Semoga apa yang kamu isytiharkan berlaku atas diriku.”​—Luk. 1:26-38.

Malaikat itu diberi penghormatan besar sebagai utusan Yehuwa, namun dia mendahului mesejnya dengan memberikan salam kepada seorang manusia yang tidak sempurna. Apakah pengajarannya? Kita perlu bersedia menyapa dan menggalakkan orang lain. Dengan sepatah dua kata, kita dapat menguatkan mereka dan meyakinkan mereka bahawa mereka ialah sebahagian daripada umat Yehuwa.

Paulus mengenali banyak ahli sidang di Asia Kecil dan Eropah, dan suratnya mengandungi banyak salam yang spesifik, contohnya di Roma bab 16. Dia menyebut Fibi sebagai “saudari kita,” dan berkata  kepada rakan seiman di situ, “Sambutlah dia sebagaimana kamu menyambut umat suci Tuhan. Bantulah dia jika dia memerlukan apa-apa bantuan.” Paulus juga menyebut Priska dan Akwila, dan berkata, “Bukan aku sahaja, tetapi semua orang dalam sidang bangsa-bangsa lain juga berterima kasih kepada mereka.” Dia menyampaikan salam bahkan kepada orang yang jarang disebut dalam Bible, seperti ‘Epenetus yang dikasihi,’ dan kepada “Trifena dan Trifosa, wanita-wanita yang bekerja keras untuk Tuan Yesus.” Ya, Paulus suka memberikan salam kepada saudara saudarinya.​—Rm. 16:1-16.

Bayangkan sukacita mereka ketika mendapat tahu bahawa mereka dikenang! Hal itu pasti memperdalam kasih mereka untuk Paulus dan satu sama lain! Sudah tentu salam itu juga menguatkan orang Kristian lain dan meneguhkan iman mereka. Ya, salam yang mengungkapkan keprihatinan dan pujian dapat mengukuhkan persahabatan dan menyatukan hamba-hamba Tuhan.

Semasa Paulus tiba di pelabuhan Putioli dalam perjalanannya ke Roma, orang Kristian dari Roma datang untuk berjumpa dengannya. Apabila Paulus melihat mereka, dia “mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah.” (Kis. 28:13-15) Ada kalanya, salam kita hanya sekadar lambaian atau senyuman, tetapi itu pun dapat menguatkan seseorang yang sedih atau murung.

TITIK PERMULAAN

Sesetengah orang Kristian pada zaman Yakobus sedang berzina secara rohani kerana mereka bersahabat dengan dunia. (Yak. 4:4) Maka Yakobus perlu memberi mereka nasihat yang tegas. Namun, perhatikan bagaimana dia memulakan suratnya:

“Yakobus, yang menjadi hamba Tuhan dan hamba Tuan Yesus Kristus, menulis surat ini kepada 12 suku yang tercerai-berai di merata tempat: Salam sejahtera!” (Yak. 1:1) Salam Yakobus menunjukkan bahawa dia dan penerima suratnya mempunyai kedudukan yang sama di hadapan Tuhan, dan kata-kata itu pasti membuat mereka lebih mudah menerima nasihatnya. Ya, salam yang menunjukkan kerendahan hati dapat membuka jalan kepada perbincangan yang serius.

Salam yang berkesan mungkin pendek, tetapi mesti ikhlas dan mencerminkan kasih. Hal itu sangat penting, biarpun salam kita nampaknya tidak diendahkan. (Mat. 22:39) Seorang saudari di Ireland tiba di dewan sejurus sebelum perjumpaan bermula. Ketika dia bergegas masuk, seorang saudara berpaling, senyum, lalu kata, “Helo, gembira dapat jumpa kamu.” Tetapi saudari itu terus duduk sahaja.

Beberapa minggu kemudian, dia berjumpa dengan saudara itu dan menjelaskan bahawa dia sedang menghadapi masalah di rumah. Saudari itu berkata, “Saya begitu sedih petang itu sehingga hampir tidak datang ke Dewan Perjumpaan. Saya tidak berapa ingat perjumpaan hari itu kecuali salam kamu. Saya rasa dialu-alukan. Terima kasih.”

Saudara itu tidak sedar bahawa salamnya yang singkat membawa kesan yang begitu mendalam. “Apabila saudari itu memberitahu saya tentang hal itu,” katanya, “saya sangat bersyukur dan gembira kerana berusaha memberikan salam.”

Salomo menulis, “Lemparkanlah rotimu ke dalam air kerana kamu akan menemuinya semula pada kemudian hari.” (Pkh. 11:1) Jika kita sedar akan pentingnya memberikan salam, terutamanya kepada rakan Kristian, kita dan mereka akan menuai hasil yang baik. Sesungguhnya, salam dapat membawa kesan yang mendalam!