Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Maha Kuasa tetapi Bertimbang Rasa

Maha Kuasa tetapi Bertimbang Rasa

“[Yehuwa] tahu benar bagaimana kita dibentuk. Dia ingat bahawa kita ini debu.”​—MZM. 103:14.

LAGU: 30, 10

1, 2. (a) Bagaimanakah cara Yehuwa melayan manusia berbeza daripada ramai orang yang berkuasa? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam rencana ini?

ORANG yang berkuasa dan berpengaruh sering “menguasai dan mengawal” orang lain. (Mat. 20:25; Pkh. 8:9) Namun, Yehuwa jauh berbeza! Meskipun Dia ialah Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia bertimbang rasa terhadap manusia yang tidak sempurna. Dia baik hati dan mengambil kira perasaan dan keperluan kita. “Dia ingat bahawa kita ini debu” dan tidak akan meminta sesuatu yang melebihi kemampuan kita.​—Mzm. 103:13, 14.

2 Bible mengandungi banyak contoh tentang cara Yehuwa bertimbang rasa terhadap hamba-hamba-Nya. Mari kita bincang tiga contoh: Pertama, cara Yehuwa membantu Samuel yang masih muda untuk menyampaikan penghakiman-Nya kepada Imam Agung Eli; kedua, cara Yehuwa bersabar semasa Musa tidak sudi memimpin orang Israel; dan ketiga, cara Yehuwa bertimbang rasa semasa membawa orang Israel keluar dari Mesir. Semasa merenungkan contoh-contoh itu,  fikirkanlah apa yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa dan cara kita dapat meniru-Nya.

BERTIMBANG RASA TERHADAP SEORANG BUDAK LELAKI

3. Apakah yang berlaku kepada Samuel pada suatu malam? Apakah soalan yang mungkin kita fikirkan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

Samuel mula “berkhidmat kepada Yehuwa” di khemah suci pada usia yang sangat muda. (1 Sam. 3:1) Suatu malam selepas Samuel tidur, sesuatu yang aneh berlaku. * (Baca 1 Samuel 3:2-10.) Samuel mendengar namanya dipanggil dan menyangka bahawa Imam Agung Eli yang memanggilnya. Maka Samuel berlari kepada Eli dan berkata, “Tuan panggil aku?” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggilmu.” Apabila hal itu terjadi dua kali lagi, Eli sedar bahawa Tuhanlah yang memanggil Samuel, lalu memberitahunya cara untuk menjawab. Mengapakah Yehuwa tidak terus menyatakan kepada Samuel bahawa Dialah yang memanggilnya? Bible tidak menjelaskan sebabnya, tetapi nampaknya Yehuwa berbuat demikian kerana Dia bertimbang rasa terhadap Samuel.

4, 5. (a) Apakah perasaan Samuel terhadap tugas yang diberikan oleh Tuhan? Apakah yang terjadi pada keesokan paginya? (b) Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada kisah ini?

4 Baca 1 Samuel 3:11-18. Hukum Yehuwa menghendaki anak-anak menghormati orang yang berusia, terutamanya para pemimpin. (Kel. 22:28; Im. 19:32) Jadi, dapatkah anda bayangkan perasaan Samuel jika dia perlu berjumpa dengan Eli keesokan paginya untuk memberitahunya berita tentang hukuman daripada Tuhan? Bible menyatakan, “Samuel takut untuk memberitahu Eli tentang penglihatan itu.” Namun, memandangkan Tuhan sudah menyatakan kepada Eli bahawa Dialah yang memanggil Samuel, Eli berkata kepada Samuel, “[Jangan] merahsiakan sepatah kata pun daripada firman-Nya.” Maka Samuel “memberitahu Eli segala-galanya.”

5 Eli mungkin sudah mengagak perkhabaran itu, kerana “seorang utusan daripada Tuhan” pernah memberitahunya hal yang sama. (1 Sam. 2:27-36) Kisah ini menunjukkan bahawa Yehuwa memang bijak dan bertimbang rasa.

6. Apakah yang kita pelajari daripada cara Tuhan membantu Samuel yang masih muda?

6 Adakah anda orang muda? Jika ya, kisah itu menunjukkan bahawa Yehuwa memahami perasaan dan cabaran yang anda hadapi. Barangkali anda berasa malu dan teragak-agak untuk memberitahu orang dewasa tentang Kerajaan Tuhan, atau berasa susah kerana kelihatan berbeza daripada rakan sebaya. Yakinlah bahawa Yehuwa ingin membantu anda. Maka curahkanlah isi hati anda melalui doa. (Mzm. 62:8) Renungkan contoh anak-anak muda dalam Bible, seperti contoh Samuel, dan bincangkanlah situasi anda dengan rakan seiman yang tua atau muda, yang pernah mengatasi cabaran yang anda hadapi. Mereka mungkin menceritakan bagaimana Yehuwa telah menghulurkan bantuan dalam cara yang tidak disangka.

BERTIMBANG RASA TERHADAP MUSA

7, 8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia amat bertimbang rasa terhadap Musa?

7 Semasa Musa berusia 80 tahun, Yehuwa memberinya tugas yang berat: Membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir. (Kel. 3:10) Setelah menjadi gembala di Midian selama 40 tahun, Musa  berasa terkejut dengan pelantikan itu. “Siapakah aku ini?” katanya. “Bagaimana mungkin aku dapat menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” Tuhan memberitahu Musa, “Aku akan menyertai engkau.” (Kel. 3:11, 12) Dia juga menjamin bahawa para pemimpin Israel ‘pasti akan mendengarkannya.’ Sungguhpun begitu, Musa seolah-olah meragui jaminan Tuhan. Dia menjawab, “Bagaimana pula jika mereka . . . tidak mendengarkan kata-kataku?” (Kel. 3:18; 4:1) Namun, Yehuwa bukan sahaja bersabar terhadap Musa, malah menjadikannya manusia pertama dalam Bible yang diberi kuasa untuk melakukan mukjizat.​—Kel. 4:2-9, 21.

8 Meskipun begitu, Musa masih berdalih. Dia memberikan alasan bahawa dia tidak fasih bercakap. Maka Tuhan menjawab, “Aku akan menolong engkau berucap, dan Aku akan mengajar engkau apa yang harus engkau katakan.” Adakah Musa diyakinkan? Tidak, kerana dia meminta Tuhan menghantar orang lain. Ketika itu, Yehuwa menjadi murka. Tetapi Dia masih bertimbang rasa terhadap Musa, lalu melantik Harun sebagai jurucakapnya.​—Kel. 4:10-16.

9. Bagaimanakah kesabaran dan sifat bertimbang rasa Yehuwa membantu Musa melaksanakan tugasnya dengan baik?

9 Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa? Selaku Tuhan Yang Maha Kuasa, Dia dapat menggertak Musa dan memaksanya untuk segera menurut perintah. Tetapi Yehuwa tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dengan sabar dan baik hati, Dia berusaha meyakinkan hamba-Nya yang rendah hati itu. Adakah pendekatan itu berjaya? Sudah pasti! Musa telah menjadi seorang pemimpin yang terampil, dan dia berusaha bersikap lemah lembut dan bertimbang rasa seperti yang dipelajarinya daripada Yehuwa.​—Bil. 12:3.

Adakah anda meniru Yehuwa semasa melayan orang lain? (Lihat perenggan 10)

10. Apakah manfaatnya jika kita meniru sifat bertimbang rasa Yehuwa?

10 Apakah pengajarannya bagi kita? Jika anda seorang suami, ibu, bapa, atau  penatua, tirulah teladan Yehuwa. Tunjukkanlah sifat bertimbang rasa, baik hati, dan sabar semasa menggunakan kuasa anda. (Kol. 3:19-21; 1 Ptr. 5:1-3) Apabila anda berusaha meniru Yehuwa dan Yesus Kristus, Musa yang Lebih Agung, anda akan lebih mudah dihampiri dan menyegarkan orang lain. (Mat. 11:28, 29) Anda juga akan menjadi teladan baik untuk diikuti.​—Ibr. 13:7.

PENYELAMAT YANG PERKASA TETAPI BERTIMBANG RASA

11, 12. Semasa memimpin orang Israel keluar dari Mesir, bagaimanakah Yehuwa memastikan mereka berasa selamat?

11 Orang Israel yang keluar dari Mesir pada tahun 1513 SM mungkin berjumlah lebih daripada tiga juta orang. Antara mereka, terdapat kanak-kanak, warga emas, dan orang yang sakit atau kurang upaya. Sudah tentu mereka memerlukan Pemimpin yang bertimbang rasa sepanjang perjalanan itu. Melalui Musa, Yehuwa membuktikan bahawa Dialah Pemimpin yang diperlukan. Biarpun orang Israel perlu menjelajahi kawasan yang belum pernah dilihat mereka, mereka tetap berasa selamat.​—Mzm. 78:52, 53.

12 Bagaimanakah Yehuwa memastikan umat-Nya berasa selamat? Semasa memimpin mereka keluar dari Mesir, Dia mengaturkan mereka “seperti pasukan askar.” (Kel. 13:18) Keadaan yang teratur itu meyakinkan orang Israel bahawa situasi mereka berada di bawah kawalan Tuhan. Selain itu, Yehuwa menyatakan kehadiran-Nya melalui ‘awan pada siang hari dan cahaya api pada malam hari.’ (Mzm. 78:14) Yehuwa seperti sedang memberitahu mereka, “Janganlah takut. Aku akan menyertaimu, membimbingmu, dan melindungimu.” Orang Israel amat memerlukan jaminan itu! Mengapa?

Bagaimanakah Yehuwa bertimbang rasa terhadap orang Israel semasa di Laut Merah? (Lihat perenggan 13)

13, 14. (a) Bagaimanakah Yehuwa bertimbang rasa terhadap orang Israel semasa di Laut Merah? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia lebih berkuasa daripada orang Mesir?

13 Baca Keluaran 14:19-22. Bayangkan diri anda bersama orang Israel: Di hadapan, terdapat Laut Merah; di belakang, terdapat tentera Firaun. Ketika anda berasa terperangkap, Tuhan bertindak. Tiang awan di depan bergerak ke belakang untuk menghalang tentera Mesir. Mereka diselubungi kegelapan, tetapi tempat anda disinari cahaya! Kemudian Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, lalu angin timur yang kencang membelah air laut. Secara teratur, anda sekeluarga dan ternakan anda mula berjalan di atas dasar laut bersama orang lain. Anda mendapati bahawa dasar laut itu tidak berlumpur, tetapi kering dan mudah dilalui. Akhirnya, orang yang paling lambat pun tiba di seberang dengan selamat.

14 Baca Keluaran 14:23, 26-30. Sementara itu, Firaun yang angkuh dan bodoh terus mengejar anda. Apabila mereka berada di dasar laut, Musa menghulurkan tangannya lagi, lalu tembok air di kedua-dua belah segera runtuh. Air itu menimpa Firaun dan tenteranya; tiada seorang pun antara mereka yang terselamat!​—Kel. 15:8-10.

15. Daripada kisah ini, apakah yang anda pelajari tentang Yehuwa?

15 Catatan ini menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang teratur. Sifat itu membuat kita berasa selamat. (1 Kor. 14:33) Yehuwa juga seperti gembala yang pengasih. Dia menjaga umat-Nya dengan cara yang praktikal dan lemah lembut, supaya mereka dilindungi daripada musuh. Bagi kita yang bakal menghadapi akhir dunia ini, tidakkah kita berasa lega setelah mempelajari hal-hal itu?​—Ams. 1:33.

16. Apakah faedah yang kita peroleh setelah meneliti bagaimana Yehuwa menyelamatkan orang Israel?

 16 Hari ini, Yehuwa menjaga umat-Nya sebagai satu kumpulan secara rohani dan fizikal, dan Dia akan terus berbuat demikian semasa kesengsaraan besar yang sudah di ambang pintu. (Why. 7:9, 10) Maka, tidak kira yang muda atau tua, yang sihat atau yang kurang upaya, umat Tuhan tidak akan panik atau ketakutan semasa kesengsaraan besar. * Sebaliknya, mereka akan mengingati perintah Yesus, “Berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.” (Luk. 21:28) Semasa diserang Gog, iaitu persekutuan bangsa-bangsa yang jauh lebih kuat daripada Firaun, keyakinan umat Yehuwa terhadap-Nya tidak akan goyah. (Yeh. 38:2, 14-16) Mengapa? Kerana mereka tahu bahawa Yehuwa tidak berubah. Dia akan menunjukkan sekali lagi bahawa Dia ialah Penyelamat yang penyayang dan bertimbang rasa.​—Yes. 26:3, 20.

17. (a) Apakah manfaatnya jika kita meneliti kisah-kisah tentang cara Yehuwa menjaga umat-Nya? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana berikutnya?

17 Contoh-contoh dalam rencana ini telah menunjukkan bagaimana Yehuwa menjaga, membimbing, dan menyelamatkan umat-Nya dengan baik hati dan bertimbang rasa. Semasa merenungkan kisah sebegini, carilah butiran kecil yang menyingkapkan sifat Yehuwa. Dengan itu, anda akan lebih mengasihi-Nya dan yakin kepada-Nya. Rencana berikut akan mengupas beberapa cara untuk meniru Yehuwa dan bertimbang rasa terhadap ahli keluarga, ahli sidang, dan orang di kawasan penyebaran.

^ per. 3 Menurut Josephus, seorang sejarawan Yahudi, Samuel berusia 12 tahun pada masa itu.

^ per. 16 Kita boleh menyimpulkan bahawa sesetengah orang yang terselamat semasa Armagedon ialah orang yang kurang upaya. Semasa di bumi, Yesus telah menyembuhkan semua orang yang mempunyai “masalah kesihatan,” dan dia juga akan melakukan hal yang sama untuk orang yang selamat mengharungi Armagedon. (Mat. 9:35) Orang yang dibangkitkan pula akan diberi tubuh yang sihat.