‘Biarlah mereka tahu bahawa hanya Engkaulah Yehuwa, Yang Maha Tinggi di seluruh bumi!’​—MZM. 83:19.

LAGU: 9, 22

1, 2. (a) Apakah isu terbesar yang melibatkan umat manusia? (b) Mengapakah kita perlu sentiasa ingat akan isu itu?

BAGI ramai orang, wang ialah isu yang terpenting. Mereka ingin mengekalkan atau menambahkan kekayaan sendiri. Ada juga yang menganggap keluarga, kesihatan, atau pencapaian, sebagai isu terpenting.

2 Namun, isu kedaulatan Yehuwa jauh lebih penting daripada semua itu. Maka, kita perlu berjaga-jaga agar tidak membiarkan kesibukan hidup atau masalah peribadi membuat kita lupa akan isu itu. Sebenarnya, jika penegakan kedaulatan Yehuwa sentiasa dekat di hati kita, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran hidup dan lebih mendekat kepada Yehuwa.

MENGAPA BEGITU PENTING?

3. Apakah dakwaan Syaitan berkenaan pemerintahan Tuhan?

3 Syaitan Si Iblis telah mempersoalkan kedaulatan Yehuwa. Dia mendakwa bahawa pemerintahan Tuhan tidak adil dan bahawa Yehuwa tidak memberikan yang terbaik kepada ciptaan-Nya. Menurut Si Iblis, manusia akan lebih bahagia dan sejahtera jika mereka memerintah diri sendiri. (Kej. 3:1-5) Syaitan  juga menyatakan bahawa tiada sesiapa pun yang benar-benar setia kepada Tuhan dan akan meninggalkan-Nya jika menghadapi masalah yang besar. (Ayb. 2:4, 5) Untuk menjawab tuduhan itu, Yehuwa membiarkan masa berlalu supaya manusia dapat merasai kehidupan tanpa pemerintahan-Nya.

4. Mengapakah isu kedaulatan mesti diselesaikan?

4 Memandangkan Yehuwa sudah tahu bahawa tuduhan Syaitan palsu belaka, mengapakah Dia masih memberi Syaitan masa yang begitu lama untuk membuktikan tuduhannya? Kerana jawapan kepada isu itu melibatkan semua malaikat dan manusia. (Baca Mazmur 83:19.) Pasangan manusia yang pertama telah menolak pemerintahan Yehuwa; begitu juga dengan banyak orang yang lain. Oleh itu, timbullah persoalan ini: Mungkinkah tuduhan Si Iblis itu benar? Selagi keraguan itu berlegar di minda manusia atau malaikat, masalah akan berlaku antara negara, bangsa, kaum, keluarga, dan individu. Tetapi apabila kedaulatan Yehuwa ditegakkan, seluruh alam semesta akan aman damai, kerana semua makhluk akan mematuhi pemerintahan-Nya untuk selama-lamanya.​—Ef. 1:9, 10.

5. Bagaimanakah kita dapat menyokong Yehuwa dalam isu kedaulatan?

5 Kedaulatan Yehuwa pasti ditegakkan; pemerintahan Syaitan dan manusia pasti gagal dan akan dilenyapkan. Pemerintahan Tuhan melalui Kerajaan Mesias juga pasti berjaya. Umat Tuhan akan membuktikan bahawa manusia memang dapat setia kepada Tuhan dan menjunjung pemerintahan-Nya. (Yes. 45:23, 24) Inginkah anda dicatatkan dalam sejarah sebagai penyokong kedaulatan Yehuwa yang setia? Sudah tentu. Untuk berbuat demikian, kita harus bertumpu kepada isu kedaulatan Tuhan dan memahami betapa pentingnya isu tersebut.

KEDAULATAN LEBIH PENTING DARIPADA PENYELAMATAN

6. Seberapa pentingkah isu kedaulatan Yehuwa?

6 Seperti yang dinyatakan tadi, kedaulatan Yehuwa ialah isu terpenting yang melibatkan manusia. Isu itu bahkan lebih penting daripada kebahagiaan kita sendiri. Namun, adakah hal itu bermaksud bahawa penyelamatan kita tidak penting, atau bahawa Yehuwa tidak mengambil berat tentang kita? Tidak. Mengapa?

7, 8. Mengapakah Yehuwa pasti menyelamatkan manusia yang taat semasa Dia menegakkan kedaulatan-Nya?

7 Yehuwa amat mengasihi dan menghargai manusia sehingga sanggup mengorbankan nyawa Anak-Nya untuk menyelamatkan kita. (Yoh. 3:16; 1 Yoh. 4:9) Jika Yehuwa gagal menunaikan janji-Nya, Si Iblis akan mempunyai alasan untuk menuduh Tuhan sebagai penipu dan pemerintah yang tidak adil. Pada masa itu, para penentang akan mempunyai alasan untuk berkata, “Di manakah kehadirannya yang dijanjikan itu? Sejak nenek moyang kita tidur dalam kematian, segala-galanya masih sama sahaja seperti pada permulaan penciptaan dunia.” (2 Ptr. 3:3, 4) Maka, semasa Yehuwa menegakkan kedaulatan-Nya, Dia pasti akan menyelamatkan manusia yang taat. (Baca Yesaya 55:10, 11.) Tambahan lagi, memandangkan kasih merupakan nadi pemerintahan Yehuwa, Dia pasti sentiasa mengasihi, menyayangi, dan menghargai hamba-hamba-Nya yang setia.​—Kel. 34:6.

8 Oleh itu, mengakui kepentingan kedaulatan Yehuwa tidak bererti bahawa  penyelamatan kita tidak penting atau bahawa kita tidak bernilai bagi Tuhan. Apabila kita mempunyai pandangan yang sewajarnya terhadap kedaulatan Yehuwa dan penyelamatan kita, kita dapat terus bertumpu kepada isu terpenting dan menyokong pemerintahan Yehuwa.

PANDANGAN YANG SEWAJARNYA

9. Apakah tuduhan Syaitan terhadap Ayub? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Buku Ayub, salah satu buku Bible yang terawal, menegaskan pentingnya memiliki sudut pandangan yang betul. Buku itu mencatatkan tuduhan Syaitan bahawa Ayub akan menolak Tuhan sekiranya penderitaan yang berat menimpanya. Syaitan mencadangkan agar Tuhan sendiri menyakiti Ayub. Yehuwa tidak berbuat demikian, tetapi Dia mengizinkan Syaitan untuk menguji Ayub. (Baca Ayub 1:7-12.) Dalam masa yang singkat, Ayub kehilangan hamba-hamba, harta benda, dan semua anaknya. Meskipun Syaitan ialah dalang yang sebenar, cara dia bertindak membuat Tuhan kelihatan seperti punca segala masalah Ayub. (Ayb. 1:13-19) Kemudian, Syaitan mendatangkan penyakit yang dahsyat dan menjijikkan kepada Ayub. (Ayb. 2:7) Kepedihan Ayub bertambah teruk lagi apabila dia mendengar kata-kata daripada isterinya dan tiga orang sahabat palsunya.​—Ayb. 2:9; 3:11; 16:2.

10. (a) Bagaimanakah Ayub menunjukkan kesetiaannya? (b) Tetapi, apakah kesilapan Ayub?

10 Apakah yang terjadi kemudian? Tuduhan Syaitan terbukti palsu kerana Ayub enggan meninggalkan Tuhan. (Ayb. 27:5) Tetapi buat suatu ketika, pandangan Ayub tersimpang. Dia terlalu berfokus untuk membela diri dan bahkan menuntut penjelasan daripada Tuhan tentang sebabnya dia menderita. (Ayb. 7:20; 13:24) Kita mungkin berfikir, “Tidak hairanlah dia berasa begitu kerana penderitaannya teruk sekali.” Walaupun begitu, Tuhan telah membetulkan fikiran Ayub. Bagaimana?

11, 12. Yehuwa membantu Ayub untuk sedar akan apa? Apakah reaksi Ayub?

11 Kata-kata Tuhan kepada Ayub dicatatkan dalam buku Ayub bab 38 hingga 41. Namun, dalam catatan itu, Tuhan tidak menjelaskan sebabnya Ayub menderita. Mengapa? Kerana Yehuwa ingin membantu Ayub sedar betapa kecilnya Ayub jika dibandingkan dengan keagungan Tuhan. Dia juga mengajar Ayub bahawa terdapat isu yang jauh lebih penting daripada masalah peribadinya. (Baca Ayub 38:18-21.) Akhirnya, pandangan Ayub telah dibetulkan.

12 Adakah kata-kata Yehuwa terlalu tegas  bagi Ayub, seorang yang baru mengalami cubaan yang amat berat? Tidak. Sebenarnya Ayub juga tidak berfikir begitu. Dia menghargai nasihat Yehuwa yang terus terang. Selepas ditegur, dia bahkan berkata, “Aku malu kerana segala perkataanku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.” (Ayb. 42:1-6) Sebelum itu, seorang lelaki muda yang bernama Elihu juga telah membantu membetulkan pandangan Ayub. (Ayb. 32:5-10) Apabila Ayub mendengarkan nasihat Tuhan dan mengubah pandangannya, Yehuwa menyatakan bahawa Dia berkenan kepada Ayub, hamba-Nya yang tetap setia di bawah cubaan.​—Ayb. 42:7, 8.

13. Bagaimanakah nasihat Yehuwa terus membantu Ayub selepas penderitaannya berakhir?

13 Selepas itu, Yehuwa “memberkati Ayub dengan lebih berlimpah pada akhir hidupnya daripada masa sebelum dia mengalami penderitaan.” Ayub juga dikurniai “tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan” lagi. (Ayb. 42:12-14) Namun, nasihat Yehuwa terus membantu Ayub selepas penderitaannya berakhir. Bagaimana? Sudah pasti Ayub merindui 10 orang anaknya yang terkorban akibat perbuatan Syaitan, dan kenangan pahitnya mungkin telah menghantuinya buat suatu ketika. Biarpun dia lebih memahami sebab di sebalik penderitaannya, dia mungkin tertanya-tanya mengapa dia perlu menderita dengan begitu teruk. Pada detik-detik sedemikian, Ayub dapat merenungkan nasihat Tuhan, dan hal itu pasti melegakan hatinya dan membantunya mengekalkan pandangan yang betul.​—Mzm. 94:19.

14. Apakah yang kita pelajari daripada kisah Ayub?

14 Kisah Ayub dapat membantu kita memupuk pandangan yang sewajarnya dan memberi kita kelegaan hati. Yehuwa memelihara kisah itu “untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.” (Rm. 15:4) Pengajarannya bagi kita ialah: Janganlah terlalu berfokus kepada kehidupan sendiri sehingga mengetepikan isu yang terpenting​—penegakan kedaulatan Yehuwa. Jangan lupa juga peranan kita dalam isu ini​—kita harus tetap setia seperti Ayub, bahkan semasa menghadapi kesusahan.

Semasa menghadapi masalah, dapatkah kita melihat isu yang terpenting? (Lihat perenggan 14)

15. Apabila kita tetap setia walaupun menghadapi cubaan, apakah hasil yang diraih?

15 Kisah Ayub melegakan hati kita kerana membantu kita sedar bahawa cubaan yang kita lalui tidak sia-sia. Apa yang kita hadapi bukannya hukuman daripada Yehuwa. Sebaliknya, kesusahan  yang berlaku memberi kita peluang untuk membuktikan bahawa kita menyokong pemerintahan Tuhan. (Ams. 27:11) Ketabahan membolehkan “kita mendapat perkenan Tuhan” dan menguatkan harapan kita. (Baca Roma 5:3-5.) Kisah Ayub juga menunjukkan bahawa “Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Maka, Dia pasti akan memberkati semua orang yang menjunjung kedaulatan-Nya. Dengan mengingat hal ini, kita dibantu untuk “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.”​—Kol. 1:11.

JANGAN HILANG FOKUS

16. Mengapakah kita perlu ingat bahawa menyokong kedaulatan Yehuwa ialah perkara yang terpenting?

16 Memang bukan senang untuk bertumpu kepada isu kedaulatan Yehuwa, terutamanya apabila masalah kita berlambak. Jika kita selalu memikirkan kesusahan sendiri, masalah kecil pun mungkin kelihatan sangat besar. Oleh itu, semasa menghadapi cubaan, ingatlah bahawa menyokong kedaulatan Yehuwa ialah perkara yang terpenting.

17. Bagaimanakah melakukan kegiatan rohani secara tetap membantu kita tetap bertumpu kepada isu yang terpenting?

17 Jika kita melakukan kegiatan rohani secara tetap, hal itu akan membantu kita tetap bertumpu kepada isu yang terpenting. Contohnya, seorang saudari yang bernama Renee ialah pesakit strok dan kanser, dan dia juga menderita kesakitan kronik. Semasa dia dirawat di hospital, dia telah memberikan kesaksian kepada kakitangan hospital, pesakit lain, dan pelawat. Pernah sekali, semasa dia diwadkan selama dua minggu setengah, dia telah menginjil selama 80 jam. Walaupun dia tahu bahawa dia hampir meninggal, dia tidak pernah melupakan kedaulatan Yehuwa. Kerana berbuat demikian, penderitaannya dapat dikurangkan.

18. Bagaimanakah seorang saudari dibantu kerana menjunjung kedaulatan Yehuwa?

18 Semasa menghadapi cabaran dan tekanan hidup seharian, kita juga harus bertumpu kepada kedaulatan Yehuwa. Saudari Jennifer terpaksa menunggu di lapangan terbang selama tiga hari sebelum dapat pulang ke rumahnya. Apabila penerbangan dibatalkan satu demi satu, dia berasa letih dan sunyi. Jennifer boleh bertumpu kepada situasi itu dan berputus asa, tetapi dia berdoa agar dia dapat menolong orang lain yang juga terpaksa menunggu di lapangan terbang. Dia telah menginjil kepada banyak orang dan mengedarkan banyak bahan bacaan. Jennifer berkata, “Dalam situasi yang susah itu, Yehuwa telah memberkati saya dan memberi saya kekuatan untuk memuliakan nama-Nya.”

19. Apakah yang sentiasa dilakukan oleh umat Tuhan?

19 Hanya agama yang benar akan menjunjung kedaulatan Yehuwa. Itulah yang dilakukan oleh umat Tuhan sejak dahulu lagi. Oleh itu, kita masing-masing harus berusaha agar sentiasa menyokong kedaulatan Yehuwa.

20. Apakah perasaan Yehuwa terhadap usaha anda untuk menjunjung kedaulatan-Nya?

20 Apabila anda terus berkhidmat kepada Yehuwa dan tetap setia di bawah cubaan, anda sedang menyokong kedaulatan-Nya. Yakinlah bahawa Yehuwa sangat menghargai usaha anda! (Mzm. 18:26) Rencana seterusnya akan membincangkan dengan lebih lanjut sebabnya anda patut menyokong pemerintahan Yehuwa dan cara anda dapat berbuat demikian.