Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Diamanahkan Kerja Menginjil”

“Diamanahkan Kerja Menginjil”

ANGIN kencang dan hujan turun selama berhari-hari. Namun, hari Isnin, iaitu 1 September 1919, merupakan hari cerah dan panas. Pada tengah hari itu, sekitar 1,000 orang berkumpul di sebuah dewan yang mempunyai 2,500 buah kerusi. Mereka menghadiri konvensyen di Cedar Point, Ohio, A.S. Petang itu, 2,000 orang lagi datang menggunakan bot, kereta, dan kereta api. Keesokan hari, begitu ramai yang hadir sehingga konvensyen diadakan di luar, di bawah pokok yang tersergam indah.

Di bawah sinaran mentari yang menembusi celah-celah dedaun, tompok-tompok cahaya melakar corak pada pakaian para lelaki. Angin bertiup dari Tasik Erie dan menyebabkan bulu pelepah pada topi para wanita bergoyang. Seorang saudara berkata, “Di tempat indah yang sunyi ini, kami seperti di Firdaus!”

Namun pemandangan itu tidak setanding raut wajah para hadirin yang tersenyum gembira. Surat khabar tempatan menyatakan, “Mereka kuat beragama, tetapi pada masa yang sama sangat mesra dan gembira.” Pelajar Bible amat menikmati pergaulan ini kerana selama beberapa tahun mereka menghadapi cabaran seperti semasa peperangan, percanggahan pendapat di sidang, penutupan Bethel Brooklyn, dan pemenjaraan. Lapan saudara yang memimpin juga dipenjarakan dan ada yang dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. *

Semasa dicuba, sesetengah Pelajar Bible tawar hati dan bingung sehingga berhenti menginjil. Namun kebanyakan daripada mereka tabah menghadapi tentangan daripada kerajaan. Seorang penyiasat melaporkan bahawa Pelajar Bible diberikan amaran tegas. Namun mereka berkeras ingin “menginjil perkhabaran daripada Tuhan sehingga akhir.”

Selama dicuba, Pelajar Bible yang setia sentiasa menantikan bimbingan Yesus. Mereka selalu berdoa meminta bimbingan Bapa di syurga. Akhirnya, mereka dapat bersatu padu menghadiri konvensyen di Cedar Point. Seorang saudari berkata bahawa dia menantikan masanya mereka dapat meningkatkan kerja penyebaran dan menginjil dalam cara yang lebih teratur. Ya, mereka mengutamakan kerja Tuhan!

 “GA”—ALAT MENGINJIL YANG TERBARU!

Sepanjang minggu, para hadirin tertanya-tanya maksud di sebalik huruf “GA” yang tertera pada program konvensyen, kad-kad di hotel, dan papan tanda di tapak konvensyen. Pada hari Jumaat, Saudara Joseph F. Rutherford menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “Ucapan kepada Rakan Sekerja,” dan mengumumkan kepada 6,000 hadirin bahawa “GA” merujuk kepada The Golden Age (Zaman Keemasan), majalah baru yang digunakan untuk menginjil. *

Semasa bercakap tentang kaum terurap, Saudara Rutherford berkata, “Walaupun mengalami kesusahan, mereka menggunakan mata rohani untuk melihat Zaman Keemasan pemerintahan Mesias yang bakal tiba. . . . Mereka menganggapnya suatu tanggungjawab dan penghormatan untuk mengumumkan kedatangan Zaman Keemasan kepada dunia. Ini merupakan amanah daripada Tuhan.”

Pada kulit depan The Golden Age tertulis: “Majalah mengenai Fakta, Harapan, dan Kepercayaan.” Majalah ini digunakan semasa menawarkan langganan majalah dari rumah ke rumah. Ini merupakan cara baru untuk menyebarkan kebenaran. Semasa ditanya berapa ramai yang ingin menyertai kempen ini, semua hadirin berdiri sebagai tanda bersetuju. Kemudian, “dengan semangat berkobar-kobar yang hanya dirasai oleh pengikut Yesus,” mereka menyanyikan lagu kerajaan. Saudara J. M. Norris berkata, “Suara nyanyian mereka begitu lantang sehingga pokok seolah-olah bergoyang.”

Selepas sesi konvensyen tamat, hadirin beratur berjam-jam untuk melanggan majalah tersebut. Ramai berasa seperti Mabel Philbrick yang berkata, “Betapa terujanya untuk mengetahui bahawa kita akan melaksanakan kerja Tuhan sekali lagi!”

“DIAMANAHKAN KERJA MENGINJIL”

Sekitar 7,000 Pelajar Bible sudah bersedia. Risalah Organization Method dan buku kecil To Whom the Work Is Entrusted mengandungi arahan terperinci. Bahagian Kerja Penyebaran di ibu pejabat mengawasi kerja menginjil. Jawatankuasa Penyebaran dibentuk di setiap sidang dan seorang pengarah menyampaikan arahan. Kawasan penyebaran dibahagikan kepada 150 hingga 200 rumah. Perjumpaan Aktiviti Penyebaran diadakan setiap petang Khamis supaya saudara saudari dapat mengongsi pengalaman dan menghantar laporan kerja penyebaran.

Herman Philbrick berkata, “Selepas pulang, kami semua sibuk menyertai kempen langganan.” Ramai orang yang berminat. Beulah Covey berkata, “Selepas mengalami perang dan dukacita, orang mengalu-alukan masa yang bagaikan zaman keemasan.” Arthur Claus berkata, “Sidang sangat terkejut dengan jumlah langganan yang begitu banyak.” Selepas menawarkan terbitan pertama The Golden Age selama dua bulan, kira-kira 500,000 naskhah diedarkan dan 50,000 orang melanggannya.

A. H. Macmillan berkata bahawa rencana “Gospel of the Kingdom,” dalam The Watch Tower, terbitan 1 Julai 1920, merupakan rencana pertama yang digunakan oleh organisasi untuk menggalakkan saudara saudari menginjil tentang Kerajaan Tuhan di seluruh dunia. Rencana itu menggesa kaum terurap untuk “memberikan kesaksian mengenai Kerajaan Tuhan yang akan datang.” Hari ini, jutaan penyiar menyertai saudara-saudara Kristus yang “diamanahkan kerja menginjil.” Mereka menginjil sambil menunggu zaman keemasan pemerintahan Yesus.

^ per. 5 Lihat buku Saksi-Saksi Yehuwa—Pemberita Kerajaan Tuhan, bab 6, “Masa Pengujian (1914-1918)” dalam bahasa Indonesia.

^ per. 9 The Golden Age kemudiannya dikenali sebagai Consolation pada tahun 1937 dan Awake! pada tahun 1946.