Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Ketabahan Menghadapi Cubaan Membawa Berkat

Ketabahan Menghadapi Cubaan Membawa Berkat

“KAMU bapa yang kejam,” kata pegawai KGB. * “Kamu tinggalkan isteri yang hamil dan bayi kamu. Siapa akan jaga mereka? Tinggalkanlah kepercayaan kamu dan baliklah rumah!” Saya menjawab, “Saya tidak tinggalkan keluarga. Kamu yang menahan saya! Kenapa saya ditangkap?” Pegawai itu berkata, “Kerana kamu lakukan jenayah paling berat, iaitu menjadi seorang Saksi.”

Perbualan ini berlaku pada tahun 1959 di sebuah penjara di Irkutsk, Rusia. Sekarang saya akan menceritakan mengapa saya dan isteri saya Maria rela menderita kerana berbuat benar dan bagaimana kesetiaan kami diberkati.—1 Ptr. 3:13, 14.

Saya dilahirkan di Ukraine pada tahun 1933 di sebuah kampung di Zolotniki. Pada tahun 1937, mak cik dan pak cik saya, yang merupakan Saksi, datang dari Perancis untuk melawat kami. Mereka meninggalkan buku Government dan Deliverance, yang diterbitkan oleh Pertubuhan Watch Tower. Buku-buku itu telah membuat bapa saya beriman semula terhadap Tuhan. Sedihnya, pada tahun 1939, dia jatuh sakit. Tetapi sebelum dia meninggal, dia berpesan kepada ibu saya, “Inilah kebenaran. Ajarkannya kepada anak-anak kita.”

SIBERIA​—KAWASAN PENYEBARAN YANG BAHARU

Pada April 1951, pihak berkuasa mengusir para Saksi dari barat Kesatuan Soviet ke Siberia. Saya, ibu, dan adik lelaki saya Grigory, dihalau dari Ukraine Barat. Setelah menaiki kereta api sejauh 6,000 km, kami tiba di Tulun, Siberia. Dua minggu kemudian, abang saya Bogdan tiba di sebuah kem dekat Angarsk. Dia menjalani hukuman sebagai buruh kasar selama 25 tahun.

Ibu, Grigory, dan saya menginjil di sekitar Tulun. Cara menginjil kami sangat unik. Contohnya, kami akan bertanya, “Di sini, ada sesiapa yang mahu jual lembu?” Apabila kami menjumpai orang yang menjual lembu, kami akan menceritakan ciri-ciri lembu yang diciptakan dengan begitu baik. Kemudian, kami akan menyebut tentang Pencipta. Sebuah akhbar pada masa itu menulis tentang para Saksi yang mencari lembu tetapi sebenarnya mencari bebiri! Ya, kami telah menjumpai orang yang bersifat bebiri di situ. Alangkah gembiranya untuk belajar Bible dengan orang di kawasan yang baharu itu! Hari ini, ada lebih daripada 100 orang penyiar di Tulun.

IMAN MARIA DIUJI

Isteri saya Maria mempelajari kebenaran di Ukraine semasa Perang Dunia Kedua. Apabila dia  berusia 18 tahun, seorang pegawai KGB mula mengganggunya dan memaksanya untuk melakukan hubungan seks. Berulang kali, dia menolak pegawai itu dengan tegas. Pada suatu hari, dia balik ke rumah dan nampak pegawai itu berbaring di atas katilnya. Dia terus lari. Pegawai itu marah dan mengugut untuk memenjarakan Maria kerana menjadi Saksi. Maka pada tahun 1952, Maria dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun. Seperti Yusuf, Maria dipenjarakan kerana tetap setia. (Kej. 39:12, 20) Pemandu yang membawa Maria ke penjara berkata, “Jangan takut. Ramai orang dipenjarakan, tapi kesetiaan mereka tetap utuh.” Kata-kata itu telah menguatkannya.

Dari tahun 1952 hingga 1956, Maria menjadi buruh paksa di sebuah kem buruh dekat Gorkiy (kini Nizhniy Novgorod) di Rusia. Dia disuruh mencabut pokok, bahkan semasa cuaca yang sangat sejuk. Jadi kesihatannya terjejas, tetapi pada tahun 1956, dia dibebaskan dan pergi ke Tulun.

JAUH DARIPADA ANAK ISTERI

Semasa di Tulun, saya diberitahu bahawa seorang saudari akan datang. Jadi saya berbasikal ke perhentian bas untuk berjumpa dengannya dan mengangkat begnya. Saya menyukai Maria pada saat kami bertemu. Saya berusaha keras untuk memenangi hatinya, dan saya berjaya. Kami berkahwin pada tahun 1957. Setahun kemudian, anak perempuan kami Irina dilahirkan. Tetapi sukacita kami tidak berpanjangan. Pada tahun 1959, saya ditahan kerana mencetak bahan bacaan Bible, dan saya dikurung seorang diri selama enam bulan. Untuk menenangkan perasaan, saya selalu berdoa, menyanyi lagu teokratik, dan membayangkan bagaimana saya akan menginjil jika dibebaskan.

Tahun 1962, di kem buruh

Semasa saya disoal siasat, seorang penyiasat menjerit, “Tidak lama lagi, kami akan lenyapkan kamu semua seperti tikus!” Saya menjawab, “Yesus kata bahawa berita baik AKAN disebarkan ke seluruh bumi, dan tiada orang yang dapat menghalangnya.” Kemudian seperti yang dinyatakan pada awal rencana, penyiasat itu menukar taktiknya dan cuba memujuk saya untuk meninggalkan kepercayaan saya. Memandangkan ugutan dan pujukannya tidak berkesan, saya dijadikan buruh paksa dekat Saransk. Semasa dalam perjalanan ke situ, saya mendapat berita bahawa anak kedua saya, iaitu Olga, telah dilahirkan. Meskipun berjauhan dengan anak isteri, saya tidak risau kerana saya tahu bahawa saya dan Maria masih setia kepada Yehuwa.

Tahun 1965, Maria dan anak-anak kami, Olga dan Irina

Maria melawat saya di Saransk setahun sekali meskipun perjalanan untuk pergi balik dari Tulun memakan masa 12 hari. Setiap tahun, dia membawa sepasang kasut baharu untuk saya. Di dalam tapak kasut, saya akan menjumpai majalah-majalah The Watchtower yang terkini. Pernah sekali, semasa melawat, Maria membawa anak-anak kami. Saya amat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama mereka.

TEMPAT BAHARU DAN CABARAN BAHARU

Pada tahun 1966, saya dibebaskan dan kami sekeluarga berpindah ke Armavir. Anak-anak lelaki kami, Yaroslav dan Pavel, dilahirkan di situ.

Tidak lama selepas kami berpindah, pegawai KGB menggeladah rumah kami untuk mencari bahan  bacaan Bible. Mereka menyelongkar setiap penjuru, bahkan bekas makanan lembu. Pernah sekali, para pegawai itu dibasahi keringat, dan habuk melekat pada baju mereka. Maria kasihan terhadap mereka kerana mereka hanya mengikut arahan. Jadi dia menghidangkan jus, dan membawa berus baju, sebesen air, dan tuala untuk mereka. Apabila ketua mereka sampai, mereka menceritakan layanan baik itu. Sewaktu mereka beredar, ketua itu senyum dan melambai kepada kami. Kami gembira kerana dapat ‘mengalahkan kejahatan dengan kebaikan.’​—Rm. 12:21.

Meskipun KGB terus membuat serbuan, kerja menginjil masih diteruskan di Armavir. Kami juga dapat membantu sekumpulan kecil penyiar di bandar Kurganinsk yang berdekatan. Saya sangat gembira kerana hari ini ada enam sidang di Armavir dan empat di Kurganinsk.

Biarpun ada masanya kami lemah secara rohani, kami amat bersyukur kerana Yehuwa tetap mengajar dan menguatkan kami menerusi saudara saudari yang setia. (Mzm. 130:3) Tidak mudah bagi kami untuk menyembah Yehuwa bersama ahli-ahli KGB yang menyusup ke dalam sidang. Mereka nampaknya sangat bersemangat dan rajin menginjil. Ada yang bahkan menjadi saudara terlantik. Tetapi akhirnya, identiti sebenar mereka terdedah.

Pada tahun 1978, apabila Maria berusia 45 tahun, dia hamil lagi. Oleh sebab dia menghidapi penyakit jantung yang serius, ada doktor yang mahu dia menggugurkan kandungannya. Maria enggan. Maka ada doktor yang mengikutinya ke mana sahaja dia pergi dan cuba menyuntiknya agar dia melahirkan anak sebelum cukup bulan. Untuk melindungi kandungannya, Maria lari dari hospital.

KGB menyuruh kami meninggalkan Armavir. Kami pun berpindah ke sebuah kampung dekat Tallinn, Estonia. Di Tallinn, Maria melahirkan seorang anak lelaki yang sihat, dan kami menamakannya Vitaly.

Kemudian kami berpindah ke sebuah penempatan di Nezlobnaya, di selatan Rusia. Kami menginjil dengan penuh waspada di bandar-bandar percutian yang berdekatan. Ramai orang dari seluruh negara pergi ke situ untuk diubati, dan sesetengah daripada mereka meninggalkan tempat itu dengan harapan hidup abadi!

SEMAI KASIH KEPADA YEHUWA DALAM HATI ANAK-ANAK

Kami cuba menyemai kasih kepada Yehuwa dan keinginan untuk menyembah-Nya dalam hati anak-anak. Kami selalu menjemput saudara saudari ke rumah, termasuk adik saya Grigory, yang berkhidmat sebagai penyelia lawatan dari tahun 1970 hingga 1995. Kami sekeluarga menikmati kunjungan Grigory kerana dia selalu ceria dan suka berjenaka. Apabila tetamu datang, kami selalu main permainan Bible, dan anak-anak kami sangat menyukai kisah Bible.

Anak-anak lelaki kami dan isteri mereka.

Baris belakang, kiri ke kanan: Yaroslav, Pavel, Vitaly

Baris depan: Alyona, Raya, Svetlana

Pada tahun 1987, anak lelaki kami Yaroslav berpindah ke Riga, Latvia, dan dia dapat menginjil dengan lebih bebas di situ. Tetapi apabila dia enggan menyertai khidmat tentera, dia dipenjarakan  selama satu setengah tahun, dan dia menjalani hukumannya di sembilan penjara yang berlainan. Saya menceritakan pengalaman saya di penjara, dan hal itu membantunya untuk bertahan. Setelah dibebaskan, dia menjadi perintis. Pada tahun 1990, anak kami Pavel, yang berusia 19 tahun, ingin merintis di Sakhalin, sebuah pulau di utara Jepun. Pada mulanya, kami tidak mahu dia pergi, kerana pulau itu terletak lebih daripada 9,000 km dari tempat kami, dan hanya ada 20 orang penyiar di situ. Tetapi akhirnya kami bersetuju, dan ternyata itu keputusan yang baik. Dalam beberapa tahun sahaja, lapan buah sidang ditubuhkan di situ. Pavel berkhidmat di Sakhalin hingga tahun 1995. Pada waktu itu, hanya anak bongsu kami Vitaly, yang masih tinggal di rumah. Sejak kecil, dia suka membaca Bible. Sewaktu berusia 14 tahun, dia mula merintis, dan saya merintis bersamanya selama dua tahun. Saya amat menikmati saat-saat indah itu. Apabila Vitaly berusia 19 tahun, dia meninggalkan rumah untuk menjadi perintis khas.

Pada tahun 1952, seorang pegawai KGB memberitahu Maria, “Tinggalkanlah kepercayaan kamu. Kalau tidak, kamu akan dipenjarakan selama 10 tahun. Apabila dibebaskan, kamu sudah tua dan akan hidup bersendirian.” Tetapi hal yang sebaliknya terjadi. Kami dapat merasai kasih daripada Yehuwa, anak-anak kami, dan mereka yang telah kami bantu untuk mempelajari kebenaran. Saya dan Maria gembira kerana kami dapat melawat tempat-tempat anak kami berkhidmat. Kami melihat kesyukuran di wajah mereka yang telah dibantu oleh anak-anak kami.

BERSYUKUR ATAS KEBAIKAN YEHUWA

Pada tahun 1991, Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf secara sah. Hal ini membangkitkan semangat sidang terhadap kerja penyebaran. Sidang kami bahkan membeli sebuah bas agar dapat menginjil di bandar dan kampung yang berdekatan setiap hujung minggu.

Tahun 2011, bersama isteri saya

Saya gembira kerana Yaroslav bersama isterinya Alyona, dan Pavel bersama isterinya Raya, berkhidmat di Bethel, manakala Vitaly dan isterinya Svetlana berkhidmat sebagai penyelia litar. Irina tinggal bersama keluarganya di Jerman. Suaminya Vladimir dan ketiga-tiga anak lelaki mereka berkhidmat sebagai penatua. Olga tinggal di Estonia dan selalu menelefon saya. Sedihnya, isteri saya yang tersayang meninggal pada tahun 2014. Saya menantikan masanya apabila dia dibangkitkan! Sekarang saya tinggal di Belgorod, dan sidang di sini banyak membantu saya.

Sepanjang hidup saya, saya belajar bahawa kita akan menderita jika kita tetap setia kepada Yehuwa, tetapi Dia pasti akan membalas kesetiaan kita dengan kedamaian jiwa. Saya dan Maria dilimpahi berkat. Sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, hanya ada lebih daripada 40,000 orang penyiar. Hari ini, terdapat lebih daripada 400,000 orang penyiar di negara yang pernah menganggotai Kesatuan Soviet! Kini saya berusia 83 tahun dan masih berkhidmat sebagai penatua. Saya dapat terus bertabah kerana sokongan Yehuwa. Sememangnya Yehuwa telah memberkati saya dengan melimpah.​—Mzm. 13:6.

^ per. 4 KGB ialah huruf singkatan bagi agensi keselamatan negeri Kesatuan Soviet.