Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Daya Aktif dan Hati Kita Memberikan Kesaksian

Daya Aktif dan Hati Kita Memberikan Kesaksian

“Daya aktif Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.”—RM. 8:16.

LAGU: 109, 108

1-3. Mengapakah Pentakosta merupakan hari yang istimewa? Apakah nubuat Bible yang menjadi kenyataan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SUATU peristiwa yang istimewa telah berlaku pada hari Ahad di Yerusalem. Orang ramai merayakan perayaan Pentakosta. Perayaan ini perayaan yang suci pada permulaan musim menuai gandum. Pada pagi itu, imam agung mempersembahkan korban di Rumah Tuhan. Kemudian, kira-kira pada pukul sembilan pagi, dia mempersembahkan dua buku roti bercampur ragi yang dibuat daripada hasil tanaman yang pertama. Persembahan itu diayun-ayunkan oleh imam agung semasa dia mempersembahkannya kepada Yehuwa. Ini merupakan perayaan Pentakosta pada tahun 33 M.—Im. 23:15-20.

2 Persembahan itu telah dilakukan selama ratusan tahun. Sebenarnya persembahan itu berkait rapat dengan sesuatu yang akan berlaku kepada 120 orang pengikut Yesus pada tahun 33 M. Pada masa itu, mereka sedang berdoa dengan tekun dalam sebuah bilik tingkat atas di Yerusalem. (Kis. 1:13-15) Nabi Yoel telah menubuatkan tentang peristiwa ini kira-kira 800 tahun sebelumnya. (Yl. 2:28-32; Kis. 2:16-21) Mengapakah peristiwa ini begitu penting?

 3 Baca Kisah 2:2-4. Pada Pentakosta 33 M, Tuhan telah mencurahkan daya aktif-Nya dan mengurapi orang Kristian di situ. (Kis. 1:8) Kemudian, ramai orang mula berkumpul di sekeliling mereka, dan para pengikut Yesus mula bercakap tentang perkara menakjubkan yang telah dilihat dan didengar mereka. Rasul Petrus menjelaskan peristiwa penting yang telah berlaku. Kemudian, dia memberitahu orang di situ: “Bertaubatlah, dan hendaklah kamu masing-masing dibaptis atas nama Yesus Kristus agar dosa kamu diampunkan. Kemudian, kamu akan menerima kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma, iaitu daya aktif-Nya.” Pada hari itu, kira-kira 3,000 orang dibaptis dan menerima daya aktif.—Kis. 2:37, 38, 41.

4. (a) Mengapakah kita berminat terhadap apa yang berlaku pada Pentakosta? (b) Apakah peristiwa penting lain yang mungkin berlaku pada hari yang sama ratusan tahun sebelumnya? (Lihat nota kaki.)

4 Apakah yang dilambangkan oleh imam agung dan persembahan yang diberikan semasa perayaan Pentakosta? Imam agung melambangkan Yesus. Roti itu melambangkan para pengikut Yesus yang diurapi. Para pengikut itu dipilih daripada umat manusia dan dipanggil “hasil pertama.” (Yak. 1:18) Tuhan telah menerima mereka sebagai anak-Nya dan memilih mereka untuk memerintah sebagai raja bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan. (1 Ptr. 2:9) Yehuwa akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk memberkati manusia yang setia. Maka, tidak kira harapan kita di syurga atau di bumi firdaus, perayaan Pentakosta 33 M sangat penting bagi kita. [1]

APAKAH YANG BERLAKU APABILA SESEORANG DIURAPI?

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa tidak semua orang Kristian diurapi dalam cara yang sama?

5 Para pengikut yang berada dalam bilik tingkat atas di Yerusalem tidak akan melupakan peristiwa pada hari itu. Mereka nampak sesuatu seperti lidah api hinggap di atas kepala mereka. Yehuwa memberi mereka kebolehan untuk bercakap dalam bahasa asing. Mereka yakin bahawa mereka diurapi dengan daya aktif. (Kis. 2:6-12) Tetapi, peristiwa menakjubkan tersebut tidak berlaku kepada semua orang Kristian terurap. Contohnya, Bible tidak menyatakan bahawa lidah api hinggap di atas kepala ribuan orang terurap di Yerusalem. Mereka diurapi ketika mereka dibaptis. (Kis. 2:38) Selain itu, tidak semua orang Kristian diurapi semasa dibaptis. Contohnya, orang Samaria diurapi beberapa waktu setelah mereka dibaptis. (Kis. 8:14-17) Kornelius dan ahli keluarganya pula diurapi sebelum dibaptis.—Kis. 10:44-48.

6. Apakah yang diterima oleh semua orang Kristian terurap? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi mereka?

6 Maka, terdapat beberapa cara orang Kristian sedar bahawa mereka diurapi. Ada yang sedar dengan serta-merta bahawa mereka diurapi oleh Yehuwa. Ada pula yang sedar secara beransur-ansur. Rasul Paulus menjelaskan apa yang berlaku kepada mereka. Dia berkata, “Selepas kamu percaya, Tuhan telah memeterai kamu melalui Kristus dengan menggunakan daya aktif yang dijanjikan-Nya itu. Daya aktif itu merupakan jaminan bahawa kita akan menerima warisan yang dijanjikan-Nya.” (Ef. 1:13, 14) Oleh itu, Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk meyakinkan orang Kristian terurap bahawa mereka dipilih untuk naik ke syurga. Jadi, daya aktif merupakan “jaminan” bahawa mereka akan hidup selama-lamanya di syurga dan bukannya di bumi.—Baca 2 Korintus 1:21, 22; 5:5.

7. Apakah yang harus dilakukan oleh orang Kristian terurap supaya mendapat ganjarannya di syurga?

7 Apabila seseorang diurapi, adakah hal itu bererti bahawa dia tentu menerima ganjarannya? Tidak. Dia pasti bahawa dia telah  dijemput untuk naik ke syurga. Tetapi dia hanya akan mendapat ganjarannya jika dia tetap setia kepada Yehuwa. Petrus menjelaskan hal ini: “Oleh itu saudara-saudara, sebagai orang yang sudah dipanggil dan dipilih oleh Tuhan, berusahalah dengan lebih bersungguh-sungguh lagi agar kamu tetap setia. Jika kamu terus melakukan hal-hal ini, kamu tidak akan gagal sama sekali. Melalui cara ini kamu akan diberkati dengan limpah dan akan masuk ke dalam Kerajaan kekal Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.” (2 Ptr. 1:10, 11) Maka setiap orang Kristian terurap tidak harus membenarkan apa pun menghalang mereka daripada terus menyembah Yehuwa. Walaupun dia telah dijemput untuk naik ke syurga, dia tidak akan mendapat ganjarannya sekiranya dia tidak setia.—Ibr. 3:1; Why. 2:10.

BAGAIMANAKAH SESEORANG TAHU BAHAWA DIA DIURAPI?

8, 9. (a) Mengapakah susah bagi kebanyakan orang untuk memahami apa yang berlaku apabila seseorang diurapi? (b) Bagaimanakah seseorang tahu bahawa dia dijemput untuk naik ke syurga?

8 Kebanyakan hamba Tuhan tidak memahami apa yang berlaku apabila seseorang diurapi. Hal ini biasa kerana mereka sendiri tidak pernah mengalaminya. Tuhan telah menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi, bukannya di syurga. (Kej. 1:28; Mzm. 37:29) Namun, Tuhan telah memilih beberapa orang untuk menjadi raja dan imam di syurga. Jadi apabila Tuhan mengurapi mereka, pemikiran mereka berubah supaya mereka berharap untuk naik ke syurga.—Baca Efesus 1:18.

9 Jadi bagaimanakah seseorang tahu bahawa dia dijemput untuk naik ke syurga? Menurut Paulus, umat Tuhan yang terurap di Roma “dipanggil untuk menjadi umat-Nya yang suci.” Dia memberitahu mereka, “Daya aktif Tuhan tidak menjadikan kita hamba atau menyebabkan kita berasa takut. Tetapi melalui daya aktif-Nya, kita dijadikan anak angkat Tuhan. Lalu daya aktif Tuhan menggerakkan kita untuk berseru, ‘Abba, Bapa!’ Daya aktif Tuhan dan hati kita bersama-sama memberikan kesaksian bahawa kita ialah anak-anak Tuhan.” (Rm. 1:7; 8:15, 16) Menerusi daya aktif, Tuhan membantu orang Kristian terurap berasa pasti bahawa mereka akan memerintah sebagai raja bersama Kristus di syurga.—1 Tes. 2:12.

10. Apakah maksud 1 Yohanes 2:27 yang mengatakan bahawa orang Kristian terurap tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajarnya?

10 Orang Kristian yang dijemput oleh Tuhan tidak memerlukan orang lain untuk memberitahu mereka bahawa mereka telah diurapi. Yehuwa membantu mereka untuk berasa pasti akan hal ini. Rasul Yohanes memberitahu orang Kristian terurap: “Dia yang suci telah mengurapi kamu dan kamu semua mempunyai pengetahuan.” Dia juga berkata, “Daya aktif yang digunakan oleh Tuhan untuk mengurapi kamu tetap ada dalam diri kamu, dan kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Tuhan menggunakan daya aktif itu untuk mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan hal itu benar dan bukan dusta. Oleh itu, hendaklah kamu tetap hidup bersatu dengannya selaras dengan apa yang diajarkan oleh daya aktif Tuhan.” (1 Yoh. 2:20, 27) Orang Kristian terurap memerlukan bimbingan Yehuwa seperti orang Kristian yang lain. Namun orang lain tidak perlu meyakinkan mereka bahawa mereka diurapi. Yehuwa menggunakan daya yang paling berkuasa, iaitu daya aktif, untuk memberi mereka keyakinan tersebut!

MEREKA “DILAHIRKAN SEMULA”

11, 12. Apakah yang mungkin difikirkan oleh seorang Kristian terurap? Apakah yang tidak diraguinya?

11 Apabila orang Kristian diurapi daya aktif, mereka mengalami perubahan yang besar  sehingga Yesus berkata bahawa mereka “dilahirkan semula.” (Yoh. 3:3, 5) Kemudian, dia menjelaskan: “Janganlah hairan kerana aku berkata kepada kamu: Kamu semua mesti dilahirkan semula. Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu, dan kamu mendengar bunyinya. Namun, kamu tidak tahu dari mana datangnya angin dan ke mana angin itu akan pergi. Begitu juga dengan setiap orang yang telah dilahirkan daripada daya aktif Tuhan.” (Yoh. 3:7, 8) Maka, adalah susah bagi orang yang terurap untuk menjelaskan perasaannya kepada seseorang yang tidak terurap. [2]

12 Orang yang diurapi mungkin berfikir, “Mengapakah Yehuwa memilih saya dan bukannya orang lain?” Dia mungkin terfikir sama ada dia layak menerima tanggungjawab ini. Tetapi dia tidak meragui bahawa Yehuwa telah menjemputnya. Sebaliknya dia berasa sangat gembira dan bersyukur atas kurniaan ini. Kaum terurap berasa seperti Petrus yang berkata, “Terpujilah Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus Kristus, kerana sesuai dengan belas kasihan-Nya yang besar, Dia menyebabkan kita dilahirkan semula. Dia berbuat demikian agar kita dapat menerima harapan yang berkekalan melalui pembangkitan Yesus Kristus daripada kematian. Dia juga berbuat demikian agar kita menerima warisan yang tidak boleh musnah, tidak tercemar, dan tidak akan pudar. Warisan ini disimpan di syurga bagi kamu.” (1 Ptr. 1:3, 4) Apabila kaum terurap membaca kata-kata ini, mereka yakin bahawa Bapa mereka sedang bercakap dengan mereka secara peribadi.

13. Apakah perubahan yang berlaku dalam pandangan orang yang diurapi? Apakah yang menyebabkan perubahan ini?

13 Sebelum dijemput ke syurga, orang Kristian terurap berharap untuk hidup di bumi selama-lamanya. Mereka menantikan masanya apabila Yehuwa menjadikan bumi ini sebuah firdaus dan menyingkirkan segala kejahatan. Mereka mungkin membayangkan diri menyambut ahli keluarga atau kawan yang dibangkitkan. Mereka juga ingin membina rumah dan makan hasil tanaman sendiri. (Yes. 65:21-23) Mengapakah pandangan mereka berubah? Adakah hal ini kerana mereka menderita atau berasa sedih? Adakah mereka berfikir bahawa hidup selama-lamanya di bumi membosankan dan tidak bahagia? Atau adakah mereka ingin merasai kehidupan di syurga? Tidak. Sebaliknya, Tuhanlah yang menyebabkan perubahan ini. Dia menggunakan daya aktif-Nya untuk mengubah pandangan dan harapan mereka.

14. Apakah perasaan kaum terurap tentang kehidupan mereka di bumi?

14 Adakah hal ini bermaksud bahawa kaum terurap ingin mati? Paulus menjelaskan perasaan kaum terurap. Dia menyamakan tubuh mereka dengan “khemah” dan berkata, “Kami mengerang dan menanggung beban yang berat semasa berada di dalam khemah ini. Bukannya kami ingin menanggalkan khemah ini, tetapi kami ingin mengenakan kediaman di syurga, supaya tubuh yang dapat mati digantikan dengan kehidupan kekal.” (2 Kor. 5:4) Kaum terurap tidak ingin mati. Mereka menikmati hidup dan ingin berkhidmat kepada Yehuwa bersama keluarga dan kawan mereka setiap hari. Namun, mereka sentiasa ingat akan harapan yang dijanjikan Tuhan bagi mereka.—1 Kor. 15:53; 2 Ptr. 1:4; 1 Yoh. 3:2, 3; Why. 20:6.

ADAKAH YEHUWA MENJEMPUT ANDA?

15. Apakah perkara-perkara yang tidak memberikan bukti bahawa seseorang itu diurapi?

15 Mungkin anda tertanya-tanya sekiranya Yehuwa menjemput anda ke syurga. Jika anda berasa sedemikian, fikirkan soalan berikut: Adakah anda bersemangat dalam  aktiviti penyebaran? Adakah anda gemar mempelajari Bible dan “kebijaksanaan Tuhan yang sangat dalam”? (1 Kor. 2:10) Adakah anda mendapat hasil baik dalam aktiviti penyebaran? Adakah anda mengutamakan kehendak Yehuwa lebih daripada apa pun? Adakah anda mengasihi orang lain dengan mendalam dan ingin membantu mereka menyembah Yehuwa? Adakah terdapat bukti bahawa Yehuwa membantu anda dalam pelbagai cara? Jika anda menjawab “ya” bagi soalan-soalan tersebut, adakah hal itu bererti bahawa anda telah dijemput ke syurga? Tidak. Mengapa? Kerana semua hamba Tuhan boleh berasa sedemikian, tidak kira mereka terurap atau tidak. Melalui daya aktif-Nya, Yehuwa boleh memberikan kuasa kepada hamba-Nya, tidak kira apa pun harapan mereka. Maka, jika anda tertanya-tanya sama ada anda akan naik ke syurga, hal itu bererti bahawa anda tidak dijemput. Mereka yang dijemput oleh Yehuwa tidak akan meragui hal itu!

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa tidak semua orang yang menerima daya aktif akan dijemput ke syurga?

16 Dalam Bible, terdapat banyak contoh tentang orang yang menerima daya aktif Yehuwa tetapi tidak naik ke syurga. Contohnya, Yesus berkata bahawa “tiada yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis.” Namun, dia tidak akan memerintah sebagai raja di syurga. (Mat. 11:10, 11) Daud juga dibimbing oleh daya aktif. (1 Sam. 16:13) Daya aktif membantunya untuk memahami hal-hal rohani yang mendalam dan menulis beberapa bahagian Bible. (Mrk. 12:36) Namun, Petrus berkata bahawa “Daud tidak naik ke syurga.” (Kis. 2:34) Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya agar mereka dapat melakukan hal-hal yang hebat. Tetapi Dia tidak menggunakan daya itu untuk menjemput mereka ke syurga. Adakah hal ini bererti bahawa mereka tidak layak untuk memerintah di syurga? Tidak. Yehuwa akan membangkitkan mereka di bumi firdaus.—Yoh. 5:28, 29; Kis. 24:15.

17, 18. (a) Apakah ganjaran yang dinantikan kebanyakan hamba Tuhan pada hari ini? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Kebanyakan hamba Tuhan hari ini tidak akan naik ke syurga. Seperti Abraham, Daud, Yohanes Pembaptis, dan banyak lagi lelaki dan wanita dalam Bible, mereka menantikan hidup di bumi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. (Ibr. 11:10) Terdapat 144,000 orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Namun, Bible menyatakan bahawa hanya “saki-baki” daripada orang terurap masih berada di bumi pada hari-hari terakhir. (Why. 12:17) Maksudnya, kebanyakan daripada mereka sudah naik ke syurga.

18 Tetapi jika seseorang mengatakan bahawa dia terurap, apakah sepatutnya reaksi orang yang memiliki harapan di bumi? Jika seseorang dalam sidang anda mula makan roti dan minum wain semasa Peringatan, bagaimanakah anda harus memperlakukannya? Patutkah anda berasa risau jika jumlah orang yang makan roti dan minum wain semakin bertambah? Kita akan membincangkan soalan-soalan tersebut dalam rencana seterusnya.

^ [1] (perenggan 4) Perayaan Pentakosta mungkin jatuh pada waktu yang sama apabila Yehuwa memberikan Hukum Musa kepada orang Israel di Gunung Sinai. (Kel. 19:1, 2) Sebagaimana Musa memperkenalkan Perjanjian Hukum Musa kepada orang Israel, Yesus mungkin telah memperkenalkan perjanjian baru kepada bangsa Israel rohani pada hari yang sama ratusan tahun kemudian.

^ [2] (perenggan 11) Untuk maklumat lanjut mengenai maksud dilahirkan semula, sila lihat Menara Pengawal, 1 April 2009, muka surat 3-11 dalam bahasa Indonesia.