“AKU sudah memilih lelaki ini untuk memberitakan namaku kepada raja-raja, umat Israel, dan bangsa-bangsa lain.” (Kis. 9:15) Inilah yang dikatakan Yesus tentang seorang lelaki yang baru menjadi seorang Kristian, iaitu lelaki Yahudi yang kemudiannya dikenali sebagai Rasul Paulus.

Salah seorang daripada “raja-raja” tersebut ialah Maharaja Nero dari Roma. Apakah perasaan anda jika diminta untuk mempertahankan iman anda di hadapan pemerintah sedemikian? Orang Kristian digalakkan untuk meniru Paulus. (1 Kor. 11:1) Kita boleh meniru cara Paulus menggunakan sistem perundangan pada zamannya.

Hukum Musa ialah hukum bagi bangsa Israel. Hukum itu merupakan standard moral bagi semua orang Yahudi yang alim. Selepas Pentakosta 33 M, penyembah sejati tidak lagi perlu mengikut Hukum Musa. (Kis. 15:28, 29; Gal. 4:9-11) Walaupun demikian, Paulus dan orang Kristian lain tidak menghina Hukum itu. Oleh itu, mereka dapat memberikan kesaksian kepada masyarakat orang Yahudi. (1 Kor. 9:20) Sebenarnya, Paulus sering pergi ke rumah ibadat untuk memberikan kesaksian kepada orang yang mengenali Tuhan yang disembah Abraham dan menggunakan Ayat-Ayat Ibrani untuk berbincang dengan mereka.Kis. 9:19, 20; 13:5, 14-16; 14:1; 17:1, 2.

Para rasul memilih Yerusalem sebagai pusat untuk mengatur kerja penyebaran. Mereka selalu mengajar di Rumah Tuhan. (Kis. 1:4; 2:46; 5:20) Paulus kadangkala pergi ke Yerusalem. Akhirnya, dia ditahan di sana dan dibawa ke Roma kerana sistem perundangan pada masa itu.

PAULUS DAN UNDANG-UNDANG ROMA

Bagaimanakah pemerintah Roma memandang kepercayaan Paulus? Secara umumnya, orang Roma tidak memaksa kumpulan etnik di empayar mereka untuk menukar agama, kecuali jika agama tersebut membahayakan empayar itu atau menghakis pegangan moral.

Pemerintah Roma memberikan hak kepada orang Yahudi. Buku Backgrounds of Early Christianity menyatakan, “Agama Yahudi memiliki kedudukan  istimewa dalam Empayar Roma. . . . Orang Yahudi bebas untuk mengamalkan agama mereka dan dikecualikan daripada menyembah dewa dewi Roma. Mereka boleh menjalankan hidup mereka menurut hukum sendiri.” Orang Yahudi juga tidak perlu menyertai khidmat tentera. * Paulus dapat menggunakan perlindungan daripada undang-undang Roma sewaktu mempertahankan kepercayaannya di hadapan pemerintah Roma.

Para penentang Paulus mencuba pelbagai cara untuk menghasut orang awam dan para pemerintah untuk menentang dia. (Kis. 13:50; 14:2, 19; 18:12, 13) Perhatikan satu contoh. Para penatua di sidang Yerusalem mendengar khabar angin bahawa Paulus mengajar orang Yahudi untuk “meninggalkan Hukum Musa.” Hal sedemikian boleh menyebabkan orang Yahudi yang baru menjadi Kristian berfikir bahawa Paulus tidak menghormati aturan Tuhan. Selain itu, Majlis Orang Yahudi boleh mengisytiharkan agama Kristian sebagai agama murtad yang menyimpang daripada agama Yahudi. Jika hal itu berlaku, orang Yahudi yang bergaul dengan orang Kristian akan dihukum dan mereka akan dipulaukan serta dilarang daripada memberikan kesaksian di Rumah Tuhan atau rumah ibadat. Maka, para penatua menasihati Paulus untuk membuktikan bahawa tuduhan yang dilontarkan itu salah. Dia harus pergi ke Rumah Tuhan untuk melakukan sesuatu yang tidak diminta Tuhan tetapi tidak salah.Kis. 21:18-27.

Paulus telah melakukan hal itu. Hal ini membuka peluang baginya untuk “mempertahankan berita baik.” (Flp. 1:7) Semasa Paulus di Rumah Tuhan, orang Yahudi merusuh dan ingin membunuh Paulus. Oleh itu, ketua pasukan tentera Roma menahan Paulus. Apabila mereka ingin mencambuk Paulus, dia berkata bahawa dia ialah warganegara Roma. Oleh itu, dia dibawa ke Kaisarea, tempat pemerintahan Roma bagi kawasan Yudea. Di sana, Paulus berpeluang memberikan kesaksian di hadapan para pemerintah. Hal ini membolehkan agama Kristian diperkenalkan kepada orang yang mungkin kurang mengetahui tentang agama itu.

Kisah bab 24 menggambarkan perbicaraan Paulus di hadapan gabenor Roma di Yudea yang bernama Feliks. Gabenor ini mengetahui serba sedikit mengenai kepercayaan orang Kristian. Orang Yahudi mendakwa bahawa Paulus telah melanggar undang-undang Roma dalam sekurang-kurangnya tiga cara. Mereka berkata bahawa Paulus menghasut orang Yahudi, mengetuai kumpulan agama yang berbahaya, dan menajiskan Rumah Tuhan yang berada di bawah jagaan Roma. (Kis. 24:5, 6) Semua dakwaan tersebut boleh menyebabkan Paulus dijatuhi hukuman mati.

Orang Kristian hari ini berminat melihat bagaimana Paulus menangani semua tuduhan tersebut. Paulus tetap tenang dan menunjukkan hormat. Dia merujuk kepada “Hukum dan Ajaran Para Nabi” dan mendakwa bahawa dia berhak untuk menyembah ‘Tuhan nenek moyangnya.’ Semua orang Yahudi memang berhak untuk berbuat demikian di bawah undang-undang Roma. (Kis. 24:14) Selepas itu, Paulus dapat mempertahankan dan mengisytiharkan imannya di hadapan gabenor Perkius Festus dan Raja Herodes Agripa.

Akhirnya, agar dapat menuntut keadilan, Paulus berkata, “Aku minta diadili oleh Kaisar!” Kaisar merupakan pemerintah yang paling berkuasa pada masa itu.Kis. 25:11.

PAULUS DIHAKIMI DI MAHKAMAH KAISAR

Malaikat berkata kepada Paulus, “Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar.” (Kis. 27:24) Pada permulaan pemerintahannya, Maharaja Nero berkata bahawa dia tidak akan membuat penghakiman seorang diri. Jadi selama lapan tahun sejak permulaan pemerintahannya, dia biasanya menugaskan tanggungjawab ini kepada orang lain. Buku The Life and Epistles of Saint Paul menyatakan bahawa apabila Nero membuat penghakiman, hal itu berlaku di istananya dan dia  dibantu oleh sekumpulan penasihat yang sangat berpengalaman dan berpengaruh.

Bible tidak memberitahu sama ada Nero menghakimi Paulus atau menugaskan orang lain untuk berbuat demikian. Tetapi Paulus barangkali telah menjelaskan bahawa dia menyembah Tuhan orang Yahudi dan dia juga menggalakkan semua orang untuk menghormati pemerintahan Roma. (Rm. 13:1-7; Tit. 3:1, 2) Nampaknya, Paulus berjaya mempertahankan berita baik. Dia dibebaskan dari mahkamah Kaisar.Flp. 2:24; Flm. 22.

TUGAS UNTUK MEMPERTAHANKAN BERITA BAIK

Yesus memberitahu pengikutnya, “Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku. Maka kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada mereka dan bangsa-bangsa lain.” (Mat. 10:18) Memang suatu penghormatan untuk mewakili Yesus. Apabila kita berusaha mempertahankan berita baik, kita mungkin memenangi kes mahkamah. Walaupun begitu, hak untuk menyebarkan berita baik sememangnya diberikan oleh Yehuwa dan tidak bergantung pada keputusan manusia. Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat membebaskan kita daripada penganiayaan dan ketidakadilan.Pkh. 8:9; Yer. 10:23.

Hari ini, orang Kristian dapat memuliakan nama Tuhan semasa mempertahankan iman mereka. Seperti Paulus, kita berbuat demikian dengan tenang, ikhlas, dan yakin. Yesus memberitahu para pengikutnya bahawa mereka tidak perlu “berlatih terlebih dahulu tentang cara untuk membela diri, kerana aku akan memberi kamu kata-kata dan kebijaksanaan. Dengan demikian, meskipun semua penentang kamu berganding bahu, mereka tidak akan dapat melawan atau membantah kata-kata kamu.”Luk. 21:14, 15; 2 Tim. 3:12; 1 Ptr. 3:15.

Apabila orang Kristian mempertahankan iman di hadapan raja, gabenor, dan pegawai lain, mereka memberikan kesaksian kepada orang yang mungkin tidak dapat dicapai menerusi kerja penyebaran. Sesetengah kemenangan dalam mahkamah telah menyebabkan undang-undang dikemaskinikan, serta kebebasan bersuara dan beragama terpelihara. Sama ada kita menang atau kalah di mahkamah, keberanian yang ditunjukkan oleh hamba Tuhan menggembirakan hati-Nya.

Nama Yehuwa dimuliakan apabila kita mempertahankan iman kita

^ per. 8 Penulis James Parkes menyatakan bahawa orang Yahudi mempunyai hak untuk berpegang pada kepercayaan mereka. Hal ini demikian kerana Empayar Roma biasanya memberi bangsa-bangsa di bawah jajahan mereka kebebasan untuk mengendalikan pemerintahan sendiri.