“Bersikap rendah hati adalah lebih bijaksana.”AMS. 11:2.

LAGU: 38, 69

1, 2. Mengapakah Tuhan menolak seorang raja yang pada mulanya rendah hati? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

RAJA SAUL mula memerintah sebagai seorang yang rendah hati. (1 Sam. 9:1, 2, 21; 10:20-24) Namun, selepas dia menjadi raja, dia mula menjadi sombong. Apabila nabi Tuhan, iaitu Samuel, tidak datang pada waktu yang ditetapkan, Saul hilang sabar. Tentera Filistin bersedia untuk menyerang dan orang Israel mula meninggalkan Saul. Saul mungkin berfikir, “Saya harus melakukan sesuatu dengan cepat!” Jadi dia mempersembahkan korban bakar walaupun dia tidak diizinkan untuk melakukan hal itu. Oleh itu, dia tidak menyenangkan hati Yehuwa.1 Sam. 13:5-9.

2 Apabila Samuel tiba di Gilgal, dia menegur Saul. Saul tidak menerima teguran itu tetapi cuba membela diri dengan menyalahkan pihak lain atas kesalahannya. (1 Sam. 13:10-14) Sejak itu, Saul mula menjadi lebih sombong. Jadi dia kehilangan perkenan Yehuwa dan tidak dapat memerintah lagi. (1 Sam. 15:22, 23) Walaupun dia mempunyai permulaan yang baik, dia mengalami kesudahan yang menyedihkan.1 Sam. 31:1-6.

3. (a) Apakah pandangan kebanyakan orang mengenai kerendahan hati? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab?

 3 Dalam dunia yang penuh persaingan, ramai yang berasa bahawa mereka tidak boleh rendah hati jika ingin berjaya dalam hidup. Contohnya, seorang pelakon terkenal yang menjadi ahli politik pernah berkata bahawa dia tidak ingin menunjukkan kerendahan hati. Namun, mengapakah sikap rendah hati penting bagi orang Kristian? Apakah itu kerendahan hati, dan apakah pandangan yang betul mengenai sikap ini? Bagaimanakah kita dapat tetap rendah hati meskipun menghadapi situasi yang mencabar? Rencana ini akan menjawab dua soalan yang pertama. Soalan ketiga akan dibincangkan dalam rencana seterusnya.

MENGAPAKAH SIKAP RENDAH HATI PENTING?

4. Apakah maksudnya “bertindak dengan angkuh”?

4 Bible menjelaskan bahawa kata lawan kerendahan hati ialah kesombongan. Kesombongan boleh menyebabkan orang bertindak dengan angkuh. (Baca Amsal 11:2.) Daud meminta Yehuwa untuk membantunya supaya “tidak bertindak dengan angkuh.” (Mzm. 19:13, NW) Apakah maksudnya “bertindak dengan angkuh”? Apabila seseorang melakukan sesuatu yang tidak berhak dilakukannya kerana dia sombong atau tidak sabar, dia sebenarnya bertindak dengan angkuh. Oleh sebab dosa, kita semua ada kalanya bertindak dengan angkuh. Jika kita cenderung bertindak sedemikian, lama-kelamaan hubungan kita dengan Tuhan akan terjejas seperti Raja Saul. Mazmur 119:21 berkata bahawa Yehuwa “menegur orang yang sombong.”

5. Mengapakah tindakan yang angkuh sangat serius?

5 Bertindak dengan angkuh adalah lebih serius daripada melakukan dosa yang tidak disengajakan. Mengapa? Pertama, jika kita bertindak dengan angkuh, kita tidak menghormati Yehuwa sebagai Pemerintah yang Berdaulat. Kedua, jika kita bertindak di luar batas kita, kita mungkin menghadapi perselisihan dengan orang lain. (Ams. 13:10) Ketiga, perbuatan angkuh boleh menyebabkan kita mendapat malu. (Luk. 14:8, 9) Keangkuhan membawa akibat buruk. Bible menunjukkan bahawa haluan bijak adalah dengan memupuk kerendahan hati.

APAKAH ITU SIKAP RENDAH HATI?

6, 7. Bagaimanakah seorang yang rendah hati memandang dirinya?

6 Seorang Kristian yang rendah hati tidak akan bersikap sombong tetapi menganggap orang lain lebih baik daripada dirinya. (Flp. 2:3) Dia sedar tentang keupayaan diri dan mengakui kesilapan. Dia juga rela menerima cadangan dan buah fikiran orang lain. Sikap rendah hati sememangnya menyenangkan hati Yehuwa.

7 Bible menunjukkan bahawa orang yang rendah hati sedar bahawa dia tidak dapat melakukan atau tidak diizinkan untuk melakukan sesetengah perkara. Hal ini membantu dia menghormati orang lain dan melayan mereka dengan baik.

8. Apakah sikap seseorang yang angkuh?

8 Kita mungkin mula bersikap atau bertindak dengan angkuh jika kita menganggap diri terlalu penting atau terlalu menitikberatkan peluang istimewa yang dimiliki. (Rm. 12:16) Kita juga mungkin ingin menarik perhatian orang terhadap diri sendiri. (1 Tim. 2:9, 10) Selain itu, kita mungkin berkeras dengan pandangan sendiri kerana kedudukan kita atau hubungan kita dengan sesetengah orang. (1 Kor. 4:6) Apabila kita bertindak sedemikian, kita mungkin  tidak sedar bahawa kita telah melampaui batas dan bertindak dengan angkuh.

9. Apakah yang menyebabkan seseorang menjadi angkuh? Berikan contoh daripada Bible.

9 Sesiapa sahaja boleh menjadi angkuh jika dia membiarkan diri digoda keinginan tubuh yang berdosa. Cita-cita tinggi, iri hati, dan kemarahan yang tidak terkawal menyebabkan banyak orang bertindak dengan angkuh. Watak-watak Bible seperti Absalom, Uzia, dan Nebukadnezar telah melakukan perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa. Akibatnya, Yehuwa merendahkan mereka.2 Sam. 15:1-6; 18:9-17; 2 Taw. 26:16-21; Dan. 5:18-21.

10. Mengapakah kita harus mengelak daripada menghakimi niat hati orang lain? Berikan contoh Bible.

10 Terdapat sebab lain mengapa seseorang mungkin bertindak dengan melulu. Contohnya, perhatikan catatan Bible berikut: Kejadian 20:2-7 dan Matius 26:31-35. Adakah Abimelekh dan Petrus didorong oleh keinginan berdosa untuk bertindak dengan angkuh? Atau adakah mereka bertindak sedemikian kerana tidak mengetahui semua maklumat? Atau mereka bertindak tanpa berfikir panjang? Memandangkan kita tidak dapat membaca hati orang, kita tidak patut membuat kesimpulan tentang niat hati seseorang.Baca Yakobus 4:12.

SEDAR AKAN PERANAN KITA

11. Orang yang bersikap rendah hati sedar akan apa?

11 Orang yang rendah hati sedar akan peranannya dalam aturan Tuhan. Sebagai Tuhan yang teratur, Yehuwa memberi kita peranan tersendiri dalam organisasi-Nya dan kita semua diperlukan. Yehuwa telah mengurniai setiap orang dengan kebolehan, kelebihan, kemahiran, atau bakat yang berbeza. Dia mengizinkan kita untuk memilih bagaimana kita menggunakannya. Jika kita rendah hati, kita akan menggunakan kurniaan ini dalam cara yang diperkenankan Yehuwa. (Rm. 12:4-8) Kita akan menggunakannya untuk memuliakan Yehuwa dan membantu orang lain.Baca 1 Petrus 4:10.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada Yesus apabila tugas kita berubah? (Lihat perenggan 12-14)

12, 13. Mengapakah peranan kita dalam aturan Tuhan mungkin berubah dari masa ke masa?

12 Seraya masa berlalu, peranan kita dalam aturan Tuhan boleh berubah. Fikirkan contoh Yesus. Pada mulanya, dia bersendirian dengan Yehuwa. (Ams. 8:22) Kemudian, dia membantu menciptakan makhluk roh yang lain, alam semesta, dan manusia. (Kol. 1:16) Selepas itu, Yesus memainkan peranan baharu di bumi, iaitu sebagai seorang bayi yang kemudiannya menjadi dewasa. (Flp. 2:7) Selepas kematiannya, Yesus kembali ke syurga sebagai makhluk roh dan ditabalkan sebagai Raja Kerajaan Tuhan pada tahun 1914. (Ibr. 2:9) Itu bukan tugas terakhir bagi Yesus. Selepas Pemerintahan Seribu Tahun, Yesus akan menyerahkan Kerajaannya kepada Yehuwa supaya “Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah ke atas semuanya.”1 Kor. 15:28.

13 Begitu juga, tugas kita boleh berubah dari masa ke masa, biasanya disebabkan oleh keputusan yang kita buat. Contohnya, adakah anda bujang, tetapi kemudian berkahwin? Adakah anda membesarkan anak? Kemudian, adakah anda menyederhanakan kehidupan supaya dapat berkhidmat sepenuh masa? Setiap keputusan yang dibuat itu memberikan penghormatan dan tanggungjawab tertentu. Keadaan kita dapat meluaskan atau mengehadkan khidmat kita. Adakah anda muda atau berusia? Adakah anda sihat atau lemah? Yehuwa sentiasa tahu bagaimana kita boleh berkhidmat  kepada-Nya dalam cara yang terbaik. Dia munasabah dan menghargai segala yang kita lakukan.Ibr. 6:10.

14. Bagaimanakah sikap rendah hati membantu kita berpuas hati dan bersukacita dalam apa jua situasi?

14 Yesus meraih sukacita daripada setiap tugasnya. Kita juga boleh bersukacita dalam tugas kita. (Ams. 8:30, 31) Seorang yang bersikap rendah hati akan berasa puas dengan tugas atau tanggungjawab yang sedang dipikulnya dalam sidang. Dia tidak risau tentang peluang istimewa yang dia akan dapat atau tentang pencapaian orang lain. Sebaliknya, dia ingin menikmati kehidupan bermakna dan sukacita daripada tanggungjawab yang sudah diberikan Yehuwa. Pada masa yang sama, dia dengan tulus hati menghormati peranan yang diberikan Yehuwa kepada orang lain. Sikap rendah hati dapat membantu kita untuk menghormati dan menyokong orang lain.Rm. 12:10.

PANDANGAN BETUL MENGENAI KERENDAHAN HATI

15. Apakah yang boleh kita pelajari daripada teladan Gideon?

15 Gideon ialah contoh yang baik kerana dia menunjukkan kerendahan hati. Apabila malaikat Tuhan datang kepadanya, Gideon berkata dengan rendah hati, “Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagipun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.” (Hak. 6:15) Namun, Gideon menerima tugas daripada Tuhan. Dia memastikan bahawa dia benar-benar memahami apa yang dikehendaki Tuhan  daripadanya dan meminta bimbingan Tuhan. (Hak. 6:36-40) Gideon ialah seorang yang gagah dan berani. Namun, dia bertindak dengan bijak dan tidak melulu. (Hak. 6:11, 27) Dia tidak melakukan tugasnya kerana ingin dimuliakan. Sebaliknya, selepas dia melaksanakan tugas yang diberikan, dia pulang ke tempat asalnya.Hak. 8:22, 23, 29.

16, 17. Apakah yang dipertimbangkan oleh seseorang yang rendah hati apabila diberi tugas baharu?

16 Adakah memiliki kerendahan hati bermaksud bahawa kita tidak patut menerima tugas baharu atau berusaha mendapatkan peluang berkhidmat dalam sidang? Tidak. Sebenarnya, Alkitab menggalakkan kita untuk membuat kemajuan rohani. (1 Tim. 4:13-15) Adakah hal ini bermaksud bahawa kita perlu melakukan tugas baharu supaya dapat membuat kemajuan? Tidak semestinya. Dengan berkat Yehuwa, kita dapat membuat kemajuan rohani dalam apa sahaja tugas yang diberikan kepada kita. Kita boleh terus mengembangkan kemahiran yang dikurniakan Tuhan serta berusaha untuk melakukan lebih banyak perbuatan baik.

17 Sebelum menerima tugas baharu, seorang yang rendah hati akan menilai situasinya. Contohnya, adakah dia dapat memikul lebih banyak tanggungjawab tanpa mengabaikan hal lain yang penting? Bolehkah dia mengagihkan sesetengah tanggungjawabnya kepada orang lain supaya dia dapat memikul tanggungjawab yang baharu? Jika jawapannya ialah “tidak” kepada salah satu atau kedua-dua soalan ini, mungkin terdapat orang lain yang lebih sesuai bagi tugas itu. Berdoa dan menilai situasi kita dengan jujur boleh membantu kita untuk tidak melampaui batas keupayaan kita. Oleh itu, orang yang rendah hati mungkin akan menolak tugas baharu.

18. (a) Apakah yang akan dilakukan oleh orang yang rendah hati apabila menerima tugas baharu? (b) Bagaimanakah Roma 12:3 membantu kita untuk bersikap rendah hati?

18 Adalah baik bagi seseorang yang menerima tugas baharu untuk mengikut teladan Gideon. Dia boleh meminta bimbingan dan berkat Yehuwa. Lagipun, kita dijemput untuk ‘hidup bersatu dengan Tuhan dengan rendah hati.’ (Mi. 6:8) Maka, apabila kita memikul tanggungjawab baharu, kita perlu berdoa dan merenungkan nasihat Tuhan yang diberikan menerusi Firman-Nya dan organisasi-Nya. Kita perlu belajar untuk bergantung pada bimbingan Yehuwa yang boleh dipercayai. Ingatlah bahawa kerendahan hati Yehuwa dan bukannya keupayaan sendiri yang “menjadikan [kita] agung.” (Mzm. 18:35, NW) Orang yang rendah hati ‘tidak menganggap diri lebih daripada yang sepatutnya.’Baca Roma 12:3.

19. Mengapakah kita harus memupuk sikap rendah hati?

19 Orang yang rendah hati memuliakan Yehuwa kerana Dialah Pencipta dan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. (Why. 4:11) Kerendahan hati membantu kita untuk berpuas hati dan bekerja keras semasa melakukan tugas kita dalam aturan Yehuwa. Kita juga tidak akan bertindak dengan angkuh. Sebaliknya kita menggalakkan perpaduan antara umat Yehuwa. Selain itu, kita akan mengutamakan kepentingan orang lain dan tidak bertindak dengan melulu. Dengan itu, kita akan mengelakkan kesilapan yang serius. Ya, sikap rendah hati masih penting bagi umat Tuhan. Yehuwa sangat menghargai orang yang bersikap rendah hati. Rencana yang seterusnya akan membincangkan cara kita dapat tetap rendah hati semasa menghadapi tekanan.