Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Kami Menemui “Mutiara yang Bermutu Tinggi”

Kami Menemui “Mutiara yang Bermutu Tinggi”

WINSTON dan Pamela (Pam) Payne berkhidmat di pejabat cawangan Australasia. Pasangan yang bahagia ini pernah mengharungi banyak cabaran hidup, termasuk membiasakan diri dengan budaya asing dan mengalami keguguran bayi. Meskipun begitu, mereka tetap mengasihi Yehuwa dan umat-Nya, dan mereka terus menginjil dengan sukacita. Dalam temu ramah ini, mereka akan mengongsi beberapa pengalaman mereka.

Winston, bagaimanakah saudara mula mencari Tuhan?

Saya dibesarkan dalam keluarga yang tidak kuat beragama. Ladang kami terletak di sebuah kawasan terpencil di Queensland, Australia, jadi saya jarang berjumpa dengan orang lain selain keluarga sendiri. Semasa saya berumur sekitar 12 tahun, saya mula mencari Tuhan. Saya berdoa dan memohon supaya dapat mengenali kebenaran tentang-Nya. Apabila saya lebih dewasa, saya meninggalkan ladang dan bekerja di Adelaide, Australia Selatan. Pada usia 21 tahun, ketika saya bercuti di Sydney, saya berjumpa dengan Pam, dan dia memberitahu saya tentang gerakan agama British-Israel. Kumpulan ini percaya bahawa orang Britain ialah keturunan 10 suku orang Israel yang dibuang negeri pada tahun 740 SM. Selepas saya pulang ke Adelaide, saya menyebut tentang topik itu kepada seorang rakan sekerja yang baru sahaja belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Setelah berbual beberapa jam dengannya tentang kepercayaan Saksi, saya sedar bahawa doa saya semasa kecil telah dijawab. Inilah kebenaran tentang Pencipta saya dan Kerajaan-Nya! Saya sudah menemui “mutiara yang bermutu tinggi.”​—Mat. 13:45, 46.

Pam, saudari juga mencari mutiara kebenaran sejak usia yang muda. Bagaimanakah saudari menemuinya?

Saya membesar dalam keluarga yang kuat beragama di Coffs Harbour, New South Wales. Ibu bapa dan datuk nenek saya mempercayai ajaran gerakan British-Israel. Sejak kecil lagi, saya, adik lelaki saya, kakak saya, dan banyak sepupu kami, diajar bahawa Tuhan lebih suka orang yang berketurunan Britain. Namun, saya tidak percaya hal itu, dan keperluan rohani saya tidak dipuaskan. Semasa saya berumur 14 tahun,  saya pergi ke beberapa gereja, termasuk Anglikan, Baptis, dan Seventh-day Adventist. Tetapi saya masih kelaparan secara rohani.

Keluarga saya kemudiannya berpindah ke Sydney. Di situlah saya berjumpa dengan Winston. Seperti yang disebutkannya, perbincangan kami telah mendorongnya untuk belajar dengan Saksi-Saksi. Semasa kami bercinta, surat-surat daripada Winston selalu penuh dengan ayat Bible! Mula-mulanya saya memang risau dan bahkan marah. Tetapi akhirnya saya sedar bahawa apa yang ditulisnya memang benar.

Pada tahun 1962, semasa saya berumur 18 tahun, saya berpindah ke Adelaide supaya lebih dekat dengan Winston. Dia mengaturkan supaya saya tinggal bersama Thomas dan Janice Sloman, pasangan Saksi yang pernah menjadi mubaligh di Papua New Guinea. Mereka sangat baik hati dan membantu saya untuk mengenali Yehuwa. Setelah mengkaji Firman Tuhan, saya diyakinkan bahawa saya sudah menemui kebenaran. Selepas berkahwin dengan Winston, kami segera memulakan kehidupan baharu dalam khidmat Yehuwa. Meskipun kami menghadapi banyak cabaran, kehidupan itu membawa banyak berkat dan membantu kami lebih menghargai mutiara yang kami temui.

Winston, apakah tugas rohani yang kamu berdua lakukan selepas berkahwin?

A. Perjalanan kami dalam kerja litar

B. Setem dari beberapa pulau. Kiribati dan Tuvalu dahulunya dipanggil Kepulauan Gilbert dan Ellice

C. Funafuti, sebuah pulau yang cantik di Tuvalu. Itulah salah satu pulau yang kami kunjungi sebelum mubaligh ditugaskan ke situ

Tidak lama selepas saya dan Pam berkahwin, Yehuwa mula membuka “pintu besar” kepada kami untuk berkhidmat kepada-Nya. (1 Kor. 16:9) Pintu pertama diperkenalkan oleh Saudara Jack Porter, penyelia litar kami. (Kini dia berkhidmat bersama saya sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Australasia.) Jack dan isterinya Roslyn menggalakkan kami untuk menjadi perintis biasa. Selepas merintis selama lima tahun, saya dan Pam diminta untuk membuat kerja litar di Kepulauan Pasifik Selatan yang terdiri daripada Samoa Amerika, Samoa, Kiribati, Nauru, Niue, Tokelau, Tonga, Tuvalu, dan Vanuatu. Semua tempat itu terletak di bawah jagaan pejabat cawangan Fiji. Waktu itu, saya berumur 29 tahun.

Pada masa itu, penduduk di sesetengah pulau yang lebih terpencil tidak begitu mempercayai Saksi-Saksi Yehuwa, jadi kami perlu berhati-hati. (Mat. 10:16) Sidang-sidang juga kecil, dan ada sidang yang tidak dapat menyediakan penginapan. Maka kami perlu bertanya kepada penduduk kampung sama ada kami boleh bermalam di rumah mereka atau tidak. Mereka selalu bermurah hati kepada kami.

Winston, mengapakah saudara begitu berminat tentang kerja terjemahan?

Di Samoa, mengendalikan sekolah penatua

Pada masa itu, saudara saudari di Tonga hanya mempunyai beberapa risalah dan buku kecil dalam bahasa Tonga. Untuk mengadakan pembelajaran Bible, mereka menggunakan buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life) dalam bahasa Inggeris. Semasa sekolah penatua yang diadakan selama empat minggu, tiga orang penatua yang tahu sedikit bahasa Inggeris telah membantu menterjemahkan buku “Kebenaran” kepada bahasa Tonga. Pam telah menjadi jurutaip kami, dan kami telah menghantar skrip buku itu ke Amerika Syarikat untuk dicetak. Seluruh projek itu memakan masa kira-kira lapan minggu. Meskipun mutu terjemahan itu kurang memuaskan, buku tersebut telah membantu ramai orang yang berbahasa Tonga untuk mempelajari kebenaran. Saya dan Pam bukan penterjemah, tetapi pengalaman itu telah membangkitkan minat kami tentang kerja terjemahan.

Pam, bagaimanakah kehidupan di pulau berbeza daripada kehidupan di Australia?

Bas ini menjadi salah satu daripada penginapan kami dalam kerja litar

Perbezaannya sangat besar! Di sesetengah tempat, ada banyak nyamuk dan tikus. Ada kalanya, cuaca sangat panas dan lembap. Kami juga pernah berdepan dengan penyakit dan masalah kekurangan makanan. Tetapi pada akhir setiap hari, kami dapat relaks semasa menikmati pemandangan laut dari fale kami. Itulah perkataan Samoa bagi rumah Polynesia yang beratapkan jerami dan tidak berdinding. Pada malam bulan  bersinar, kami dapat melihat bayang-bayang pokok kelapa, dan cahaya bulan akan terpantul dari permukaan laut. Waktu sedemikian akan mendorong kami untuk merenung dan berdoa, supaya perhatian kami dialihkan daripada hal yang negatif kepada hal yang positif.

Kami sangat suka budak-budak di pulau. Mereka sangat comel dan ingin tahu tentang orang putih. Semasa kami melawat Niue, seorang budak lelaki menggosok lengan Winston dan berkata, “Macam bulu burung. Saya suka!” Saya rasa dia tidak pernah melihat lengan yang berbulu lebat dan tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya!

Kami rasa sedih melihat keadaan hidup kebanyakan orang. Persekitaran mereka indah, tetapi mereka tidak ada perkhidmatan perubatan atau air minuman yang cukup. Meskipun begitu, saudara saudari kita tidak khuatir dan menganggapnya sebagai kehidupan biasa. Mereka gembira jika ada ahli keluarga, tempat ibadat, dan peluang untuk memuji Yehuwa. Teladan mereka membantu kami untuk terus hidup sederhana dan bertumpu kepada hal yang terpenting.

Pam, bagaimanakah saudari mencari air dan memasak dalam persekitaran sebegini?

Di Tonga, Pam membasuh pakaian kami

Ini jasa bapa saya. Dia ajar saya banyak kemahiran, seperti cara menyalakan unggun api untuk memasak dan cara untuk hidup walaupun dengan sedikit barang keperluan. Semasa kami melawat ke Kiribati, kami tinggal dalam sebuah rumah kecil yang beratapkan jerami. Dinding rumah itu dibuat daripada buluh, dan lantainya dibuat daripada pasir dan serpihan batu karang. Untuk memasak, saya menggali lubang di lantai dan memasukkan sabut kelapa sebagai bahan bakar. Untuk mendapatkan air pula, saya berbaris di perigi bersama wanita-wanita tempatan. Mereka bergilir-gilir menimba air dengan menggunakan sebatang kayu yang panjangnya kira-kira dua meter. Pada hujung kayu itu, terdapat seutas tali halus yang diikatkan pada tin. Semasa menurunkan tin ke dalam perigi, mereka menyentak tali itu pada waktu yang tepat, supaya tin itu jatuh secara mendatar dan dapat diisi dengan air. Saya fikir itu senang sahaja, sehinggalah tiba giliran saya. Saya cuba banyak kali, tetapi tin itu hanya terapung-apung di atas air! Selepas semua orang puas ketawa, salah seorang daripada mereka datang untuk membantu saya. Mereka selalu baik hati dan sudi membantu.

Kamu berdua amat menyukai tugasan di pulau-pulau. Ada apa-apa kenangan yang istimewa?

Winston: Kami memerlukan sedikit masa untuk memahami budaya tempatan. Contohnya, semasa saudara saudari menjemput kami ke rumah untuk makan, mereka akan menghidangkan semua makanan yang mereka ada pada hari itu. Pada mulanya, kami tidak tahu kami harus meninggalkan makanan untuk mereka, jadi kami menghabiskan semua makanan yang dihidangkan! Selepas kami tahu tentang budaya mereka, barulah kami meninggalkan sesuatu untuk mereka. Meskipun kami melakukan kesilapan seperti ini, mereka sangat baik hati. Mereka juga gembira semasa kami melawat mereka setiap enam bulan. Pada zaman itu, selain saudara saudari tempatan, kami sahajalah Saksi-Saksi lain yang dapat mereka jumpa.

Di Pulau Niue, mengetuai kumpulan penyebaran

Lawatan kami juga memberikan kesaksian yang baik kepada penduduk tempatan. Ramai antara mereka berfikir bahawa agama saudara saudari kita hanyalah rekaan sendiri. Jadi apabila dua orang asing daripada agama yang sama datang untuk melawat, penduduk tempatan berasa kagum kerana lebih memahami organisasi kita.

Pam: Salah satu kenangan saya yang termanis adalah semasa di Kiribati. Kami melawat sebuah sidang yang hanya mempunyai beberapa orang saudara saudari dan seorang penatua. Penatua itu, yang bernama Itinikai Matera, melakukan apa yang terdaya untuk menjaga kami. Suatu hari dia membawa sebuah bakul yang mengandungi sebiji telur. “Untuk kamu,” katanya. Kami jarang mendapat telur ayam pada masa itu. Pemberiannya kecil sahaja, tetapi kami tersentuh dengan kemurahan hatinya.

 Pam, beberapa tahun kemudian, saudari keguguran bayi. Bagaimanakah saudari menghadapinya?

Pada tahun 1973, saya mengandung semasa kami di Pasifik Selatan. Kami pulang ke Australia, tetapi empat bulan kemudian, bayi kami gugur. Saya dan Winston sangat hancur hati. Kesedihan saya beransur-ansur berkurang dengan berlalunya masa, tetapi saya masih dipengaruhinya sehinggalah kami menerima Menara Pengawal terbitan 15 April 2009. “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan itu membincangkan sama ada bayi yang meninggal dalam kandungan akan dibangkitkan atau tidak. Rencana itu meyakinkan kami bahawa Yehuwalah yang akan membuat keputusan, dan bahawa keputusan-Nya sentiasa benar. Dia akan mengubati segala luka kita yang disebabkan oleh dunia jahat Syaitan, dan Anak-Nya akan “menghancurkan perbuatan Iblis.” (1 Yoh. 3:8) Rencana itu juga membantu kami menghargai mutiara kebenaran yang kami miliki sebagai umat Yehuwa. Harapan Kerajaan Tuhan telah menjadi sumber kelegaan kami.

Selepas kematian bayi kami, kami menyertai khidmat sepenuh masa semula. Kami berkhidmat di Bethel Australia selama beberapa bulan dan kemudiannya meneruskan kerja litar. Setelah berkhidmat selama empat tahun di kawasan luar bandar di New South Wales dan Sydney, kami dijemput ke pejabat cawangan Australia pada tahun 1981, dan berkhidmat di situ sampai hari ini.

Winston, bagaimanakah pengalaman saudara di Kepulauan Pasifik Selatan membantu saudara semasa berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Australasia?

Ada beberapa cara. Pertama, pejabat cawangan Australia telah diminta untuk menjaga Samoa Amerika dan Samoa. Kemudian, cawangan New Zealand telah digabungkan dengan Australia dan menjadi pejabat cawangan Australasia. Sekarang, kawasan pejabat cawangan ini merangkumi Australia, Samoa Amerika dan Samoa, Kepulauan Cook, New Zealand, Niue, Timor Leste, Tokelau, dan Tonga, dan saya berpeluang melawat banyak negara itu sebagai wakil pejabat cawangan. Oleh sebab saya pernah bekerja bersama saudara saudari di banyak pulau itu, pengalaman tersebut telah membantu dalam kerja saya di pejabat cawangan.

Winston dan Pam di pejabat cawangan Australasia

Sebagai kesimpulan, sejak dulu lagi saya dan Pam sedar bahawa bukan sahaja orang dewasa yang mencari Tuhan. Seperti kami, terdapat orang muda juga yang menginginkan “mutiara yang bermutu tinggi” itu, biarpun ahli keluarga mereka tidak berminat. (2 Raj. 5:2, 3; 2 Taw. 34:1-3) Yehuwa memang Tuhan yang pengasih, yang ingin agar semua orang, tidak kira tua ataupun muda, meraih kehidupan!

Semasa saya dan Pam mula mencari Tuhan lebih daripada 50 tahun yang lalu, kami tidak sangka bahawa pencarian kami akan membawa hasil seperti ini. Kebenaran tentang Kerajaan Tuhan sesungguhnya mutiara yang tidak ternilai! Kami bertekad untuk terus berpegang pada mutiara itu dengan sedaya upaya!