“Apa yang Aku firmankan pasti Aku laksanakan, apa yang Aku rancangkan pasti Aku lakukan.”YES. 46:11.

LAGU: 147, 149

1, 2. (a) Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa? (b) Apakah jaminan yang terdapat di Yesaya 46:10, 11 dan 55:11?

AYAT pertama dalam Bible sangat ringkas tetapi cukup bermakna: ‘Pada mulanya, Tuhan menciptakan alam semesta.’ (Kej. 1:1) Kita memang tidak dapat memahami banyak ciptaan Tuhan, seperti cahaya, ruang, dan graviti, dengan sepenuhnya. Kita hanya dapat melihat sebahagian kecil daripada alam semesta. (Pkh. 3:11) Namun, Yehuwa telah menyingkapkan tujuan-Nya bagi bumi dan manusia kepada kita. Bumi ialah tempat tinggal bagi lelaki dan wanita yang diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kej. 1:26) Mereka akan menjadi anak-anak-Nya, dan Yehuwa akan menjadi Bapa mereka.

2 Seperti yang dijelaskan dalam Kejadian bab tiga, tujuan Yehuwa telah dicabar. (Kej. 3:1-7) Namun, tiada apa-apa cabaran yang mampu menghalang atau menggagalkan tujuan Yehuwa. (Yes. 46:10, 11; 55:11) Ya, tujuan asal Yehuwa pasti akan terlaksana tepat pada waktunya!

3. (a) Apakah beberapa ajaran asas yang membantu kita memahami mesej Bible? (b) Mengapakah kita perlu mengkajinya sekarang? (c) Apakah soalan-soalan yang akan dikaji?

3 Kita sudah mengenali kebenaran Bible yang asas tentang  tujuan Tuhan bagi bumi dan peranan utama Yesus Kristus dalam pelaksanaan tujuan Tuhan. Kita mungkin sudah mempelajari semua itu semasa mula belajar Bible, tetapi kita juga ingin membantu orang yang berhati jujur untuk mempelajarinya. Kini, kita sedang berusaha menjemput ramai orang untuk menghadiri Peringatan kematian Kristus. (Luk. 22:19, 20) Mereka yang hadir akan belajar banyak tentang tujuan Tuhan. Maka, sebelum kita menghadiri Peringatan, marilah kita merenungkan soalan-soalan yang dapat membangkitkan minat orang terhadap acara penting ini. Kita akan mengkaji tiga soalan ini: Apakah tujuan asal Tuhan bagi bumi dan manusia? Apakah masalah yang timbul? Mengapakah korban tebusan Yesus merupakan kunci yang membuka pintu bagi pelaksanaan tujuan Tuhan?

APAKAH TUJUAN ASAL PENCIPTA?

4. Bagaimanakah ciptaan menyatakan kemuliaan Yehuwa?

4 Yehuwa ialah Pencipta yang terulung. Semua ciptaan-Nya sempurna sekali. (Kej. 1:31; Yer. 10:12) Semasa memerhatikan keindahan dan ketertiban ciptaan Yehuwa, kita belajar bahawa segala ciptaan-Nya, tidak kira besar atau kecil, mempunyai tujuan yang berguna. Semasa kita melihat sel manusia yang rumit, bayi yang comel, dan langit senja yang indah, tidakkah kita berasa kagum? Kita mempunyai perasaan sedemikian kerana kita dikurniai kebolehan untuk menikmati segala yang indah.Baca Mazmur 19:2; 104:24.

5. Bagaimanakah Yehuwa memastikan semua ciptaan-Nya berfungsi dengan teratur?

5 Yehuwa juga menetapkan hukum alam dan hukum moral supaya semua ciptaan-Nya berfungsi dengan teratur mengikut tujuan-Nya. (Mzm. 19:8-10) Yehuwa telah menentukan tempat dan peranan bagi setiap ciptaan-Nya, dan Dia juga menyatakan hubungan yang harus wujud antara semua ciptaan-Nya. Contohnya, hukum graviti mengawal pasang surut laut dan memastikan udara tidak terlepas dari bumi. Tanpa graviti, kehidupan tidak dapat wujud di bumi. Kegiatan semua ciptaan, termasuk manusia, tertakluk kepada hukum itu. Jelaslah, Tuhan mempunyai tujuan bagi bumi dan manusia. Semasa menginjil, cubalah bantu orang mengenali Tuhan yang menciptakan hukum-hukum sebegini.Why. 4:11.

6, 7. Apakah sesetengah kurniaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Adam dan Hawa?

6 Tujuan asal Yehuwa adalah supaya manusia hidup kekal di bumi. (Kej. 1:28; Mzm. 37:29) Dia mengurniai Adam dan Hawa pelbagai kebolehan yang istimewa supaya mereka dapat menikmati kehidupan. (Baca Yakobus 1:17.) Yehuwa memberi mereka kebebasan memilih, akal fikiran, serta keupayaan untuk menunjukkan kasih dan menjalin persahabatan. Selain itu, Dia mengurniai mereka deria rasa, bau, sentuhan, penglihatan, dan pendengaran, supaya mereka dapat menikmati bumi Firdaus yang indah. Pencipta kita berkomunikasi dengan Adam dan mengajarnya cara menunjukkan kepatuhan. Adam juga mempelajari cara untuk memenuhi keperluan sendiri dan menjaga binatang dan tanah. (Kej. 2:15-17, 19, 20) Pasangan manusia pertama mempunyai potensi yang tidak terbatas untuk menimba pengetahuan dan melakukan kerja yang memuaskan.

7 Apakah yang juga terangkum dalam tujuan Tuhan? Yehuwa mengurniai Adam dan Hawa kebolehan untuk melahirkan anak-anak yang sempurna. Yehuwa mahu  anak-anak mereka beranak cucu lagi sehingga manusia memenuhi seluruh bumi. Dia menghendaki agar Adam, Hawa, dan semua keturunan mereka yang bakal bergelar ibu bapa, untuk mengasihi anak-anak mereka, sebagaimana Yehuwa mengasihi Adam dan Hawa, iaitu manusia pertama yang menjadi anak-Nya. Bumi dan segala yang tersedia di bumi, akan menjadi kediaman kekal manusia.Mzm. 115:16.

APAKAH MASALAH YANG TIMBUL?

8. Apakah tujuan perintah yang diberikan oleh Tuhan di Kejadian 2:16, 17?

8 Tujuan Tuhan tidak segera tercapai. Apakah masalah yang timbul? Yehuwa memberi Adam dan Hawa satu perintah yang mudah. Jika mereka mematuhinya, hal itu menunjukkan bahawa mereka menghormati batasan yang ditetapkan oleh Tuhan. Yehuwa berfirman, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati.” (Kej. 2:16, 17) Perintah itu tidak sukar difahami, dan tidak menyusahkan kerana mereka mempunyai makanan yang sangat mencukupi.

9, 10. (a) Bagaimanakah Syaitan mempengaruhi fikiran Adam dan Hawa terhadap Yehuwa? (b) Apakah keputusan mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Syaitan Si Iblis menggunakan seekor ular untuk menggoda Hawa agar dia mengingkari Yehuwa. (Baca Kejadian 3:1-5; Why. 12:9) Syaitan cuba membuat Adam dan Hawa berasa bahawa Tuhan mengongkong kebebasan mereka kerana melarang mereka “makan buah daripada sebarang pokok” di Taman Eden. Kemudian, dia berdusta dengan berkata, “Kamu tidak akan mati. Tuhan tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka.” Syaitan memberitahu Hawa bahawa dia tidak perlu mengikut perintah Tuhan, dan bahawa Yehuwa melarang mereka makan buah itu kerana Dia tidak mahu mereka menjadi bijak. Akhirnya, Syaitan berjanji, “Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”

10 Adam dan Hawa perlu memilih sama ada mereka akan mendengar cakap Syaitan atau Yehuwa. Sedihnya, mereka memilih untuk mengingkari Yehuwa dan menyokong pemberontakan Syaitan. Oleh sebab mereka menolak Yehuwa sebagai Bapa, mereka tidak lagi berada di bawah jagaan-Nya.Kej. 3:6-13.

11. Mengapakah Yehuwa mesti mengambil tindakan terhadap manusia yang memberontak?

11 Oleh sebab Adam dan Hawa memberontak terhadap Yehuwa, mereka tidak lagi sempurna. Mereka tidak dapat menjadi sahabat Yehuwa lagi kerana Dia “terlalu suci untuk memandang kejahatan,” dan Dia tidak “tahan melihat orang yang khianat dan jahat.” (Hab. 1:13) Jika Tuhan tidak mengambil tindakan terhadap para pemberontak di Taman Eden, kesejahteraan semua makhluk di syurga dan di bumi akan terancam. Lebih teruk lagi, Yehuwa akan dipandang sebagai Tuhan yang tidak mengotakan janji-Nya. Tetapi Yehuwa setia dan tetap berpegang pada piawaian-Nya. (Mzm. 119:142) Oleh itu, biarpun Adam dan Hawa mempunyai kebebasan untuk memilih, mereka harus menanggung akibat perbuatan sendiri. Oleh sebab mereka memberontak, mereka akhirnya mati dan kembali ke tanah.Kej. 3:19.

12. Apakah yang terjadi kepada keturunan Adam?

12 Setelah Adam dan Hawa makan buah  larangan itu, mereka tidak lagi dianggap sebagai ahli keluarga Tuhan. Mereka diusir dari Taman Eden dan tidak lagi dibenarkan kembali. (Kej. 3:23, 24) Tindakan Yehuwa memang adil kerana mereka harus menanggung akibat keputusan sendiri. (Baca Ulangan 32:4, 5.) Setelah menjadi tidak sempurna, mereka tidak dapat mencerminkan sifat-sifat Yehuwa dengan sempurna lagi. Adam bukan sahaja kehilangan masa depan yang cerah, malah dia mewariskan dosa, ketidaksempurnaan, dan kematian kepada semua keturunannya. (Rm. 5:12) Akibatnya, keturunan Adam juga kehilangan peluang untuk hidup kekal. Adam dan Hawa tidak dapat melahirkan anak yang sempurna, begitu juga dengan semua keturunan mereka. Setelah membuat Adam dan Hawa meninggalkan Yehuwa, Syaitan Si Iblis terus menyesatkan manusia sehingga hari ini.Yoh. 8:44.

TEBUSAN MEMBAIKI HUBUNGAN YANG RENGGANG

13. Apakah yang diinginkan Yehuwa daripada umat manusia?

13 Namun, Tuhan tetap mengasihi manusia. Walaupun Adam dan Hawa memberontak, Yehuwa ingin manusia menikmati hubungan yang baik dengan-Nya. Dia tidak ingin melihat sesiapa pun mati. (2 Ptr. 3:9) Maka sejurus selepas pemberontakan di Eden tercetus, Tuhan telah mengaturkan supaya manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Tetapi bagaimanakah Tuhan melakukannya tanpa mengetepikan piawaian-Nya yang adil?

14. (a) Menurut Yohanes 3:16, bagaimanakah Tuhan menyelamatkan manusia? (b) Apakah soalan yang dapat kita bincangkan dengan orang yang berminat?

14 Baca Yohanes 3:16. Ramai orang yang kita jemput ke Peringatan mengetahui ayat ini. Tetapi persoalannya, bagaimanakah korban Yesus membolehkan kita menikmati kehidupan kekal? Semasa kita menyertai kempen Peringatan, menghadiri malam Peringatan, dan mengunjungi orang yang menghadiri Peringatan, kita berpeluang membantu mereka memahami jawapan kepada soalan itu. Apabila orang yang mencari kebenaran lebih memahami bagaimana kebijaksanaan dan kasih Yehuwa diserlahkan melalui tebusan, mereka tentu berasa sangat kagum. Apakah isi-isi penting tentang tebusan yang dapat kita serlahkan?

15. Bagaimanakah Yesus berbeza daripada Adam?

15 Yehuwa menyediakan seorang manusia yang sempurna sebagai tebusan. Orang yang sempurna itu perlu tetap setia kepada Yehuwa dan rela mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan umat manusia. (Rm. 5:17-19) Maka Yehuwa telah memindahkan nyawa Anak-Nya dari syurga ke bumi dan menjadikannya seorang manusia yang sempurna seperti Adam. (Yoh. 1:14) Namun tidak seperti Adam, Yesus berpegang pada piawaian Yehuwa bagi manusia yang sempurna. Walaupun mengalami ujian yang berat sekali, Yesus tidak pernah berdosa atau melanggar hukum Tuhan.

16. Mengapakah korban tebusan merupakan kurniaan yang begitu bernilai?

16 Sebagai seorang manusia yang sempurna, Yesus dapat menyelamatkan manusia daripada dosa dan maut dengan mengorbankan nyawanya demi mereka. Yesus ialah manusia yang sempurna seperti Adam, dan dia taat dan setia sepenuhnya kepada Tuhan. (1 Tim. 2:6) Yesus menjadi korban tebusan yang membuka jalan “bagi banyak orang,” supaya lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang setia dapat hidup selama-lamanya. (Mat. 20:28) Sesungguhnya, tebusan  Yesus bagaikan kunci yang membuka pintu supaya tujuan asal Tuhan terlaksana.2 Kor. 1:19, 20.

YEHUWA MEMBUKA PINTU SUPAYA KITA KEMBALI KEPADA-NYA

17. Apakah berkat yang kita raih melalui tebusan?

17 Yehuwa telah membuat pengorbanan yang sangat besar untuk menyediakan tebusan. (1 Ptr. 1:19) Dia begitu menyayangi manusia sehingga sanggup membiarkan Anak tunggal-Nya mati demi kita. (1 Yoh. 4:9, 10) Dengan mengorbankan dirinya, Yesus seolah-olah menggantikan Adam sebagai bapa kita. (1 Kor. 15:45) Namun, Yesus bukan sahaja memberi kita kehidupan; dia juga membuka peluang agar kita dapat menjadi ahli keluarga Tuhan semula. Dengan adanya korban Yesus, Yehuwa dapat menerima semula manusia ke dalam keluarga-Nya tanpa mengabaikan prinsip-Nya yang adil. Tidakkah hati kita tersentuh semasa memikirkan bahawa semua manusia yang setia akan menjadi sempurna suatu hari nanti? Pada masa itu, anggota keluarga Tuhan di syurga dan di bumi akan bersatu sepenuhnya, dan kita semua akan menjadi anak-anak Tuhan.Rm. 8:21.

18. Bilakah Yehuwa akan “menjadi satu-satunya Pemerintah ke atas semuanya”?

18 Pemberontakan Syaitan tidak dapat menghalang Yehuwa daripada terus mengasihi umat manusia, dan tidak dapat menghalang manusia yang tidak sempurna daripada tetap setia kepada Yehuwa. Melalui tebusan, Yehuwa akan membantu semua anak-Nya untuk memenuhi piawaian-Nya yang sempurna. Bayangkanlah keadaannya apabila “setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberikan kehidupan kekal!” (Yoh. 6:40) Tuhan kita yang maha pengasih dan bijaksana akan melaksanakan tujuan asal-Nya dan menjadikan umat manusia sempurna lagi. Pada masa itu, Yehuwa, Bapa kita, akan “menjadi satu-satunya Pemerintah ke atas semuanya.”1 Kor. 15:28.

19. (a) Rasa syukur untuk tebusan harus mendorong kita untuk melakukan apa? (Lihat kotak “ Carilah Orang yang Layak.”) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana yang seterusnya?

19 Rasa syukur untuk tebusan harus mendorong kita agar membantu orang lain memanfaatkan kurniaan yang tidak ternilai itu. Orang perlu tahu bahawa melalui tebusan, Yehuwa memberi kita peluang untuk hidup selama-lamanya. Namun, tebusan Yesus juga telah menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh Syaitan di Taman Eden. Bagaimana? Kita akan membincangkan jawapannya dalam rencana seterusnya.