Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kita Boleh Tetap Rendah Hati semasa Diuji

Kita Boleh Tetap Rendah Hati semasa Diuji

‘Dengan rendah hati hidup bersatu dengan Tuhan kita.’MI. 6:8.

LAGU: 48, 95

1-3. Apakah yang dilakukan oleh nabi dari Yehuda, dan apakah akibatnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SEMASA Raja Yerobeam menjadi murtad, Yehuwa mengutus seorang nabi dari Yehuda untuk menyampaikan mesej penghakiman kepada raja itu. Nabi yang rendah hati itu telah melaksanakan tugasnya dengan setia. Apabila raja murka terhadap nabi itu, Yehuwa melindunginya.1 Raj. 13:1-10.

2 Dalam perjalanan pulang, nabi itu berjumpa dengan seorang lelaki tua dari kota Betel yang mengatakan bahawa dia juga ialah nabi Yehuwa. Lelaki tua itu telah berbohong kepada nabi itu. Akibatnya, nabi itu melanggar perintah Yehuwa untuk ‘tidak minum atau makan apa-apa di sana.’ Oleh itu, Yehuwa tidak senang hati dengan nabi itu. Kemudian semasa dia pulang, seekor singa menerkam dan membunuhnya.1 Raj. 13:11-24.

3 Mengapakah nabi itu bertindak dengan angkuh dan mendengar cakap lelaki tua itu? Bible tidak memberitahu sebabnya. Tetapi dia mungkin tidak lagi ‘hidup bersatu dengan Tuhan dengan rendah hati.’ (Baca Mikha 6:8.) Hidup bersatu dengan Yehuwa bermaksud mempercayai-Nya, menyokong kedaulatan-Nya, serta mengikut bimbingan-Nya. Orang yang rendah  hati sedar bahawa dia harus sentiasa berkomunikasi dengan Bapa yang pengasih dan maha kuasa. Nabi itu sebenarnya boleh meminta petunjuk daripada Yehuwa. Tetapi Bible tidak menyatakan bahawa dia berbuat demikian. Ada kalanya, kita juga berasa susah untuk membuat keputusan dan tidak pasti haluan mana yang harus diikuti. Tetapi jika kita memohon bimbingan Yehuwa dengan rendah hati, kita dapat mengelak daripada melakukan kesilapan serius.

4. Apakah yang akan kita pelajari dalam rencana ini?

4 Dalam rencana sebelum ini, kita telah belajar bahawa kerendahan hati sangat penting bagi orang Kristian dan cara menunjukkannya. Tetapi, apakah situasi yang mungkin menguji kerendahan hati kita? Bagaimanakah kita dapat memupuk sikap ini supaya kita tetap rendah hati walaupun menghadapi tekanan? Mari kita lihat tiga situasi yang mencabar dan cara kita dapat menanganinya dengan bijak.Ams. 11:2.

APABILA KEADAAN KITA BERUBAH

5, 6. Bagaimanakah Barzilai menunjukkan kerendahan hati?

5 Perubahan dalam tugas atau kehidupan peribadi mungkin menguji kerendahan hati kita. Apabila Daud menjemput Barzilai yang berumur 80 tahun untuk tinggal di istana raja, Barzilai mungkin sangat berbesar hati. Jika dia menerima jemputan Daud, dia dapat menikmati pergaulan bersama raja. Tetapi Barzilai menolak tawaran Daud. Mengapa? Hal ini demikian kerana dia sudah berusia dan tidak mahu menjadi beban kepada Daud. Jadi, Barzilai mencadangkan agar Kimham mengambil tempatnya. Kimham mungkin merupakan anak lelaki Barzilai.2 Sam. 19:31-37.

6 Kerendahan hati membantu Barzilai membuat keputusan yang munasabah. Dia menolak tawaran Daud bukan kerana dia tidak layak memikul tanggungjawab, atau kerana ingin bersara dengan selesa. Sebaliknya, dia sedar bahawa keadaannya telah berubah dan dia mempunyai keterbatasan. Dia tidak ingin melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. (Baca Galatia 6:4, 5.) Kita juga harus bersikap rendah hati seperti Barzilai. Jika kita bertumpu kepada kedudukan dan kemasyhuran, kita akan sentiasa bersaing serta mengutamakan ego sendiri dan akhirnya berasa kecewa. (Gal. 5:26) Jika kita rendah hati, kita bekerjasama dengan saudara saudari untuk memuliakan Yehuwa dan membantu orang lain.1 Kor. 10:31.

7, 8. Bagaimanakah sikap rendah hati membantu kita supaya tidak bergantung pada diri sendiri?

7 Jika kita diberi lebih tanggungjawab atau kuasa, hal ini akan menguji kerendahan hati kita. Apabila Nehemia mendengar tentang kesusahan orang di Yerusalem, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. (Neh. 1:4, 11) Yehuwa memberkati Nehemia dengan menyebabkan Raja Artahsasta melantiknya sebagai gabenor daerah Yerusalem. Walaupun Nehemia kaya dan berkuasa, dia tidak bergantung pada pengalaman atau kebolehan sendiri. Sebaliknya, dia hidup bersatu dengan Tuhan serta mencari bimbingan Yehuwa dalam Hukum-Nya. (Neh. 8:1, 8, 9) Nehemia tidak menindas orang lain tetapi menunjukkan kemurahan hati.Neh. 5:14-19.

8 Contoh Nehemia membantu kita bersikap rendah hati. Kita tidak harus bergantung pada diri sendiri apabila menerima tugas baharu atau tanggungjawab tambahan. Seseorang penatua mungkin bergantung pada pengalaman sendiri semasa menjalankan tugas di sidang tanpa berdoa  untuk bimbingan Yehuwa terlebih dahulu. Yang lain pula mungkin membuat keputusan dahulu dan kemudiannya meminta Yehuwa memberkati keputusan mereka. Namun, adakah mereka bersikap rendah hati? Tidak. Orang yang rendah hati selalu ingat akan kedudukannya di hadapan Tuhan dan peranannya dalam aturan Tuhan. Kebolehan kita tidaklah penting. Sama ada kita menghadapi masalah atau menghadapi situasi yang biasa dialami, kita tidak harus bergantung pada diri sendiri. (Baca Amsal 3:5, 6.) Kita merupakan ahli keluarga Tuhan. Oleh itu, kita berusaha melaksanakan peranan kita dalam keluarga dan sidang, dan bukannya mengejar pangkat atau kedudukan tinggi.1 Tim. 3:15.

APABILA DIKRITIK ATAU DIPUJI

9, 10. Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita apabila kita dikritik dengan tidak adil?

9 Memang tidak senang untuk mengawal perasaan ketika dikritik dengan tidak adil. Hana dikasihi oleh suaminya walaupun dia mandul. Tetapi, Hana selalu menangis kerana madunya, iaitu Penina, terus-menerus menghinanya. Kemudian semasa Hana berdoa di khemah suci, Imam Agung Eli salah anggap bahawa dia mabuk. Walaupun Hana menghadapi semua tekanan ini, dia tetap rendah hati dan mengawal perasaannya. Dia menjawab Eli dengan hormat dan doanya yang indah itu telah dicatat dalam Bible. Doanya itu penuh dengan pujian serta ungkapan iman dan penghargaan.1 Sam. 1:5-7, 12-16; 2:1-10.

10 Kerendahan hati akan membantu kita untuk ‘mengalahkan kejahatan dengan kebaikan.’ (Rm. 12:21) Dalam dunia Syaitan, kita sering menghadapi ketidakadilan. Tetapi kita mesti mengawal diri supaya tidak menjadi marah terhadap orang jahat. (Mzm. 37:1) Ketika masalah timbul antara saudara saudari seiman, keadaannya lebih menyakitkan. Namun orang yang rendah hati akan mencontohi Yesus. Bible berkata, “Semasa dia dihina, dia tidak membalas dengan hinaan. . . . Tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi dengan adil.” (1 Ptr. 2:23) Yesus sedar bahawa  Yehuwalah yang berhak membalas dendam. (Rm. 12:19) Kita juga diingatkan untuk tetap rendah hati dan jangan “membalas kejahatan dengan kejahatan.”1 Ptr. 3:8, 9.

11, 12. (a) Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita apabila dipuji? (b) Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita dari segi pakaian, dandanan, dan kelakuan?

11 Kata-kata pujian juga boleh menguji kerendahan hati kita. Fikirkan reaksi Ester apabila dia dipuji. Dia memang wanita yang jelita. Kemudian, dia diberi rawatan kecantikan selama setahun. Dia hidup bersama ramai gadis dari seluruh Empayar Persia yang bersaing untuk mendapat perhatian raja. Walaupun begitu, Ester tetap menunjukkan hormat dan kawalan diri. Akhirnya dia dipilih sebagai permaisuri, tetapi dia tidak menjadi angkuh atau megah diri.Est. 2:9, 12, 15, 17.

Adakah pakaian dan dandanan kita menunjukkan bahawa kita rendah hati serta menghormati Yehuwa dan orang lain? (Lihat perenggan 12)

12 Kerendahan hati membantu kita berpakaian, berdandanan, dan membawa diri dalam cara yang sopan dan hormat. Kita ingin menawan hati orang melalui ‘sikap yang tenang dan lemah lembut,’ dan bukannya dengan bercakap besar atau menarik perhatian kepada diri sendiri. (Baca 1 Petrus 3:3, 4; Yer. 9:23, 24) Jika perasaan megah diri tersemat dalam hati kita, akhirnya hal itu akan terserlah melalui kelakuan kita. Contohnya, kita mungkin cuba membuat orang berfikir bahawa kita istimewa kerana memiliki tanggungjawab atau pengetahuan tertentu, ataupun kerana kita mengenali saudara terlantik tertentu. Selain itu, kita mungkin memberikan tanggapan bahawa kita mencapai sesuatu dengan usaha sendiri, sedangkan orang lain juga menyumbang kepada pencapaian itu. Dalam hal ini, Yesus menetapkan teladan yang baik. Dia sering kali memetik kata-kata Kitab Ibrani semasa mengajar orang. Hal ini menunjukkan bahawa semua yang diajarkannya datang daripada Yehuwa dan bukannya kebijaksanaan sendiri.Yoh. 8:28.

SEMASA MENGHADAPI KETIDAKPASTIAN

13, 14. Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita membuat keputusan yang bijak?

13 Kita harus rendah hati apabila kita membuat keputusan atau apabila orang lain membuat keputusan yang mempengaruhi kita. Semasa Rasul Paulus tinggal di Kaisarea, Nabi Agabus memberitahunya bahawa jika dia pergi ke Yerusalem, dia akan ditahan dan mungkin dibunuh. Oleh itu, para saudara merayu agar Paulus tidak pergi. Namun, Paulus membuat keputusan untuk pergi ke Yerusalem bukan kerana dia terlalu yakin pada diri sendiri. Sebaliknya, dia percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya dan bersedia untuk melaksanakan tugasnya di mana jua Yehuwa memimpinnya. Maka, para saudara dengan rendah hati berhenti membantah keputusan Paulus.Kis. 21:10-14.

14 Kerendahan hati juga membantu kita membuat keputusan yang bijak walaupun kita tidak tahu atau tidak dapat mengawal kesudahan situasi tertentu. Misalnya, jika kita berkhidmat sepenuh masa, apakah yang akan berlaku jika kita jatuh sakit? Bagaimana pula jika ibu bapa yang tua memerlukan bantuan kita? Bagaimanakah kita menjaga diri ketika kita sudah berusia? Tidak kira berapa banyak kali kita berdoa atau membuat penyelidikan, kita mungkin tidak akan mencari jawapan yang sepenuhnya. (Pkh. 8:16, 17) Keyakinan kita kepada Yehuwa membantu kita mengakui dan menerima keterbatasan kita. Selepas membuat penyelidikan, meminta nasihat orang, dan berdoa meminta bantuan, kita perlu bertindak  mengikut bimbingan daya aktif Tuhan. (Baca Pengkhutbah 11:4-6.) Maka Yehuwa boleh memberkati usaha kita, atau menyelaraskan jalan hidup kita.Ams. 16:3, 9.

MEMUPUK KERENDAHAN HATI

15. Mengapakah merenung tentang Yehuwa membantu kita tetap rendah hati?

15 Memandangkan kerendahan hati ada banyak kebaikan, bagaimanakah kita memupuk sikap ini? Terdapat empat cara. Pertama, kita memupuk sikap rendah hati dengan merenungkan sifat dan kedudukan Yehuwa yang luhur. Kita sedar bahawa kita sangat kecil dan kebolehan kita terhad jika dibandingkan dengan keagungan Yehuwa. (Yes. 8:13) Ingatlah, kita hidup bersatu dengan Tuhan Yang Maha Kuasa, bukan dengan malaikat atau manusia. Dengan itu, kita akan didorong untuk ‘merendahkan diri di bawah tangan Tuhan yang perkasa.’1 Ptr. 5:6.

16. Bagaimanakah merenungkan kasih Tuhan membantu kita untuk rendah hati?

16 Kedua, kita memupuk kerendahan hati dengan merenungkan kasih Yehuwa. Rasul Paulus menggambarkan sidang seperti tubuh manusia. Setiap bahagian tubuh adalah bernilai. Begitu juga, setiap ahli sidang bernilai di mata Yehuwa. (1 Kor. 12:23, 24) Yehuwa mengambil berat tentang setiap seorang daripada kita walaupun kita memiliki keterbatasan. Dia tidak membandingkan kita dengan orang lain, atau menahan kasih-Nya apabila kita melakukan kesilapan. Kita berasa selamat dalam naungan Yehuwa kerana Dia mengasihi kita.

17. Apakah manfaatnya jika kita mencari kebaikan dalam orang lain?

17 Ketiga, kita akan lebih rendah hati jika kita meneladani Yehuwa dengan mencari kebaikan dalam orang lain. Kita tidak ingin mencari kemuliaan sendiri atau selalu memberitahu orang apa yang harus dilakukan mereka. Sebaliknya, kita ingin dengan rendah hati meminta nasihat serta mengikut cadangan orang lain. (Ams. 13:10) Jika orang lain mendapat penghormatan, kita turut bergembira. Kita memuji Yehuwa atas berkat yang dicurahkan-Nya kepada “semua saudara seiman di dunia.”1 Ptr. 5:9.

18. Bagaimanakah kita melatih hati nurani supaya menjadi lebih rendah hati?

18 Keempat, kita akan lebih rendah hati apabila hati nurani kita dilatih berdasarkan prinsip Bible. Jika kita belajar untuk memupuk pandangan Yehuwa, kita akan memiliki daya penilaian yang baik. Dengan mempelajari Bible, berdoa, dan menerapkan apa yang dipelajari, hati nurani kita semakin terlatih. (1 Tim. 1:5) Kita akan mengutamakan kepentingan orang lain. Jika kita mencurahkan usaha, Yehuwa berjanji untuk “menyempurnakan latihan” kita serta membantu kita menjadi lebih rendah hati.1 Ptr. 5:10.

19. Apakah yang membantu kita untuk tetap rendah hati buat selama-lamanya?

19 Satu tindakan yang angkuh telah menyebabkan nabi dari Yehuda itu kehilangan perkenan Tuhan dan juga nyawanya. Namun, kita boleh tetap rendah hati walaupun menghadapi ujian. Ramai penyembah Yehuwa yang setia telah berbuat demikian. Memandangkan kita hidup bersatu dengan Yehuwa, kerendahan hati kita harus menjadi lebih nyata. (Ams. 8:13) Tidak kira apa jua peranan kita dalam organisasi Tuhan, kita memiliki penghormatan yang tidak ternilai, iaitu kita hidup bersatu dengan Yehuwa. Maka hargailah penghormatan ini dan tetaplah rendah hati untuk selama-lamanya.