Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Menghargai Yehuwa sebagai Tukang Tembikar Kita

Menghargai Yehuwa sebagai Tukang Tembikar Kita

‘Ya Yehuwa. Engkau seperti tukang [“tembikar,” NW]. Engkaulah yang menciptakan kami.’​YES. 64:8.

LAGU: 89, 26

1. Mengapakah Yehuwa ialah Tukang Tembikar Yang Agung?

PADA November 2010, sebuah tembikar cina yang antik telah dilelong sebanyak kira-kira 70 juta dolar di London, England. Jelaslah, tukang tembikar dapat membentuk tanah liat yang tidak bernilai kepada sebuah karya yang indah dan berharga. Namun, tiada manusia yang dapat menandingi Yehuwa. Pada akhir hari penciptaan keenam, Tuhan “mengambil sedikit tanah” untuk mencipta manusia. Dia memberi manusia keupayaan untuk mencerminkan sifat-sifat-Nya. (Kej. 2:7) Maka, Adam, iaitu manusia pertama yang dibentuk daripada tanah digelar sebagai “anak Tuhan.”​—Luk. 3:38.

2, 3. Bagaimanakah kita dapat meniru sifat orang Israel yang bertaubat?

2 Namun, Adam telah kehilangan penghormatannya sebagai anak Tuhan kerana dia memberontak terhadap Penciptanya. Walaupun begitu, banyak keturunan Adam mendukung kedaulatan Tuhan. (Ibr. 12:1) Mereka tunduk kepada Pencipta lalu menunjukkan bahawa mereka memihak kepada Bapa dan Tukang Tembikar mereka, bukannya Syaitan. (Yoh. 8:44) Ketaatan mereka mengingatkan kita mengenai kata-kata orang Israel yang bertaubat: ‘Engkaulah Bapa kami, ya Yehuwa. Kami ini seperti tanah liat, dan  Engkau seperti tukang [“tembikar,” NW]. Engkaulah yang menciptakan kami.’​—Yes. 64:8.

3 Hari ini, orang yang menyembah Yehuwa dengan bimbingan daya aktif dan kebenaran berusaha menunjukkan kerendahan hati dan ketundukan. Mereka bangga untuk memanggil Yehuwa sebagai Bapa dan tunduk kepada Tukang Tembikar Yang Agung. Adakah anda seperti tanah liat yang lembut dalam tangan Tuhan dan rela dibentuk menjadi tembikar yang indah di mata-Nya? Adakah anda memandang rakan seiman sebagai karya yang masih sedang dibentuk oleh Tuhan? Mari kita kaji cara Tukang Tembikar memilih orang yang dibentuk-Nya, sebab Dia membentuk mereka, dan cara Dia membentuk mereka.

MEMILIH ORANG YANG DIBENTUK-NYA

4. Bagaimanakah Yehuwa memilih orang yang dipimpin kepada-Nya? Berikan contoh.

4 Yehuwa tidak menilai orang berdasarkan penampilan luaran, tetapi Dia menyelidiki hati orang. (Baca 1 Samuel 16:7b.) Hal ini jelas dilihat semasa sidang Kristian dibentuk. Walaupun ramai individu dipandang rendah oleh manusia, Yehuwa memimpin mereka kepada-Nya dan anak-Nya, Yesus. (Yoh. 6:44) Contohnya, seorang Farisi yang bernama Saulus “menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.” (1 Tim. 1:13) Namun, Yehuwa dapat menyelidiki hatinya dan tidak menganggapnya sebagai tanah liat yang tidak berguna. (Ams. 17:3) Sebaliknya, Tuhan melihat Saulus sebagai seseorang yang boleh dibentuk menjadi tembikar yang berguna. Dia dipilih untuk menyebarkan berita baik kepada “raja-raja, umat Israel, dan bangsa-bangsa lain.” (Kis. 9:15) Orang lain yang dipilih oleh Tuhan termasuklah individu yang dahulunya kaki botol, tidak bermoral, dan pencuri. (Rm. 9:21; 1 Kor. 6:9-11) Mereka menunjukkan bahawa mereka rela dibentuk oleh Tuhan kerana mereka telah menimba pengetahuan yang tepat mengenai Firman Tuhan dan menunjukkan iman.

5, 6. Bagaimanakah kepercayaan kita kepada Tukang Tembikar Yang Agung seharusnya mempengaruhi sikap kita terhadap (a) orang di kawasan penyebaran? (b) rakan seiman kita?

5 Apakah pengajarannya? Kita percaya bahawa Yehuwa dapat membaca hati dan memimpin orang yang sesuai kepada-Nya. Oleh itu, kita tidak harus menghakimi orang di kawasan penyebaran atau dalam sidang. Contohnya, Michael berkata, “Semasa Saksi-Saksi Yehuwa bertemu dengan saya, saya terus beredar dan tidak mempedulikan mereka seolah-olah mereka tidak wujud. Saya sangat biadab terhadap mereka. Namun pernah sekali, saya berjumpa dengan sebuah keluarga dan kagum dengan kelakuan baik mereka. Saya terkejut apabila mengetahui mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa! Kelakuan mereka mendorong saya untuk berfikir tentang mengapa saya tidak suka Saksi. Saya kemudiannya sedar bahawa sikap saya adalah kerana saya kurang pengetahuan tentang Saksi dan percaya khabar angin, bukannya fakta.” Untuk mengetahui lebih banyak tentang Saksi, Michael menerima pembelajaran Bible. Akhirnya dia memeluk kebenaran dan berkhidmat sepenuh masa.

6 Apabila kita menerima Yehuwa sebagai Tukang Tembikar kita, hal ini akan mempengaruhi pandangan kita terhadap rakan seiman. Adakah anda memandang saudara saudari sepertimana Yehuwa memandang mereka, iaitu sebagai karya yang masih dibentuk oleh-Nya? Yehuwa dapat melihat batin dan potensi orang yang dibentuk-Nya. Maka, Yehuwa selalu mempunyai pandangan positif terhadap orang dan tidak berfokus kepada ketidaksempurnaan mereka. (Mzm. 130:3) Kita boleh meniru pandangan positif Tuhan. Apabila kita menyokong rakan  seiman yang sedang membuat kemajuan rohani, kita sebenarnya bekerjasama dengan Tukang Tembikar. (1 Tes. 5:14, 15) Sebagai “kurnia berupa manusia,” para penatua perlu memberikan teladan baik dalam hal ini.​—Ef. 4:8, 11-13.

MENGAPAKAH YEHUWA MEMBENTUK KITA?

7. Mengapakah anda menghargai disiplin daripada Yehuwa?

7 Sesetengah orang mungkin berkata, “Saya tidak menghargai disiplin yang diberikan ibu bapa sehinggalah saya ada anak sendiri.” Apabila kita lebih berpengalaman dalam kehidupan, kita mungkin menghargai disiplin kerana sedar bahawa disiplin didorong oleh kasih. (Baca Ibrani 12:5, 6, 11.) Yehuwa membentuk anak-anak-Nya dengan sabar kerana mengasihi mereka. Dia menginginkan kita menjadi bijak dan gembira, serta membalas kasih-Nya. (Ams. 23:15) Yehuwa tidak ingin kita menderita atau menjadi “anak-anak yang membangkitkan kemurkaan Tuhan” dan akhirnya mati kerana dosa.​—Ef. 2:2, 3.

8, 9. Bagaimanakah Yehuwa mengajar kita hari ini, dan bagaimanakah Dia mendidik kita pada masa depan?

8 Dahulunya, kita “anak-anak yang membangkitkan kemurkaan Tuhan” dan memiliki sifat yang tidak diperkenankan Tuhan! Namun, kita dibentuk oleh Yehuwa dan sekarang memiliki sifat-sifat seperti biri-biri. (Yes. 11:6-8; Kol. 3:9, 10) Yehuwa sedang membentuk kita menerusi firdaus rohani, iaitu persekitaran rohani yang dinikmati oleh umat-Nya. Maka, kita berasa selamat dan terlindung walaupun hidup di dunia yang jahat ini. Dahulu, ada yang dibesarkan dalam keluarga yang kurang kasih sayang dan bermasalah, tetapi mereka akhirnya menikmati kasih sejati daripada saudara saudari. (Yoh. 13:35) Kita juga belajar menunjukkan kasih kepada orang lain. Yang paling penting, kita mengenal Yehuwa dan menikmati kasih-Nya.​—Yak. 4:8.

9 Di dunia baru, kita akan menikmati firdaus rohani dengan sepenuhnya. Pada masa itu, kita juga akan menikmati firdaus jasmani di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Bumi akan dipulihkan dan Yehuwa akan terus membentuk dan mendidik umat-Nya dalam cara yang tidak dapat dibayangkan pada hari ini. (Yes. 11:9) Selain itu, Yehuwa akan menjadikan minda dan tubuh kita sempurna supaya kita dapat menerima ajaran-Nya dan melakukan kehendak-Nya dengan lebih mudah. Maka, marilah kita mentaati Yehuwa. Dengan demikian, kita menunjukkan bahawa kita rela dibentuk oleh-Nya dan menghargai kasih Yehuwa.​—Ams. 3:11, 12.

CARA YEHUWA MEMBENTUK KITA

10. Bagaimanakah Yesus mencerminkan kesabaran dan kemahiran Tukang Tembikar Yang Agung?

10 Seperti tukang tembikar yang mahir, Yehuwa tahu jenis dan mutu “tanah liat” dalam tangan-Nya dan cara membentuknya. (Baca Mazmur 103:10-14.) Dia memahami kelemahan, keterbatasan, dan tahap kerohanian setiap orang. Sikap Tuhan terhadap manusia dicerminkan oleh Anak-Nya. Fikirkan cara Yesus menangani kesilapan para rasul yang cenderung bertengkar tentang kedudukan. Jika anda melihat para rasul yang bertengkar, anda mungkin memandang mereka sebagai orang yang tidak berwatak lembut dan sukar dibentuk. Namun, Yesus tidak mempunyai pandangan negatif terhadap mereka. Dia tahu bahawa para rasulnya dapat dibentuk menerusi nasihat yang sabar dan lemah lembut. Mereka juga dapat belajar daripada kerendahan hatinya. (Mrk. 9:33-37; 10:37, 41-45; Luk. 22:24-27) Selepas Yesus dibangkitkan, para rasul menerima daya aktif lalu berfokus kepada tugas yang diamanahkan kepada mereka, bukannya kedudukan atau kemasyhuran.​—Kis. 5:42.

11. Bagaimanakah Daud menunjukkan bahawa dia senang dibentuk? Bagaimanakah kita dapat menirunya?

 11 Hari ini, Yehuwa membentuk umat-Nya melalui Firman-Nya, daya aktif-Nya, dan sidang Kristian. Bagaimanakah Firman Tuhan membentuk kita? Kita harus membacanya, merenungkannya, dan meminta bantuan Yehuwa untuk menerapkan apa yang dipelajari. Daud menulis, “Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau.” (Mzm. 63:7) Dia juga menulis, ‘Aku memuji Yehuwa kerana Engkau membimbing aku, pada waktu malam suara hatiku mengajar aku.’ (Mzm. 16:7) Ya, walaupun nasihat Tuhan tegas, Daud membenarkan nasihat itu untuk menyentuh lubuk hatinya serta mempengaruhi pemikiran dan perasaannya. (2 Sam. 12:1-13) Daud telah menunjukkan kerendahan hati dan tunduk kepada Tuhan! Adakah anda merenungkan Alkitab dan membenarkannya menyentuh lubuk hati anda? Jika ya, bolehkah anda melakukannya dengan lebih kerap?​—Mzm. 1:2, 3.

12, 13. Bagaimanakah Yehuwa membentuk kita melalui daya aktif dan sidang Kristian?

12 Daya aktif dapat membentuk kita dalam beberapa cara. Misalnya, daya aktif dapat membantu kita memupuk keperibadian Kristus dan menunjukkan aspek-aspek buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Salah satu aspek itu ialah kasih. Kita mengasihi Tuhan dan ingin mentaati-Nya serta dibentuk oleh-Nya. Kita sedar perintah-Nya tidak membebankan. Daya aktif juga memberi kita kekuatan untuk menolak pengaruh dan kecenderungan mental dunia. (Ef. 2:2) Semasa Paulus masih muda, dia dipengaruhi oleh pemimpin agama Yahudi yang angkuh. Namun daya aktif membantunya untuk membuat perubahan. Dia menulis, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” (Flp. 4:13) Seperti Paulus, marilah kita terus meminta bantuan daya aktif. Yehuwa tentu akan mengabulkan doa orang yang berhati jujur.​—Mzm. 10:17.

Yehuwa menggunakan penatua untuk membentuk kita, tetapi kita harus rela menerima nasihat mereka (Lihat perenggan 12, 13)

13 Yehuwa menggunakan sidang dan penatua untuk membentuk kita. Contohnya, jika  penatua sedar bahawa kita menghadapi masalah rohani, mereka akan membantu kita. Nasihat mereka tidak berdasarkan fikiran sendiri. (Gal. 6:1) Sebaliknya, mereka dengan rendah hati memohon pengertian dan kebijaksanaan daripada Tuhan. Mereka menyelidiki Firman Tuhan dan bahan bacaan kita. Hal ini melengkapkan mereka untuk memberikan bantuan yang sesuai dengan keadaan kita. Jika mereka memberikan nasihat yang prihatin dan pengasih, misalnya tentang cara pemakaian anda, adakah anda menerima nasihat itu sebagai bukti kasih daripada Tuhan? Jika ya, anda seperti tanah liat yang lembut dalam tangan Yehuwa dan anda akan meraih manfaat.

14. Walaupun Yehuwa berhak untuk membentuk kita, bagaimanakah Yehuwa menghormati kebebasan kita untuk memilih?

14 Yehuwa membentuk kita supaya kita menikmati hubungan yang baik dengan rakan seiman. Selain itu, kita juga akan mempunyai pandangan yang positif terhadap orang di kawasan penyebaran kita, termasuklah pelajar Bible kita. Pada zaman Bible, seorang tukang tembikar tidak terus mengambil tanah liat dan membentuknya menjadi sebuah tembikar. Dia menyingkirkan dahulu batu-batu kecil dan kekotoran daripada tanah liat itu. Begitu juga, Tuhan membantu orang yang rela dibentuk oleh-Nya. Dia tidak memaksa mereka untuk membuat perubahan, tetapi Dia memberitahu mereka tentang piawaian-Nya yang suci. Dengan demikian, mereka dapat membuat perubahan dalam kehidupan mereka secara rela.

15, 16. Bagaimanakah pelajar Bible menunjukkan bahawa mereka ingin dibentuk oleh Yehuwa? Berikan contoh.

15 Fikirkan contoh Tessie di Australia. Saudari yang mengajar Bible dengannya berkata, “Tessie menerima ajaran Bible dengan mudah. Namun, kemajuan rohaninya tidak ketara. Dia bahkan tidak menghadiri perjumpaan Kristian! Selepas berdoa dan memikirkan hal itu, saya memutuskan untuk berhenti belajar dengannya. Kemudian, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Saya berfikir bahawa saya akan belajar dengannya buat kali terakhir. Tetapi pada masa itu, Tessie mencurahkan isi hatinya. Dia berkata bahawa dia seperti bermuka dua kerana dia suka berjudi. Namun, dia memutuskan untuk menghentikan tabiat buruk itu.”

16 Tidak lama kemudian, Tessie mula menghadiri perjumpaan dan mengenakan keperibadian Kristian meskipun dia diejek oleh kawan-kawannya. Saudari itu menambah, “Selepas itu, Tessie dibaptis dan kemudian menjadi perintis biasa walaupun anak-anaknya masih kecil.” Ya, apabila pelajar Bible mula membuat perubahan untuk menyenangkan hati Tuhan, Dia akan menghampiri mereka dan membentuk mereka menjadi tembikar yang indah.

17. (a) Mengapakah anda menghargai Yehuwa sebagai Tukang Tembikar anda? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

17 Hari ini, sesetengah tembikar masih dibuat dengan tangan. Tukang tembikar membentuk tanah liat dengan teliti. Begitu juga, Tukang Tembikar Yang Agung membentuk kita dengan sabar dan teliti. Dia memberi kita nasihat dan memerhatikan reaksi kita. (Baca Mazmur 32:8.) Dapatkah anda merasai keprihatinan Yehuwa terhadap anda? Dapatkah anda melihat cara Yehuwa membentuk anda dengan pengasih? Jika ya, apakah sifat-sifat lain yang dapat membantu anda untuk tetap menjadi seperti tanah liat yang mudah dibentuk oleh Yehuwa? Apakah perkara yang harus dihindari agar anda tidak menjadi seperti tanah liat keras? Bagaimanakah ibu bapa dapat bekerjasama dengan Yehuwa untuk membentuk anak mereka? Rencana yang seterusnya akan membincangkan perkara-perkara tersebut.