“Kami bekerja bersama dengan Tuhan. Maka kami menggesa kamu agar tidak mensia-siakan kebaikan hati Tuhan yang unggul yang sudah kamu terima.”—2 KOR. 6:1.

LAGU: 75, 74

1. Walaupun Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Agung, Dia menjemput makhluk ciptaan-Nya untuk melakukan apa?

YEHUWA ialah Tuhan Yang Maha Agung. Dia menciptakan segala sesuatu, dan Dia mempunyai kebijaksanaan dan kuasa yang tidak terhingga. Selepas Dia membantu Ayub memahami hal ini, Ayub berkata, ‘Aku tahu, ya Yehuwa, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu; Engkau dapat melakukan apa sahaja.’ (Ayb. 42:2) Yehuwa dapat melakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa bantuan sesiapa. Namun, Dia mengasihi makhluk ciptaan-Nya dan menjemput mereka untuk bekerja bersama-Nya supaya kehendak-Nya dilaksanakan.

2. Apakah tugas penting yang diberikan Yehuwa kepada Yesus?

2 Ciptaan pertama Tuhan ialah Anak-Nya, Yesus. Kemudian, Yehuwa menjemput Yesus untuk membantu-Nya mencipta segala sesuatu. (Yoh. 1:1-3, 18) Mengenai Yesus, rasul Paulus menulis, “Segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, baik yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan, sama ada takhta,  pemimpin, kerajaan, atau penguasa. Segala sesuatu yang lain diciptakan melaluinya dan diciptakan untuknya.” (Kol. 1:15-17) Maka Yehuwa bukan sahaja memberi Anak-Nya tugas yang penting, Dia juga memberitahu makhluk ciptaan-Nya yang lain tentang peranan Anak-Nya. Betapa besarnya penghormatan ini!

3. Apakah tugas yang diberikan Yehuwa kepada Adam, dan mengapa?

3 Yehuwa juga menjemput manusia untuk bekerja bersama-Nya. Contohnya, Dia meminta Adam untuk memberikan nama kepada binatang. (Kej. 2:19, 20) Bayangkan sukacita Adam semasa dia melakukan kerja ini! Dia mengkaji rupa dan gerak-geri setiap binatang, lalu memberikan nama yang sesuai. Yehuwa sebenarnya boleh melakukan tugas itu kerana Dialah yang menciptakan semua binatang. Namun, Dia mengasihi Adam lalu memberikan tugas itu kepadanya. Tuhan juga memberi Adam tugas untuk menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus. (Kej. 1:27, 28) Tetapi Adam akhirnya berhenti bekerja bersama Tuhan. Hal ini mendatangkan penderitaan yang besar terhadap dirinya dan keturunannya.—Kej. 3:17-19, 23.

4. Bagaimanakah penyembah Tuhan bekerja bersama-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya?

4 Kemudian, Tuhan menjemput orang lain untuk bekerja bersama-Nya. Nuh membina sebuah bahtera yang melindungi dia dan keluarganya semasa Banjir. Musa membebaskan bangsa Israel daripada orang Mesir. Yosua memimpin orang Israel ke Tanah yang Dijanjikan. Salomo membina Rumah Tuhan di Yerusalem. Maria menjadi ibu kepada Yesus. Mereka semua dan penyembah-penyembah setia yang lain bekerja bersama Yehuwa untuk melaksanakan kehendak-Nya.

5. Apakah kerja yang boleh kita lakukan? Adakah Yehuwa memerlukan kita untuk melakukan kerja tersebut? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Hari ini, Yehuwa menjemput kita untuk menyokong Kerajaan-Nya. Terdapat banyak cara untuk berkhidmat kepada-Nya. Walaupun kemampuan kita berbeza, kita semua boleh menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Yehuwa sebenarnya boleh melakukan kerja ini sendiri. Dia boleh bercakap kepada manusia dari syurga. Yesus berkata bahawa Yehuwa bahkan dapat menyebabkan batu-batu memberitahu orang tentang Raja Mesias. (Luk. 19:37-40) Namun, Yehuwa membenarkan kita menjadi ‘rakan sekerja-Nya.’ (1 Kor. 3:9) Rasul Paulus menulis, “Kami bekerja bersama dengan Tuhan. Maka kami menggesa kamu agar tidak mensia-siakan kebaikan hati Tuhan yang unggul yang sudah kamu terima.” (2 Kor. 6:1) Bekerja bersama Tuhan merupakan penghormatan yang besar. Mari kita lihat mengapa hal ini boleh membawa sukacita yang mendalam.

BEKERJA BERSAMA TUHAN MEMBAWA SUKACITA

6. Apakah perasaan Anak Sulung Tuhan apabila bekerja bersama Bapanya?

6 Umat Yehuwa selalu gembira bekerja bersama Tuhan. Sebelum datang ke bumi, Anak Sulung Tuhan berkata, ‘Yehuwa mencipta aku pada permulaan karya-Nya . . . aku di sisi-Nya seperti seorang jurubina, setiap hari akulah sumber kebahagiaan-Nya, aku sentiasa gembira di hadirat-Nya.’ (Ams. 8:22, 30) Apabila Yesus bekerja bersama Bapanya, dia berasa gembira kerana dapat melakukan banyak perkara. Dia juga tahu bahawa Yehuwa mengasihinya. Bagaimana pula dengan kita?

Mengajar orang tentang kebenaran mendatangkan kepuasan terbesar (Lihat perenggan 7)

7. Mengapakah kerja penyebaran mendatangkan sukacita?

 7 Yesus berkata bahawa kita gembira apabila kita memberi dan menerima. (Kis. 20:35) Kita gembira kerana menerima kebenaran. Kita juga gembira semasa mengongsi kebenaran dengan orang. Mengapa? Kerana kita melihat mereka menjadi bahagia apabila memahami kebenaran Bible serta mula menjalin hubungan dengan Tuhan. Kita juga gembira apabila mereka mengubah cara berfikir dan gaya hidup. Aktiviti penyebaran merupakan kerja yang terpenting dan memuaskan. Kerja ini membolehkan sahabat Tuhan memiliki harapan hidup selama-lamanya.—2 Kor. 5:20.

8. Apakah yang dikatakan oleh sesetengah orang kerana bekerja bersama Yehuwa?

8 Apabila kita membantu orang belajar tentang Tuhan, kita tahu bahawa kita menyenangkan hati Yehuwa dan Dia menghargai usaha kita. Hal ini juga memberi kita sukacita. (Baca 1 Korintus 15:58.) Marco yang tinggal di Itali berkata, “Saya menikmati sukacita yang tidak terhingga kerana saya memberikan yang terbaik kepada Yehuwa dan bukannya kepada orang yang melupakan usaha saya.” Franco yang juga berkhidmat di Itali berkata, “Melalui Firman-Nya dan pemberian rohani-Nya, Yehuwa mengingatkan kita setiap hari bahawa Dia mengasihi kita. Dia juga menghargai segala yang kita lakukan untuk-Nya biarpun perkara itu nampaknya kecil di mata kita. Itulah sebabnya bekerja bersama Tuhan membuat saya gembira dan memberi saya kehidupan yang bermakna.”

BEKERJA BERSAMA TUHAN MENDEKATKAN KITA DENGAN-NYA DAN ORANG LAIN

9. Bagaimanakah hubungan antara Yehuwa dan Yesus, dan mengapa?

9 Jika kita bekerja bersama orang yang dikasihi, kita akan mendekat kepada mereka. Kita akan lebih mengenali keperibadian dan sifat-sifat mereka. Kita akan mengetahui matlamat serta cara mereka mencapai matlamat itu. Yehuwa dan Yesus telah bekerja bersama selama berbilion-bilion tahun. Kasih dan persahabatan mereka begitu erat sehingga tiada apa-apa yang dapat menjejaskan hubungan mereka. Oleh sebab mereka begitu erat, Yesus berkata, “Aku dan Bapa adalah satu.” (Yoh. 10:30) Mereka benar-benar bersatu padu dan bekerjasama.

10. Mengapakah kerja penyebaran mendekatkan kita dengan Tuhan dan orang lain?

10 Yesus meminta Yehuwa untuk menjaga pengikutnya. Mengapa? Dia berdoa, “Supaya mereka menjadi satu, sepertimana kita juga adalah satu.” (Yoh. 17:11) Apabila kita hidup menurut standard Tuhan dan melakukan kerja penyebaran, kita akan lebih mengenali sifat-sifat baik-Nya. Kita belajar mengapa penting untuk mempercayai-Nya dan mengikut arahan-Nya. Semasa kita menghampiri Tuhan, Dia pun menghampiri kita. (Baca Yakobus 4:8.) Oleh sebab kita mempunyai sukacita, dukacita, dan matlamat yang sama dengan saudara saudari, hubungan  kita dengan mereka menjadi erat. Kita bekerja bersama, bergembira bersama, dan bertabah bersama. Saudari Octavia dari Britain berkata, “Bekerja bersama Yehuwa mengeratkan hubungan saya dengan orang lain.” Hal ini kerana dia dan sahabat-sahabatnya mempunyai “matlamat dan tujuan yang sama.” Sudah tentu kita juga berasa demikian. Apabila kita melihat saudara saudari berusaha untuk menyenangkan hati Tuhan, kita juga akan mendekati mereka.

11. Mengapakah hubungan kita dengan Yehuwa dan saudara saudari akan semakin erat di dunia baru?

11 Hubungan kita dengan Tuhan dan saudara saudari memang kuat. Namun, hubungan ini akan bertambah kuat di dunia baru. Fikirkan kerja yang kita nantikan di dunia baru! Kita akan menyambut orang yang dibangkitkan dan mengajar mereka tentang Yehuwa. Kita juga akan mengubah bumi menjadi sebuah firdaus. Sudah pasti kita akan bersukacita untuk bekerja bersama dan beransur-ansur menjadi sempurna di bawah pemerintahan Kristus. Umat manusia akan menikmati hubungan yang erat dan kita akan semakin mendekati Yehuwa yang ‘memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Nya sehingga tidak berkekurangan.’—Mzm. 145:16.

DILINDUNGI KERANA BEKERJA BERSAMA TUHAN

12. Bagaimanakah kerja penyebaran melindungi kita?

12 Kita perlu melindungi kerohanian kita. Kita tidak sempurna dan hidup di dunia Syaitan. Jadi adalah mudah untuk dipengaruhi oleh sikap dan pandangan orang di dunia. Hal ini seperti berenang menentang arus sungai. Agar tidak dihanyutkan arus, kita harus berenang dengan sedaya upaya. Begitu juga, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan pengaruh dunia Syaitan. Bagaimanakah kerja penyebaran melindungi kita? Apabila kita bercakap tentang Yehuwa dan Bible, kita berfokus kepada perkara yang penting dan baik, bukannya perkara yang melemahkan iman kita. (Flp. 4:8) Kerja penyebaran menguatkan iman kita kerana kita diingatkan tentang janji-janji Tuhan dan standard-Nya. Kerja ini juga membantu kita mengekalkan sifat yang diperlukan untuk melindungi diri daripada Syaitan dan dunianya.—Baca Efesus 6:14-17.

13. Apakah perasaan seorang Saksi dari Australia mengenai kerja penyebaran?

13 Apabila kita sibuk menginjil dan melakukan kegiatan rohani, kita tiada masa untuk khuatir tentang masalah sendiri. Joel yang tinggal di Australia berkata, “Kerja penyebaran mengingatkan saya tentang apa yang sedang berlaku di dunia. Saya diingatkan tentang cabaran yang dihadapi orang dan manfaat yang saya raih kerana menerapkan prinsip Bible. Kerja penyebaran membantu saya untuk tetap bersikap rendah hati. Kerja ini juga memberi saya peluang untuk bergantung pada Yehuwa dan saudara saudari.”

14. Mengapakah ketabahan kita dalam kerja penyebaran membuktikan daya aktif Tuhan sedang menyertai kita?

14 Kerja penyebaran meyakinkan kita bahawa daya aktif sedang membantu kita. Bayangkan anda ditugaskan untuk mengedarkan roti kepada orang di sekeliling anda. Anda tidak menerima gaji dan harus menanggung perbelanjaan sendiri. Kebanyakan orang tidak mahu roti itu, dan sesetengah orang pula membenci apa yang anda lakukan. Berapa lamakah anda dapat meneruskan tugas ini? Lama-kelamaan, anda tentu akan berasa kecewa dan putus asa.  Begitu juga, kita menggunakan masa dan wang kita untuk kerja penyebaran. Ada orang menyindir kita dan marah kita. Walaupun begitu, kita tetap melakukan kerja penyebaran tahun demi tahun. Tidakkah hal itu membuktikan bahawa daya aktif Tuhan sedang membantu kita?

BEKERJA BERSAMA TUHAN MEMBUKTIKAN KASIH KITA KEPADA-NYA DAN ORANG LAIN

15. Bagaimanakah kerja penyebaran berkaitan dengan kehendak Tuhan bagi manusia?

15 Bagaimanakah kerja penyebaran berkaitan dengan kehendak Tuhan bagi manusia? Tuhan ingin manusia hidup selama-lamanya. Hal ini tidak berubah walaupun Adam berdosa. (Yes. 55:11) Tuhan membebaskan kita daripada dosa dan maut. Bagaimana? Yesus datang ke bumi dan mengorbankan nyawanya. Namun, untuk mendapat manfaat daripada tebusannya, manusia perlu mentaati Tuhan. Oleh itu, Yesus mengajar orang tentang kehendak Tuhan dan memerintahkan para pengikutnya untuk melakukan hal yang sama. Apabila kita melakukan kerja penyebaran dan membantu orang menjadi sahabat Tuhan, kita sedang bekerja bersama Tuhan untuk menyelamatkan manusia daripada dosa dan maut.

16. Bagaimanakah aktiviti penyebaran berkaitan dengan perintah Tuhan yang terpenting?

16 Apabila kita membantu orang memiliki harapan hidup kekal, kita membuktikan kasih kita kepada mereka dan Yehuwa. Yehuwa “menghendaki agar segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Tim. 2:4) Apabila orang Farisi bertanya tentang perintah Tuhan yang terpenting, Yesus menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.’ Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting. Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah: ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’” (Mat. 22:37-39) Dengan mengkhabarkan berita baik, kita sebenarnya mentaati perintah tersebut.—Baca Kisah 10:42.

17. Apakah perasaan anda tentang aktiviti penyebaran?

17 Kita memang diberkati Tuhan! Yehuwa memberi kita kerja yang mendatangkan sukacita, mendekatkan kita dengan-Nya dan saudara saudari, serta kerja yang melindungi kerohanian kita. Kerja ini juga memberi kita peluang untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain. Berbilion hamba Yehuwa di seluruh dunia memiliki situasi yang berbeza. Namun tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, kuat atau lemah, kita semua boleh bergiat untuk mengongsi iman dengan orang lain. Kita berasa seperti Chantel dari Perancis yang berkata, “Peribadi yang paling berkuasa di alam semesta, Pencipta segala sesuatu, dan Tuhan yang gembira, seolah-olah berkata kepada saya: ‘Pergilah dan cakaplah untuk Aku. Cakaplah dari hati kamu. Aku memberi kamu kekuatan, Firman-Ku Bible, sokongan, rakan sekerja, latihan, dan arahan pada masa yang sesuai.’ Ya, melakukan kehendak Yehuwa dan bekerja bersama-Nya memang penghormatan yang tidak terhingga!”