Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 RENCANA PEMBELAJARAN 5

Sifat-Sifat yang Mendorong Kita Menghadiri Perjumpaan

Sifat-Sifat yang Mendorong Kita Menghadiri Perjumpaan

“Terus mengumumkan kematian [Tuan] sehingga dia datang.”​—1 KOR. 11:26.

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

PENGENALAN *

1-2. (a) Apakah yang dilihat Yehuwa semasa jutaan orang berkumpul untuk Perjamuan Malam Tuan? (Lihat gambar pada muka depan majalah.) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

BAYANGKAN apa yang dilihat Yehuwa semasa jutaan orang di seluruh dunia berkumpul untuk menghadiri Perjamuan Malam Tuan. Dia bukan sahaja melihat kumpulan besar itu, tetapi juga setiap individu yang hadir. Contohnya, Dia nampak orang yang hadir setiap tahun, termasuk mereka yang hadir meskipun dianiaya. Yang lain tidak datang ke perjumpaan dengan tetap, tetapi mereka berasa bahawa Peringatan ialah peristiwa penting yang mesti dihadiri. Yehuwa juga memperhatikan orang yang menghadiri Peringatan buat kali pertama, yang mungkin datang kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang Peringatan.

2 Yehuwa pasti gembira semasa melihat ramai orang menghadiri Peringatan. (Luk. 22:19) Namun, bilangan hadirin bukanlah perkara terpenting bagi-Nya. Dia lebih mementingkan sebab atau motif mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan satu soalan yang penting: Mengapakah kita tidak sekadar menghadiri Peringatan setahun sekali, tetapi juga menghadiri perjumpaan setiap minggu, yang disediakan oleh Yehuwa bagi orang yang mengasihi-Nya?

Jutaan orang di serata dunia dialu-alukan ke Perjamuan Malam Tuan (Lihat perenggan 1-2)

KERENDAHAN HATI MENDORONG KITA

3-4. (a) Mengapakah kita menghadiri perjumpaan? (b) Apakah yang kita tunjukkan dengan menghadiri perjumpaan? (c) Menurut 1 Korintus 11:23-26, mengapakah kita harus menghadiri Peringatan?

3 Sebab utama kita menghadiri perjumpaan adalah kerana perjumpaan ialah sebahagian daripada ibadat kita. Kita  juga menghadiri perjumpaan untuk diajar oleh Yehuwa. Orang yang sombong berasa bahawa mereka tidak perlu diajar. (3 Yoh. 9) Tetapi kita mahu diajar oleh Yehuwa dan organisasi-Nya.​—Yes. 30:20; Yoh. 6:45.

4 Dengan menghadiri perjumpaan, kita menunjukkan bahawa kita rendah hati dan rela diajar. Kita menghadiri Peringatan kematian Yesus, bukan hanya sebagai kewajipan, tetapi juga kerana kita dengan rendah hati ingin mematuhi perintah Yesus, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Baca 1 Korintus 11:23-26.) Sambutan Peringatan meneguhkan harapan kita dan mengingatkan kita tentang kasih Yehuwa. Namun, Yehuwa tahu bahawa perjumpaan tahunan itu tidak cukup. Maka Dia mengaturkan perjumpaan setiap minggu dan menjemput kita untuk menghadirinya, supaya kita dikuatkan dan digalakkan. Kita akan mematuhi-Nya dengan rendah hati. Kita juga meluangkan beberapa jam setiap minggu untuk membuat persiapan dan menghadiri perjumpaan.

5. Mengapakah orang yang rendah hati menyahut jemputan Yehuwa?

5 Setiap tahun, ramai orang yang rendah hati menyahut jemputan Yehuwa untuk diajar oleh-Nya. (Yes. 50:4) Setelah menikmati sambutan Peringatan, mereka mula menghadiri perjumpaan lain bersama kita untuk diajar dan dibimbing oleh Yehuwa, ‘penolong dan penyelamat’ kita. (Mzm. 40:17; Za. 8:20-23) Bayangkan, kita dapat diajar oleh Yehuwa dan Anak tersayang-Nya, Yesus! Adakah apa-apa jemputan lain yang lebih penting dan menggembirakan daripada itu?​—Mat. 17:5; 18:20; 28:20.

6. Bagaimanakah kerendahan hati mendorong seorang lelaki untuk menghadiri Peringatan?

6 Setiap tahun, kita menjemput seberapa ramai yang mungkin untuk menghadiri Peringatan. Banyak orang yang rendah hati telah meraih manfaat kerana menerima jemputan kita. Beberapa tahun lalu, seorang saudara memberi seorang lelaki surat jemputan Peringatan, tetapi lelaki itu berkata bahawa dia tidak dapat hadir. Namun, saudara itu terkejut semasa melihat lelaki itu datang ke Dewan Perjumpaan pada malam Peringatan. Lelaki itu sangat kagum kerana disambut dengan ramah, maka dia mula menghadiri semua perjumpaan. Sepanjang tahun itu, dia hanya tidak datang ke tiga perjumpaan. Mengapakah lelaki itu mengubah fikirannya? Saudara yang menjemputnya berkata, “Dia sangat rendah hati.” Sudah pasti, Yehuwa telah memimpin lelaki itu kepada-Nya. Kini, lelaki itu ialah saudara kita yang sudah dibaptis.​—2 Sam. 22:28; Yoh. 6:44.

7. Bagaimanakah hal yang kita pelajari di perjumpaan dan daripada Bible membantu kita bersikap rendah hati?

7 Hal yang kita pelajari di perjumpaan dan daripada Bible dapat membantu kita agar bersikap rendah hati. Beberapa minggu sebelum Peringatan, perjumpaan kita sering berfokus kepada teladan dan kerendahan hati yang ditunjukkan Yesus semasa dia mengorbankan nyawanya sebagai tebusan. Beberapa hari sebelum Peringatan, kita juga digalakkan untuk membaca kisah Bible mengenai peristiwa yang terjadi sekitar kematian dan pembangkitan Yesus. Perjumpaan dan kisah Bible sebegini membantu kita lebih menghargai pengorbanan Yesus. Kita juga digerakkan supaya meniru kerendahan hatinya dan melakukan kehendak Yehuwa, bahkan pada waktu yang susah.​—Luk. 22:41, 42.

KEBERANIAN MEMBANTU KITA

8. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keberanian?

8 Kita juga berusaha meniru keberanian Yesus. Fikirkan keberanian yang ditunjukkannya  beberapa hari sebelum kematiannya. Dia tahu bahawa musuhnya akan menghina, memukul, dan membunuhnya. (Mat. 20:17-19) Walaupun begitu, dia masih sudi berdepan dengan maut. Semasa di Getsemani, Yesus memberitahu rasul-rasulnya, “Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.” (Mat. 26:36, 46) Ketika kumpulan bersenjata ingin menangkapnya, dia tampil ke depan, memperkenalkan diri, dan menyuruh para askar untuk membiarkan rasul-rasulnya pergi. (Yoh. 18:3-8) Keberanian yang amat mengagumkan! Bagaimanakah orang Kristian terurap dan biri-biri lain dapat meniru keberanian Yesus?

Apabila anda menghadiri perjumpaan dengan berani, orang lain turut dikuatkan (Lihat perenggan 9) *

9. (a) Mengapakah kita mungkin memerlukan keberanian untuk menghadiri perjumpaan dengan tetap? (b) Bagaimanakah teladan kita dapat membantu rakan seiman yang dipenjarakan demi kepercayaan mereka?

9 Untuk menghadiri perjumpaan dengan tetap, kita mungkin memerlukan keberanian. Sesetengah saudara saudari menghadiri perjumpaan meskipun dibebani kesedihan, rasa tawar hati, atau masalah kesihatan. Ada yang menghadiri perjumpaan dengan berani walaupun menghadapi tentangan yang kuat daripada ahli keluarga atau pihak berkuasa. Fikirkan sejenak mengenai rakan seiman kita yang dipenjarakan demi kepercayaan mereka. (Ibr. 13:3) Apabila mereka mendengar bahawa kita tetap menyembah Yehuwa biarpun dilanda cubaan, teladan kita akan menggalakkan mereka agar tetap beriman, berani, dan setia. Itulah yang dialami Rasul Paulus. Semasa dipenjarakan di Roma, dia bersukacita setiap kali dia mendengar bahawa saudara saudarinya menyembah Tuhan dengan setia. (Flp. 1:3-5, 12-14) Tidak lama sebelum atau selepas pembebasannya, Paulus menulis surat kepada orang Kristian berbangsa Ibrani untuk menggalakkan mereka agar “sentiasa saling mengasihi” dan tidak mengabaikan perjumpaan.​—Ibr. 10:24, 25; 13:1.

10-11. (a) Siapakah yang patut kita jemput ke Peringatan? (b) Menurut Efesus 1:7, mengapakah kita menjemput mereka?

10 Kita menunjukkan keberanian semasa kita menjemput saudara-mara, rakan kerja, dan jiran untuk menghadiri Peringatan. Mengapakah kita menjemput mereka? Kita amat menghargai perbuatan Yehuwa dan Yesus. Maka kita mahu orang lain mengetahui cara untuk memanfaatkan “kebaikan hati Tuhan” yang dinyatakan melalui tebusan.​—Baca Efesus 1:7; Why. 22:17.

11 Apabila kita menghadiri perjumpaan dengan berani, kita menunjukkan satu lagi sifat penting yang diperlihatkan oleh Tuhan dan Anak-Nya.

KASIH MENGGERAKKAN KITA

12. (a) Bagaimanakah perjumpaan memperdalam kasih kita untuk Yehuwa dan Yesus? (b) Ayat di 2 Korintus 5:14, 15 mendorong kita untuk melakukan apa?

12 Kasih kita untuk Yehuwa dan Yesus menggerakkan kita untuk menghadiri perjumpaan. Hal-hal yang kita pelajari di perjumpaan akan memperdalam kasih kita untuk Yehuwa  dan Anak-Nya. Di perjumpaan, kita sering diingatkan tentang kebaikan yang ditunjukkan oleh mereka terhadap kita. (Rm. 5:8) Peringatan khususnya mengingatkan kita betapa dalamnya kasih mereka, bahkan terhadap orang yang belum menyedari nilai tebusan. Rasa syukur mendorong kita untuk meneladani Yesus dalam kehidupan seharian. (Baca 2 Korintus 5:14, 15.) Kita juga didorong untuk memuji Yehuwa kerana menyediakan tebusan, dan salah satu cara kita berbuat demikian adalah melalui komen kita di perjumpaan.

13. Bagaimanakah kita menunjukkan betapa dalamnya kasih kita terhadap Yehuwa dan Anak-Nya?

13 Kita menunjukkan betapa dalamnya kasih kita terhadap Yehuwa dan Anak-Nya apabila kita sudi membuat pengorbanan untuk mereka. Biasanya, kita perlu membuat berbagai-bagai pengorbanan untuk menghadiri perjumpaan. Kebanyakan sidang mengadakan satu perjumpaan pada malam pertengahan minggu, apabila kita sudah penat setelah bergiat sehari suntuk. Satu lagi perjumpaan pula diadakan pada hujung minggu, apabila orang lain sedang berehat. Adakah Yehuwa memperhatikan usaha kita untuk menghadiri perjumpaan meskipun kita sudah letih? Sudah pasti! Sebenarnya, semakin besar usaha yang kita kerahkan, semakin besar penghargaan Yehuwa terhadap kasih kita.​—Mrk. 12:41-44.

14. Bagaimanakah Yesus merupakan teladan yang baik dalam menunjukkan kasih?

14 Yesus telah menunjukkan kasih yang menonjol. Dia bukan sahaja rela mati demi pengikutnya, tetapi juga mengutamakan kepentingan mereka dalam kehidupan sehariannya. Misalnya, dia bertemu dengan mereka walaupun semasa dia letih atau tertekan. (Luk. 22:39-46) Dia bertumpu kepada apa yang dapat diberikannya kepada orang lain, bukan apa yang dapat diterimanya daripada mereka. (Mat. 20:28) Jika kita memiliki kasih sebegitu terhadap Yehuwa dan saudara saudari, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menghadiri Perjamuan Malam Tuan dan semua perjumpaan lain.

15. Siapakah yang khususnya ingin kita bantu?

15 Sebagai anggota dalam satu-satunya persaudaraan Kristian sejati, kita ingin meluangkan seberapa banyak masa yang mampu,  supaya dapat menjemput orang baharu untuk menyertai kita. Namun, kita khususnya ingin membantu “saudara saudari kita yang seiman,” yang sudah tidak aktif. (Gal. 6:10) Kita menunjukkan kasih kepada mereka dengan menggalakkan mereka untuk menghadiri perjumpaan, terutamanya Peringatan. Seperti Yehuwa dan Yesus, hati kita melonjak gembira apabila orang yang tidak aktif kembali kepada Yehuwa, Bapa dan Gembala kita yang penyayang.​—Mat. 18:14.

16. (a) Bagaimanakah kita dapat saling menggalakkan? Bagaimanakah perjumpaan akan membantu kita? (b) Mengapakah sekarang merupakan masa yang baik untuk mengingati kata-kata Yesus di Yohanes 3:16?

16 Dalam beberapa minggu yang akan datang, jemputlah seberapa ramai yang mungkin untuk menghadiri Peringatan pada malam Jumaat, 19 April 2019. (Lihat kotak “ Adakah Anda Akan Menjemput Mereka?”) Sepanjang tahun ini, semoga kita menggalakkan satu sama lain dengan menghadiri semua perjumpaan secara tetap. Ingatlah, perjumpaan merupakan pemberian Yehuwa untuk membantu kita agar tetap menunjukkan kerendahan hati, keberanian, dan kasih ketika akhir sistem dunia ini semakin dekat. (1 Tes. 5:8-11) Maka, marilah kita berusaha dengan sepenuh hati untuk membalas kasih agung Yehuwa dan Anak-Nya!​—Baca Yohanes 3:16.

LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah

^ per. 5 Peringatan kematian Kristus yang jatuh pada malam Jumaat, 19 April 2019, merupakan perjumpaan yang terpenting dalam setahun. Apakah yang mendorong kita untuk menghadiri perjumpaan itu? Sudah pasti, kita ingin menyenangkan hati Yehuwa. Rencana ini akan membincangkan sifat-sifat yang mendorong kita untuk menghadiri Peringatan dan perjumpaan setiap minggu.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang dipenjarakan kerana kepercayaannya digalakkan setelah membaca surat daripada keluarganya. Dia tahu bahawa dia tidak dilupakan, dan dia bersukacita kerana keluarganya tetap setia kepada Yehuwa meskipun berlakunya pergolakan politik di kawasan mereka.