Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Tiada Apa-Apa yang Mustahil bagi Yehuwa

Tiada Apa-Apa yang Mustahil bagi Yehuwa

“KEMATIAN akan tiada lagi. Orang mati pun akan hidup semula.” Isteri saya Mairambubu terdengar kata-kata itu semasa menaiki bas. Dia mahu tahu lebih banyak lagi. Sebaik sahaja penumpang bas diturunkan, dia mengejar wanita yang mengucapkan kata-kata tadi. Namanya Apun Mambetsadykova, dan dia seorang Saksi Yehuwa. Sangat berbahaya untuk bercakap dengan Saksi pada masa itu, tetapi apa yang kami belajar melalui Apun telah mengubah hidup kami.

BEKERJA DARI SIANG SAMPAI MALAM

Saya dilahirkan pada tahun 1937 di sebuah ladang pertanian berkelompok (dipanggil “kolkhoz”) berhampiran Tokmok, Kyrgyzstan. Kami berbangsa Kyrgyz dan menggunakan bahasa Kyrgyz. Ibu bapa saya ialah petani, dan mereka bekerja dari siang sampai malam. Petani diberi bekalan makanan secara tetap, tetapi gaji berupa wang hanya dibayar setahun sekali. Mak perlu bersusah payah untuk menjaga saya dan adik perempuan saya. Selepas bersekolah untuk lima tahun sahaja, saya mula bekerja sepenuh masa di kolkhoz.

Banjaran gunung Teskey Ala-Too

Kebanyakan orang di kawasan saya sangat miskin dan perlu bekerja bermati-matian untuk cari makan. Semasa muda, saya jarang fikir tentang tujuan hidup atau masa depan. Maka saya tidak sangka bahawa kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya akan mengubah hidup saya. Cara kebenaran bertapak dan tersebar di Kyrgyzstan sangat menakjubkan. Semuanya bermula di kampung halaman saya, di utara Kyrgyzstan.

CARA KEBENARAN TERSEBAR DI KYRGYZSTAN

Kebenaran tentang Tuhan Yehuwa mula bertapak di Kyrgyzstan pada tahun 1950-an. Namun, untuk berkembang maju, kebenaran itu perlu mengatasi satu fahaman yang sudah berurat berakar: Ideologi Komunis. Pada masa itu, Kyrgyzstan ialah sebahagian daripada Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR). Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh USSR tetap neutral dalam soal politik. (Yoh. 18:36) Maka mereka dianiaya dan dianggap sebagai musuh negara. Tetapi tiada fahaman yang dapat menghalang Firman Tuhan  daripada mencapai hati orang yang jujur. Sepanjang hidup saya, saya telah belajar bahawa “tidak ada apa-apa yang mustahil” bagi Yehuwa.​—Mrk. 10:27.

Emil Yantzen

Penganiayaan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa menyebabkan kerja mereka berkembang di Kyrgyzstan. Mengapa? Banyak musuh USSR dibuang negeri ke Siberia. Apabila mereka dibebaskan, ramai antara mereka datang ke Kyrgyzstan. Begitulah caranya kebenaran bertapak di sini. Salah seorang antara mereka ialah Emil Yantzen, yang lahir di Kyrgyzstan pada tahun 1919. Semasa di kem buruh, dia jumpa dengan Saksi-Saksi dan menerima kebenaran. Selepas pulang pada tahun 1956, Emil menetap berhampiran Sokuluk, di kawasan saya. Sidang di Sokuluk ialah sidang pertama di Kyrgyzstan yang dibentuk pada tahun 1958.

Victor Vinter

Kira-kira setahun kemudian, Victor Vinter berpindah ke Sokuluk. Saudara itu pernah menghadapi banyak penganiayaan. Sebanyak dua kali, dia dipenjarakan selama tiga tahun kerana keneutralannya. Dia juga dipenjarakan untuk 10 tahun dan dibuang negeri selama 5 tahun. Namun, penganiayaan tidak dapat menyekat kemajuan ibadat sejati.

KEBENARAN SEMAKIN DEKAT DENGAN KAMPUNG SAYA

Eduard Varter

Pada tahun 1963, terdapat kira-kira 160 orang Saksi di Kyrgyzstan, yang kebanyakannya berasal dari Jerman, Ukraine, dan Rusia. Salah seorang antara mereka ialah Saudara Eduard Varter yang dibaptis di Jerman pada tahun 1924. Sekitar tahun 1940-an, tentera Nazi menghantarnya ke kem konsentrasi, dan beberapa tahun kemudian, dia dibuang negeri oleh kerajaan USSR. Pada tahun 1961, saudara yang setia itu telah berpindah ke pekan Kant, yang sangat dekat dengan kampung saya.

Elizabeth Fot; Aksamai Sultanalieva

Elizabeth Fot, seorang penyembah Yehuwa yang setia, juga tinggal di Kant. Dia seorang tukang jahit yang sangat mahir, jadi dia mendapat banyak tempahan daripada doktor dan guru. Salah seorang pelanggannya ialah Aksamai Sultanalieva, isteri kepada seorang pegawai di pejabat pendakwa raya. Semasa Aksamai menempah pakaian daripada Elizabeth, dia tanya banyak soalan tentang tujuan hidup dan keadaan orang mati. Elizabeth menggunakan Bible untuk menjawab semua soalannya, dan akhirnya Aksamai menjadi seorang penginjil yang giat.

Nikolai Chimpoesh

Pada masa itu, Nikolai Chimpoesh dari Moldova, dilantik sebagai penyelia litar. Selama kira-kira 30 tahun, dia bukan sahaja melawat sidang-sidang, tetapi juga mengaturkan kerja mencetak dan mengedarkan bahan bacaan kita. Kerjanya diperhatikan pihak berkuasa. Maka Eduard Varter memberinya galakan dan nasihat berikut: “Semasa kamu disoal, beritahulah mereka dengan terus terang bahawa bahan bacaan kita datang dari ibu pejabat di Brooklyn. Pandang mata pegawai KGB dan jawab saja. Kamu tidak perlu takut.”​—Mat. 10:19.

Tidak lama kemudian, Nikolai dipanggil ke ibu pejabat KGB di Kant. Dia menceritakan apa yang berlaku: “Pegawai itu tanya dari mana bahan bacaan kita datang. Saya beritahunya bahan bacaan kita datang dari Brooklyn. Dia terbungkam dan tidak tahu menjawab. Saya dibebaskan dan tidak  pernah dipanggil ke situ lagi.” Saksi-Saksi yang berani telah menyebarkan berita baik dengan cermat di utara Kyrgyzstan, kampung halaman saya. Pada tahun 1980-an, isteri saya Mairambubu menjadi orang pertama dalam keluarga saya yang mendengar kebenaran tentang Yehuwa.

ISTERI SAYA MENDENGAR KEBENARAN

Mairambubu berasal dari daerah Naryn di Kyrgyzstan. Pada Ogos 1974, dia melawat adik perempuan saya. Itulah kali pertama kami bertemu. Saya sukanya pada pandangan pertama, dan kami berkahwin pada hari itu juga.

Apun Mambetsadykova

Pada Januari 1981, semasa Mairambubu menaiki bas ke pasar, dia terdengar perbualan yang disebut di awal rencana. Dia ingin tahu maklumat selanjutnya, jadi dia meminta nama dan alamat wanita itu. Wanita itu memberitahu isteri saya namanya Apun, tetapi dia berhati-hati kerana kegiatan Saksi masih dilarang pada tahun 1980-an. Jadi Apun mencatatkan alamat kami. Isteri saya sangat teruja semasa pulang.

“Saya dengar berita menarik,” kata Mairambubu. “Seorang wanita kata tidak lama lagi manusia tidak akan mati. Binatang liar pun akan jadi jinak.” Bagi saya, itu seperti cerita dongeng, jadi saya kata, “Kita tunggu dia datang dan jelaskan lebih lanjut.”

Apun melawat kami tiga bulan kemudian. Semasa kunjungan-kunjungan berikutnya, kami berpeluang jumpa beberapa orang Saksi Kyrgyz yang pertama. Saudari-saudari itu menggunakan buku From Paradise Lost to Paradise Regained * untuk mengajar kami kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya untuk manusia. Ketika itu, hanya ada senaskhah buku itu di Tokmok, jadi kami telah menyalinnya dengan tangan.

Salah satu hal pertama yang kami belajar ialah nubuat di Kejadian 3:15, yang akan ditunaikan oleh Yesus selaku Raja Kerajaan Tuhan. Kami fikir: Kami harus ikut saudara saudari untuk menyebarkan berita yang penting ini! (Mat. 24:14) Tidak lama kemudian, kebenaran Bible mula mengubah hidup kami.

MENGHADIRI PERJUMPAAN DAN DIBAPTIS SEMASA LARANGAN

Seorang saudara di Tokmok menjemput kami ke majlis perkahwinan. Saya dan isteri nampak kelakuan Saksi sangat berbeza. Kenduri itu tiada minuman keras dan berjalan dengan teratur. Hal  itu jauh beza daripada perkahwinan yang pernah kami hadiri, yang biasanya penuh dengan tetamu yang mabuk, berkelakuan buruk, dan yang menggunakan kata-kata kesat.

Kami juga menghadiri perjumpaan yang diadakan oleh sidang di Tokmok. Jika cuaca baik, perjumpaan akan berlangsung di hutan. Kami tahu bahawa polis mengawasi kami dengan ketat, jadi ada saudara yang ditugaskan sebagai pengawal. Pada musim sejuk pula, kami akan berkumpul di rumah. Ada beberapa kali, polis datang dan tanya apa yang sedang kami buat. Semasa Mairambubu dan saya dibaptis pada Julai 1982 di Sungai Chüy, kami perlu berjaga-jaga. (Mat. 10:16) Saudara saudari datang dalam kelompok kecil dan berhimpun di hutan. Selepas menyanyikan lagu dan mendengar ceramah, kami pun dibaptis.

PELUANG UNTUK MELUASKAN KHIDMAT

Pada tahun 1987, saya diminta untuk melawat seorang yang berminat di pekan Balykchy. Untuk pergi ke situ, kami perlu menaiki kereta api selama empat jam. Selepas melawat ke Balykchy beberapa kali, kami mendapati ada banyak orang di pekan itu yang berminat. Itulah peluang kami untuk meluaskan khidmat.

Saya dan Mairambubu sering pergi ke Balykchy. Kami tinggal di situ pada hujung minggu, keluar menginjil, dan mengadakan perjumpaan. Permintaan untuk bahan bacaan kita naik mendadak. Kami akan membawa bahan bacaan dari Tokmok dalam sebuah mishok, iaitu guni untuk mengangkut kentang. Tetapi dua guni bahan bacaan setiap bulan pun tidak cukup. Semasa menaiki kereta api, kami juga dapat memberikan kesaksian kepada penumpang lain.

Lapan tahun selepas kami mula menginjil di Balykchy, sebuah sidang ditubuhkan di situ pada tahun 1995. Selama ini, kami perlu banyak wang untuk perjalanan antara Tokmok dan Balykchy. Memandangkan kami tidak kaya, bagaimanakah kami melakukannya? Seorang saudara selalu memberi kami duit untuk menutupi perbelanjaan kami. Ya, Yehuwa nampak keinginan kami untuk meluaskan khidmat, dan Dia telah “membuka tingkap-tingkap di syurga” untuk memberkati kami. (Mal. 3:10) Memang tiada apa-apa yang mustahil bagi Yehuwa!

SIBUK MENJAGA KELUARGA DAN MENGINJIL

Pada tahun 1992, saya dilantik menjadi penatua Kyrgyz yang pertama di Kyrgyzstan. Di sidang kami, terdapat peluang khidmat yang baharu: Mempelajari Bible dengan ramai orang muda Kyrgyz dari institusi pendidikan di Tokmok. Salah seorang pemuda itu kini ahli Jawatankuasa Cawangan, dan dua orang lagi ialah perintis khas. Kami juga berusaha membantu orang lain di perjumpaan. Pada awal tahun 1990-an, bahan bacaan dan perjumpaan kami semuanya dalam bahasa Rusia. Tetapi oleh sebab semakin ramai ahli sidang berbahasa Kyrgyz, saya menjadi jurubahasa supaya mereka dapat memahami kebenaran dengan lebih mudah.

Bersama isteri dan lapan orang anak kami pada tahun 1989

Mairambubu dan saya juga sibuk menjaga keluarga kami yang kian besar. Kami membawa anak-anak menghadiri perjumpaan dan menginjil. Semasa anak perempuan kami Gulsayra hanya  berusia 12 tahun, dia suka bercakap tentang Bible kepada orang yang lalu-lalang. Anak-anak kami juga suka menghafal ayat Bible. Sampai hari ini, anak cucu kami sangat aktif dalam sidang. Antara 9 orang anak dan 11 orang cucu yang masih hidup, terdapat 16 orang yang menyembah Yehuwa atau menghadiri perjumpaan bersama ibu bapa mereka.

PERUBAHAN YANG MENAKJUBKAN

Saudara saudari yang menginjil di kawasan kami pada tahun 1950-an pasti kagum melihat perubahan yang berlaku di sini. Sejak tahun 1990-an, kami lebih bebas untuk menginjil dan berkumpul beramai-ramai.

Menginjil bersama isteri saya

Pada tahun 1991, saya dan isteri menghadiri konvensyen buat kali pertama di Alma-Ata (kini Almaty), Kazakhstan. Pada tahun 1993, saudara saudari di Kyrgyzstan mengadakan konvensyen di Stadium Spartak di Bishkek untuk julung kali. Para penyiar telah menggunakan masa satu minggu untuk membersihkan stadium, dan pengarah stadium begitu kagum sehingga membenarkan kami menggunakan tempat itu tanpa bayaran.

Tahun 1994 juga merupakan detik bersejarah kerana bahan bacaan kita mula dicetak dalam bahasa Kyrgyz. Sekarang kami ada pasukan terjemahan yang tetap di pejabat cawangan di Bishkek. Pada tahun 1998, kerja Saksi diiktiraf di sisi undang-undang Kyrgyzstan. Kini, kami ada lebih daripada 5,000 orang penyiar daripada 83 buah sidang dan 25 kumpulan dalam Bahasa Isyarat Rusia, bahasa Cina, Inggeris, Kyrgyz, Rusia, Turki, Uygur, dan Uzbek. Saudara saudari daripada pelbagai latar belakang semuanya menyembah Yehuwa dengan bersatu padu. Semua perubahan yang hebat ini memang disebabkan oleh Yehuwa.

Yehuwa juga mengubah hidup saya. Saya membesar dalam keluarga miskin dan hanya bersekolah selama lima tahun. Namun Yehuwa telah membantu saya menjadi penatua dan membolehkan saya mengajarkan kebenaran Bible kepada orang yang lebih terpelajar daripada saya. Yehuwa dapat menyebabkan perkara yang luar biasa terjadi. Pengalaman hidup saya mendorong saya agar terus memberikan kesaksian tentang Yehuwa. Bagi-Nya, “tidak ada apa-apa yang mustahil.”​—Mat. 19:26.

^ per. 21 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi tidak dicetakkan lagi.