Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kesejahteraan daripada Tuhan Lebih Unggul daripada Pemahaman Kita

Kesejahteraan daripada Tuhan Lebih Unggul daripada Pemahaman Kita

‘Kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati kamu.’​—FLP. 4:7.

LAGU: 112, 58

1, 2. Apakah yang terjadi kepada Paulus dan Silas di Filipi? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

KIRA-KIRA pada tengah malam, Paulus dan Silas ditahan di bilik penjara yang paling dalam di kota Filipi. Kaki mereka dibelenggu dengan pasung, dan badan mereka sakit kerana baru dipukul. (Kis. 16:23, 24) Beberapa jam sebelum itu, mereka tiba-tiba dibawa oleh kumpulan perusuh ke tempat awam. Setelah diadili secara tergesa-gesa, pakaian mereka dikoyakkan, dan mereka dipukul dengan kayu. (Kis. 16:16-22) Layanan yang sungguh tidak adil! Sebagai rakyat Roma, Paulus patut dibicarakan dengan baik. *

2 Sambil duduk dalam gelap, Paulus berfikir tentang apa yang terjadi. Dia berfikir tentang kota Filipi yang berbeza daripada banyak kota yang pernah dilawatnya. Kota Filipi tidak mempunyai rumah ibadat Yahudi, maka orang Yahudi perlu berkumpul di luar pintu gerbang kota di tepi sungai untuk beribadat. (Kis.  16:13, 14) Adakah mereka tidak memenuhi syarat untuk menubuhkan rumah ibadat kerana bilangan lelaki Yahudi di kota itu tidak sampai 10 orang? Penduduk Filipi nampaknya sangat bangga kerana memiliki kewarganegaraan Roma. (Kis. 16:21) Mungkinkah itu sebabnya mereka tidak terfikir bahawa Paulus dan Silas, dua lelaki Yahudi itu, ialah rakyat Roma? Kita tidak tahu, tetapi hakikatnya ialah Paulus dan Silas telah dipenjarakan dengan tidak adil.

3. Mengapakah Paulus mungkin keliru tentang apa yang berlaku kepadanya? Namun, apakah sikap yang ditunjukkannya?

3 Paulus juga mungkin terfikir tentang apa yang terjadi beberapa bulan lalu. Semasa dia berada di Asia Kecil, di seberang Laut Aegean, kuasa suci Tuhan berulang kali menghalangnya menginjil di beberapa kawasan. (Kis. 16:6, 7) Nampaknya kuasa suci Tuhan ingin membimbingnya ke tempat lain, tetapi ke mana? Semasa di Troas, Paulus mendapat satu penglihatan dan diberitahu, “Datanglah ke Makedonia.” Paulus segera bertindak mengikut kehendak Yehuwa. (Baca Kisah 16:8-10.) Namun, apakah yang terjadi? Tidak lama selepas Paulus tiba di Makedonia, dia dipenjarakan! Mengapakah Yehuwa membiarkan hal itu berlaku? Berapa lamakah Paulus perlu meringkuk di penjara? Biarpun Paulus mungkin memikirkan soalan-soalan itu, dia tidak kehilangan iman atau sukacitanya. Sebaliknya dia dan Silas “berdoa dan menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan.” (Kis. 16:25) Kesejahteraan daripada Tuhan telah menenteramkan hati dan minda mereka.

4, 5. (a) Seperti Paulus, situasi apakah yang mungkin kita hadapi? (b) Bagaimanakah keadaan Paulus berubah secara tiba-tiba?

4 Seperti Paulus, anda mungkin pernah berasa bahawa anda telah membuat keputusan mengikut bimbingan kuasa suci Tuhan, tetapi hasilnya tidak seperti yang disangka. Anda berdepan dengan cabaran, atau perlu membuat perubahan yang sangat besar dalam kehidupan. (Pkh. 9:12) Setelah itu, anda mungkin tertanya-tanya mengapa Yehuwa mengizinkan sesetengah peristiwa berlaku. Jika demikian, apakah yang dapat membantu anda terus bertabah dan yakin sepenuhnya kepada Yehuwa? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita kaji lagi kisah Paulus dan Silas.

5 Semasa Paulus dan Silas menyanyikan pujian, rentetan peristiwa yang tidak disangka berlaku. Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat tercetus. Pintu-pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua tahanan pun terlepas. Paulus menghalang penjaga penjara daripada membunuh diri. Penjaga itu dan seisi keluarganya dibaptis. Apabila hari sudah siang, para pemerintah kota mengutus pengawal untuk membebaskan Paulus dan Silas dan meminta mereka meninggalkan kota itu dengan damai. Namun, setelah mendapat tahu bahawa Paulus dan Silas ialah rakyat Roma, para pemerintah kota sedar bahawa mereka telah melakukan kesilapan besar. Jadi, mereka sendiri datang untuk menghantar Paulus dan Silas, tetapi dua orang lelaki itu mahu mengucapkan selamat tinggal dahulu kepada Lidia yang baru dibaptis. Mereka juga menggunakan peluang itu untuk menggalakkan saudara-saudara di Filipi. (Kis. 16:26-40) Perubahan peristiwa yang tidak disangka-sangka!

LEBIH UNGGUL DARIPADA PEMAHAMAN MANUSIA

6. Apakah yang akan kita kaji dan bincang?

6 Apakah yang dapat kita pelajari daripada semua peristiwa itu? Yehuwa dapat melakukan hal yang di luar sangkaan kita, maka kita tidak perlu khuatir semasa  dilanda cubaan. Pengajaran itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada Paulus. Dalam suratnya kepada sidang Filipi, dia menyebut tentang kesejahteraan daripada Tuhan dan cara menangani kekhuatiran. Mari kita bincang kata-kata Paulus di Filipi 4:6, 7. (Baca.) Selepas itu kita akan kaji contoh lain dalam Bible yang menunjukkan bagaimana Yehuwa melakukan hal yang tidak disangka. Akhirnya, kita akan bincang bagaimana “kesejahteraan daripada Tuhan” dapat membantu kita bertabah dan yakin sepenuhnya kepada Yehuwa.

7. Apakah pengajaran yang hendak disampaikan Paulus kepada saudara-saudara di Filipi? Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-katanya?

7 Semasa membaca surat Paulus, sudah tentu saudara-saudara di Filipi teringat tentang apa yang berlaku kepadanya dan bagaimana Yehuwa telah melakukan hal yang tidak disangka oleh mereka. Apakah pengajaran yang hendak disampaikan Paulus? Janganlah risau, berdoalah, dan kamu akan menerima kesejahteraan daripada Tuhan. Namun, apakah maksud “kesejahteraan daripada Tuhan . . . jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia”? Sesetengah penterjemah juga menggunakan ungkapan “melampaui impian” atau “mengungguli segala rancangan manusia.” Ya, Paulus ingin menegaskan bahawa “kesejahteraan daripada Tuhan” lebih menakjubkan daripada yang kita bayangkan. Oleh itu, situasi yang nampaknya seperti jalan mati bagi kita bukanlah jalan mati bagi Yehuwa. Dia tahu jalan penyelesaiannya, dan Dia dapat melakukan hal yang di luar sangkaan kita.​—Baca 2 Petrus 2:9.

8, 9. (a) Walaupun Paulus menderita akibat ketidakadilan di Filipi, apakah hasil baik yang diraih? (b) Mengapakah saudara-saudara di Filipi patut memandang serius kata-kata Paulus?

8 Apabila saudara saudari di Filipi merenung kembali apa yang dilakukan Yehuwa selama 10 tahun yang lalu, mereka pasti digalakkan oleh surat Paulus. Biarpun Yehuwa mengizinkan hal yang tidak adil berlaku, peristiwa itu akhirnya membolehkan mereka “mempertahankan berita baik” dan “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.” (Flp. 1:7) Para pemerintah kota Filipi tidak akan berani mengganggu sidang Kristian yang baharu di kota itu. Barangkali, tindakan Paulus telah membolehkan Lukas, doktor itu, terus tinggal di Filipi dan menguatkan rakan Kristian di situ selepas Paulus dan Silas beredar.

9 Semasa orang Kristian di Filipi membaca surat Paulus, mereka tahu bahawa kata-katanya bukan cakap kosong. Paulus memang pernah menghadapi kesusahan. Sebenarnya, semasa menulis kepada saudara-saudara di Filipi, Paulus sedang dipenjarakan di Roma. Namun, dia masih memiliki “kesejahteraan daripada Tuhan.”​—Flp. 1:12-14; 4:7, 11, 22.

‘JANGAN KHUATIR AKAN APA-APA PUN’

10, 11. Apakah yang dapat kita lakukan jika suatu masalah membuat kita terlampau risau? Apakah yang perlu kita sedar tentang cara Yehuwa membantu kita?

10 Apakah yang membantu kita untuk tidak khuatir akan apa-apa pun dan merasai ‘kesejahteraan Tuhan’? Kata-kata Paulus kepada orang Filipi menunjukkan bahawa penawar bagi kekhuatiran ialah doa. (Baca 1 Petrus 5:6, 7.) Berdoalah kepada Yehuwa dan yakinlah bahawa Dia mengambil berat tentang anda. Sertailah “ucapan syukur” dalam doa anda atas berkat yang diterima. Iman kita terhadap Tuhan akan dikuatkan apabila kita yakin bahawa Dia dapat “melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.”​—Ef. 3:20.

 11 Seperti Paulus dan Silas, apa yang dilakukan Yehuwa untuk kita mungkin di luar sangkaan kita. Barangkali Yehuwa tidak melakukan hal yang sangat hebat, tetapi Dia sentiasa memenuhi keperluan kita. (1 Kor. 10:13) Sudah pasti, kita tidak boleh duduk berpeluk tubuh dan menunggu Yehuwa menghilangkan masalah kita. Kita perlu bertindak selaras dengan doa kita. (Rm. 12:11) Tindakan kita itu akan menunjukkan bahawa kita ikhlas, dan memberi Yehuwa peluang untuk memberkati kita. Namun kita juga perlu sedar bahawa tindakan Yehuwa tidak terhad kepada permintaan, rancangan, dan jangkaan kita. Ada kalanya, Dia akan melakukan hal yang tidak kita duga. Mari kita lihat beberapa kisah Bible yang membuktikan hal itu.

YEHUWA DAPAT MELAKUKAN HAL YANG DI LUAR SANGKAAN

12. (a) Apakah yang dilakukan Hizkia semasa diancam oleh Raja Sanherib dari Asyur? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa menyelesaikan masalah itu?

12 Bible mengandungi banyak contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa melakukan hal yang di luar sangkaan kita. Pada zaman Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur menyerang lalu menawan semua kota yang berkubu di Yehuda, kecuali Yerusalem. (2 Raj. 18:1-3, 13) Apabila Sanherib mengancam Yerusalem, apakah yang dilakukan oleh Raja Hizkia? Dia berdoa kepada Yehuwa dan meminta nasihat daripada Nabi Yesaya. (2 Raj. 19:5, 15-20) Hizkia juga menunjukkan sikap munasabah dengan membayar denda yang dikenakan Sanherib. (2 Raj. 18:14, 15) Kemudian, Hizkia membuat persiapan untuk menghadapi pengepungan musuh yang berlanjutan. (2 Taw. 32:2-4) Namun, bagaimanakah ancaman itu berakhir? Yehuwa mengutus satu malaikat untuk memusnahkan 185,000 orang askar Sanherib dalam satu malam. Sudah pasti hal itu di luar sangkaan Hizkia!​—2 Raj. 19:35.

Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman Yusuf?​—Kej. 41:42 (Lihat perenggan 13)

13. (a) Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman Yusuf? (b) Bagaimanakah Yehuwa melakukan sesuatu yang di luar jangkaan Sara?

13 Fikirkan contoh Yusuf, anak Yakub. Semasa di penjara, pernahkah Yusuf menjangka bahawa dia akan dilantik menjadi orang yang kedua berkuasa di Mesir atau digunakan oleh Yehuwa untuk menyelamatkan keluarganya daripada kebuluran? Pastinya tidak! (Kej. 40:15; 41:39-43; 50:20) Fikirkan juga contoh Sara, moyang Yusuf. Pernahkah Sara yang sudah berumur menjangka bahawa Yehuwa akan membolehkannya melahirkan anak kandung dan tidak perlu menerima anak hamba perempuannya sebagai anak sendiri? Kelahiran Ishak pasti merupakan peristiwa yang tidak pernah dibayangkan Sara.​—Kej. 21:1-3, 6, 7.

14. Kita dapat yakin akan hal apa?

14 Memang, kita tidak berharap agar Yehuwa menghilangkan semua masalah kita  sebelum dunia baharu tiba, dan kita juga tidak meminta-Nya untuk melakukan perbuatan yang hebat dalam kehidupan kita. Namun, kita tahu bahawa Tuhan kita, Yehuwa, pernah membantu hamba-hamba-Nya dengan cara yang menakjubkan. (Baca Yesaya 43:10-13.) Oleh itu, kita dapat beriman dan yakin bahawa Dia akan melakukan apa-apa sahaja supaya kita ada kekuatan untuk melaksanakan kehendak-Nya. (2 Kor. 4:7-9) Kisah Hizkia, Yusuf, dan Sara, menunjukkan bahawa jika kita tetap setia kepada Yehuwa, Dia dapat membantu kita mengatasi halangan yang nampaknya mustahil ditembusi.

Jika kita tetap setia kepada Yehuwa, Dia dapat membantu kita mengatasi halangan yang nampaknya mustahil ditembusi

15. Bagaimanakah kita dapat terus memiliki “kesejahteraan daripada Tuhan”? Jelaskan.

15 Bagaimanakah kita dapat terus memiliki “kesejahteraan daripada Tuhan” meskipun menghadapi kesusahan? Kita perlu memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa. “Melalui Kristus Yesus,” yang mengorbankan nyawanya sebagai tebusan, barulah kita dapat menikmati hubungan itu. Tebusan merupakan satu lagi pemberian yang menakjubkan daripada Bapa kita. Tebusan dapat menutupi dosa kita dan membolehkan kita mendapat hati nurani yang murni. Dengan itu, kita dapat menghampiri Yehuwa.​—Yoh. 14:6; Yak. 4:8; 1 Ptr. 3:21.

KESEJAHTERAAN TUHAN AKAN MENJAGA HATI DAN FIKIRAN KITA

16. Apakah hasilnya apabila kita menerima “kesejahteraan daripada Tuhan”? Berikan contoh.

16 Apakah hasilnya apabila kita menerima “kesejahteraan daripada Tuhan”? Kesejahteraan itu akan ‘menjaga hati dan fikiran kita melalui Kristus Yesus.’ (Flp. 4:7) Dalam bahasa asal, perkataan yang diterjemahkan sebagai “menjaga” merupakan istilah tentera, yang merujuk kepada pasukan askar yang menjaga kota berkubu pada zaman lampau, seperti kota Filipi. Penduduknya dapat tidur lena kerana pintu kota mereka dilindungi oleh pasukan askar. Begitu juga, apabila kita mendapat “kesejahteraan daripada Tuhan,” hati dan minda kita akan tenteram. Oleh sebab kita tahu bahawa Yehuwa mengambil berat tentang kita dan mahu kita berjaya, hati dan minda kita dijaga agar tidak dibebani kekhuatiran atau rasa tawar hati.​—1 Ptr. 5:10.

17. Mengapakah kita dapat menghadapi masa depan dengan yakin?

17 Tidak lama lagi, manusia akan menghadapi kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku di bumi. (Mat. 24:21, 22) Walaupun kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada setiap individu, kita tidak perlu terlampau khuatir. Kita memang tidak tahu semua butiran tentang bagaimana Yehuwa akan bertindak, tetapi kita tahu siapa Tuhan kita. Catatan tentang perbuatan-Nya dahulu menunjukkan bahawa tidak kira apa yang berlaku, Yehuwa sentiasa menjayakan tujuan-Nya, dan ada kalanya bertindak di luar sangkaan kita. Apabila Yehuwa berbuat demikian, kita akan merasai “kesejahteraan daripada Tuhan” dalam cara yang baharu.

^ per. 1 Nampaknya Silas juga warganegara Roma.​—Kis. 16:37.