Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

Cara Benih Kerajaan Tuhan Mula-Mula Disemai di Portugal

Cara Benih Kerajaan Tuhan Mula-Mula Disemai di Portugal

SAMBIL dipukul ombak Lautan Atlantik, sebuah kapal meneruskan perjalanan ke Eropah. Salah seorang penumpangnya, George Young, baru sahaja meninggalkan Brazil setelah menuai hasil yang lumayan daripada kerja penyebaran di situ. * Kini dia berfokus kepada tugasan baharunya—Sepanyol dan Portugal​—yang tidak pernah menerima kesaksian. Setibanya di situ, George berharap dapat mengaturkan ceramah untuk Saudara J. F. Rutherford dan mengedarkan 300,000 helai risalah!

George Young sering menggunakan jalan laut untuk menginjil

Ketika George tiba di Lisbon pada musim bunga tahun 1925, dia mendapati keadaan di situ huru-hara. Revolusi pada tahun 1910 telah menamatkan pemerintahan beraja dan melucutkan kuasa Gereja Katolik. Rakyat jelata telah diberi lebih banyak kebebasan, tetapi kekacauan masih berlaku di merata tempat.

Ketika George sedang mengaturkan ceramah Saudara Rutherford, kerajaan Portugal menguatkuasakan pentadbiran tentera akibat cubaan untuk merampas kuasa. Setiausaha Persatuan Bible British dan Negara Asing memberitahu George bahawa kerjanya pasti ditentang. Namun George telah meminta permit untuk menggunakan gimnasium Sekolah Menengah Camões, dan permohonannya diluluskan!

Kemudian, tibalah 13 Mei, tarikh untuk ceramah Saudara Rutherford. Ceramah itu dihebohkan secara meluas. Tajuk “Cara untuk Hidup Selama-lamanya di Bumi” terpampang di dinding banyak bangunan dan diiklankan dalam akhbar. Para penentang segera menyiarkan amaran dalam akhbar agama agar para pembaca mengelakkan “nabi palsu” yang baru tiba. Di pintu masuk gimnasium, mereka juga mengedarkan ribuan naskhah brosur untuk menentang ajaran Saudara Rutherford.

Meskipun begitu, 2,000 orang memenuhi gimnasium itu, manakala 2,000 orang lagi tidak dibenarkan masuk kerana dewan itu sudah penuh. Sesetengah hadirin di dalam bergayut pada tangga tali di tepi dewan, dan ada yang duduk di atas peralatan senaman.

Semasa Saudara Rutherford menyampaikan ceramahnya, para penentang berteriak dan menghempaskan kerusi. Tetapi dia tetap bertenang dan memanjat ke atas sebuah meja untuk meneruskan ceramahnya sehingga hampir tengah malam. Selepas ceramahnya, lebih daripada 1,200 orang telah menuliskan nama dan alamat mereka untuk menerima bahan bacaan Bible. Hari berikutnya, akhbar O Século menyiarkan sebuah artikel tentang ceramah Saudara Rutherford.

 Pada September 1925, Menara Pengawal bahasa Portugis mula diterbitkan di Portugal. (Sebelum itu, edisi bahasa Portugis sudah diterbitkan di Brazil.) Sekitar masa itu, Virgílio Ferguson, seorang Pelajar Bible di Brazil, merancang untuk berpindah ke Portugal untuk membantu kerja penyebaran. Dia pernah bekerja bersama George di pejabat cawangan Pelajar Bible di Brazil. Tidak lama kemudian, Virgílio dan isterinya Lizzie bertolak dan berkhidmat lagi bersama George. Kedatangan Virgílio berlaku tepat pada masanya, kerana tidak lama selepas itu, George telah ditugaskan ke beberapa negara lain, termasuk Kesatuan Soviet.

Permit kediaman Lizzie dan Virgílio Ferguson, 1928

Apabila pihak tentera merampas kuasa dan memulakan pemerintahan diktator di Portugal, tentangan terhadap kerja kita mula bertambah. Namun, Saudara Virgílio tidak takut. Dia berusaha melindungi kumpulan kecil Pelajar Bible dan menyokong kegiatan mereka. Dia memohon izin untuk mengadakan perjumpaan secara tetap di rumahnya, dan permohonannya diluluskan pada Oktober 1927.

Pada tahun pertama pemerintahan diktator, sekitar 450 orang di Portugal melanggan majalah Menara Pengawal. Selain itu, melalui risalah dan buku kecil, mesej kebenaran tersebar luas ke seluruh pelosok Empayar Portugal​—Angola, Kepulauan Azores, Cape Verde, Goa, Madeira, Mozambique, dan Timor Timur.

Pada tahun 1929, Manuel da Silva Jordão, seorang pekebun, datang ke Lisbon. Semasa di Brazil, dia pernah mendengar ceramah George dan sedar bahawa itulah kebenaran. Dia ingin membantu Virgílio mengembangkan kerja penyebaran, maka dia mula berkhidmat sebagai peneraju, atau perintis pada masa itu. Setelah kerja mencetakkan dan mengedarkan bahan bacaan Bible diaturkan dengan baik, sidang kecil di Lisbon telah bertumbuh dengan pesat!

Pada tahun 1934, Virgílio dan Lizzie terpaksa pulang ke Brazil. Namun, benih kebenaran sudah disemai. Semasa berlakunya Perang Saudara Sepanyol dan Perang Dunia Kedua, kumpulan di Portugal tetap setia kepada Yehuwa. Meskipun aktiviti mereka menurun untuk seketika, semangat mereka menjadi marak semula pada tahun 1947, semasa John Cooke, mubaligh Gilead yang pertama, tiba di situ. Selepas itu, bilangan penyiar Kerajaan Tuhan terus bertambah, bahkan semasa aktiviti Saksi diharamkan pada tahun 1962. Apabila Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf di sisi undang-undang pada Disember 1974, terdapat lebih daripada 13,000 orang penyiar di Portugal.

Hari ini, terdapat lebih daripada 50,000 orang Saksi yang menyebarkan berita baik di Portugal dan di beberapa pulau yang menggunakan bahasa Portugis, termasuk Azores dan Madeira. Sesetengah Saksi itu merupakan cucu-cicit kepada mereka yang mendengar ceramah Saudara Rutherford pada tahun 1925.

Kita berterima kasih kepada Yehuwa dan kepada saudara saudari dahulu yang telah menerajui kerja penyebaran. Mereka sesungguhnya “hamba Kristus Yesus, yang diutus untuk menyampaikan berita baik Tuhan kepada bangsa-bangsa.”​—Rm. 15:15, 16.​—Daripada khazanah rohani kita di Portugal.

^ per. 3 Lihat rencana “Terdapat Banyak Kerja Menuai yang Masih Perlu Dilakukan” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2014, ms. 31-32.