Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Bila Kita Akan Berhimpun Lagi?”

“Bila Kita Akan Berhimpun Lagi?”

PARA wartawan di Bandar Raya Mexico melaporkan berita tentang lampu isyarat elektrik yang pertama di bandar itu. Namun seminggu kemudian, pada lewat November 1932, terdapat berita baharu yang menarik perhatian mereka. Siap dengan kamera masing-masing, mereka menantikan ketibaan seorang tetamu khas di stesen kereta api bandar itu. Tetamu itu ialah Joseph F. Rutherford, iaitu presiden Watch Tower Society. Saksi-Saksi tempatan juga menunggu di stesen itu untuk mengalu-alukan ketibaan Saudara Rutherford, yang akan menghadiri konvensyen tiga hari mereka.

Majalah The Golden Age menyatakan, “Konvensyen ini pasti menjadi peristiwa yang penting dalam sejarah teokratik Mexico.” Hanya kira-kira 150 orang menghadiri konvensyen ini. Jadi mengapakah konvensyen ini begitu penting?

Sebelum konvensyen ini, bilangan penyiar di Mexico tidak ramai. Beberapa perhimpunan kecil telah diadakan sejak tahun 1919, tetapi bilangan sidang di situ menurun pada tahun-tahun berikutnya. Pada tahun 1929, sebuah pejabat cawangan ditubuhkan di bandar itu, tetapi masalah lain pula timbul. Seorang peneraju telah meninggalkan kebenaran dan membentuk kumpulannya sendiri setelah disuruh agar tidak menginjil sambil berniaga. Tambahan lagi, penyelia cawangan di situ telah digantikan dengan saudara lain kerana dia berbuat salah dan melanggar prinsip Bible. Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa yang setia di Mexico memerlukan galakan rohani.

Semasa lawatannya, Saudara Rutherford banyak menggalakkan mereka. Dia menyampaikan dua ceramah di konvensyen dan lima ceramah menerusi radio. Inilah kali pertama berita baik disebarkan ke seluruh Mexico menerusi siaran radio. Selepas konvensyen, penyelia cawangan yang baharu mengaturkan kerja penyebaran. Dengan berkat Yehuwa, para Saksi dapat menginjil dengan lebih bersemangat.

Konvensyen pada tahun 1941 di Bandar Raya Mexico

Pada tahun berikut, dua konvensyen diadakan di Mexico. Satu di bandar Veracruz, dan satu lagi di Bandar Raya Mexico. Kerja penyebaran mula membuahkan hasil yang baik. Pada tahun 1931, terdapat 82 orang penyiar di Mexico. Sepuluh tahun kemudian, angka ini meningkat sebanyak 10 kali ganda! Pada tahun 1941, kira-kira 1,000 orang menghadiri Perhimpunan Teokratik di Bandar Raya Mexico.

“JALAN-JALAN KAMI DICEROBOH”

Pada tahun 1943, para Saksi mengiklankan Perhimpunan Teokratik yang akan diadakan di 12 buah kota di Mexico. * Mereka berbuat demikian  dengan memakai dua keping papan yang digantung pada bahu mereka, satu di depan dan satu di belakang. Inilah cara menginjil yang digunakan oleh para Saksi di seluas dunia sejak tahun 1936.

Majalah pada tahun 1944 yang menunjukkan Saksi memakai papan pengiklanan di Bandar Raya Mexico

Berkenaan kempen para Saksi di Bandar Raya Mexico, majalah La Nación menyatakan, “Pada hari pertama [perhimpunan], [para Saksi] diminta untuk menjemput lebih banyak orang. Pada hari berikutnya, begitu ramai orang hadir sehingga tidak cukup tempat duduk.” Hasil baik ini membuat Gereja Katolik marah dan mula menentang mereka. Biarpun begitu, para saudara dan saudari meneruskan kempen mereka dengan berani. Majalah itu melaporkan bahawa ramai lelaki dan wanita memakai papan pengiklanan dan memenuhi seluruh bandar. Majalah itu juga menerbitkan gambar para saudara di jalan-jalan Bandar Raya Mexico. Di bawah gambar terdapat keterangan berikut: “Jalan-jalan kami diceroboh.”

“LEBIH LEMBUT DAN SELESA BERBANDING LANTAI SIMEN”

Pada masa itu, banyak Saksi membuat pengorbanan besar untuk menghadiri konvensyen. Banyak orang datang dari kampung terpencil yang tiada kemudahan kereta api atau jalan raya. Jadi mereka perlu menunggang baghal atau berjalan selama beberapa hari untuk sampai ke stesen kereta api untuk pergi ke bandar konvensyen.

Ramai Saksi miskin dan hanya mampu membayar perjalanan sehala ke konvensyen. Apabila mereka sampai, mereka tinggal di rumah Saksi-Saksi tempatan yang murah hati atau di Dewan Perjumpaan. Pernah sekali, kira-kira 90 orang tinggal di pejabat cawangan. Mereka tidur di atas 20 buah kotak buku yang disusun menjadi katil-katil. Menurut Buku Tahunan, mereka sangat bersyukur dan berkata bahawa katil-katil itu “lebih lembut dan selesa berbanding lantai simen.”

Bagi mereka, pengorbanan yang dibuat untuk menghadiri perhimpunan memang berbaloi. Sehingga hari ini, sikap yang sama dicerminkan oleh Saksi di Mexico yang bilangannya hampir mencecah sejuta orang. * Laporan pejabat cawangan pada tahun 1949 menyatakan, “Walaupun saudara saudari perlu berdepan dengan kesusahan, mereka tetap bersemangat. Mereka selalu bercakap tentang perhimpunan yang diadakan dan bertanya, ‘Bila kita akan berhimpun lagi?’”​—Dari khazanah rohani kita di Amerika Tengah.

^ per. 9 Menurut Buku Tahunan 1944, perhimpunan ini menjadikan Saksi-Saksi Yehuwa terkenal di Mexico.

^ per. 14 Di Mexico, 2,262,646 orang menghadiri Peringatan pada tahun 2016.