“Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik.”AMS. 4:2.

LAGU: 93, 96

1, 2. Mengapakah kita harus melatih orang untuk menerima tugasan teokratik?

MENYEBARKAN berita baik tentang Kerajaan Tuhan merupakan tugas utama Yesus. Namun, dia meluangkan masa untuk melatih orang agar mereka menjadi gembala dan pengajar. (Mat. 10:5-7) Walaupun Filipus sibuk sebagai seorang penginjil, dia tentu telah membantu empat orang anak perempuannya untuk menjadi mahir dalam mengongsi kebenaran dengan orang lain. (Kis. 21:8, 9) Seberapa pentingkah latihan sebegini pada hari ini?

2 Di serata dunia, jumlah orang yang menyambut berita baik semakin bertambah. Orang baharu yang belum dibaptis perlu memahami kepentingan pembelajaran Bible peribadi. Mereka juga harus dilatih untuk menginjil dan mengajar orang lain kebenaran. Dalam sidang, para saudara perlu digalakkan untuk bekerja keras supaya melayakkan diri untuk menjadi pembantu sidang dan penatua. Melalui ‘ajaran yang baik,’ orang Kristian matang dapat membantu orang baharu untuk membuat kemajuan rohani.Ams. 4:2.

 AJARLAH ORANG BAHARU CARA MEMPELAJARI BIBLE

3, 4. (a) Menurut Paulus, bagaimanakah pembelajaran Bible peribadi membantu membuahkan hasil baik dalam kerja penyebaran? (b) Sebelum menggalakkan pelajar Bible untuk mempelajari Bible secara peribadi, apakah yang perlu kita lakukan?

3 Seberapa pentingkah pembelajaran Bible peribadi? Paulus menulis kepada orang Kristian di Kolose, “Kami tidak pernah berhenti berdoa untuk kamu. Kami memohon agar kamu dipenuhi dengan pengetahuan yang tepat mengenai kehendak Tuhan dan agar kamu memiliki segala kebijaksanaan dan pemahaman rohani. Dengan demikian, jalan hidup kamu akan selaras dengan kehendak Yehuwa, menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya, dan membuahkan hasil dalam setiap kerja baik yang kamu lakukan. Selain itu, pengetahuan yang tepat tentang Tuhan yang kamu miliki akan terus bertambah.” (Kol. 1:9, 10) Dengan pengetahuan yang tepat, orang Kristian di Kolose dapat hidup “selaras dengan kehendak Yehuwa” dan “menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya.” Maka, mereka dapat terus ‘membuahkan hasil dalam setiap kerja baik yang dilakukan,’ terutamanya dalam kerja penyebaran. Seorang penyembah Yehuwa harus mempunyai kebiasaan untuk belajar Bible agar dapat menyembah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Maka, kita perlu membantu pelajar Bible untuk memahami kenyataan tersebut.

4 Sebelum membantu orang lain mendapat manfaat daripada pembelajaran Bible peribadi, kita sendiri mesti yakin bahawa pembelajaran peribadi sangat bermanfaat. Sememangnya, kita mesti mempunyai kebiasaan untuk belajar Bible. Jadi, tanyalah diri, “Jika penghuni rumah mengutarakan pendapat yang bertentangan dengan ajaran Bible atau menanya soalan susah, dapatkah saya memberikan jawapan berdasarkan Bible? Apabila saya membaca tentang ketabahan Yesus, Paulus, dan orang lain, bagaimanakah teladan mereka membantu saya untuk bertabah dalam khidmat Yehuwa?” Kita memang memerlukan pengetahuan dan nasihat daripada Firman Tuhan. Jika kita mengongsi manfaat yang kita raih daripada pembelajaran Bible peribadi, hal ini dapat menggalakkan orang lain untuk mempelajari Bible dengan rajin.

5. Berikan cadangan bagaimana anda dapat membantu orang baharu mempunyai pembelajaran Bible peribadi yang tetap.

5 Anda mungkin bertanya, “Bagaimanakah saya boleh melatih pelajar Bible saya untuk mempelajari Bible secara tetap?” Mula-mula, anda boleh menunjukkan cara membuat persediaan bagi bahan yang anda bincangkan dengannya. Anda boleh mencadangkan agar dia membaca bahagian lampiran dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? dan memeriksa ayat-ayat Bible yang tertera. Bantulah pelajar Bible anda untuk membuat persiapan  bagi perjumpaan agar dia dapat memberikan komen. Anda juga boleh menggalakkannya membaca setiap terbitan Menara Pengawal. Jika Watchtower Library atau PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower terdapat dalam bahasanya, anda boleh mengajarnya cara untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan Bible. Dengan semua bantuan tersebut, pelajar Bible anda akan lebih menikmati pembelajaran Bible peribadinya.

6. (a) Bagaimanakah anda boleh membantu pelajar Bible memupuk kasih terhadap Bible? (b) Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar Bible jika dia memupuk perasaan cinta kepada Firman Tuhan?

6 Sudah tentu, kita tidak harus memaksa sesiapa untuk membaca dan mempelajari Bible. Kita ingin menggunakan bahan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk membantu pelajar Bible memperdalam kasih mereka terhadap Firman Tuhan. Lama-kelamaan, pelajar Bible yang ikhlas akan menyelami perasaan pemazmur yang berkata, ‘Sungguh baik berada di samping Tuhan. Aku mendapat perlindungan daripada Raja Yehuwa.’ (Mzm. 73:28) Daya aktif Yehuwa akan membantu mereka yang ingin mendekati-Nya.

LATIH ORANG BAHARU UNTUK MENGINJIL DAN MENGAJAR

7. Bagaimanakah Yesus melatih para rasul untuk menginjil? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Dalam Matius bab 10, terdapat arahan Yesus kepada 12 orang rasul. Dia tidak memberikan arahan yang umum, tetapi memberikan arahan spesifik. [1] Semasa Yesus mengajar mereka melaksanakan kerja penyebaran, para rasul telah memberikan tumpuan. Kemudian, mereka pergi menginjil. Oleh sebab mereka meneliti cara Yesus mengajar, lama-kelamaan mereka pun menjadi pengajar Bible yang mahir. (Mat. 11:1) Kita juga boleh melatih pelajar Bible untuk menjadi penyiar yang berkesan. Mari kita lihat dua cara untuk melatih mereka.

8, 9. (a) Bagaimanakah Yesus berbual bersama orang semasa menginjil? (b) Bagaimanakah kita boleh membantu penyiar baharu meniru teladan Yesus?

8 Berbual dengan orang. Yesus sering berbual dengan orang tentang Kerajaan Tuhan. Contohnya, dia mengadakan perbualan menarik bersama seorang wanita di perigi Yakub berdekatan kota Sikhar. (Yoh. 4:5-30) Dia juga bercakap kepada seorang pemungut cukai, iaitu Matius Lewi. Walaupun Bible tidak mencatatkan banyak tentang perbualan tersebut, Matius telah menerima jemputan Yesus untuk menjadi pengikutnya. Kemudian, Matius menjemput Yesus untuk menghadiri sebuah jamuan di rumahnya. Di sana, Yesus berbual dengan banyak orang.Mat. 9:9; Luk. 5:27-39.

9 Selain itu, Yesus juga pernah bercakap dengan mesra kepada Natanael yang mempunyai pandangan negatif terhadap orang dari Nasaret. Selepas berbual dengan Yesus, pandangannya berubah. Dia juga ingin belajar lebih banyak tentang ajaran Yesus meskipun Yesus berasal dari Nasaret. (Yoh. 1:46-51) Maka adalah baik jika kita mengajar penyiar baharu untuk bercakap dengan cara yang santai dan mesra. [2] Dengan demikian, penyiar tersebut akan menunjukkan keprihatinan dan menggunakan kata-kata yang menyenangkan kepada orang yang berhati jujur, dan akhirnya mendapat hasil yang baik.

10-12. (a) Bagaimanakah Yesus memupuk minat orang lain terhadap berita baik? (b) Bagaimanakah kita boleh membantu penyiar baharu menjadi guru Bible yang lebih mahir?

10 Memupuk minat orang. Yesus mempunyai masa terhad untuk menjalankan kerja penyebaran. Namun, dia meluangkan masa untuk memupuk minat orang yang menyambut berita baik. Contohnya, Yesus duduk di dalam perahu lalu mula mengajar sekumpulan orang. Pada masa itu, Yesus melakukan mukjizat supaya Petrus dapat menangkap banyak ikan. Kemudian dia memberitahu Petrus, “Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.”  Apakah hasilnya? Petrus dan rakan sekerjanya “membawa perahu ke darat dan meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Yesus.”Luk. 5:1-11.

11 Nikodemus, seorang ahli Majlis Orang Yahudi, berminat dengan ajaran Yesus. Dia ingin belajar lebih banyak tetapi dia takut jika orang ternampak dia bercakap dengan Yesus. Walaupun begitu, Yesus rela meluangkan masa bersama Nikodemus pada waktu malam. (Yoh. 3:1, 2) Apakah pengajarannya? Anak Tuhan meluangkan masa untuk menguatkan iman orang lain. Tidakkah kita juga harus rajin melakukan kunjungan kembali dan pembelajaran Bible bersama orang yang berminat?

12 Jika kita bekerja bersama penyiar baharu dalam aktiviti penyebaran, kemahiran penyiar itu akan meningkat. Kita boleh mengingatkan mereka untuk membuat kunjungan kembali kepada sesiapa yang menunjukkan minat. Kita juga boleh meminta penyiar baharu menemani kita semasa melakukan kunjungan kembali dan pembelajaran Bible. Dengan memberikan galakan dan latihan, penyiar baharu tentu ingin memupuk minat orang lain terhadap kebenaran dan memulakan pembelajaran Bible. Mereka juga akan belajar cara untuk bertabah dalam aktiviti penyebaran.Gal. 5:22; lihat kotak “ Pentingnya untuk Bertabah.”

LATIH ORANG BAHARU UNTUK BERKHIDMAT KEPADA RAKAN SEIMAN

13, 14. (a) Apakah perasaan anda terhadap contoh-contoh Bible yang mengorbankan diri demi orang lain? (b) Bagaimanakah anda dapat melatih penyiar baharu dan kaum muda untuk menunjukkan kasih kepada saudara saudari?

13 Bible menunjukkan bahawa kita mempunyai peluang istimewa untuk memperlihatkan “kasih sayang” dan berkhidmat kepada satu sama lain. (Baca 1 Petrus 1:22; Lukas 22:24-27.) Anak Tuhan menyerahkan segala-galanya, termasuk nyawanya, untuk melayani orang lain. (Mat. 20:28) Dorkas “melakukan banyak perkara baik dan selalu membantu orang yang miskin.” (Kis. 9:36, 39) Maria, seorang saudari di Roma, “sudah bekerja keras” demi orang lain di sidang. (Rm. 16:6) Bagaimanakah kita dapat membantu orang baharu untuk memahami kepentingan membantu saudara saudari?

Latihlah orang baharu untuk menunjukkan kasih kepada rakan seiman (Lihat perenggan 13, 14)

14 Orang Kristian matang boleh menjemput orang baharu untuk ikut serta semasa menziarahi saudara saudari yang sakit dan berusia. Jika sesuai, ibu bapa boleh membawa anak mereka untuk membuat kunjungan sebegini. Para penatua boleh bekerja dengan orang lain untuk memastikan saudara saudari yang berusia mempunyai makanan yang berkhasiat dan rumah mereka dalam keadaan yang baik. Dengan demikian, kaum muda dan orang baharu dapat belajar cara menunjukkan kebaikan hati kepada orang lain. Contohnya semasa menginjil di sebuah kawasan terpencil, seorang penatua sering mengunjungi saudara saudari yang tinggal di situ untuk bertanya khabar. Seorang saudara muda yang sering menemaninya telah belajar bahawa semua saudara saudari harus berasa dikasihi.Rm. 12:10.

15. Mengapakah penting bagi penatua untuk membantu saudara di sidang membuat kemajuan?

15 Memandangkan Yehuwa menggunakan lelaki untuk mengajar di sidang, adalah penting bagi para saudara untuk meningkatkan kemahiran mengajar. Sebagai penatua, dapatkah anda mendengar semasa pembantu sidang berlatih ceramahnya? Dengan bantuan anda, dia mungkin dapat meningkatkan kemahirannya untuk mengajar Firman Tuhan.Neh. 8:8. [3]

16, 17. (a) Bagaimanakah Paulus membantu Timotius membuat kemajuan? (b) Bagaimanakah para penatua dapat melatih saudara yang bakal menjadi gembala sidang?

16 Sidang Kristian memerlukan lebih banyak gembala. Mereka yang akan memikul tanggungjawab sebagai gembala memerlukan latihan yang berterusan. Paulus menggalakkan Timotius untuk melatih orang lain. Dia berkata, “Anakku, hendaklah kebaikan hati yang unggul, yang ada dalam diri Kristus Yesus,  terus memberi kamu kekuatan. Berkenaan perkara-perkara yang telah kamu dengar daripadaku dan yang disahkan oleh banyak saksi, amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain.” (2 Tim. 2:1, 2) Timotius dapat belajar daripada Paulus yang merupakan seorang rasul dan penatua semasa berkhidmat bersamanya. Kemudian, Timotius menggunakan kaedah Paulus dalam kerja penyebaran dan semasa membantu sidang.2 Tim. 3:10-12.

17 Paulus meluangkan banyak masa bersama Timotius kerana dia ingin Timotius dilatih dengan baik. (Kis. 16:1-5) Para penatua boleh meneladani Paulus. Jika sesuai, dia boleh meminta pembantu sidang yang layak untuk menemaninya semasa membuat kunjungan penggembalaan. Dengan demikian, pembantu sidang berpeluang memerhatikan cara mengajar, iman, kesabaran, dan kasih yang diperlukan oleh seorang penyelia Kristian. Hal ini dapat melatih mereka yang bakal menjaga “kawanan Tuhan.”1 Ptr. 5:2.

KEPENTINGAN UNTUK MELATIH ORANG LAIN

18. Mengapakah melatih orang lain dalam khidmat Yehuwa penting bagi kita?

18 Adalah penting untuk melatih orang lain kerana terdapat banyak keperluan dalam organisasi kita dan peluang memperluas khidmat kepada Yehuwa. Hari ini, teladan Yesus dan Paulus dalam melatih orang lain masih boleh dicontohi. Yehuwa ingin umat-Nya dilatih dengan sebaik-baiknya untuk tugasan teokratik. Yehuwa memberi kita peluang untuk membantu orang baharu supaya mereka memiliki kemahiran untuk melakukan tugasan di sidang. Dunia semakin merosot dan terdapat banyak peluang untuk menginjil. Maka, usaha melatih orang lain adalah penting dan mendesak.

19. Mengapakah anda boleh yakin bahawa usaha anda untuk melatih orang lain dalam khidmat Yehuwa akan berjaya?

19 Melatih orang memang memerlukan masa dan usaha. Namun, Yehuwa dan Yesus akan membantu kita dan memberikan kebijaksanaan semasa kita melatih orang. Kita akan berasa sukacita apabila melihat orang yang kita latih terus “bekerja keras dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.” (1 Tim. 4:10) Semoga kita sendiri terus membuat kemajuan rohani dalam khidmat suci Yehuwa.

^ [1] (perenggan 7) Antara arahan yang diberikan Yesus ialah: (1) Menginjil tentang Kerajaan Tuhan. (2) Berpuas hati dengan pemberian Tuhan. (3) Jangan bertengkar dengan penghuni rumah. (4) Percaya kepada Tuhan apabila ditentang. (5) Jangan takut.

^ [2] (perenggan 9) Buku “Sekolah Penyebaran” (Memperoleh Manfaat dari Pendidikan Sekolah Pelayanan Teokratis), muka surat 62-64, mempunyai cadangan yang baik mengenai cara berbual dengan orang semasa menginjil.

^ [3] (perenggan 15) Buku “Sekolah Penyebaran” (Memperoleh Manfaat dari Pendidikan Sekolah Pelayanan Teokratis), muka surat 52-61, menjelaskan cara meningkatkan mutu ceramah umum yang disampaikan.