Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Berbahagialah Orang yang Murah Hati

Berbahagialah Orang yang Murah Hati

“Lebih berbahagia memberi.”​—KIS. 20:35.

LAGU: 76, 110

1. Apakah yang membuktikan bahawa Yehuwa murah hati?

WALAUPUN Yehuwa bersendirian sebelum Dia mula mencipta, Dia tidak berfikir tentang diri-Nya sendiri sahaja. Sebaliknya, Dia mengurniakan kehidupan kepada makhluk roh dan manusia. Sebagai “Tuhan yang gembira,” Yehuwa gemar memberikan kurniaan yang baik. (1 Tim. 1:11; Yak. 1:17) Dia ingin kita berasa gembira juga, maka Dia mengajar kita untuk bermurah hati.​—Rm. 1:20.

2, 3. (a) Mengapakah orang yang murah hati akan bahagia? (b) Apakah yang akan kita bincangkan?

2 Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. (Kej. 1:27) Maksudnya, kita mampu mencerminkan sifat-sifat-Nya. Maka, untuk berasa puas dan bahagia, kita perlu meniru teladan Yehuwa dengan mengambil berat terhadap orang lain dan dengan bersikap murah hati. (Flp. 2:3, 4; Yak. 1:5) Mengapa? Kerana itulah caranya kita direka oleh Yehuwa. Meskipun kita tidak sempurna, kita masih dapat meniru kemurahan hati Yehuwa.

3 Mari kita membincangkan ajaran Bible tentang kemurahan hati. Kita akan melihat bagaimana sifat ini membawa perkenan  Tuhan dan membantu kita melaksanakan tugas yang diberikan-Nya. Kita juga akan meneliti kaitan antara kemurahan hati dengan kebahagiaan, dan sebabnya kita perlu terus memupuk sifat ini.

CARA MENIKMATI PERKENAN TUHAN

4, 5. Bagaimanakah Yehuwa dan Yesus memberikan teladan yang baik dari segi kemurahan hati?

4 Yehuwa mahu manusia meniru-Nya, maka Dia sangat gembira apabila kita bermurah hati. (Ef. 5:1) Cara kita diciptakan dan keindahan alam semula jadi membuktikan bahawa Tuhan ingin kita hidup bahagia. (Mzm. 104:24; 139:13-16) Oleh itu, apabila kita berusaha membuat orang lain gembira, kita sedang memuliakan Tuhan.

5 Yesus telah memberikan teladan yang sempurna dari segi kemurahan hati, dan orang Kristian sejati mengikut contohnya. Yesus berkata, “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Mat. 20:28) Rasul Paulus menggesa orang Kristian, “Hendaklah kamu memiliki fikiran dan sikap yang juga dimiliki Kristus Yesus . . . Dia melepaskan segala-gala yang dimilikinya dan menjadi seperti seorang hamba.” (Flp. 2:5, 7) Kita masing-masing dapat menanya diri, “Dapatkah saya mengikut jejak Yesus dengan lebih teliti lagi?”​—Baca 1 Petrus 2:21.

6. Apakah yang kita pelajari daripada cerita Yesus tentang lelaki Samaria yang baik hati? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Apabila kita mengambil berat terhadap orang lain dan mencari jalan untuk memenuhi keperluan mereka, kita akan menikmati perkenan Yehuwa, kerana kita sedang meniru teladan Dia dan Kristus. Melalui cerita tentang lelaki Samaria yang baik hati, Yesus menyatakan dengan jelas bahawa para pengikutnya harus berusaha membantu orang, bahkan mereka yang berbeza latar belakang. (Baca Lukas 10:29-37.) Adakah anda ingat sebabnya Yesus menyebut cerita itu? Kerana seorang lelaki Yahudi bertanya, “Siapakah yang harus aku kasihi?” Jawapan Yesus menunjukkan bahawa untuk mendapat perkenan Tuhan, kita mesti bermurah hati kepada semua orang, seperti yang dilakukan oleh lelaki Samaria itu.

7. Bagaimanakah sifat kemurahan hati berkaitan dengan isu yang diungkit oleh Syaitan di Taman Eden?

7 Orang Kristian ada banyak sebab untuk bermurah hati. Contohnya, sifat ini berkaitan dengan isu yang diungkit oleh Syaitan di Taman Eden. Dia mendakwa bahawa Adam, Hawa, dan semua manusia, akan lebih bahagia jika mereka mengutamakan diri sendiri dan bukannya mentaati Tuhan. Hawa mementingkan diri dan ingin menjadi seperti Tuhan, manakala Adam mendahulukan keinginannya untuk menyenangkan hati Hawa. (Kej. 3:4-6) Tindakan mereka telah membawa kesan buruk yang dirasai sampai hari ini. Jelaslah, sifat mementingkan diri bukan sahaja tidak membawa kebahagiaan, malah mengakibatkan dukacita. Sebaliknya, apabila kita bersikap murah hati, kita menunjukkan keyakinan kita bahawa haluan Tuhan ialah haluan yang terbaik.

MELAKUKAN TUGAS YANG DIAMANAHKAN OLEH TUHAN

8. Mengapakah Adam dan Hawa sepatutnya berfikir tentang orang lain?

8 Walaupun Adam dan Hawa bersendirian di Taman Eden, mereka sepatutnya berfikir tentang orang lain, kerana Yehuwa telah memberi mereka tugas untuk beranak cucu, memenuhi bumi, dan menjaga bumi. (Kej. 1:28) Sebagaimana Pencipta kita mengambil berat terhadap ciptaan-Nya,  ibu bapa kita yang pertama sepatutnya mengambil kira kesejahteraan keturunan mereka. Yehuwa mahu semua keturunan Adam bekerja bersama-sama untuk menjadikan seluruh bumi sebuah Firdaus.

9. Mengapakah usaha menjadikan seluruh bumi Firdaus akan membawa kebahagiaan?

9 Sekiranya Adam dan Hawa tidak berdosa, bumi akan penuh dengan manusia yang sempurna. Mereka perlu bekerjasama sepenuhnya dengan Yehuwa untuk mencapai tujuan-Nya dan menjadikan seluruh bumi sebuah Firdaus. Dengan itu, mereka dapat menikmati hari rehat Tuhan. (Ibr. 4:11) Tugas yang amat menggembirakan dan memuaskan! Jika mereka mementingkan kesejahteraan orang lain, mereka pasti dilimpahi berkat Yehuwa.

10, 11. Bagaimanakah kita dapat melaksanakan amanat untuk menginjil dan menjadikan orang murid Kristus?

10 Hari ini, Yehuwa memberi kita tugas untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Untuk melaksanakan amanat itu, kita harus benar-benar mengambil berat tentang orang lain. Kita harus mempunyai motif yang betul, iaitu kasih untuk Tuhan dan untuk orang lain, barulah kita dapat terus melakukan tugas itu.

11 Pada abad pertama, Paulus memanggil dirinya dan sesetengah sahabat karibnya sebagai “rakan sekerja Tuhan,” kerana mereka menanam dan menyiram benih kebenaran. (1 Kor. 3:6, 9) Hari ini, kita juga dapat menjadi “rakan sekerja Tuhan” dengan rela menggunakan masa, harta, dan tenaga kita, untuk melaksanakan kerja penyebaran yang diamanahkan oleh Tuhan. Bukankah itu penghormatan yang cukup istimewa?

Kita berasa puas semasa membantu orang yang berhati jujur memahami kebenaran Bible (Lihat perenggan 12)

12, 13. Bagi anda, apakah berkat yang diraih daripada kerja menjadikan orang murid Yesus?

12 Jika kita menggunakan masa dan tenaga dengan murah hati untuk menginjil dan membantu orang menjadi murid Yesus, kita akan menuai sukacita yang besar. Itulah perasaan ramai saudara saudari semasa nampak raut wajah pelajar yang memahami kebenaran Bible, dan melihat mereka semakin beriman, membuat perubahan, dan mula mengongsi kebenaran dengan orang lain. Yesus juga berasa sangat gembira apabila 70 orang pengikutnya “kembali dengan sukacita” kerana mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran.—Luk. 10:17-21.

13 Penyiar di serata dunia bersukacita apabila melihat kesan positif berita baik dalam kehidupan orang. Anna, seorang saudari bujang yang muda, telah berpindah ke sebuah kawasan di Eropah Timur yang amat memerlukan bantuan. * Dia menulis, “Terdapat banyak peluang untuk mengadakan pembelajaran Bible di sini, dan saya  sangat menyukainya. Khidmat saya membawa sukacita yang besar. Bila balik ke rumah, saya tiada masa untuk fokus kepada diri sendiri. Saya fikir tentang pelajar Bible saya, masalah mereka, dan kerisauan mereka. Saya cuba galakkan mereka dan beri mereka bantuan praktikal. Semua ini meyakinkan saya bahawa ‘lebih berbahagia memberi daripada menerima.’”​—Kis. 20:35.

Dengan melawat setiap rumah di kawasan kita, kita memberi orang peluang untuk mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan (Lihat perenggan 14)

14. Biarpun kebanyakan orang enggan mendengar, bagaimanakah anda dapat menginjil dengan sukacita?

14 Biarpun orang lain enggan menyambut berita baik, kita dapat berasa gembira kerana kita telah memberi mereka peluang untuk mendengarnya. Ingatlah, Yehuwa menyuruh kita melakukan hal yang sama seperti Yehezkiel. Yehuwa berfirman kepadanya, “Sama ada mereka mendengar atau tidak, engkau harus menyampaikan firman-Ku kepada mereka.” (Yeh. 2:7; Yes. 43:10) Walaupun sesetengah orang tidak menyukai mesej kita, ingatlah bahawa Yehuwa menghargai usaha kita. (Baca Ibrani 6:10.) Seorang penyiar yang menunjukkan sikap yang baik dalam hal ini menulis, “Kami sudah menanam, menyiram, dan berdoa agar Yehuwa akan membuatnya bertumbuh.”​—1 Kor. 3:6.

CARA MERAIH KEBAHAGIAAN

15. Haruskah sifat murah hati kita dipengaruhi oleh reaksi orang lain? Jelaskan.

15 Yesus ingin kita bahagia. Maka dia menggalakkan kita untuk bermurah hati kerana amalan itu akan membawa hasil yang positif. “Amalkanlah tabiat memberi,” katanya, “dan orang lain juga akan memberi kepada kamu. Dengan murah hati, mereka akan mencurahkan pemberian yang dipadatkan dan digoncang-goncang sehingga berlimpah-limpah di dalam lipatan jubahmu. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.” (Luk. 6:38) Sudah pasti, bukan semua orang akan menghargai kemurahan hati kita, tetapi ada yang akan tersentuh dan terdorong untuk menunjukkan sifat ini. Maka, amalkanlah tabiat memberi, biarpun orang lain nampaknya tidak menghargainya. Satu perbuatan yang didorong  kemurahan hati dapat membawa hasil yang tidak disangka.

16. Kita harus bermurah hati kepada siapa? Mengapa?

16 Orang yang benar-benar murah hati tidak mengharapkan balasan. Yesus mengajar kita, “Semasa kamu mengadakan jamuan, jemputlah orang miskin, orang tempang, orang buta, dan orang lain yang kurang upaya. Berbahagialah kamu setelah berbuat demikian, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalas kamu.” (Luk. 14:13, 14) Seorang penulis Bible berkata, “Orang yang murah hati akan diberkati.” Bible juga menyatakan, “Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang lemah.” (Ams. 22:9; Mzm. 41:1) Sesungguhnya, kita patut bermurah hati kerana usaha untuk membantu orang lain mendatangkan kebahagiaan.

17. Apakah sesetengah cara untuk memberi yang akan mendatangkan kebahagiaan?

17 Semasa Paulus memetik kata-kata Yesus, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima,” Paulus bukan sahaja memaksudkan harta benda, tetapi juga galakan, bimbingan, dan bantuan. (Kis. 20:31-35) Melalui kata-kata dan teladannya, Paulus mengajar kita pentingnya bersikap murah hati semasa memberikan masa, tenaga, perhatian, dan kasih kita.

18. Apakah yang dikatakan ramai pakar tentang sifat murah hati?

18 Pakar yang menyelidiki sifat manusia juga mendapati bahawa sifat suka memberi akan membawa kebahagiaan. Sebuah rencana menyatakan, “Mereka yang menolong orang lain akan berasa jauh lebih bahagia.” Menurut kajian, orang yang menghulurkan bantuan akan berasa bahawa kehidupan mereka “lebih bermakna dan bertujuan.” Oleh itu, sesetengah pakar menasihati orang untuk menyertai kerja sukarela agar mereka lebih sihat dan bahagia. Hal itu tidak menghairankan bagi mereka yang sudah menerima Bible sebagai Firman Yehuwa, Pencipta manusia.​—2 Tim. 3:16, 17.

TERUSLAH BERMURAH HATI

19, 20. Mengapakah anda mahu bersikap murah hati?

19 Memang tidak mudah untuk terus bersikap murah hati, kerana kita dikelilingi orang yang mementingkan diri. Namun, Yesus menyatakan bahawa dua perintah terbesar adalah untuk mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, jiwa, akal, dan kekuatan, dan untuk mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri. (Mrk. 12:28-31) Kita sudah belajar dalam rencana ini bahawa orang yang mengasihi Yehuwa akan meniru teladan-Nya. Yehuwa dan Yesus memberi dengan murah hati, dan mereka menggalakkan kita untuk berbuat demikian juga, kerana hal itu akan membuat kita benar-benar bahagia. Jika kita berusaha untuk bermurah hati kepada Tuhan dan orang lain, kita akan memuliakan Yehuwa dan membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

20 Anda pasti sedang berusaha untuk bermurah hati dan membantu orang lain, terutamanya rakan seiman. (Gal. 6:10) Jika anda terus berbuat demikian, anda akan dihargai dan dikasihi, dan anda akan bahagia. “Orang yang murah hati akan menjadi makmur,” kata Amsal 11:25, “dan orang yang menyegarkan orang lain akan disegarkan.” Rencana seterusnya akan membincangkan beberapa cara untuk menunjukkan kemurahan hati dan sikap tidak mementingkan diri dalam kehidupan dan kegiatan rohani kita sebagai orang Kristian.

^ per. 13 Nama telah diubah.