Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Sudikah Anda Menunggu dengan Sabar?

Sudikah Anda Menunggu dengan Sabar?

“Kamu juga harus bersabar.”​—YAK. 5:8.

LAGU: 114, 79

1, 2. (a) Apakah yang mungkin menyebabkan kita bertanya, “Berapa lama lagi?” (b) Mengapakah contoh-contoh hamba Yehuwa dahulu dapat menggalakkan kita?

NABI YESAYA dan Habakuk pernah bertanya, “Sampai bilakah?” (Yes. 6:11; Hab. 1:2) Semasa menggubah Mazmur 13, sebanyak empat kali Raja Daud bertanya, “Berapa lamakah?” (Mzm. 13:2, 3) Yesus Kristus pun pernah menanyakan soalan yang sama semasa melihat orang di sekelilingnya yang tidak beriman. (Mat. 17:17) Maka, tidak hairanlah jika kita menanyakan soalan yang sama dari masa ke masa.

2 Apabila kita menjadi mangsa ketidakadilan, menderita akibat usia tua atau masalah kesihatan, dan tertekan kerana “masa genting yang sukar dihadapi,” kita mungkin bertanya, “Berapa lama lagi?” (2 Tim. 3:1) Kita juga mungkin menanyakan soalan itu kerana sudah lesu dan jemu dengan sikap buruk orang di sekeliling kita. Namun, tidak kira apa sebabnya, ingatlah bahawa hamba-hamba Yehuwa dahulu telah menanyakan soalan yang sama, dan Yehuwa tidak memarahi mereka kerana berbuat demikian. Tidakkah hal itu sangat menggalakkan?

3. Apakah yang dapat membantu kita semasa kita menghadapi kesusahan?

 3 Apakah yang dapat membantu kita semasa kita menghadapi kesusahan? Di bawah ilham Tuhan, Yakobus, adik Yesus, menulis, “Saudara-saudara, bersabarlah sehingga waktu kehadiran Tuan bermula.” (Yak. 5:7) Ya, kita semua perlu bersabar. Namun, apakah maksudnya bersabar?

APA ITU KESABARAN?

4, 5. (a) Apakah maksudnya bersabar? (b) Bagaimanakah Yakobus membantu kita memahami bahawa kita mesti sudi menunggu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Menurut Bible, kesabaran ialah hasil kuasa suci Tuhan. Tanpa bantuan-Nya, manusia yang tidak sempurna tidak dapat menunjukkan kesabaran yang secukupnya. Kesabaran ialah kurniaan Tuhan, dan kesabaran ialah satu cara penting untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain. Jika kita tidak sabar, ikatan kasih akan menjadi lemah. (1 Kor. 13:4; Gal. 5:22) Kesabaran juga berkaitan dengan sifat-sifat Kristian yang lain seperti ketabahan, sifat yang membolehkan kita bersikap positif sambil menanggung kesusahan. (Kol. 1:11; Yak. 1:3, 4) Orang yang sabar tidak akan membalas kejahatan semasa menderita dan akan tetap teguh dan setia tidak kira apa yang terjadi. Bible juga menyatakan bahawa kita mesti sudi menunggu. Hal itu ditegaskan di Yakobus 5:7, 8. (Baca.)

5 Mengapakah kita harus rela menunggu Yehuwa bertindak? Yakobus menyamakan keadaan kita dengan seorang petani. Biarpun dia bekerja keras untuk bercucuk tanam, dia tidak dapat mengawal cuaca atau pertumbuhan tanamannya, dan dia tidak dapat mempercepat kedatangan musim menuai. Petani itu sedar bahawa dia perlu “menantikan hasil tanahnya yang berharga” dengan sabar. Begitu juga, semasa kita menantikan janji Yehuwa ditunaikan, kita perlu ingat bahawa ada banyak perkara yang berada di luar kawalan kita. (Mrk. 13:32, 33; Kis. 1:7) Seperti petani itu, kita juga perlu menunggu dengan sabar.

6. Apakah yang kita pelajari daripada Mikha?

6 Keadaan kita hari ini mirip dengan keadaan pada zaman Nabi Mikha. Ketika itu, Raja Ahas yang jahat berkuasa. Akibatnya, perbuatan maksiat berleluasa, dan rakyat menjadi “mahir melakukan kejahatan.” (Baca Mikha 7:1-3.) Mikha sedar bahawa dia tidak dapat mengubah keadaan itu. Jadi, apakah yang dilakukannya? Dia berkata, ‘Aku akan menantikan Yehuwa; aku akan berharap kepada Tuhan yang akan menyelamatkan aku. Tuhanku akan mendengar doaku.’ (Mi. 7:7) Seperti Mikha, kita perlu menunggu dengan sabar.

7. Mengapakah sekadar menunggu Yehuwa menunaikan janji-Nya tidak cukup?

7 Jika kita beriman seperti Mikha, kita akan menunggu Yehuwa dengan rela hati. Kita tidak seperti seorang banduan di penjara yang tunggu dihukum mati. Banduan itu terpaksa menunggu sesuatu yang tidak diingininya, tetapi kita menunggu Yehuwa dengan rela hati, kerana kita tahu Dia pasti menunaikan janji-Nya untuk memberi kita kehidupan kekal pada masa yang tepat dan pada masa yang terbaik! Maka, kita “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.” (Kol. 1:11, 12) Jika kita menunggu sambil merungut bahawa Yehuwa berlambat, perbuatan itu tidak akan menyenangkan hati Tuhan kita.​—Kol. 3:12.

TELADAN UMAT TUHAN YANG SABAR

8. Apakah yang harus kita ingat semasa merenungkan teladan hamba-hamba Yehuwa pada masa lampau?

8 Kita akan lebih sudi menunggu jika  kita ingat akan hamba-hamba Yehuwa pada masa lampau yang menunggu dengan sabar. (Rm. 15:4) Semasa merenungkan teladan mereka, ingatlah berapa lama mereka perlu menunggu, sebabnya mereka rela menunggu, dan berkat yang diraih kerana mereka bersabar.

Abraham perlu menunggu sangat lama sebelum cucunya Esau dan Yakub dilahirkan (Lihat perenggan 9, 10)

9, 10. Berapa lamakah Abraham dan Sara perlu menunggu Yehuwa?

9 Fikirkan contoh Abraham dan Sara. Mereka antara orang yang “mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.” Bible menyatakan bahawa ‘selepas menunggu dengan sabar,’ Abraham menerima janji bahawa Yehuwa akan memberkatinya dan melipatgandakan keturunannya. (Ibr. 6:12, 15) Mengapakah Abraham perlu bersabar? Kerana penunaian janji itu mengambil masa. Perjanjian Yehuwa dengan Abraham berkuat kuasa pada 14 Nisan 1943 SM, ketika dia dan seisi rumah tangganya menyeberangi Sungai Efrat dan memasuki Tanah yang Dijanjikan. Kemudian, Abraham harus menunggu 25 tahun lagi, barulah anaknya Ishak dilahirkan pada tahun 1918 SM. Selepas itu, dia perlu menunggu selama 60 tahun sebelum cucunya Esau dan Yakub dilahirkan pada tahun 1858 SM.​—Ibr. 11:9.

10 Seberapa luaskah tanah yang diwarisi Abraham? Bible menyatakan, “Tuhan tidak mewariskan setapak tanah pun daripada negeri ini kepada Abraham. Namun demikian, Tuhan berjanji akan memberikan negeri ini kepada Abraham untuk menjadi hak miliknya dan keturunannya, walaupun Abraham tidak mempunyai anak pada masa itu.” (Kis. 7:5) Empat ratus tiga puluh tahun selepas Abraham menyeberangi Sungai Efrat, barulah keturunannya  menjadi sebuah bangsa dan bersedia menduduki Tanah yang Dijanjikan.​—Kel. 12:40-42; Gal. 3:17.

11. Mengapakah Abraham rela menunggu Yehuwa? Apakah berkat yang terhasil kerana dia bersabar?

11 Abraham rela menunggu kerana kesabarannya berasaskan iman kepada Yehuwa. (Baca Ibrani 11:8-12.) Meskipun dia tidak nampak semua janji Tuhan ditunaikan, dia tetap menunggu dengan sukacita. Namun, setelah Abraham dibangkitkan di bumi nanti, dia akan tahu bahawa kisah tentang dia dan keturunannya telah mengisi banyak lembaran Bible. * Dia juga akan memahami buat kali pertama peranannya dalam tujuan Yehuwa sehubungan dengan Mesias yang dijanjikan. Bayangkan perasaannya ketika itu! Sudah pasti dia akan setuju bahawa penantiannya yang lama itu amat berbaloi!

12, 13. Mengapakah Yusuf perlu bersabar? Apakah sikap baik yang dimilikinya?

12 Yusuf, cicit Abraham, juga rela menunggu dengan sabar. Dia mangsa kepada banyak perbuatan yang tidak adil. Semasa berusia sekitar 17 tahun, abang-abangnya menjualnya sebagai hamba. Kemudian, dia difitnah mencuba merogol isteri tuannya lalu dipenjarakan. (Kej. 39:11-20; Mzm. 105:17, 18) Nampaknya, perbuatannya yang benar menyebabkannya dihukum dan bukannya diberkati. Namun, 13 tahun kemudian, keadaannya berubah dengan cepat sekali. Dia dibebaskan dari penjara dan menjadi orang yang kedua berkuasa di Mesir.​—Kej. 41:14, 37-43; Kis. 7:9, 10.

13 Adakah pengalaman buruk merosakkan sifat baik Yusuf dan membuatnya tidak lagi percaya kepada Yehuwa? Tidak. Apakah yang membantunya menunggu dengan sabar? Imannya kepada Yehuwa. Dia sedar bahawa tiada apa-apa yang berada di luar kawalan Yehuwa. Perhatikan apa yang dikatakannya kepada adik-beradiknya, “Janganlah takut. Adakah aku ini Tuhan yang dapat menghakimi kamu? Walaupun kamu berbuat jahat kepadaku, Tuhan telah mengubahnya menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan, seperti yang dilakukan-Nya sekarang.” (Kej. 50:19, 20) Yusuf tahu bahawa penantiannya tidak sia-sia.

14, 15. (a) Mengapakah kesabaran Daud sangat menakjubkan? (b) Apakah yang membantu Daud menunggu dengan sabar?

14 Raja Daud juga menghadapi banyak ketidakadilan. Meskipun dia dilantik sebagai bakal raja Israel semasa muda, dia perlu menunggu 15 tahun sebelum dapat memerintah sukunya. (2 Sam. 2:3, 4) Untuk suatu ketika, Raja Saul memburunya dan ingin membunuhnya. * Oleh itu, Daud terpaksa hidup sebagai pelarian dan tinggal di negeri asing atau dalam gua di padang belantara. Selepas Saul terkorban di medan perang, Daud perlu menunggu tujuh tahun lagi sebelum ditabalkan sebagai raja seluruh bangsa Israel.​—2 Sam. 5:4, 5.

15 Mengapakah Daud sudi menunggu dengan sabar? Jawapannya terdapat dalam mazmur yang digubah Daud. Setelah bertanya, “Berapa lamakah?” sebanyak empat kali, Daud menulis, ‘Tetapi aku bergantung kepada kasih-Mu yang abadi; aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkan aku. Aku akan menyanyi untuk Yehuwa, kerana Dia telah berbuat baik kepadaku.’  (Mzm. 13:6) Daud yakin akan kasih setia Yehuwa. Dengan sukacita, dia menantikan masa penyelamatan, dan dia memikirkan bagaimana Yehuwa telah memberkatinya dahulu. Ya, Daud tahu bahawa penantiannya amat berbaloi.

Dalam soal kesabaran, Yehuwa tidak menyuruh kita melakukan sesuatu yang tidak sudi dilakukan-Nya

16, 17. Bagaimanakah Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus memberikan teladan yang baik dalam soal kesabaran?

16 Dalam soal kesabaran, Yehuwa tidak menyuruh kita melakukan sesuatu yang tidak sudi dilakukan-Nya. Sebenarnya, Dia merupakan teladan terunggul dalam soal kesabaran. (Baca 2 Petrus 3:9.) Dia rela menunggu beribu-ribu tahun supaya isu yang timbul di Taman Eden dapat diselesaikan secara menyeluruh. Dengan sabar, Dia “menanti-nantikan saatnya” nama-Nya disucikan dengan sepenuhnya. Ketika itu, semua yang menanti-nantikan Tuhan akan menikmati berkat yang tidak terhingga.​—Yes. 30:18.

17 Yesus juga rela menunggu. Walaupun dia sudah berjaya mengharungi ujian di bumi dan mempersembahkan nilai korban tebusannya pada tahun 33 M, dia perlu menunggu sehingga tahun 1914 sebelum dapat mula memerintah. (Kis. 2:33-35; Ibr. 10:12, 13) Dia juga harus menunggu sehingga akhir Pemerintahan Seribu Tahunnya, barulah semua musuhnya akan dimusnahkan. (1 Kor. 15:25) Biarpun Yesus harus menunggu lama sekali, kita yakin bahawa kesabarannya akan membuahkan hasil yang sangat memuaskan.

APAKAH YANG DAPAT MEMBANTU KITA?

18, 19. Apakah yang dapat membantu kita untuk menunggu dengan sabar?

18 Sudah tentu, kita masing-masing perlu rela menunggu dan bersabar. Namun, apakah yang dapat membantu kita untuk berbuat demikian? Kita dapat berdoa untuk meminta kuasa suci Tuhan. Ingatlah bahawa kesabaran ialah salah satu aspek buah kuasa suci-Nya. (Ef. 3:16; 6:18; 1 Tes. 5:17-19) Maka, rayulah kepada Yehuwa agar anda dibantu untuk bertabah dan bersabar.

19 Ingatlah juga bahawa Abraham, Yusuf, dan Daud, dapat menantikan penunaian janji Yehuwa dengan sabar kerana mereka beriman kepada Yehuwa dan yakin bahawa Dia sentiasa bertindak dengan cara yang terbaik. Mereka tidak berfokus kepada keinginan dan keselesaan diri. Semasa kita merenungkan hasil baik yang diraih mereka, kita juga akan terdorong untuk bersabar.

20. Apakah seharusnya tekad kita?

20 Oleh itu, biarpun kita akan menghadapi ujian dan cubaan, kita bertekad untuk ‘berharap kepada Yehuwa’ dan menantikan-Nya dengan sabar. Meskipun ada kalanya kita mungkin berseru, “Sampai bilakah hal ini akan berlangsung, ya Tuhan?” dapatkanlah kekuatan daripada kuasa suci Tuhan. (Yes. 6:11) Dengan demikian, kita dapat memelihara azam yang dimiliki Yeremia: “Yehuwa ialah warisanku. Itulah sebabnya aku menunggu-Nya dengan sabar.”​—Rat. 3:21, 24, NW.

^ per. 11 Terdapat 15 bab dalam buku Kejadian yang mengisahkan kehidupan Abraham. Selain itu, para penulis Kitab Yunani Kristian menyebut tentang Abraham lebih daripada 70 kali.

^ per. 14 Walaupun Yehuwa menolak Saul sebagai raja setelah dia memerintah kira-kira dua tahun, Saul dibenarkan berkuasa untuk 38 tahun lagi sebelum meninggal.​—1 Sam. 13:1; Kis. 13:21.