Adakah semua nenek moyang Mesias memiliki hak sebagai anak sulung?

Sesetengah ulasan kami dahulu menyokong pernyataan itu, dan nampaknya hal itu selaras dengan Ibrani 12:16. Ayat itu mengatakan bahawa Esau “tidak menghargai hal-hal yang suci” dan “melepaskan haknya sebagai anak sulung [kepada Yakub] hanya untuk mendapatkan sedikit makanan.” Jadi, Yakub nampaknya telah menjadi nenek moyang Mesias semasa dia mendapat ‘hak sebagai anak sulung.’​—Mat. 1:2, 16; Luk. 3:23, 34.

Namun, catatan Bible menunjukkan bahawa seseorang yang menjadi nenek moyang Mesias tidak semestinya merupakan anak sulung.Perhatikan beberapa bukti:

Anak sulung Yakub (Israel) yang dilahirkan Lea ialah Ruben. Anak sulung Rahel, isteri kesayangan Yakub, ialah Yusuf. Semasa Ruben berdosa, hak sebagai anak sulung diberikan kepada Yusuf. (Kej. 29:31-35; 30:22-25; 35:22-26; 49:22-26; 1 Taw. 5:1, 2) Namun, Ruben dan Yusuf bukanlah nenek moyang Mesias. Sebaliknya, Mesias ialah keturunan Yehuda, anak keempat Yakub yang dilahirkan oleh Lea.​—Kej. 49:10.

 Lukas 3:32 menyebut tentang lima orang lelaki dalam salasilah Mesias. Mereka semua nampaknya ialah anak sulung. Boas ialah bapa Obed, dan Obed ialah bapa Isai.​—Rut 4:17-22; 1 Taw. 2:10-12.

Namun, Daud anak Isai bukanlah anak sulung. Dia anak bongsu dan mempunyai tujuh orang abang. Meskipun begitu, dialah yang menjadi nenek moyang Mesias. (1 Sam. 16:10, 11; 17:12; Mat. 1:5, 6) Salomo juga bukan anak sulung Daud, tetapi dia telah menjadi nenek moyang Mesias.​—2 Sam. 3:2-5.

Hal itu tidak bermaksud kedudukan sebagai anak sulung tidak penting. Anak sulung dihormati dan biasanya menjadi ketua keluarga yang seterusnya, dan dialah yang akan mewarisi bahagian harta dua kali ganda.​—Kej. 43:33; Ul. 21:17; Yos. 17:1.

Meskipun demikian, hak anak sulung boleh diberikan kepada orang lain. Abraham memberikan hak anak sulung kepada Ishak dan bukannya Ismael. (Kej. 21:14-21; 22:2) Seperti yang dinyatakan tadi, hak anak sulung juga diberikan kepada Yusuf dan bukannya Ruben.

Perhatikan lagi ayat di Ibrani 12:16, “Berwaspadalah supaya tidak ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral atau sesiapa pun yang tidak menghargai hal-hal yang suci seperti Esau. Dia telah melepaskan haknya sebagai anak sulung hanya untuk mendapatkan sedikit makanan.” Apakah maksudnya?

Rasul Paulus tidak membincangkan salasilah Mesias dalam ayat itu. Sebelum itu, dia menggalakkan orang Kristian untuk ‘membuat jalan yang lurus bagi kaki mereka’ supaya mereka menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral dan dapat “menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (Ibr. 12:12-16) Jika tidak, mereka akan menjadi seperti Esau yang “tidak menghargai hal-hal yang suci” lalu terjerat oleh hal duniawi.

Barangkali, Esau berpeluang mempersembahkan korban dari masa ke masa bagi pihak keluarganya. (Kej. 8:20, 21; 12:7, 8; Ayb. 1:4, 5) Namun lelaki yang berfikiran duniawi itu sanggup membuang haknya sebagai anak sulung semata-mata demi semangkuk makanan. Barangkali dia ingin mengelakkan penindasan yang akan berlaku kepada keturunan Abraham. (Kej. 15:13) Esau kemudiannya mengahwini dua orang gadis kafir. Perbuatannya melukai hati ibu bapanya dan menunjukkan bahawa dia lebih mementingkan nafsu sendiri berbanding hal-hal yang suci. (Kej. 26:34, 35) Dia sangat berbeza daripada Yakub, yang memastikan agar pasangan hidupnya merupakan penyembah Yehuwa!​—Kej. 28:6, 7; 29:10-12, 18.

Maka, apakah yang dapat kita simpulkan mengenai nenek moyang Mesias? Anak sulung dalam sesebuah keluarga ada kalanya dipilih sebagai nenek moyang Mesias, tetapi bukan selalu. Orang Yahudi menyedari dan menerima hal itu, kerana mereka mengakui bahawa Kristus ialah keturunan Daud, anak bongsu Isai.​—Mat. 22:42.