Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kesabaran​—Bertabah sambil Berharap

Kesabaran​—Bertabah sambil Berharap

UMAT Yehuwa memerlukan kesabaran, terutamanya apabila tekanan pada “hari-hari terakhir” semakin bertambah. (2 Tim. 3:1-5) Kita dikelilingi ramai orang yang mencintai diri sendiri, enggan dibawa berbincang, tidak tahu mengawal diri, dan tidak sabar. Maka, setiap orang Kristian harus menanya diri, “Adakah saya sudah dijangkiti sikap hilang sabar? Apakah maksud bersabar? Bagaimanakah saya dapat menyebatikan sifat ini dengan keperibadian saya?”

MAKSUD KESABARAN

Dalam Bible, perkataan “bersabar” bukan sekadar bermaksud menanggung situasi yang mencabar. Kesabaran yang dikurniakan Tuhan membolehkan seseorang bertabah dan berharap agar keadaan yang dihadapinya akan bertambah baik. Dia bukan sahaja melihat keperluan sendiri, malah memikirkan kepentingan pihak yang menimbulkan masalah. Oleh itu, biarpun dia tersinggung atau dilayan dengan tidak adil, dia akan terus berharap agar hubungan yang tegang dapat dipulihkan. Maka, tidak hairanlah Bible menyebut “kesabaran” sebagai sifat pertama antara banyak sifat murni yang terhasil daripada kasih. * (1 Kor. 13:4) Firman Tuhan juga menyenaraikan “kesabaran” sebagai salah satu aspek daripada “buah kuasa suci Tuhan.” (Gal. 5:22, 23) Bagaimanakah kita dapat memupuk sifat ini?

CARA MEMUPUK KESABARAN

Untuk memupuk kesabaran, kita perlu memohon bantuan kuasa suci Yehuwa, yang diberikan kepada orang yang yakin kepada-Nya dan bergantung pada-Nya. (Luk. 11:13) Kuasa suci Tuhan sangat kuat, tetapi kita juga perlu bertindak selaras dengan doa kita. (Mzm. 86:10, 11) Maksudnya, kita mesti berusaha seboleh-bolehnya untuk bersabar setiap hari, agar sifat itu dapat berakar dalam hati kita. Apakah hal lain yang dapat membantu kita berjaya memupuk kesabaran?

Kita dapat memupuk kesabaran dengan mengkaji dan meniru teladan Yesus yang sempurna. Di bawah ilham Tuhan, Paulus telah menyebut tentang “keperibadian baharu,” yang merangkumi “kesabaran.” Kemudian, dia menggesa kita agar membiarkan “kedamaian daripada Kristus berkuasa dalam hati [kita].” (Kol. 3:10, 12, 15) Bagaimanakah kita dapat memiliki kedamaian sebegitu? Seperti Yesus, yakinlah sepenuhnya bahawa Tuhan akan membetulkan masalah kita pada waktu yang ditentukan-Nya. Dengan meneladani Yesus, kita tidak akan begitu marah sehingga hilang sabar, tidak kira apa yang terjadi.​—Yoh. 14:27; 16:33.

Meskipun kita berharap agar dunia baharu Tuhan segera tiba, kita dapat belajar untuk bersabar dengan merenungkan bagaimana  Yehuwa bersabar terhadap kita. Ayat Suci menyatakan, “Yehuwa tidak berlambat-lambat untuk menunaikan janji-Nya, seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Setelah memikirkan bagaimana Yehuwa bersabar terhadap kita, tidakkah kita terdorong untuk lebih bersabar terhadap orang lain? (Rm. 2:4) Mari kita lihat sesetengah situasi yang mungkin menguji kesabaran kita.

SITUASI YANG MENGUJI KESABARAN

Terdapat banyak situasi yang menguji kesabaran kita setiap hari. Contohnya, jika kita ingin mengucapkan sesuatu yang kita rasa penting, kita perlu bersabar agar tidak menyampuk. (Yak. 1:19) Kita juga mungkin perlu bersabar apabila kerenah rakan seiman membuat kita berasa geram. Daripada naik angin semasa hal sebegini berlaku, fikirkan reaksi Yehuwa dan Yesus terhadap kelemahan kita. Mereka tidak mengkritik kita atau berfokus kepada kelemahan kita. Sebaliknya mereka melihat sifat baik kita dan bersabar sementara kita berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik.​—1 Tim. 1:16; 1 Ptr. 3:12.

Kesabaran kita mungkin diuji semasa kita diberitahu bahawa kita telah mengatakan atau melakukan sesuatu yang salah. Biasanya kita akan cepat tersinggung dan mula membela diri. Namun Firman Tuhan menasihati kita, “Kesabaran lebih baik daripada keangkuhan. Jangan cepat tersinggung kerana hanya orang bodoh yang cepat tersinggung.” (Pkh. 7:8, 9) Maka, semasa mendengar tuduhan yang langsung tidak berasas, bersabarlah dan jangan bertindak melulu. Itulah yang dilakukan Yesus semasa orang lain mencemuhnya.​—Mat. 11:19.

Ibu bapa perlu bersabar, khasnya apabila mereka perlu membetulkan sikap, keinginan, atau kecenderungan buruk yang mula berakar dalam diri anak mereka. Fikirkan contoh Mattias, seorang ahli Bethel di Skandinavia. Semasa remaja, Mattias asyik diejek di sekolah kerana kepercayaannya. Pada mulanya, ibu bapa Mattias tidak sedar bahawa hal itu sedang berlaku. Namun, mereka mendapati Mattias mula mempersoalkan sama ada dia memiliki kebenaran atau tidak. Gillis, bapa Mattias, berkata, “Kami perlu amat sabar.” Mattias akan tanya, “Siapakah Tuhan? Bagaimanakah jika Bible bukan Firman Tuhan? Bagaimanakah kita tahu Tuhanlah yang mahu kita buat begini atau begitu?” Dia juga akan bertanya, “Mengapakah saya harus dihakimi jika pandangan dan perasaan saya berbeza daripada Ayah?”

“Ada kalanya,” kata Gillis, “anak kami akan mengajukan soalan dengan marah. Dia bukannya marah terhadap saya atau ibunya, tetapi terhadap kebenaran. Dia rasa kebenaran telah menyusahkan hidupnya.” Apakah yang dilakukan Gillis? “Saya akan duduk bersamanya dan berbual selama berjam-jam. Kebanyakan masanya saya hanya mendengar, dan kadangkala saya akan tanya soalan untuk lebih memahami pandangan dan perasaannya. Ada kalanya, saya berinya penjelasan untuk difikirkan sehari dua sebelum kami berbincang lagi. Pada masa lain, saya akan  beritahunya bahawa saya perlu beberapa hari untuk memikirkan pendapat yang diluahkannya. Perbincangan sebegini yang diadakan secara kerap telah membantu Mattias untuk memahami dan menerima ajaran seperti tebusan, kedaulatan Tuhan, dan kasih Yehuwa. Usaha itu memakan banyak masa dan tenaga, tetapi secara perlahan-lahan, kasihnya untuk Yehuwa telah bertumbuh. Saya dan isteri sangat gembira kerana kesabaran dan usaha kami sepanjang zaman remaja anak kami telah mencapai hatinya dan membuahkan hasil.”

Sambil membantu anak mereka dengan sabar, Gillis dan isterinya percaya bahawa Yehuwa akan menyokong mereka. Mengenang kembali masa itu, Gillis berkata, “Saya sering beritahu Mattias bahawa saya dan ibunya sangat mengasihinya, jadi kami berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh agar Yehuwa akan membantunya faham.” Gillis dan isterinya amat bersyukur kerana mereka bersabar dan tidak putus asa!

Orang Kristian juga perlu bersabar semasa ahli keluarga atau sahabat yang sakit memerlukan jagaan untuk masa yang lama. Perhatikan contoh Ellen, * yang juga tinggal di Skandinavia.

Kira-kira lapan tahun yang lalu, suami Ellen terkena strok sebanyak dua kali sehingga sesetengah fungsi dalam otaknya terjejas. Akibatnya, dia tidak dapat berasa kasihan, gembira, atau sedih. Bagi Ellen, situasi itu mencabar sekali. “Saya perlu banyak bersabar dan banyak berdoa,” katanya. “Ayat kegemaran saya ialah Filipi 4:13, yang kata, ‘Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.’” Dengan adanya kuasa dan sokongan Yehuwa, Ellen dapat menghadapi kesusahannya dengan sabar dan tabah.​—Mzm. 62:5, 6.

TIRULAH KESABARAN YEHUWA

Sudah pasti, Yehuwalah teladan yang terunggul dalam soal kesabaran. (2 Ptr. 3:15) Bible mengandungi banyak kisah tentang kesabaran Yehuwa yang besar. (Neh. 9:30; Yes. 30:18) Contohnya, semasa Abraham menanyakan banyak soalan tentang keputusan Yehuwa untuk membinasakan Sodom, apakah reaksi-Nya? Mula-mula, Yehuwa mendengar soalan dan kerisauan Abraham dengan sabar, dan Dia langsung tidak mencelah. Kemudian, Yehuwa mengulangi apa yang disebut Abraham dan meyakinkannya bahawa Dia tidak akan membinasakan Sodom biarpun hanya terdapat 10 orang yang baik di kota itu. (Kej. 18:22-33) Tidakkah anda setuju bahawa Yehuwa telah mendengar dengan sabar dan mengawal reaksi-Nya dengan baik sekali?

Kesabaran ialah sebahagian daripada keperibadian baharu yang harus dikenakan oleh semua orang Kristian. Jika kita berusaha keras untuk memupuk sifat yang bernilai ini, kita akan memuliakan Bapa kita yang penyayang dan sabar, lalu tergolong antara orang yang “mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.”​—Ibr. 6:10-12.

^ per. 4 Sifat kasih telah dibincangkan dalam rencana pertama untuk siri rencana tentang sembilan aspek buah kuasa suci Tuhan.

^ per. 15 Nama telah diubah.