APAKAH hari yang paling menggembirakan dalam kehidupan anda? Adakah hari itu hari perkahwinan anda, hari kelahiran anak yang pertama, atau hari pembaptisan anda? Kemungkinan besar, hari pembaptisan anda ialah hari terpenting dan membawa sukacita terbesar bagi anda. Saudara saudari lain turut berbesar hati melihat anda membuktikan bahawa anda mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa, akal, dan kekuatan.—Mrk. 12:30.

Sejak dibaptis, anda pasti telah memperoleh banyak sukacita kerana menyembah Yehuwa. Namun, sesetengah umat Yehuwa telah hilang sukacita. Mengapakah hal ini berlaku? Apakah beberapa sebab yang dapat mendorong kita untuk terus bersukacita?

MENGAPA MEREKA KEHILANGAN SUKACITA

Berita baik Kerajaan Tuhan memang menggembirakan. Yehuwa berjanji untuk menghapuskan dunia jahat ini dan membawa dunia baru. Zefanya 1:14 menyatakan, ‘Hari penghakiman Yehuwa sudah dekat, sesungguhnya, hari itu sudah sangat hampir dan akan tiba dengan segera.’ Tetapi, kita mungkin hilang sukacita jika perkara yang dinantikan itu belum tiba. Akibatnya, semangat kita dalam khidmat kepada Yehuwa mungkin berkurang.—Ams. 13:12.

Pergaulan bersama saudara saudari juga membawa sukacita. Barangkali, sifat Kristian yang diperlihatkan oleh umat Yehuwa telah menarik kita kepada ibadat sejati dan mengikut haluan Tuhan. (1 Ptr. 2:12) Tetapi, apakah kesannya jika seorang rakan seiman didisiplinkan kerana melanggar prinsip Tuhan? Perbuatan mereka mungkin menyebabkan sesetengah ahli sidang berasa tawar hati dan hilang sukacita.

Satu lagi perkara yang boleh mengikis sukacita kita ialah materialisme. Mengapa? Dunia Syaitan menggalakkan kita untuk membeli barang yang tidak diperlukan. Ingatlah kata-kata Yesus: “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi memandang hina pada yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Mat. 6:24) Adalah mustahil  untuk menyembah Yehuwa dengan sukacita dan pada masa yang sama mengasihi perkara di dunia.

BERSUKACITA DALAM KHIDMAT KEPADA YEHUWA

Mereka yang mengasihi Yehuwa tidak berasa susah untuk berkhidmat kepada-Nya. (1 Yoh. 5:3) Yesus berkata, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.” (Mat. 11:28-30) Sebagai orang Kristian sejati, kita memperoleh kesegaran dan kebahagiaan. Kita memang mempunyai banyak sebab untuk bersukacita. Mari kita kaji tiga sebab.—Hab. 3:18.

Kita menyembah Pemberi Nyawa, iaitu Tuhan yang gembira. (Kis. 17:28; 1 Tim. 1:11) Nyawa kita berasal daripada Pencipta kita. Jadi, biarpun kita sudah lama dibaptis, bertekadlah untuk terus menyembah-Nya dengan sukacita.

Héctor mengekalkan sukacitanya dengan mengingati janji-janji Tuhan dan tetap aktif dalam kegiatan rohani

Perhatikan contoh Héctor, yang pernah berkhidmat sebagai penyelia lawatan selama 40 tahun. Walaupun sudah tua, dia masih bersukacita dalam khidmatnya. (Mzm. 92:13-15) Kesihatan isteri Héctor tidak mengizinkannya untuk berkhidmat seperti dulu. Namun, dia tidak membiarkan situasi itu meragut sukacitanya. Héctor berkata, “Memang sedih untuk melihat kesihatan isteri saya semakin merosot, dan tidak mudah untuk menjaganya. Tetapi, saya tidak membiarkan hal ini membuat saya hilang sukacita. Saya sedar bahawa saya berhutang nyawa kepada Yehuwa. Hal ini mendorong saya untuk mengasihi dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Saya berusaha untuk terus menginjil dan bertumpu kepada janji-janji Kerajaan Tuhan. Hal ini membantu saya terus bersukacita.”

Yehuwa menyediakan korban tebusan agar kita menikmati kehidupan yang bahagia. “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Jika kita beriman terhadap korban tebusan yang disediakan Tuhan, dosa-dosa kita dapat diampunkan dan kita boleh menikmati kehidupan kekal. Tidakkah kita menghargai hal ini? Sudah pasti rasa syukur terhadap pemberian ini menggerakkan kita untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita.

Jesús menyederhanakan kehidupannya dan menyembah Yehuwa dengan sukacita selama bertahun-tahun

Jesús, seorang saudara di Mexico berkata, “Dulu, saya gila kerja. Kadangkala, saya bekerja lima syif berturut-turut. Saya tidak wajib buat  begitu, tetapi saya mahu mendapat lebih banyak wang. Kemudian, saya belajar tentang Yehuwa dan bahawa Dia mengutus Anak-Nya ke bumi demi manusia. Hati saya tergerak untuk menyembah-Nya. Jadi saya membaktikan diri kepada Yehuwa, meletakkan jawatan selepas bekerja 28 tahun di syarikat itu, dan berkhidmat sepenuh masa untuk Yehuwa.” Itulah caranya Jesús mula berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita.

Kita bersukacita kerana bersih secara moral. Bagaimanakah keadaan hidup anda sebelum mengenali Yehuwa? Rasul Paulus memberitahu orang Kristian di Roma bahawa mereka dahulunya “hamba dosa,” tetapi kemudian menjadi “hamba kepada Tuhan dan melakukan apa yang benar.” Ya, kerana mereka bersih secara moral, mereka memiliki harapan kehidupan kekal. (Rm. 6:17-22) Haluan Yehuwa membawa sukacita kerana kita dilindungi daripada gaya hidup yang tidak bermoral atau ganas.

“Masa yang diluangkan dalam khidmat kepada Yehuwa ialah masa yang paling bahagia dalam hidup saya.”—Jaime

Jaime ialah seorang petinju, ateis, dan penyokong ajaran evolusi. Selepas menghadiri perjumpaan Kristian, dia kagum melihat kasih yang ditunjukkan di sana. Supaya dapat mengubah hidupnya, Jaime memohon agar Yehuwa membantunya memupuk iman. “Secara beransur-ansur, saya mula percaya bahawa Tuhan, Bapa yang berbelas kasihan dan pengasih, memang wujud,” ujar Jaime. “Saya dilindungi kerana hidup menurut piawaian Tuhan. Jika tidak, saya mungkin sudah mati, seperti rakan petinju saya. Masa yang diluangkan dalam khidmat kepada Yehuwa ialah masa yang paling bahagia dalam hidup saya.”

JANGAN PUTUS ASA!

Seraya menunggu dunia ini dihapuskan, apakah tekad kita? Ingatlah, kita sedang melakukan kehendak Tuhan dan mempunyai harapan kehidupan kekal. “Oleh itu, teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.” (Gal. 6:8, 9) Dengan bantuan Yehuwa, semoga kita tabah, memupuk sifat-sifat yang membantu kita mengharungi “kesengsaraan besar,” dan terus menyembah-Nya dengan sukacita.—Why. 7:9, 13, 14; Yak. 1:2-4.

Kita yakin bahawa Yehuwa pasti memberkati ketabahan kita. Dia tahu kerja yang kita lakukan dan kasih yang kita tunjukkan demi nama-Nya. Jika kita berkhidmat kepada-Nya dengan sukacita, kita dapat mengungkapkan kata-kata pemazmur Daud: ‘Aku sentiasa sedar akan hadirat Yehuwa; Engkau ada di sampingku, tiada suatu pun dapat menggoncang aku. Demikianlah hatiku bersyukur dan gembira, dan aku selamat.’—Mzm. 16:8, 9.