PADA Mei 1910, sekumpulan penumpang berdiri di atas dek kapal wap sambil melihat bukit-bukit hijau yang bermandikan sinar pagi. Di hadapan mereka, kelihatan dua buah kapal besar yang sedang dibina, iaitu Titanic dan Olympic. * Para penumpang sedang memasuki Belfast Lough, sebuah teluk di Ireland. Salah seorang antara mereka ialah Charles T. Russell. Dia bakal melawat Ireland buat kali kelima dan akan disambut oleh kira-kira 10 orang Pelajar Bible di pelabuhan.

Sekitar 20 tahun sebelum itu, Saudara Russell memutuskan untuk mengadakan siri jelajah di luar Amerika untuk menyebarkan berita baik di serata dunia. Jelajahnya yang pertama bermula di Ireland pada Julai 1891. Semasa menaiki kapal City of Chicago dan melihat pantai Queenstown yang makin mendekat, dia mungkin teringat akan gambaran ibu bapanya tentang negara asal mereka. Pekan-pekan dan perkampungan indah yang terbentang di depan mata telah mengingatkan Russell dan rakan-rakannya bahawa kawasan itu “sudah menguning dan siap untuk dituai.”

Saudara Russell telah melawat Ireland sebanyak tujuh kali. Kunjungannya yang pertama telah membangkitkan minat ramai orang, sehingga ratusan dan bahkan ribuan orang datang untuk mendengar ucapannya semasa beberapa kunjungan yang seterusnya. Semasa lawatannya yang kedua pada Mei 1903, akhbar tempatan mengumumkan perjumpaan umum yang akan diadakan di Belfast dan Dublin. Russell mengatakan bahawa “hadirin sangat berminat” tentang topik “Janji yang Disertai Sumpah,” iaitu tentang iman Abraham dan berkat pada masa depan.

Sambutan baik di Ireland membuat Russell melawat negara itu lagi semasa jelajahnya yang ketiga di Eropah. Lima orang saudara menyambutnya semasa dia turun dari kapal di Belfast pada April 1908. Pada sebelah petang hari yang sama, kira-kira “300 orang yang berfikiran terbuka” datang untuk mendengar ceramah “Kejatuhan Empayar Syaitan.” Salah seorang hadirin mula membantah, tetapi dia terbungkam setelah mendengar penjelasan yang mahir berdasarkan Bible. Di Dublin pula, En. O’Connor, setiausaha YMCA, ingin membuat hadirin yang berjumlah lebih daripada 1,000 orang membantah Pelajar Bible. Apakah yang berlaku kemudian?

Mari kita menerobos terowong masa ke zaman itu dan membayangkan keadaannya. Seorang lelaki yang ingin cari kebenaran Bible melihat siaran akhbar The Irish Times tentang sebuah ceramah umum. Setelah bersusah payah mencari tempat duduk di dalam auditorium yang sesak, dia memasang telinga semasa penceramah yang berjanggut putih dan memakai kot panjang hitam itu  berucap. Sambil mundar-mandir di atas pentas, penceramah itu mengupas ayat demi ayat dan menjelaskan kebenaran Bible. Biarpun tiada pembesar suara, ucapannya bergema di setiap sudut dewan dan menawan perhatian hadirin selama satu jam setengah. Kemudian, semasa sesi soal jawab, hadirin memberikan tepukan yang gemuruh ketika mendengar penceramah menggunakan Bible untuk menjawab O’Connor dan kawan-kawannya. Apabila hadirin bersurai, lelaki yang berminat itu menghampiri saudara-saudara untuk tahu lebih lanjut lagi. Menurut kisah ramai hadirin, itulah cara banyak orang belajar kebenaran.

Pada Mei 1909, Saudara Russell bertolak dari New York untuk melawat Ireland buat kali keempat. Saudara Huntsinger, seorang pencatat, menaiki kapal Mauretania bersama Russell supaya waktu pelayaran dapat digunakan untuk menulis rencana-rencana Watch Tower. Ceramah Russell di Belfast dihadiri 450 orang, dan 100 orang antara mereka terpaksa berdiri kerana ruang yang terhad.

Saudara C. T. Russell di atas kapal Lusitania

Selepas ceramah pada lawatan kelima, seorang ahli teologi yang terkenal, yang hadir bersama O’Connor telah mengajukan soalannya lalu diberi jawapan daripada Bible. Hadirin sangat menikmati perbincangan itu. Keesokan harinya, Russell dan rakannya pergi ke Liverpool dan pulang ke New York dengan menaiki kapal Lusitania yang terkenal. *

Pengumuman dalam akhbar The Irish Times tentang sebuah ceramah umum, 20 Mei 1910

Pengumuman tentang ceramah umum juga dibuat semasa lawatan Russell yang keenam dan ketujuh pada tahun 1911. Semasa musim bunga, 20 Pelajar Bible di Belfast dan 2,000 hadirin lain telah mendengar ceramah “Dunia Akhirat.” Kemudian O’Connor dan seorang paderi telah datang ke ceramah di Dublin untuk tanya soalan, tetapi jawapan yang diberikan daripada Bible telah mengundang tepukan yang gemuruh. Pada musim luruh tahun yang sama, ceramah umum telah disampaikan di pekan-pekan lain, dan ramai telah menghadirinya. O’Connor dan 100 orang lain cuba mengganggu perjumpaan di Dublin lagi, tetapi hadirin memberikan sokongan penuh kepada penceramah.

Meskipun Russell menyampaikan kebanyakan ceramah umum pada masa itu, dia sedar bahawa “sesiapa pun dapat digunakan,” kerana “ini bukan kerja manusia, melainkan kerja Tuhan.” Pengumuman tentang ceramah umum telah membuka banyak peluang untuk menyampaikan kebenaran Bible. Hasilnya, berita baik telah tersebar, dan sidang-sidang mula terbentuk di banyak bandar di seluruh Ireland.​—Dari khazanah rohani kita di Britain.

^ per. 3 Dalam dua tahun, Titanic telah karam.

^ per. 9 Kapal Lusitania tenggelam akibat ditembak torpedo berhampiran pantai selatan Ireland pada Mei 1915.