“Hai anak-anakku, . . . dengarkanlah disiplinku dan jadilah bijak.”​—AMS. 8:32, 33, nota kaki.

LAGU: 56, 89

1. Bagaimanakah kita dapat memperoleh kebijaksanaan? Apakah manfaatnya?

YEHUWA ialah Sumber kebijaksanaan, dan Dia mengongsi kebijaksanaan-Nya dengan murah hati. Yakobus 1:5 menyatakan, ‘Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati.’ Salah satu cara untuk mendapat kebijaksanaan daripada Tuhan adalah dengan menerima disiplin-Nya. Jika kita berbuat demikian, kita akan dilindungi secara moral dan rohani. (Ams. 2:10-12) Kita juga akan ‘tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan dan menerima hidup kekal.’​—Yud. 21.

2. Apakah yang akan membantu kita lebih menghargai disiplin Tuhan?

2 Ketidaksempurnaan kita, cara kita dibesarkan, dan faktor-faktor lain, mungkin menghalang kita daripada menerima disiplin atau memandang disiplin dengan positif. Tetapi apabila kita meraih hasil yang baik setelah menerima disiplin, kita akan lebih menghargainya dan lebih yakin akan kasih Tuhan untuk kita. Amsal 3:11, 12 menyatakan, “Hai anakku, janganlah menolak disiplin daripada Yehuwa, . . . kerana Yehuwa menegur orang yang dikasihi-Nya.” Ya, jangan lupa bahawa Yehuwa tahu apa yang  terbaik untuk kita. (Baca Ibrani 12:5-11.) Tuhan mengenali kita dengan sepenuhnya, maka disiplin-Nya sentiasa wajar dan sesuai untuk kita. Mari kita mengkaji empat aspek disiplin: (1) disiplin diri, (2) disiplin daripada ibu bapa, (3) disiplin dalam sidang, dan (4) sesuatu yang lebih teruk daripada sengatan disiplin.

DISIPLIN DIRI—TANDA KEBIJAKSANAAN

3. Bagaimanakah seorang anak dapat memupuk disiplin diri? Berikan contoh.

3 Orang yang ada disiplin diri dapat mengawal kelakuan dan fikiran sendiri. Kita tidak memiliki disiplin diri sejak lahir, maka kita perlu memupuknya. Fikirkan contoh ini: Semasa seorang anak kecil belajar menunggang basikal, bapanya mungkin memegang basikal itu untuk menstabilkannya. Tetapi apabila anak itu mula dapat mengimbangi diri, bapanya akan melepaskan basikal itu untuk seketika. Kemudian, apabila anak itu sudah pandai, bapa itu akan melepaskan basikal itu dengan sepenuhnya. Begitu juga, semasa ibu bapa melatih anak-anak dengan konsisten dan sabar menurut “disiplin dan nasihat daripada Yehuwa,” anak-anak akan dibantu untuk menjadi bijak dan memiliki disiplin diri.​—Ef. 6:4.

4, 5. (a) Mengapakah disiplin diri merupakan bahagian yang penting dalam “keperibadian baharu”? (b) Mengapakah kita tidak patut putus asa, bahkan jika kita “jatuh tujuh kali”?

4 Begitu juga, orang dewasa yang mula menyembah Yehuwa perlu memupuk disiplin diri. Meskipun mereka mungkin sudah memiliki sifat ini sehingga tahap tertentu, mereka masih belum matang secara rohani. Namun, apabila mereka berusaha mengenakan “keperibadian baharu” dan meniru sifat Kristus, mereka akan menjadi semakin matang, dan disiplin diri mereka juga akan semakin mantap. (Ef. 4:23, 24) Hasilnya, mereka dapat ‘menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan, menunjukkan fikiran yang sihat, melakukan apa yang benar, dan mengabdikan diri kepada Tuhan, sementara mereka hidup dalam sistem dunia ini.’​—Tit. 2:12.

5 Namun, semua orang berdosa. (Pkh. 7:20) Maka, jika kita tersilap, jangan menyimpulkan bahawa kita tidak berguna atau langsung tidak ada disiplin diri. Amsal 24:16 menyatakan, “Orang baik mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula.” Apakah yang akan membantunya? Bukan azam yang kuat, tetapi kuasa suci Tuhan. (Baca Filipi 4:13.) Salah satu aspek buah kuasa suci ialah kawalan diri, yang berkait rapat dengan disiplin diri.

6. Bagaimanakah kita dapat menjadi pelajar Firman Tuhan yang lebih baik? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Doa, pembelajaran Bible, dan perenungan, juga dapat bantu kita memupuk disiplin diri. Namun, bagaimana pula jika anda berasa susah untuk mengkaji Bible atau tidak suka kegiatan itu? Biarlah Yehuwa membantu anda ‘memupuk keinginan’ akan Firman-Nya. (1 Ptr. 2:2) Bagaimana? Berdoalah meminta disiplin diri supaya anda dapat mengkaji Firman Tuhan. Kemudian, bertindaklah selaras dengan doa itu. Contohnya, anda dapat mengadakan sesi pembelajaran yang singkat. Secara beransur-ansur, anda akan rasa bahawa pembelajaran itu lebih mudah dan lebih menyeronokkan! Akhirnya, anda akan menantikan masanya anda dapat merenungkan fikiran Yehuwa seorang diri.​—1 Tim. 4:15.

7. Bagaimanakah disiplin diri dapat bantu kita mencapai matlamat rohani?

7 Disiplin diri dapat bantu kita mencapai matlamat rohani. Seorang bapa risau  kerana semangatnya untuk menginjil semakin lemah, jadi dia menetapkan matlamat untuk menjadi perintis biasa. Dia membaca rencana tentang topik itu dan berdoa tentang matlamatnya, dan usaha itu telah meneguhkan dan menguatkannya secara rohani. Selain itu, dia berusaha menjadi perintis sokongan sekerap yang mungkin. Hasilnya, walaupun terdapat cabaran, dia masih bertumpu kepada matlamatnya dan berjaya menjadi perintis biasa pada akhirnya.

MEMBESARKAN ANAK DENGAN DISIPLIN YEHUWA

Anak tidak tahu membezakan betul dan salah sejak lahir; mereka perlu dilatih (Lihat perenggan 8)

8-10. Bagaimanakah ibu bapa Kristian dapat membantu anak mereka menyembah Yehuwa? Berikan contoh.

8 Ibu bapa Kristian mempunyai tanggungjawab istimewa untuk membesarkan anak “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Ef. 6:4) Tugas itu amat mencabar, terutamanya dalam dunia sekarang. (2 Tim. 3:1-5) Anak-anak tidak tahu betul dan salah sejak lahir, dan hati nurani mereka perlu dilatih atau didisiplinkan. (Rm. 2:14, 15) Menurut sebuah buku rujukan Bible, perkataan Yunani untuk “disiplin” juga bermaksud membesarkan anak agar menjadi insan yang berguna.

9 Anak yang didisiplinkan atas dasar kasih akan berasa selamat. Mereka akan belajar bahawa kebebasan ada batasnya dan bahawa perbuatan mereka pasti membawa kesan, sama ada yang baik atau yang buruk. Maka, amatlah penting untuk membesarkan anak menurut bimbingan Yehuwa. Cara membesarkan anak berbeza-beza mengikut budaya dan zaman, tetapi ibu bapa yang mematuhi Tuhan tidak perlu meneka atau bergantung pada pengalaman atau fikiran manusia untuk berbuat demikian.

10 Fikirkan Nuh. Semasa disuruh membina bahtera, Nuh langsung tidak berpengalaman, maka dia perlu bergantung pada Yehuwa dan “melakukan segala sesuatu” yang diperintahkan-Nya. (Kej. 6:22) Hasilnya, Nuh berjaya pada cubaan yang pertama! Dia juga berjaya memimpin keluarganya kerana dia bergantung pada kebijaksanaan Tuhan. Meskipun dunia sebelum Banjir begitu jahat, Nuh mendidik anak-anaknya dengan baik dan menjadi teladan yang terpuji bagi mereka.​—Kej. 6:5.

11. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengikut perintah Tuhan semasa melatih anak?

11 Sebagai ibu bapa, bagaimanakah anda dapat “melakukan segala sesuatu” yang diperintahkan Tuhan? Gunakanlah nasihat daripada Firman-Nya dan organisasi-Nya untuk membesarkan anak anda. Barangkali, anak anda akan berterima kasih kepada anda kelak hari kerana anda berbuat demikian! Seorang saudara menulis, “Saya sangat bersyukur kerana ibu bapa saya membesarkan saya dengan cara itu. Mereka berusaha mencapai hati saya dan  banyak menyumbang kepada kemajuan rohani saya.” Sesetengah anak meninggalkan Yehuwa walaupun ibu bapa mereka berusaha menyemai kebenaran dalam hati mereka. Namun, ibu bapa sedemikian dapat memiliki hati nurani yang bersih dan berharap agar anak mereka kembali kepada Yehuwa.

12, 13. (a) Bagaimanakah ibu bapa dapat mematuhi Tuhan jika anak mereka disingkirkan? (b) Bagaimanakah kepatuhan sepasang suami isteri membawa berkat kepada seluruh keluarga mereka?

12 Kepatuhan ibu bapa akan diuji terutamanya apabila anak mereka disingkirkan. Seorang saudari yang anak perempuannya disingkirkan lalu meninggalkan rumah mengaku, “Saya meneliti bahan bacaan kita supaya saya dapat jumpa alasan untuk meluangkan masa bersama anak perempuan dan cucu saya. Tetapi suami saya mengingatkan saya bahawa anak kami bukan lagi tanggungjawab kami, dan bahawa kami tidak patut campur tangan semasa Yehuwa mendisiplinkannya.”

13 Beberapa tahun kemudian, anak itu diterima kembali. Ibunya berkata, “Sekarang dia akan menelefon atau SMS saya setiap hari! Dia sangat menghormati saya dan suami saya kerana kami taat kepada Tuhan. Sekarang hubungan kami bagus sekali.” Jika anak anda disingkirkan, adakah anda akan ‘percaya kepada Yehuwa dengan sepenuh hati dan tidak bergantung pada pengertian sendiri’? (Ams. 3:5, 6) Ingatlah, disiplin Yehuwa menunjukkan kasih dan kebijaksanaan-Nya yang tidak tertanding. Jangan lupa bahawa Dia mengorbankan Anak-Nya untuk semua orang, termasuk anak anda, dan Dia tidak mahu sesiapa pun dibinasakan. (Baca 2 Petrus 3:9.) Maka, yakinlah kepada disiplin dan arahan Yehuwa, biarpun mematuhi Yehuwa memedihkan hati anda. Sokonglah disiplin Tuhan dan jangan menghalangnya.

DALAM SIDANG

14. Bagaimanakah kita memanfaatkan ajaran Yehuwa yang diberikan melalui “hamba yang setia”?

14 Yehuwa telah berjanji untuk menjaga, melindungi, dan mengajar sidang Kristian. Terdapat beberapa cara Dia berbuat demikian. Contohnya, Tuhan melantik Anak-Nya untuk menjaga sidang, dan Yesus telah melantik “hamba yang setia” untuk menyediakan makanan rohani, termasuk arahan dan disiplin. (Luk. 12:42) Pernahkah anda terdorong untuk mengubah fikiran atau kelakuan sendiri setelah mendengar sebuah ceramah atau membaca sebuah rencana? Jika ya, bersukacitalah kerana anda sedang memanfaatkan disiplin Yehuwa.​—Ams. 2:1-5.

15, 16. (a) Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan “kurnia berupa manusia”? (b) Bagaimanakah kita dapat meringankan kerja para penatua?

15 Kristus juga memberikan “kurnia berupa manusia” kepada sidang, iaitu para penatua yang menggembala kawanan Tuhan. (Ef. 4:8, 11-13) Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan kurniaan tersebut? Salah satu cara adalah dengan meniru iman dan teladan para penatua. Kita juga dapat mengikut nasihat Bible yang diberikan mereka. (Baca Ibrani 13:7, 17.) Para penatua mengasihi kita dan ingin kita maju secara rohani. Jika mereka mendapati kita jarang menghadiri perjumpaan atau mula hilang semangat, mereka akan segera mencuba membantu kita. Mereka akan mendengar luahan kita dan memberi kita galakan dan nasihat yang bernas daripada Bible. Adakah anda memandang bantuan sedemikian sebagai bukti bahawa Yehuwa mengasihi anda?

16 Ingatlah bahawa penatua mungkin berasa susah untuk memberi kita teguran. Bayangkan betapa susahnya bagi Nabi Natan  untuk menghadap Daud setelah Daud cuba menyembunyikan dosanya! (2 Sam. 12:1-14) Rasul Paulus juga perlu berani untuk membetulkan Petrus, salah seorang daripada 12 orang rasul, apabila dia bersikap berat sebelah. (Gal. 2:11-14) Bagaimanakah anda dapat meringankan kerja penatua di sidang anda? Jadilah orang yang rendah hati dan mudah dibawa berbincang, dan hargailah usaha mereka. Pandanglah bantuan mereka sebagai bukti akan kasih Tuhan. Dengan itu, anda akan meraih manfaat, dan mereka dapat berkhidmat dengan sukacita.

17. Bagaimanakah seorang saudari dibantu oleh para penatua?

17 Disebabkan kisah silamnya, seorang saudari berasa susah untuk mengasihi Yehuwa. Dia berkata, “Semasa saya berasa hampir diremukkan, saya tahu saya mesti berjumpa dengan penatua. Mereka tidak marah atau mengkritik saya. Sebaliknya mereka menggalakkan dan menguatkan saya. Setiap kali selepas perjumpaan, tidak kira betapa sibuknya mereka, sekurang-kurangnya seorang penatua akan datang bertanya khabar. Kisah silam saya membuat saya rasa tidak layak dikasihi Tuhan, tetapi Yehuwa berulang kali menggunakan sidang dan penatua untuk meyakinkan saya akan kasih-Nya. Saya berdoa agar saya tidak akan meninggalkan-Nya.”

SESUATU YANG LEBIH TERUK DARIPADA SENGATAN DISIPLIN

18, 19. Apakah hal yang jauh lebih teruk daripada sengatan disiplin? Berikan contoh.

18 Kita mungkin berasa seperti disengat semasa didisiplinkan, tetapi jika kita menolak disiplin, akibatnya jauh lebih menyakitkan. (Ibr. 12:11) Fikirkan contoh Kain dan Raja Zedekia. Semasa Kain membenci Habel dan ingin membunuhnya, Tuhan menasihati Kain, “Mengapakah engkau begitu marah dan kecewa? Jika engkau berubah dan berbuat baik, bukankah Aku akan berasa senang hati dengan engkau? Namun jika engkau tidak berubah dan tidak berbuat baik, dosa sedang menunggu di pintu dan menanti-nantikan peluang untuk menguasai engkau. Tetapi engkau harus berusaha untuk mengalahkannya.” (Kej. 4:6, 7) Kain menolak disiplin Tuhan. Dia dikuasai dosa lalu menyebabkan dirinya sengsara seumur hidup. (Kej. 4:11, 12) Hal itu jauh lebih teruk berbanding sengatan disiplin.

19 Zedekia pula ialah raja yang lemah dan jahat, yang memerintah pada zaman kegelapan Yerusalem. Nabi Yeremia menasihatinya berkali-kali untuk meninggalkan haluan yang jahat, tetapi raja itu menolak disiplin Tuhan lalu ditimpa akibat buruk. (Yer. 52:8-11) Yehuwa tidak mahu kita mengalami kesakitan sedemikian!​—Baca Yesaya 48:17, 18.

20. Apakah yang akan berlaku kepada orang yang menerima disiplin Tuhan dan mereka yang menolaknya?

20 Ramai orang di dunia ini mencemuh disiplin, tetapi tidak lama lagi, orang yang menolak disiplin Tuhan akan menerima padah. (Ams. 1:24-31) Maka, ‘dengarkanlah disiplin dan jadilah bijak.’ Seperti yang dinasihati di Amsal 4:13, “Berpeganglah pada disiplin dan janganlah melepaskannya. Peliharalah disiplin kerana disiplin menjamin kehidupanmu.”