Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Jangan Biarkan Minda Anda Ditawan

Jangan Biarkan Minda Anda Ditawan

ANDA sedang diserang! Musuh ketat anda, Syaitan, sedang menggunakan senjata yang amat berbahaya. Senjata itu tidak menyerang tubuh anda, tetapi minda anda. Apakah senjata itu? Propaganda!

Rasul Paulus tahu akan bahayanya propaganda Syaitan, tetapi bukan semua orang Kristian menyedarinya. Contohnya, sesetengah orang di Korintus menjadi terlalu yakin dan berfikir bahawa mereka tidak mungkin meninggalkan kebenaran. (1 Kor. 10:12) Itulah sebabnya Paulus mengingatkan mereka, “Aku takut fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak mempunyai ketulusan dan kemurnian yang layak diterima oleh Kristus. Hal itu telah berlaku kepada Hawa yang digoda oleh kelicikan ular.”​—2 Kor. 11:3.

Kata-kata Paulus menunjukkan bahawa kita tidak boleh lalai. Jika kita tidak ingin minda kita ditawan, kita mesti menyedari bahayanya propaganda Syaitan dan melindungi diri kita.

SEBERAPA BAHAYAKAH PROPAGANDA?

Apakah itu propaganda? Dalam konteks ini, propaganda merupakan penyebaran maklumat yang berat sebelah atau menyesatkan untuk mempengaruhi fikiran dan tindakan orang ramai. Sesetengah pihak menyamakan propaganda dengan “tipu daya, manipulasi, putar belit, [dan] peperangan psikologi,” dan mengaitkannya dengan “taktik yang berbahaya, tidak beretika, dan tidak adil.”​—Propaganda and Persuasion.

Seberapa bahayakah propaganda? Propaganda ibarat udara beracun yang tidak berbau, yang akan meresap ke dalam minda. Oleh sebab propaganda sukar dikesan, seorang pakar yang bernama Vance Pakard menyatakan bahawa “tahap pengaruhnya jauh  lebih mendalam daripada yang kita sedari.” Seorang cendekiawan menyatakan bahawa melalui propaganda, lelaki dan wanita “dengan mudahnya dipengaruhi untuk melakukan hal yang sangat berbahaya dan tidak masuk akal,” seperti “pembasmian kaum, peperangan, penindasan kaum dan agama, serta banyak lagi perbuatan yang tidak rasional.”​—Easily Led​—A History of Propaganda.

Jika manusia pun dapat memperdaya kita menerusi propaganda, apatah lagi Syaitan! Dia sudah mengenali perangai manusia sejak kita diciptakan. Memandangkan “seluruh dunia” berada di bawah kuasanya, dia dapat menggunakan banyak cara untuk menyebarkan dustanya. (1 Yoh. 5:19; Yoh. 8:44) Syaitan telah ‘membutakan fikiran’ begitu banyak orang sehingga dia dapat “menyesatkan seluruh dunia.” (2 Kor. 4:4; Why. 12:9) Jadi, bagaimanakah anda dapat melawan propagandanya?

KUATKAN PERTAHANAN ANDA

Yesus mengatakan bahawa untuk melawan propaganda, kita perlu “mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan [kita].” (Yoh. 8:31, 32) Di medan perang, kebenaran biasanya diputarbelitkan. Maka seorang askar yang tidak ingin diperdaya oleh musuh perlu mengenal pasti sumber maklumat yang sahih dan yang dapat dipercayai. Begitu juga, menerusi Bible, Yehuwa telah menyediakan segala maklumat yang anda perlukan untuk melawan propaganda Syaitan.​—2 Tim. 3:16, 17.

Syaitan tahu akan hal itu. Maka dia menggunakan sistem dunia ini untuk menghalang kita daripada membaca dan mengkaji Bible. Namun, janganlah terjerat oleh muslihatnya! (Ef. 6:11) Berusahalah dengan tekun untuk ‘memahami kebenaran dengan sepenuhnya.’ (Ef. 3:18) Ingatlah fakta yang disebut oleh Noam Chomsky, seorang pengarang, “Tiada orang yang akan mengisi minda kamu dengan kebenaran. Kamu sendiri perlu mencarinya.” Maka, ‘kajilah Ayat-Ayat Suci dengan teliti’ setiap hari untuk mencari kebenaran.​—Kis. 17:11.

Untuk melawan propaganda Syaitan, anda perlu menyedari bahayanya dan melindungi diri anda

Syaitan tidak ingin anda berfikir secara mendalam atau membuat pertimbangan. Mengapa? Kerana propaganda “akan lebih berkesan” jika “orang . . . tidak digalakkan untuk berfikir secara kritis.” (Media and  Society in the Twentieth Century) Maka, janganlah menerima secara bulat-bulat apa yang didengar. (Ams. 14:15) Gunakanlah daya pemikiran yang dikurniakan Tuhan untuk menguatkan iman anda.​—Ams. 2:10-15; Rm. 12:1, 2.

JANGANLAH DIPECAHBELAHKAN

Propaganda juga digunakan semasa perang untuk melemahkan semangat berjuang. Askar yang dipengaruhi propaganda musuh mungkin saling berlawan atau menjauhi pasukan tentera sendiri. Seorang panglima Jerman menyatakan bahawa satu sebab Jerman dikalahkan semasa Perang Dunia Pertama adalah kerana rakyat terlalu terpukau dengan propaganda. Syaitan menggunakan helah yang sama untuk merosakkan perpaduan orang Kristian. Dia ingin saudara saudari berkelahi atau berasa bahawa mereka dilayan dengan tidak adil lalu meninggalkan organisasi Yehuwa.

Janganlah diperdaya! Biarlah Firman Tuhan membimbing anda. Contohnya, untuk memelihara perpaduan dalam kalangan saudara saudari, kita digalakkan untuk “saling mengampuni dengan rela hati” dan menyelesaikan perselisihan dengan segera. (Kol. 3:13, 14; Mat. 5:23, 24) Kita juga diingatkan agar tidak mengasingkan diri daripada sidang. (Ams. 18:1) Pastikan bahawa anda bersedia melawan propaganda Syaitan. Tanyalah diri, “Pada kali terakhir saya tersinggung, adakah reaksi saya dipengaruhi sikap dunia atau dibimbing oleh Tuhan?”​—Gal. 5:16-26; Ef. 2:2, 3.

JANGAN BIAR KEYAKINAN ANDA TERHAKIS

Musuh juga akan menggunakan propaganda untuk merosakkan keyakinan askar terhadap pegawai atasan, kerana askar yang tidak setia tidak dapat berjuang dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu pihak musuh mungkin akan membesar-besarkan kesilapan pemimpin untuk menyokong propaganda seperti, “Pemimpin kamu tidak dapat dipercayai!” atau, “Jangan biar mereka mencelakakan kamu!” Syaitan juga menggunakan taktik itu. Dia sentiasa mencuba merosakkan keyakinan anda terhadap mereka yang dilantik oleh Yehuwa untuk mengambil pimpinan.

Bagaimanakah anda dapat mempertahankan diri? Berpautlah pada organisasi Yehuwa dan sokonglah mereka yang dilantik  oleh-Nya, biarpun mereka tidak sempurna. (1 Tes. 5:12, 13) Janganlah “cepat dikelirukan” oleh tipu daya golongan murtad atau orang yang ingin menyerang organisasi, biarpun tuduhan mereka nampaknya benar. (2 Tes. 2:2; Tit. 1:10) Sebaliknya, ikutlah nasihat yang diberikan kepada Timotius: Berpeganglah pada kebenaran yang anda pelajari, dan ingatlah dari mana anda mempelajarinya. (2 Tim. 3:14, 15) Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa hamba yang setia, yang telah digunakan oleh Yehuwa untuk mengajarkan kebenaran selama hampir seratus tahun, memang dapat dipercayai.​—Mat. 24:45-47; Ibr. 13:7, 17.

JANGANLAH MUDAH DIGERTAK

Ada kalanya, Syaitan akan menggunakan gertakan sebagai propagandanya. Rasa takut “merupakan salah satu bentuk propaganda yang paling lama.” (Easily Led​—A History of Propaganda) Philip M. Taylor, seorang profesor dari Britain, menulis bahawa orang Asyur menggunakan gertakan bersama dengan propaganda untuk menundukkan musuh. Begitu juga, Syaitan akan menggunakan rasa takut akan orang lain, takut akan penganiayaan, atau takut akan kematian, untuk menguasai anda dan menghalang anda daripada menyembah Yehuwa.​—Yes. 8:12; Yer. 42:11; Ibr. 2:15.

Janganlah digertak oleh Syaitan sehingga hilang semangat atau menjadi tidak setia! Yesus berkata, “Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi selepas itu tidak dapat melakukan apa-apa lagi.” (Luk. 12:4) Yakinlah sepenuhnya bahawa Yehuwa dapat menjaga anda, memberi anda “kuasa luar biasa,” dan membantu anda agar tidak tunduk kepada gertakan Syaitan.​—2 Kor. 4:7-9; 1 Ptr. 3:14.

Sudah pasti, sesetengah peristiwa akan membuat anda takut dan lemah semangat. Namun, ingatlah kata-kata Yehuwa kepada Yosua, ‘Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, Yehuwa, Tuhanmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.’ (Yos. 1:9) Jika anda dibebani rasa khuatir, berdoalah dengan segera dan beritahulah Yehuwa segala kerisauan anda. Anda pasti menerima “kesejahteraan daripada Tuhan, yang . . . akan menjaga hati dan fikiran” anda. Dengan itu, anda akan memiliki kekuatan untuk menentang apa sahaja propaganda Syaitan.​—Flp. 4:6, 7, 13.

Masihkah anda ingat apa yang dikatakan oleh pegawai Asyur untuk menakutkan umat Tuhan? Dia ingin mereka percaya bahawa tiada sesiapa pun, bahkan Yehuwa, yang dapat melindungi mereka daripada Asyur. Dia menyatakan bahawa Yehuwa sendiri yang menyuruh raja Asyur memusnahkan negeri mereka. Namun, apakah reaksi Yehuwa? Dia memberitahu Hizkia, ‘Engkau tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan bahawa Aku, Yehuwa, tidak dapat menyelamatkanmu.’ (2 Raj. 18:22-25; 19:6) Kemudian Tuhan mengutus satu malaikat yang telah membunuh 185,000 orang askar Asyur dalam masa satu malam!​—2 Raj. 19:35.

DENGARLAH CAKAP YEHUWA​—TINDAKAN YANG BIJAK

Pernahkah anda melihat watak filem yang tidak sedar bahawa dia sudah diperdaya? Adakah anda teringin memberitahunya, “Kamu sudah ditipu! Jangan percayainya!” Sekarang, cuba bayangkan para malaikat sedang berseru kepada anda, “Janganlah ditipu oleh Syaitan!”

Maka, janganlah mendengar propaganda Syaitan. (Ams. 26:24, 25) Dengarlah cakap Yehuwa, dan percayalah kepada-Nya dalam segala perbuatan anda. (Ams. 3:5-7) Sahutlah seruan Yehuwa, “Hai anakku, hendaklah kamu bijak, supaya aku gembira.” (Ams. 27:11) Dengan itu, minda anda tidak akan ditawan Syaitan!