“Amanahkanlah perkara-perkara itu kepada orang yang setia agar mereka juga menjadi layak untuk mengajar orang lain.”2 TIM. 2:2.

LAGU: 123, 53

1, 2. Bagaimanakah orang memandang pekerjaan mereka?

BANYAK orang menilai diri berdasarkan pekerjaan atau jawatan mereka. Dalam sesetengah budaya, soalan yang biasa ditanya semasa mengenali seseorang ialah, “Apakah pekerjaan kamu?”

2 Alkitab ada kalanya menggambarkan sesetengah orang mengikut pekerjaan mereka. Contohnya, “Matius, si pemungut cukai”; “penyamak kulit yang bernama Simon”; dan “Lukas, doktor yang kita kasihi.” (Mat. 10:3; Kis. 10:6; Kol. 4:14) Orang lain pula dikenali oleh tugas atau penghormatan mereka. Misalnya, Raja Daud, Nabi Elia, dan Rasul Paulus. Para lelaki ini menghargai tugas mereka yang diberikan oleh Tuhan. Jika kita memiliki peluang istimewa untuk berkhidmat, kita juga harus menghargainya.

3. Mengapakah saudara tua perlu melatih saudara muda? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Kita menikmati tugas yang dilakukan di sidang dan kita ingin terus melakukannya. Sedihnya, setelah Adam berdosa, setiap generasi akan menjadi tua dan digantikan oleh generasi baharu. (Pkh. 1:4) Keadaan sedemikian mendatangkan cabaran bagi  umat Yehuwa. Kerja penyebaran kini semakin berkembang maju dan organisasi Yehuwa menggunakan teknologi moden untuk mencapai lebih ramai orang. Kadangkala, saudara tua berasa sukar untuk belajar semua teknologi baharu ini. (Luk. 5:39) Selain itu, saudara tua mungkin tidak sekuat berbanding saudara muda. (Ams. 20:29) Oleh itu, adalah bijak bagi saudara tua untuk melatih saudara muda, yang juga merangkumi orang pertengahan umur, untuk memikul lebih banyak tanggungjawab.Baca Mazmur 71:18.

4. Mengapakah susah bagi sesetengah saudara untuk menugaskan kerja kepada orang lain? (Lihat kotak “ Mengapa Sesetengah Orang Enggan Menugaskan Kerja.”)

4 Saudara yang bertanggungjawab mungkin berasa susah untuk menugaskan kerja kepada saudara muda. Sesetengah saudara takut hilang kuasa atau tugas yang dinikmati. Ada yang berasa bahawa saudara muda tidak dapat melakukan kerja dengan baik. Ada pula yang berasa bahawa mereka tiada masa untuk melatih orang lain. Pada masa yang sama, saudara muda harus bersabar jika tidak diberi lebih tanggungjawab.

5. Apakah akan dibincangkan dalam rencana ini?

5 Mari kita kaji dua aspek tentang menugaskan kerja kepada orang lain. Pertama, bagaimanakah saudara tua membantu saudara muda untuk memikul lebih banyak tanggungjawab, dan mengapakah hal ini penting? (2 Tim. 2:2) Kedua, mengapakah penting bagi saudara muda untuk memiliki sikap yang betul seraya mereka membantu dan belajar daripada saudara yang lebih berpengalaman? Sekarang, mari kita lihat bagaimana Raja Daud mempersiapkan anaknya, iaitu Salomo untuk melakukan tugas yang penting.

DAUD MEMPERSIAPKAN DAN MENYOKONG SALOMO

6. Apakah keinginan Raja Daud, tetapi apakah kehendak Yehuwa?

6 Setelah hidup bertahun-tahun sebagai pelarian, Daud menjadi raja dan tinggal di istana yang selesa. Dia risau bahawa tiada rumah, atau tempat ibadat untuk Yehuwa. Jadi dia ingin sekali membina Rumah  Tuhan. Dia berkata kepada Nabi Natan, ‘Lihat, beta tinggal di istana yang dibuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Yehuwa hanya di dalam khemah!’ Natan menjawab, ‘Lakukanlah apa saja kehendak tuanku kerana Tuhan menyertai tuanku.’ Tetapi Yehuwa kemudian mengarahkan Natan untuk memberitahu Daud, “Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.” Walaupun Yehuwa berjanji untuk tetap memberkati Daud, Dia mengamanahkan tugas membina Rumah-Nya kepada Salomo. Apakah reaksi Daud?1 Taw. 17:1-4, 11, 12; 29:1.

7. Apakah reaksi Daud terhadap arahan Yehuwa?

7 Walaupun Daud mungkin berasa kecewa kerana dia tidak mendapat penghormatan untuk membina Rumah Tuhan, dia masih memberikan sokongan dan bantuan bagi projek pembinaan itu. Dengan bersemangat, dia mengaturkan pekerja dan mengumpulkan besi, gangsa, perak, emas, dan kayu sedar. Dia juga menggalakkan Salomo, ‘Hai putera beta, semoga Yehuwa, Tuhanmu selalu menyertai engkau. Semoga engkau berjaya membina rumah untuk Yehuwa seperti yang telah dijanjikan-Nya.’1 Taw. 22:11, 14-16.

8. Mengapakah Daud mungkin menganggap bahawa Salomo tidak layak, tetapi apakah yang dilakukan Daud?

8 Baca 1 Tawarikh 22:5. Daud mungkin menganggap bahawa Salomo tidak layak untuk menyelia projek yang penting ini. Salomo pada masa itu “masih muda dan kurang pengalaman,” dan Rumah Tuhan seharusnya dibina dengan “sangat indah.” Tetapi Daud sedar bahawa Yehuwa akan melengkapi Salomo untuk menjayakan projek itu. Maka Daud berfokus kepada apa yang dapat dilakukannya, iaitu menyediakan bahan binaan yang banyak.

NIKMATILAH SUKACITA SEMASA MELATIH ORANG

Kita bersukacita melihat saudara yang lebih muda memikul lebih banyak tanggungjawab (Lihat perenggan 9)

9. Apakah seharusnya perasaan saudara tua semasa menyerahkan tanggungjawab kepada saudara muda? Berikan contoh.

9 Saudara yang lebih tua tidak harus berasa kecewa apabila mereka perlu menyerahkan tanggungjawab kepada saudara muda. Sebaliknya, adalah lebih bermanfaat jika saudara muda dilatih untuk memikul tanggungjawab. Saudara yang terlantik harus bersukacita apabila saudara muda yang dilatih menjadi layak untuk mengambil alih kerja. Contohnya, fikirkan seorang ayah yang mengajar anaknya untuk memandu. Semasa anak itu kecil, dia hanya melihat ayahnya memandu. Apabila anak itu lebih besar, ayah itu menjelaskan cara memandu. Kemudian apabila anak itu cukup umur dan mendapat lesen memandu, ayahnya masih memberikan petunjuk. Ada kalanya mereka berganti-ganti untuk memandu. Tetapi apabila ayahnya semakin tua, anaklah yang memandu. Ayah yang bijak itu bersukacita kerana anaknya dapat memandu tanpa perlu diawasi. Begitu juga, saudara tua  berasa bangga apabila mereka melatih saudara muda untuk memikul tanggungjawab di sidang.

10. Apakah pandangan Musa terhadap kemasyhuran dan kuasa?

10 Saudara yang lebih tua harus berwaspada supaya tidak menjadi iri hati. Perhatikan reaksi Musa terhadap sesetengah orang di khemah Israel yang mula berkelakuan seperti nabi. (Baca Bilangan 11:24-29.) Yosua, iaitu pembantu Musa, ingin menghalang mereka. Dia berfikir bahawa mereka akan menjejaskan kedudukan Musa. Namun, Musa memberitahunya untuk jangan berasa sedemikian. Musa berkata, ‘Aku sangat berharap agar Yehuwa memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!’ Musa mempunyai pandangan Yehuwa dan dia tidak ingin ditinggikan. Sebaliknya, dia ingin agar kurniaan rohani diberikan kepada semua penyembah Yehuwa. Seperti Musa, tidakkah kita bersukacita apabila orang lain menerima peluang istimewa?

11. Apakah yang dikatakan oleh seorang saudara tentang menyerahkan tanggungjawabnya kepada saudara lain?

11 Hari ini, banyak saudara bekerja keras selama bertahun-tahun dan juga melatih orang untuk memikul lebih banyak tanggungjawab. Contohnya, Peter telah berkhidmat sepenuh masa selama lebih daripada 74 tahun. Dia telah berkhidmat selama 35 tahun di sebuah pejabat cawangan di Eropah. Dia bertugas sebagai penyelia Bahagian Kerja Penyebaran buat masa yang lama. Sekarang Paul, seorang saudara yang lebih muda yang bekerja bersama Peter selama beberapa tahun, mengambil alih tanggungjawab itu. Apabila Peter ditanya tentang perasaannya terhadap perubahan tugasnya, dia menjawab, “Saya bersukacita kerana terdapat saudara yang terlatih untuk menerima tanggungjawab yang lebih besar dan mereka melaksanakannya dengan baik.”

HARGAILAH SAUDARA KITA YANG LEBIH MATANG

12. Apakah yang boleh kita pelajari daripada contoh Rehabeam?

12 Selepas Salomo meninggal, anaknya Rehabeam menjadi raja. Rehabeam telah meminta nasihat para orang tua tentang cara dia patut melaksanakan tanggungjawabnya. Tetapi kemudian, dia menolak nasihat mereka! Sebaliknya, dia mengikut nasihat orang muda yang sebaya dengannya, dan yang menjadi pembantunya. Kesudahannya sangat teruk bagi Rehabeam. (2 Taw. 10:6-11, 19) Apakah pengajarannya? Adalah bijak untuk mencari nasihat daripada saudara yang lebih tua dan berpengalaman. Hal ini tidak bermaksud bahawa saudara yang lebih muda harus ikut sahaja cara yang sudah ditetapkan sejak dahulu. Namun adalah baik jika mereka tidak terus menolak nasihat daripada saudara yang lebih matang.

13. Bagaimanakah saudara muda boleh bekerjasama dengan saudara yang lebih tua?

13 Saudara yang muda mungkin diberi tanggungjawab untuk menyelia tugas yang melibatkan saudara yang lebih tua. Namun semasa membuat keputusan, adalah baik jika mereka meminta nasihat daripada saudara yang lebih tua. Paul, yang disebut tadi, telah menggantikan Peter sebagai penyelia dalam sebuah bahagian di Bethel. Dia berkata, “Saya meluangkan masa untuk mendapat nasihat Peter, dan saya galakkan orang lain di bahagian itu untuk berbuat demikian.”

14. Apakah yang kita pelajari daripada kerjasama antara Paulus dan Timotius?

14 Timotius yang muda telah bekerja  bersama Paulus selama bertahun-tahun. (Baca Filipi 2:20-22.) Paulus menulis kepada sidang Korintus, “Aku mengutus Timotius kepada kamu. Dialah anak kesayanganku yang mengikut Tuan Yesus dengan setia. Sebagaimana aku mengajar sidang di merata tempat tentang cara aku berkhidmat kepada Kristus Yesus, dia juga akan mengingatkan kamu tentang hal-hal yang sama.” (1 Kor. 4:17) Kata-kata ini menunjukkan bahawa Paulus dan Timotius bekerjasama dengan baik. Paulus meluangkan masa untuk mengajar Timotius ‘cara berkhidmat kepada Kristus’ dan Timotius rela belajar daripadanya. Paulus senang hati dengan Timotius dan yakin bahawa dia akan menjaga kerohanian saudara saudari di Korintus dengan baik. Para penatua boleh meniru teladan Paulus semasa melatih saudara untuk mengambil pimpinan di sidang.

KITA DAPAT MEMAINKAN PERANAN MASING-MASING

15. Bagaimanakah Roma 12:3-5 membantu kita menghadapi perubahan?

15 Pada masa sekarang, organisasi Yehuwa di bumi sedang berkembang maju dan mengalami banyak perubahan. Kadangkala kita berasa susah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Maka kita perlu rendah hati dan bertumpu kepada kehendak Yehuwa dan bukannya diri sendiri. Jika kita berbuat demikian, kita memupuk perpaduan. Paulus menulis kepada sidang di Roma, “Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat, sesuai dengan iman yang diberikan oleh Tuhan kepada kamu masing-masing. Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. Begitu juga, walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh yang bersatu dengan Kristus.”Rm. 12:3-5.

16. Apakah yang dapat dilakukan oleh saudara tua, saudara muda, dan para isteri, untuk mengekalkan kedamaian dan perpaduan dalam organisasi Yehuwa?

16 Tidak kira apa keadaan kita, marilah kita berusaha untuk menyokong Kerajaan Yehuwa. Para saudara tua, latihlah saudara muda. Para saudara muda, terimalah tanggungjawab dengan rendah hati. Tetaplah menghormati saudara yang lebih tua. Para isteri pula, contohilah teladan isteri Akwila, iaitu Priskila, yang menemani dan menyokong suaminya dengan setia walaupun mengalami perubahan.Kis. 18:2.

17. Yesus melatih para pengikutnya untuk melakukan apa?

17 Yesus menetapkan teladan terbaik sewaktu melatih orang. Dia sedar bahawa kerjanya di bumi akan berakhir dan orang lain akan meneruskan kerjanya. Walaupun para pengikutnya tidak sempurna, dia yakin terhadap mereka dan mengatakan bahawa mereka dapat melakukan hal-hal yang lebih besar daripadanya. (Yoh. 14:12) Dia melatih mereka dengan baik dan mereka dapat menginjil ke serata tempat.Kol. 1:23.

18. Apakah harapan bagi kita pada masa depan? Apakah yang dapat kita lakukan sekarang?

18 Selepas kematiannya, Yesus dibangkitkan ke syurga dan diberi lebih banyak tugas dengan kuasa yang ‘jauh lebih tinggi daripada setiap kerajaan, penguasa, pemerintah, dan pemimpin.’ (Ef. 1:19-21) Jika kita setia sampai akhir hayat sebelum Armagedon, kita akan dibangkitkan ke dunia baharu dan diberi banyak kerja yang memuaskan. Kini, terdapat kerja yang sangat penting untuk dilakukan, iaitu menyebar berita baik dan menjadikan orang pengikut Yesus. Semoga kita semua, tua atau muda, “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan.”1 Kor. 15:58.