‘Ya Tuhan kami, kami ingin mengucapkan syukur dan memuji nama-Mu yang indah.’​—1 TAW. 29:13.

LAGU: 80, 50

1, 2. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan harta milik-Nya?

YEHUWA ialah Tuhan yang murah hati. Segala milik kita berasal daripada-Nya. Semua sumber alam bumi, termasuk emas dan perak, merupakan milik Yehuwa, dan digunakan-Nya untuk menampung kehidupan di bumi. (Mzm. 104:13-15; Hag. 2:8) Bible menyatakan bahawa Dia sering menggunakan semua itu untuk menyediakan keperluan umat-Nya.

2 Selama 40 tahun, Yehuwa menyediakan manna dan air untuk bangsa Israel yang berada di padang belantara. (Kel. 16:35) Kerana itu, “mereka tidak kekurangan apa-apa pun.” (Neh. 9:20, 21) Melalui Nabi Elisa, Yehuwa telah menggandakan minyak yang dimiliki seorang balu yang setia. Pemberian Tuhan itu membolehkan balu tersebut membayar hutangnya dan mempunyai wang yang cukup untuk menyara dirinya dan anak-anaknya selepas itu. (2 Raj. 4:1-7) Dengan adanya kuasa Yehuwa, Yesus dapat melakukan mukjizat untuk menyediakan makanan dan bahkan wang yang diperlukan.​—Mat. 15:35-38; 17:27.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Yehuwa memiliki sumber yang tidak terhad untuk menjaga  ciptaan-Nya di bumi. Namun, Dia masih menjemput hamba-hamba-Nya untuk memberikan sokongan kewangan kepada organisasi-Nya. (Kel. 36:3-7; baca Amsal 3:9.) Mengapakah Yehuwa ingin kita memberi-Nya harta benda kita? Bagaimanakah hamba Tuhan pada masa lampau memberikan sokongan kewangan kepada mereka yang melakukan kerja Yehuwa? Bagaimanakah organisasi kita menggunakan wang yang disumbangkan? Rencana ini akan membincangkan jawapannya.

MENGAPAKAH KITA MEMBERI KEPADA YEHUWA?

4. Apakah yang kita tunjukkan kepada Yehuwa semasa kita menyokong kerja-Nya?

4 Kita memberi Yehuwa sesuatu kerana kita mengasihi dan menghargai-Nya. Hati kita tersentuh semasa memikirkan segala yang dilakukan Yehuwa demi kita. Ketika Raja Daud menjelaskan apa yang diperlukan untuk membina Rumah Tuhan, dia mengakui bahawa semua milik kita berasal daripada Yehuwa, dan apa-apa yang kita berikan kepada Yehuwa ialah kepunyaan-Nya juga.​—Baca 1 Tawarikh 29:11-14.

5. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa sumbangan yang diberikan dengan murah hati ialah sebahagian yang penting dalam ibadat sejati?

5 Kita juga memberi kepada Yehuwa kerana amalan itu merupakan satu cara untuk menyembah-Nya. Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes mendengar hamba-hamba Yehuwa di syurga berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu, dan kerana kehendak-Mu segala sesuatu wujud dan diciptakan.” (Why. 4:11) Yehuwa memang layak menerima segala kemuliaan dan kehormatan, maka kita ingin memberi-Nya yang terbaik. Melalui Musa, Yehuwa mengarahkan orang Israel untuk menghadiri tiga perayaan tahunan. Semasa mereka datang untuk beribadat, mereka “tidak boleh menghadap Yehuwa dengan tangan kosong.” (Ul. 16:16) Begitu juga, apabila kita memberikan sumbangan dengan murah hati kerana menghargai dan ingin menyokong organisasi Yehuwa, itulah salah satu cara penting kita menjalankan ibadat kita.

6. Mengapakah amalan memberi bermanfaat untuk kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Apabila kita memberi dan tidak hanya menerima, hal itu bermanfaat untuk kita. (Baca Amsal 29:21.) Bayangkan seorang budak yang menggunakan wang saku daripada ibu bapanya untuk membeli hadiah bagi mereka. Pasti mereka sangat menghargai hadiahnya! Seorang perintis yang tinggal bersama ibu bapanya mungkin memberi mereka sedikit wang untuk menutupi perbelanjaan keluarga. Meskipun mereka tidak menyuruhnya berbuat demikian, mereka menerima pemberiannya kerana itulah satu cara anak tersebut menunjukkan penghargaannya. Begitu juga, Yehuwa tahu bahawa apabila kita memberikan harta milik sendiri, hal itu bermanfaat bagi kita.

CARA MEMBERI PADA ZAMAN BIBLE

7, 8. Bagaimanakah umat Yehuwa pada zaman Bible memberikan teladan yang baik semasa memberikan sumbangan (a) untuk projek yang spesifik? (b) untuk mereka yang mengambil pimpinan?

7 Catatan Bible menunjukkan bahawa umat Yehuwa memberikan sumbangan daripada harta milik sendiri. Ada kalanya, mereka menderma untuk projek yang spesifik. Contohnya, Musa menjemput orang Israel memberikan sumbangan untuk pembinaan khemah suci, dan Raja Daud melakukan hal yang sama untuk pembinaan Rumah Tuhan. (Kel. 35:5; 1 Taw. 29:5-9) Pada zaman Raja Yehoas, para imam menggunakan  wang sumbangan untuk membaiki Rumah Yehuwa. (2 Raj. 12:4, 5) Pada abad pertama, semasa berlakunya kebuluran di Yudea, orang Kristian “memberikan bantuan menurut kemampuan masing-masing” kepada rakan seiman di situ.​—Kis. 11:27-30.

8 Umat Yehuwa juga memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang mengambil pimpinan dalam kerja Tuhan. Di bawah Hukum Musa, orang Lewi tidak diberi harta warisan seperti suku lain. Oleh itu, orang Israel memberi mereka persepuluhan supaya mereka dapat bertumpu kepada kerja di khemah suci. (Bil. 18:21) Pada abad pertama, sesetengah wanita yang murah hati “menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.”​—Luk. 8:1-3.

9. Apakah sumber-sumber bagi sumbangan yang diberikan pada zaman Bible?

9 Sumbangan yang diberikan datang daripada pelbagai sumber. Sumbangan orang Israel untuk membina khemah Tuhan di padang belantara mungkin merangkumi barangan yang dibawa dari Mesir. (Kel. 3:21, 22; 35:22-24) Pada abad pertama, orang Kristian menjual harta milik mereka seperti rumah atau ladang dan membawa wang itu kepada para rasul untuk diedarkan. (Kis. 4:34, 35) Ada pula yang mengekhaskan sejumlah wang secara tetap untuk dijadikan sumbangan. (1 Kor. 16:2) Ya, orang dari pelbagai lapisan masyarakat, baik yang kaya-raya mahupun yang miskin papa berpeluang memberikan sumbangan.​—Luk. 21:1-4.

CARA MEMBERI PADA HARI INI

10, 11. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru hamba-hamba Yehuwa dahulu yang murah hati? (b) Apakah perasaan anda terhadap peluang untuk menyokong kerja Yehuwa?

10 Hari ini, kita mungkin dijemput untuk memberikan sumbangan bagi tujuan tertentu, seperti untuk membina atau mengubahsuai Dewan Perjumpaan sidang kita. Ada kalanya, kita akan mendengar pengumuman tentang keperluan kewangan untuk konvensyen, membantu mangsa bencana, atau projek mengubahsuai pejabat cawangan tempatan. Sumbangan kita juga membantu rakan seiman yang berkhidmat di ibu pejabat dan pejabat cawangan di serata dunia, para mubaligh, perintis khas, dan mereka yang membuat kerja lawatan. Sidang anda pasti ada membuat resolusi untuk memberikan sumbangan kepada program pembinaan Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan, yang akan membantu saudara saudari di serata dunia.

11 Semua orang berpeluang menyokong kerja yang sedang dilaksanakan oleh Yehuwa pada hari-hari terakhir ini. Kebanyakan sumbangan, sama ada yang dibuat melalui jw.org atau peti sumbangan Dewan Perjumpaan, diberikan tanpa menyatakan siapa pemberinya. Kita mungkin berasa bahawa sumbangan kita kecil dan tidak penting, tetapi majoriti sumbangan organisasi kita datang daripada banyak sumbangan yang kecil, bukannya beberapa sumbangan yang besar. Saudara saudari kita, termasuk mereka yang serba kekurangan, meniru kemurahan hati orang Kristian di Makedonia. Mereka “amat miskin,” tetapi merayu agar dapat memberikan sumbangan.​—2 Kor. 8:1-4.

12. Bagaimanakah organisasi kita berusaha menggunakan wang sumbangan dengan sebaik-baiknya?

12 Badan Pimpinan menunjukkan kesetiaan dan kebijaksanaan semasa menggunakan wang organisasi. (Mat. 24:45) Ahli-ahli Badan Pimpinan berdoa dan merancang dengan teliti sebelum membelanjakan wang  yang disumbangkan. (Luk. 14:28) Pada zaman Bible, orang yang bertanggungjawab menjaga sumbangan akan mengambil langkah tertentu untuk memastikan sumbangan itu digunakan hanya untuk tujuan yang ditentukan. Contohnya, semasa Ezra kembali ke Yerusalem, dia membawa emas, perak, dan sumbangan lain daripada raja Persia yang nilainya melebihi 100 juta USD hari ini. Bagi Ezra, semua itu merupakan hadiah untuk Yehuwa, maka dia mengambil langkah-langkah keselamatan supaya barangan itu dilindungi sepanjang perjalanan mereka yang berbahaya. (Ezr. 8:24-34) Setelah mengumpulkan sumbangan untuk membantu rakan seiman di Yudea, Rasul Paulus mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan bahawa orang yang menghantar wang itu “mengendalikan segala sesuatu dengan jujur, bukan sahaja di hadapan Yehuwa, tetapi juga di hadapan manusia.” (Baca 2 Korintus 8:18-21.) Seperti Ezra dan Paulus, organisasi kita mengikut prosedur yang ketat semasa mengendalikan dan menggunakan wang yang disumbangkan.

13. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap perubahan dalam organisasi yang berlaku belakangan ini?

13 Sebuah keluarga akan membuat perubahan untuk mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan mereka, atau untuk menyederhanakan kehidupan dan mengurangkan perbelanjaan agar dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa. Begitu juga dengan organisasi Yehuwa. Belakangan ini, kita ada banyak projek baharu yang mendebarkan, dan ada kalanya hal itu menyebabkan wang yang dibelanjakan melebihi wang yang diterima. Oleh itu, organisasi kita mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan dan mempermudah kerja kita, supaya sumbangan yang anda berikan dengan murah hati dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.

MANFAAT DARIPADA SUMBANGAN ANDA

Sumbangan yang anda berikan membantu kerja sedunia kita (Lihat perenggan 14-16)

14-16. (a) Bagaimanakah sumbangan anda digunakan? (b) Bagaimanakah anda sendiri mendapat faedah daripada pemberian sebegini?

14 Ramai orang yang sudah lama menyembah Yehuwa mengatakan bahawa mereka tidak pernah menerima begitu banyak pemberian rohani seperti sekarang. Kini, kita ada laman web jw.org dan Siaran JW, dan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu disediakan dalam lebih banyak bahasa lagi. Pada tahun 2014/2015, beberapa buah stadium terbesar di 14 buah kota di seluas dunia digunakan bagi Konvensyen Antarabangsa “Utamakan Kerajaan Tuhan!” yang berlangsung selama tiga hari. Semua hadirin berasa amat teruja.

 15 Banyak orang sangat menghargai manfaat yang diterima daripada organisasi Yehuwa. Contohnya, satu pasangan yang berkhidmat di sebuah negara Asia menulis, “Kami ditugaskan ke sebuah kota kecil. Jadi ada kalanya kami berasa terasing dan lupa betapa luasnya lingkungan kerja Yehuwa. Tetapi sebaik sahaja kami menonton program-program di Siaran JW, kami diingatkan bahawa kami ialah anggota persaudaraan sedunia. Saudara saudari tempatan sangat menyukai Siaran JW. Mereka sering berkata bahawa mereka berasa rapat dengan ahli Badan Pimpinan selepas menyaksikan program bulanan itu. Kini mereka lebih berbangga kerana dapat menyertai organisasi Tuhan.”

16 Di serata dunia, terdapat hampir 2,500 buah Dewan Perjumpaan yang sedang dibina atau diubahsuai. Selepas mula menggunakan Dewan Perjumpaan baharu, saudara saudari dari sebuah sidang di Honduras menulis, “Kami sangat gembira kerana dapat menganggotai keluarga besar Yehuwa dan menikmati persaudaraan sedunia kita. Kedua-dua pemberian itu telah memenuhi impian kami untuk memiliki Dewan Perjumpaan sendiri.” Ramai yang juga berasa begitu selepas menerima Bible dan bahan bacaan dalam bahasa sendiri, menerima bantuan bencana, atau melihat hasil daripada kesaksian di bandar raya dan kesaksian awam di kawasan mereka.

17. Bagaimanakah cara organisasi kita beroperasi membuktikan bahawa kita mendapat sokongan Yehuwa?

17 Orang yang bukan Saksi tidak memahami bagaimana kita dapat melakukan semua kerja kita dengan menggunakan wang sumbangan sahaja. Selepas melawat kilang percetakan kita, seorang pegawai tinggi daripada sebuah syarikat besar sangat kagum kerana semua kerja kita dilakukan oleh pekerja sukarela, dibiayai dengan wang sumbangan, dan langsung tidak melibatkan jualan atau kutipan dana. Dia mengatakan bahawa apa yang kita lakukan itu mustahil. Kita memang setuju! Semua ini dapat berlaku hanya dengan adanya sokongan Yehuwa.—Ayb. 42:2.

MEMBERI KEPADA YEHUWA MENDATANGKAN BERKAT

18. (a) Apakah berkat yang kita terima apabila kita memberikan sumbangan untuk menyokong Kerajaan Tuhan? (b) Bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak dan orang baharu untuk berbuat demikian juga?

18 Yehuwa memberi kita penghormatan dan peluang istimewa untuk menyokong kerja agung-Nya yang sedang berlangsung. Dia menjamin bahawa apabila kita memberikan sumbangan untuk menyokong Kerajaan-Nya, kita pasti diberkati. (Mal. 3:10) Yehuwa berjanji bahawa orang yang murah hati akan menjadi makmur. (Baca Amsal 11:24, 25.) Sifat kemurahan hati juga membuat kita gembira, kerana “lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Melalui kata-kata dan tindakan kita, marilah kita mengajar anak-anak dan orang baharu cara untuk menyokong kerja Tuhan dan menikmati berkat yang melimpah.

19. Bagaimanakah rencana ini telah menggalakkan anda?

19 Segala milik kita berasal daripada Yehuwa. Dengan memberi-Nya harta kita, kita menunjukkan kasih dan penghargaan atas semua yang dilakukan-Nya untuk kita. (1 Taw. 29:17) Semasa orang Israel menyumbang kepada pembinaan Rumah Yehuwa, mereka melakukannya “dengan sukarela dan dengan hati yang ikhlas. Mereka melakukannya dengan sukacita.” (1 Taw. 29:9) Semoga kita juga berasa puas dan gembira semasa memberi Yehuwa apa yang dikurniakan-Nya kepada kita.