Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bilakah umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar?

Hal ini berlaku selepas tahun 100 M dan berakhir pada tahun 1919. Mengapakah pemahaman kita mengenai hal ini berubah?

Semua bukti menunjukkan bahawa pada tahun 1919, kaum terurap dibebaskan daripada Babilon Besar dan dikumpulkan ke dalam sidang yang dimurnikan. Fikirkan hal ini: Sebaik sahaja Kerajaan Tuhan memerintah di syurga pada tahun 1914, umat Tuhan diuji dan secara beransur-ansur dimurnikan daripada agama palsu. * (Mal. 3:1-4) Kemudian pada tahun 1919, Yesus melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk memberikan “makanan pada masa yang sesuai” kepada umat Tuhan yang dimurnikan. (Mat. 24:45-47) Pada tahun yang sama, umat Tuhan secara kiasan dibebaskan daripada tawanan Babilon Besar. (Why. 18:4) Namun, bilakah umat Tuhan ditawan?

Pada masa lalu, majalah ini menjelaskan bahawa umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar untuk jangka masa yang pendek sejak tahun 1918. Majalah The Watchtower 15 Mac 1992 mengatakan bahawa sepertimana orang Israel ditawan oleh Babilon, umat Yehuwa ditawan oleh Babilon Besar pada tahun 1918. Namun, banyak kajian menunjukkan bahawa umat Tuhan ditawan lama sebelum tahun 1918.

Yehezkiel 37:1-14 menubuatkan bahawa umat Tuhan akan ditawan dan kemudian dibebaskan. Yehezkiel mendapat penglihatan tentang sebuah lembah yang penuh dengan tulang. Yehuwa berkata, “Umat Israel sama seperti tulang-tulang itu.” Hal ini merujuk kepada bangsa Israel dan kemudiannya kepada “Israel milik Tuhan” yang merupakan kaum terurap. (Gal. 6:16; Kis. 3:21) Dalam penglihatan itu, tulang-tulang itu hidup semula dan membentuk satu pasukan tentera yang besar. Hal ini menggambarkan cara umat Tuhan dibebaskan daripada Babilon Besar pada tahun 1919. Namun, bagaimanakah nubuat ini menunjukkan bahawa mereka ditawan untuk jangka masa yang lama?

Pertama, Yehezkiel nampak bahawa tulang-tulang itu “sangat kering.” (Yeh. 37:2, 11) Hal ini bererti bahawa mereka sudah lama mati. Kedua, Yehezkiel nampak bahawa orang mati itu hidup  semula secara perlahan-lahan, bukannya tiba-tiba. Dia “mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain.” Kemudian, “tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit.” Selepas itu, nafas dihembuskan “ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup.” Akhirnya, selepas mereka hidup semula, Yehuwa memberi mereka tanah untuk didiami. Semua ini memerlukan masa.—Yeh. 37:7-10, 14.

Seperti yang dinubuatkan, orang Israel ditawan untuk jangka masa yang lama. Penawanan itu bermula pada tahun 740 SM apabila sepuluh suku bangsa Israel, iaitu kerajaan Israel di utara, dipaksa meninggalkan negeri mereka. Kemudian pada tahun 607 SM, Yerusalem dimusnahkan oleh orang Babilon, dan dua lagi suku, iaitu kerajaan Yehuda di selatan, juga dipaksa meninggalkan tempat mereka. Pada tahun 537 SM, penawanan itu berakhir apabila sisa daripada orang Yahudi kembali ke Yerusalem untuk membina semula Rumah Tuhan dan menyembah Yehuwa.

Maka, semua perincian ini menunjukkan bahawa kaum terurap ditawan oleh Babilon Besar untuk masa yang panjang, bukan hanya dari tahun 1918 hingga 1919. Hal ini juga berkait dengan masanya apabila orang Kristian palsu, iaitu lalang, akan tumbuh bersama gandum, iaitu “anak-anak Kerajaan Tuhan.” (Mat. 13:36-43) Sepanjang masa itu, hanya terdapat sedikit orang Kristian sejati. Kebanyakan orang yang mengaku Kristian telah menerima ajaran palsu dan menjadi murtad. Jadi kita boleh menyimpulkan bahawa sidang Kristian telah ditawan oleh Babilon Besar. Penawanan ini bermula selepas tahun 100 M dan berterusan hingga Rumah Rohani Tuhan dimurnikan pada akhir zaman.—Kis. 20:29, 30; 2 Tes. 2:3, 6; 1 Yoh. 2:18, 19.

Selama ratusan tahun itu, pemimpin gereja dan pemimpin politik ingin mengawal orang lain. Contohnya, orang tidak dibenarkan untuk memiliki atau membaca Bible dalam bahasa mereka. Sesetengah orang yang membaca Bible telah dibakar di tiang. Mereka yang menentang ajaran pemimpin gereja pula akan dihukum dengan teruk. Maka, sangat susah bagi orang untuk mempelajari kebenaran atau mengajarkannya kepada orang lain.

Kita juga belajar daripada penglihatan Yehezkiel bahawa umat Tuhan hidup semula dan dibebaskan daripada agama palsu secara beransur-ansur. Bilakah hal ini terjadi dan bagaimana? Dalam  penglihatan itu, kedengaran “bunyi berderak-derik.” Hal ini mula berlaku sejak beberapa ratus tahun sebelum akhir zaman. Pada masa itu, terdapat beberapa orang yang ingin mencari kebenaran dan menyembah Tuhan walaupun dikelilingi agama palsu. Mereka belajar Bible dan mengongsinya kepada orang lain. Ada juga yang menterjemahkan Bible ke dalam bahasa yang difahami ramai.

Kemudian sekitar 1870-an, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit. Charles Taze Russell dan sahabat-sahabatnya berusaha untuk mencari kebenaran Bible dan menyembah Yehuwa. Mereka juga membantu orang lain memahami kebenaran melalui majalah Zion’s Watch Tower dan bahan bacaan lain. Kemudian, “Drama-Foto Penciptaan” ditayangkan pada tahun 1914 dan buku The Finished Mystery diterbitkan pada tahun 1917. Semua ini menguatkan iman umat Tuhan. Pada tahun 1919, mereka seperti dihidupkan semula dan diberikan tanah untuk didiami. Sejak itu, orang yang mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi menyertai kaum terurap. Mereka semua menyembah Yehuwa dan menjadi “satu pasukan tentera yang besar.”—Yeh. 37:10; Za. 8:20-23. *

Maka, jelaslah bahawa umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar selepas tahun 100 M. Pada masa itu, ramai orang menjadi murtad dan menerima ajaran palsu serta menolak kebenaran. Selama bertahun-tahun, orang berasa susah untuk menyembah Yehuwa. Hal ini seperti keadaan orang Israel apabila ditawan. Tetapi hari ini, kebenaran disebarkan kepada semua orang. Betapa gembiranya kita kerana kini orang yang mempunyai pengertian “bersinar . . . cerah.” Ramai orang hari ini telah “diuji dan dimurnikan” serta menerima ibadat sejati!—Dan. 12:3, 10.

Sewaktu Syaitan menggoda Yesus, adakah dia membawa Yesus ke Rumah Tuhan atau menggunakan penglihatan?

Kami tidak pasti sama ada Yesus benar-benar berdiri di atas Rumah Tuhan atau hal itu sekadar suatu penglihatan.

Penulis Bible iaitu Matius dan Lukas menulis tentang peristiwa ini. Matius berkata bahawa “Iblis membawa” Yesus ke Yerusalem lalu “menempatkannya di puncak tembok Rumah Tuhan.” (Mat. 4:5) Lukas juga mengatakan hal yang sama.—Luk. 4:9.

Pada masa lalu, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa peristiwa ini tidak berlaku secara harfiah. Majalah The Watchtower terbitan 1 Mac 1961 membandingkan hal ini dengan peristiwa ketika Syaitan menggoda Yesus di sebuah gunung yang tinggi. Syaitan menunjukkan semua kerajaan dunia kepada Yesus. Terbitan itu menyatakan bahawa tiada gunung yang begitu tinggi sehingga dapat melihat semua kerajaan dunia. Oleh itu, majalah  itu menyatakan bahawa Syaitan mungkin tidak membawa Yesus ke Rumah Tuhan secara fizikal. Namun, rencana dalam The Watchtower kemudiannya berkata bahawa jika Yesus terjun dari Rumah Tuhan, dia mungkin akan mati.

Sesetengah orang berkata bahawa Yesus bukan orang Lewi, jadi dia tidak sepatutnya dibenarkan untuk berdiri di atas Rumah Tuhan. Oleh itu, mereka berkata bahawa Syaitan pasti menggoda Yesus dengan menggunakan penglihatan. Ratusan tahun sebelum itu, Yehezkiel juga dibawa ke Rumah Tuhan dalam satu penglihatan.—Yeh. 8:3, 7-10; 11:1, 24; 37:1, 2.

Jika Yesus dibawa ke Rumah Tuhan dalam satu penglihatan, sesetengah orang mungkin berfikir:

  • Adakah Yesus akan tergoda untuk terjun dari Rumah Tuhan?

  • Syaitan juga telah menggoda Yesus untuk menukar batu menjadi roti, dan menyuruh Yesus bersujud menyembahnya. Jadi, bukankah Syaitan benar-benar ingin Yesus terjun dari Rumah Tuhan?

Namun, jika Syaitan membawa Yesus ke Rumah Tuhan dan bukannya menggunakan penglihatan, sesetengah orang mungkin berfikir:

  • Tidakkah Yesus melanggar Hukum Musa kerana berdiri di atas Rumah Tuhan?

  • Dari padang belantara, bagaimanakah Yesus pergi ke Rumah Tuhan di Yerusalem?

Mari kita lihat beberapa maklumat tambahan yang dapat membantu kita menjawab dua soalan terakhir ini.

Profesor D. A. Carson menulis bahawa perkataan Yunani, hi·e·ron’, bagi “Rumah Tuhan” yang digunakan di buku Matius dan Lukas mungkin merujuk kepada seluruh kawasan Rumah Tuhan, bukan sahaja kawasan di mana orang Lewi dibenarkan masuk. Di bahagian tenggara kawasan Rumah Tuhan terdapat bumbung yang rata. Itulah tempat yang tertinggi di kawasan Rumah Tuhan. Yesus mungkin berdiri di sana, dan ketinggian dari situ hingga ke Lembah Kidron ialah kira-kira 140 m. Seorang sejarawan yang bernama Josephus mengatakan bahawa jika seseorang berdiri di situ dan melihat ke bawah, orang itu akan “berasa gayat.” Memandangkan Yesus bukan orang Lewi, dia boleh berdiri di situ dan tiada sesiapa pun yang dapat menghalangnya.

Namun, bagaimanakah Yesus pergi dari padang belantara ke Rumah Tuhan di Yerusalem? Kami tidak pasti. Bible hanya menyatakan bahawa Yesus dibawa ke Yerusalem. Bible tidak menyatakan berapa jauh Yesus berada dari Yerusalem atau berapa lama dia digoda oleh Syaitan. Oleh itu, Yesus mungkin berjalan kaki ke Yerusalem walaupun hal itu memakan masa yang panjang.

Sewaktu Syaitan menunjukkan “semua kerajaan dunia” kepada Yesus, dia mungkin menggunakan penglihatan. Hal ini adalah kerana tidak mungkin untuk melihat semua kerajaan dunia dari mana-mana gunung di bumi. Sebagaimana kita menggunakan projektor untuk menayangkan gambar tempat-tempat lain di bumi, Syaitan juga mungkin menggunakan penglihatan. Tetapi, dia sebenarnya ingin Yesus sujud dan menyembahnya. (Mat. 4:8, 9) Maka, apabila Syaitan membawa Yesus ke Rumah Tuhan, dia mungkin ingin Yesus membahayakan diri dengan terjun dari situ. Tetapi Yesus menolak godaan itu. Godaan itu tentunya tidak begitu serius jika Syaitan hanya menggunakan penglihatan!

Oleh itu, kemungkinan Yesus pergi ke Yerusalem dan berdiri di tempat yang tertinggi di Rumah Tuhan. Seperti yang disebutkan di awal rencana ini, kami tidak pasti sama ada Yesus benar-benar berdiri di atas Rumah Tuhan atau sekadar suatu penglihatan. Tetapi kami pasti bahawa Syaitan cuba menggoda Yesus untuk melakukan sesuatu yang salah dan Yesus telah menolak godaan tersebut.

^ per. 1 Yehezkiel 37:1-14 dan Wahyu 11:7-12 menyebut tentang peristiwa yang berlaku pada tahun 1919. Nubuat di Yehezkiel 37:1-14 merujuk kepada semua umat Tuhan yang kembali kepada ibadat sejati pada tahun 1919 selepas ditawan untuk masa yang lama. Tetapi Wahyu 11:7-12 merujuk kepada sekumpulan kecil saudara terurap yang dibangkitkan secara rohani untuk mengambil pimpinan dalam kalangan umat Tuhan pada tahun 1919. Mereka tidak aktif buat suatu jangka masa sebelum itu.