Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Warisan Rohani Telah Membantu Saya Berkembang Maju

Warisan Rohani Telah Membantu Saya Berkembang Maju

PADA waktu tengah malam, saya dan seorang saudara berdiri di tebing Sungai Niger. Airnya deras, dan lebarnya kira-kira 1.6 km. Ketika itu, Perang Saudara Nigeria sedang berlaku, jadi kami mungkin terbunuh jika kami menyeberangi sungai. Namun, kami harus mengambil risiko itu, dan bukan sekali sahaja. Mengapa? Biar saya ceritakan apa yang terjadi sebelum saya dilahirkan.

Pada tahun 1913, setelah Saudara Russell menyampaikan ceramah pembaptisan, ayah saya John Mills telah dibaptis pada umur 25 tahun di Bandar Raya New York. Tidak lama selepas itu, Ayah pergi ke Trinidad dan kemudiannya berkahwin dengan Constance Farmer, seorang Pelajar Bible yang bersemangat. Di situ, Ayah membantu kawannya William R. Brown untuk menayangkan “Drama-Foto Penciptaan” sehingga Saudara dan Saudari Brown ditugaskan ke Afrika Barat pada tahun 1923. Mak dan Ayah, yang merupakan kaum terurap, terus berkhidmat di Trinidad.

IBU BAPA YANG PENYAYANG

Ibu bapa saya mempunyai sembilan orang anak. Anak sulung mereka dinamakan Rutherford, mengikut nama presiden Watch Tower Bible and Tract Society pada masa itu. Semasa saya lahir pada 30 Disember 1922, saya diberi nama Woodworth, kerana penyunting The Golden Age (kini Sedarlah!) bernama Clayton J. Woodworth. Kami semua diberi pendidikan asas, tetapi Mak dan Ayah selalu menggalakkan kami untuk mengejar matlamat rohani. Mak sangat pandai menjelaskan ayat-ayat Bible, dan Ayah suka menceritakan kisah Bible kepada kami. Dia akan melakonkan kisah itu supaya kami dapat membayangkan apa yang terjadi.

Usaha Mak dan Ayah membawa hasil yang baik. Tiga daripada lima orang anak lelaki mereka telah menghadiri Sekolah Gilead, dan tiga daripada empat orang anak perempuan mereka telah merintis selama bertahun-tahun di Trinidad dan Tobago. Melalui ajaran dan teladan sendiri, Mak dan Ayah seolah-olah menanamkan kami “di Rumah Yehuwa.” Galakan daripada mereka telah membantu kami berkembang maju dan terus berada “di halaman-halaman Rumah Tuhan kita.”​—Mzm. 92:13.

Rumah kami menjadi pusat untuk mengaturkan kerja penyebaran. Para perintis akan berkumpul di situ, dan mereka sering bercerita tentang Saudara  George Young, seorang mubaligh dari Kanada yang telah melawat Trinidad. Mak dan Ayah pula suka bercakap tentang Saudara dan Saudari Brown, yang berada di Afrika Barat ketika itu. Semua ini mendorong saya untuk mula menginjil pada usia 10 tahun.

KEGIATAN MASA AWAL

Mesej dalam majalah kita pada zaman itu cukup pedas. Bahan bacaan kita mendedahkan agama palsu, dunia perniagaan yang tamak, dan ahli politik yang makan rasuah. Oleh itu, pada tahun 1936, pihak gereja memujuk gabenor Trinidad untuk mengharamkan semua bahan bacaan Watch Tower. Kami menyembunyikan bahan bacaan kami dan terus menggunakannya sehingga habis. Kami mengadakan perarakan dengan berjalan kaki dan dengan berbasikal, dan kami menggunakan risalah serta papan tanda. Kami juga bergiat bersama kumpulan kereta bunyi dari pekan Tunapuna, dan menginjil sampai ke kawasan yang terpencil di Trinidad. Semua aktiviti rohani yang menyeronokkan itu menggalakkan saya agar dibaptis semasa berumur 16 tahun.

Kumpulan kereta bunyi di Tunapuna

Warisan rohani keluarga saya dan pengalaman-pengalaman itu membuat saya ingin menjadi mubaligh. Saya masih memiliki keinginan itu semasa saya pergi ke Aruba pada tahun 1944 untuk berkhidmat bersama Saudara Edmund W. Cummings. Kami berjaya menjemput 10 orang ke Peringatan pada tahun 1945, dan pada tahun berikutnya, sidang pertama di pulau itu telah ditubuhkan.

Menikmati kehidupan baharu bersama Oris

Tidak lama kemudian, saya memberikan kesaksian tidak formal kepada rakan sekerja saya Oris Williams. Oris mencuba mempertahankan ajaran yang dipercayainya, tetapi selepas mempelajari Bible, dia memahami ajaran yang benar lalu dibaptis pada 5 Januari 1947. Beberapa lama selepas itu, kami jatuh cinta dan berkahwin. Oris mula merintis pada November 1950. Bersamanya, saya menikmati kehidupan yang baharu.

KERJA YANG MENDEBARKAN DI NIGERIA

Pada tahun 1955, kami dijemput untuk menghadiri kelas ke-27 Sekolah Gilead. Oleh itu, kami berhenti kerja, menjual rumah dan harta lain, dan meninggalkan Aruba. Kami tamat sekolah pada 29 Julai 1956 dan ditugaskan ke Nigeria.

Bersama keluarga Bethel di Lagos, Nigeria, 1957

Mengenang kembali masa itu, Oris berkata, “Kuasa suci Yehuwa dapat membantu kita menyesuaikan diri dengan pahit manis kehidupan mubaligh. Suami saya ingin jadi mubaligh, tetapi saya tidak. Saya lebih suka memiliki rumah sendiri dan membesarkan anak. Namun, fikiran saya berubah apabila saya sedar betapa mendesaknya kerja penyebaran. Semasa kami tamat Sekolah Gilead, saya sudah bersedia untuk menjadi mubaligh. Sewaktu kami menaiki kapal Queen Mary, Saudara Worth Thornton yang bekerja bersama Saudara Knorr telah datang untuk mengucapkan selamat jalan. Apabila dia berkata bahawa kami akan berkhidmat di Bethel Nigeria, saya mengeluh panjang. Tetapi saya mengubah pandangan sendiri dan mula mencintai kerja di Bethel. Saya diberi pelbagai tugas, tetapi saya paling suka bekerja sebagai penyambut tetamu. Saya suka akan orang, dan kerja ini membolehkan saya selalu berjumpa dengan saudara saudari di Nigeria. Semasa mereka tiba di Bethel, ramai antara mereka penat, lapar, haus, dan diliputi habuk. Saya gembira kerana dapat menjaga keperluan mereka. Segala kerja di Bethel merupakan khidmat suci, dan saya berasa puas dan bahagia kerana dapat melakukannya.” Ya, kami dapat berkembang maju tidak kira apa tugasan yang diberi.

Semasa seluruh keluarga kami berkumpul di Trinidad pada tahun 1961, Saudara Brown menceritakan beberapa pengalaman yang hebat dari Afrika, dan saya pula memberitahu mereka tentang pertumbuhan di Nigeria. Kemudian Saudara Brown meletakkan tangannya di atas bahu saya dan berkata kepada Ayah, “Johnny, kamu belum pernah pergi ke Afrika, tapi si Woodworth sudah!” Ayah menyahut, “Worth, teruskan usahamu! Teruskan!” Galakan daripada para veteran rohani ini telah menguatkan azam saya untuk menginjil dengan lebih menyeluruh.

William “Bible” Brown dan isterinya Antonia banyak menggalakkan kami

Pada tahun 1962, saya mendapat latihan tambahan selama 10 bulan di kelas Gilead ke-37. Saudara Wilfred Gooch, penyelia cawangan Nigeria, telah menghadiri kelas ke-38 lalu ditugaskan ke  England. Saya telah menggantikan tugasnya di Nigeria. Seperti yang dilakukan Saudara Brown, saya melawat ke merata-rata tempat di Nigeria untuk mengenali saudara saudari yang tersayang. Berbanding orang di negara maju, mereka serba kekurangan, tetapi sukacita dan kepuasan mereka menunjukkan bahawa kehidupan yang bermakna tidak bergantung pada wang atau harta. Semasa mereka datang ke perjumpaan, mereka selalu bersih, kemas, dan berkelakuan baik. Di konvensyen pula, saudara saudari akan datang beramai-ramai dalam lori dan bolekaja * (bas tempatan). Biasanya, terdapat cogan kata yang menarik pada bas-bas ini, seperti “Lautan besar terbentuk kerana banyak titisan air.”

Cogan kata itu memang benar! Usaha setiap orang diperlukan untuk meraih kejayaan. Saya dan Oris bekerja keras bersama saudara saudari di Nigeria, dan pada tahun 1974, Nigeria telah menjadi negara pertama di luar Amerika Syarikat yang mempunyai 100,000 orang penyiar. Sesungguhnya, kerja di Nigeria telah berkembang maju!

Ketika Perang Saudara Nigeria tercetus dari tahun 1967 hingga 1970, saudara saudari di Biafran di seberang Sungai Niger tidak dapat menghubungi pejabat cawangan selama beberapa bulan. Kami harus menghantar makanan rohani kepada mereka. Jadi, kami berdoa dan percaya kepada Yehuwa, lalu menyeberangi sungai beberapa kali, seperti yang disebut dalam pengenalan rencana ini.

Saya masih ingat betapa bahayanya perjalanan sedemikian. Terdapat askar-askar yang sedia menembak, penyakit yang berbahaya, dan ancaman lain. Melintasi askar-askar kerajaan memang susah, tetapi melintasi tentera pemberontak di Biafran lagi berbahaya. Pernah sekali, saya menaiki kanu di Asaba pada waktu malam untuk menyeberangi Sungai Niger yang deras. Setelah tiba di Onitsha, saya pergi ke Enugu untuk menggalakkan para penatua di situ. Pada masa yang lain, saya pergi ke Aba untuk menguatkan para penyelia. Penduduk di situ tidak dibenarkan memasang lampu pada waktu malam agar tidak dilihat oleh musuh. Semasa di Port Harcourt, kami tergesa-gesa mengakhiri perjumpaan dengan doa apabila tentera kerajaan menembusi pertahanan askar Biafran di luar pekan.

Pertemuan sebegini amat diperlukan pada masa itu. Saudara saudari perlu diingatkan bahawa Yehuwa masih menjaga dan mengasihi mereka, dan mereka juga perlu dinasihati agar tetap neutral dan bersatu. Sepanjang masa peperangan, mereka saling mengasihi tanpa mengira suku kaum, dan mereka tetap bersatu sebagai orang Kristian. Saya berbesar hati kerana dapat mengharungi waktu yang susah itu bersama mereka!

Pada tahun 1969, Perhimpunan Antarabangsa “Kedamaian di Bumi” diadakan di Stadium Yankee, New York. Saudara Milton G. Henschel ialah pengerusi perhimpunan ini, dan saya ialah pembantunya. Latihan yang saya terima ketika itu memang tepat pada masanya, kerana pada tahun 1970, kami perlu mengaturkan Perhimpunan Antarabangsa “Orang yang Diperkenankan Tuhan” di Lagos, Nigeria. Walaupun perang saudara baru sahaja tamat, dengan adanya berkat Yehuwa, perhimpunan ini diadakan dengan lancar dalam 17 buah bahasa. Sebanyak 121,128 orang telah hadir, termasuk Saudara Knorr, Henschel, serta ramai pelawat yang menggunakan penerbangan carter dari Amerika Syarikat dan England. Seramai 3,775 orang telah dibaptis—salah satu angka pembaptisan yang tertinggi sejak Pentakosta. Mengaturkan perhimpunan ini ialah masa yang paling sibuk dalam kehidupan saya. Bilangan penyiar di Nigeria telah berkembang dengan pesat dan luar biasa!

Perhimpunan Antarabangsa “Orang yang Diperkenankan Tuhan” dihadiri 121,128 orang dan diadakan dalam 17 bahasa, termasuk bahasa Ibo

Saya telah berkhidmat di Nigeria untuk lebih daripada 30 tahun. Ada kalanya, saya membuat kerja lawatan dan ditugaskan sebagai penyelia zon di Afrika Barat. Saya berbesar hati untuk meyakinkan para mubaligh bahawa mereka tidak diabaikan, dan mereka sangat menghargai galakan dan keprihatinan yang ditunjukkan secara peribadi. Melalui kerja ini, saya belajar bahawa jika kita ingin membantu orang lain berkembang maju dan menguatkan perpaduan organisasi Yehuwa, kita  mesti mengambil berat terhadap mereka secara individu.

Tanpa bantuan Yehuwa, kami tidak mungkin dapat mengharungi masalah yang disebabkan peperangan dan penyakit. Kami selalu merasai berkat Yehuwa. Oris berkata,

“Kami pernah dijangkiti malaria beberapa kali. Ada sekali, Worth dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar. Doktor kata dia mungkin tidak akan selamat, tetapi syukurlah dia tidak mati! Apabila dia sedar, dia memberitahu jururawat yang menjaganya tentang Kerajaan Tuhan. Kemudian, saya dan Worth telah melawat En. Nwambiwe, jururawat itu, untuk menggalakkannya belajar Bible. Dia telah menerima kebenaran dan kemudiannya menjadi penatua di Aba. Saya juga berjaya membantu ramai orang, termasuk orang Islam yang kuat pegangannya, untuk menjadi penyembah Yehuwa. Kami sangat gembira kerana dapat mengenali dan mengasihi penduduk, budaya, adat, dan bahasa Nigeria.”

Satu lagi pengajaran: Untuk berkembang maju dalam khidmat di negara asing, kami perlu belajar untuk mengasihi saudara saudari biarpun budaya mereka sangat berbeza.

TUGAS-TUGAS BAHARU

Pada tahun 1987, kami ditugaskan sebagai mubaligh di pulau St. Lucia di kawasan Karibia. Tempat itu cantik, dan kami menikmati kerja di situ. Namun, cabaran di St. Lucia sangat berbeza daripada Afrika. Lelaki di Afrika mempunyai banyak isteri, tetapi di sini, lelaki dan wanita tinggal bersama tanpa berkahwin secara sah. Kuasa daripada Firman Tuhan telah membantu ramai pelajar Bible kami untuk mengubah kehidupan mereka.

Saya sangat mengasihi Oris sepanjang 68 tahun perkahwinan kami

Apabila usia kami semakin meningkat, Badan Pimpinan memindahkan kami ke ibu pejabat di Brooklyn, New York, pada tahun 2005. Pada tahun 2015, isteri kesayangan saya telah meninggal. Saya sangat mengasihinya sepanjang 68 tahun perkahwinan kami, dan sampai sekarang, saya bersyukur kepada Yehuwa setiap hari kerana saya dapat hidup bersama Oris. Dia memang teman hidup yang penyayang, yang ada banyak sifat baik. Kami mendapati bahawa untuk hidup bahagia dalam perkahwinan dan sidang, kami perlu menghormati kekepalaan, rela memaafkan, tetap rendah hati, dan menunjukkan buah kuasa suci.

Semasa berasa kecewa atau tawar hati, kami bergantung kepada Yehuwa supaya dapat terus berkhidmat. Apabila fikiran kami dibetulkan, kami melihat bahawa situasinya selalu bertambah baik, dan kami yakin bahawa keadaan pada masa depan akan jauh lebih baik lagi!​—Yes. 60:17; 2 Kor. 13:11.

Yehuwa telah memberkati usaha ibu bapa saya dan rakan seiman lain di Trinidad dan Tobago. Kini, terdapat 9,892 orang penyembah sejati di situ. Di Aruba, ramai orang telah membantu menguatkan sidang saya dahulu, dan sekarang, pulau itu ada 14 buah sidang. Bilangan penyiar di Nigeria pula telah meningkat menjadi 381,398 orang, dan di St. Lucia, terdapat 783 orang Saksi.

Sekarang, saya sudah berumur lebih daripada 90 tahun. Mazmur 92:14 menyatakan bahawa orang baik adalah seperti pokok yang ditanam di Rumah Yehuwa, yang akan “bertumbuh subur bahkan pada masa tua. Mereka akan sentiasa kuat dan segar.” Saya sangat bersyukur kerana dapat menggunakan hidup saya demi Yehuwa. Warisan rohani yang saya terima telah mendorong saya untuk berkhidmat sepenuhnya kepada Yehuwa. Kerana kasih setia-Nya, saya dapat “bertumbuh subur” di halaman Rumah-Nya.​—Mzm. 92:13.

^ per. 18 Lihat Awake! terbitan 8 Mac 1972, ms. 24-26.