‘Semoga Tuhan menyertai engkau. Yehuwa akan memastikan agar kita dan keturunan kita selalu memegang perjanjian kita berdua di hadapan-Nya.’—1 SAM. 20:42.

LAGU: 125, 62

1, 2. Mengapakah kesetiaan Yonatan terhadap Daud luar biasa?

SUDAH tentu Yonatan sangat kagum dengan keberanian Daud. Daud telah membunuh Goliat yang besar dan “menjinjing kepala Goliat” lalu membawanya kepada bapa Yonatan, Raja Saul dari Israel. (1 Sam. 17:57) Yonatan yakin bahawa Tuhan menyertai Daud. Sejak itu, Yonatan dan Daud menjadi sahabat rapat. Mereka berjanji untuk tetap setia kepada satu sama lain. (1 Sam. 18:1-3) Yonatan setia kepada Daud sehingga akhir hayatnya.

2 Yonatan setia kepada Daud walaupun Yehuwa memilih Daud sebagai raja Israel yang seterusnya, dan bukannya Yonatan. Apabila Saul cuba membunuh Daud, Yonatan sangat risau akan sahabatnya. Dia tahu bahawa Daud berada di padang belantara Hores. Yonatan pergi menggalakkannya untuk bergantung pada Yehuwa. Yonatan memberitahu Daud: “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. . . . Engkaulah yang  akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”—1 Sam. 23:16, 17.

3. Apakah yang lebih penting bagi Yonatan daripada kesetiaannya kepada Daud, dan bagaimanakah kita tahu tentang hal ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Kita menghargai orang yang menunjukkan kesetiaan. Namun, adakah kita kagum dengan Yonatan hanya kerana dia setia kepada Daud? Tidak. Kesetiaan kepada Tuhan ialah perkara terpenting dalam kehidupan Yonatan. Itulah sebabnya dia setia kepada Daud. Walaupun Daud dipilih menjadi raja, Yonatan tidak cemburu. Yonatan bahkan membantu Daud untuk bergantung pada Yehuwa. Mereka tetap setia kepada Yehuwa dan satu sama lain. Mereka menepati janji mereka: ‘Semoga Tuhan menyertai engkau. Yehuwa akan memastikan agar kita dan keturunan kita selalu memegang perjanjian kita berdua di hadapan-Nya.’—1 Sam. 20:42.

4. (a) Apakah yang akan membuat kita berasa puas dan bahagia? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Kita juga harus setia kepada keluarga, sahabat, dan saudara saudari. (1 Tes. 2:10, 11) Namun, yang terpenting ialah kesetiaan kita kepada Yehuwa. Dialah yang memberi kita kehidupan! (Why. 4:11) Apabila kita setia kepada-Nya, kita berasa puas dan bahagia. Namun, ada kalanya kesetiaan kita diuji. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana teladan Yonatan membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa dalam empat situasi berikut: (1) apabila kita berasa orang yang berkuasa tidak layak dihormati, (2) apabila memilih untuk setia antara dua pihak, (3) apabila saudara salah faham atau memperlakukan kita dengan tidak adil, dan (4) apabila sukar untuk menepati janji.

APABILA ORANG BERKUASA NAMPAKNYA TIDAK LAYAK DIHORMATI

5. Mengapakah susah bagi umat Israel untuk setia kepada Tuhan sewaktu Saul menjadi raja?

5 Yonatan dan umat Israel menghadapi situasi yang susah. Raja Saul ditolak oleh Yehuwa kerana dia tidak setia. (1 Sam. 15:17-23) Namun, Tuhan membiarkan Saul untuk terus memerintah selama beberapa tahun. Jadi, sangat susah bagi rakyat untuk setia kepada Yehuwa memandangkan raja yang ‘ditetapkan oleh Yehuwa’ melakukan banyak perkara yang jahat.—1 Taw. 29:23.

6. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yonatan tetap setia kepada Yehuwa?

6 Yonatan tetap setia kepada Yehuwa. Fikirkan apa yang dilakukannya tidak lama selepas Saul mula mengingkari Tuhan. (1 Sam. 13:13, 14) Sepasukan tentera Filistin bersama 30,000 kereta kuda menyerang Israel. Saul mempunyai 600 orang askar sahaja, dan hanya dia dan Yonatan mempunyai senjata. Namun Yonatan tidak takut. Dia mengingati kata-kata nabi Samuel: ‘Yehuwa sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan umat-Nya sendiri.’ (1 Sam. 12:22) Yonatan memberitahu seorang askar: ‘Yehuwa dapat memberikan kemenangan, baik dengan banyak orang mahupun dengan sedikit orang.’ Jadi dia dan askar itu menyerang tentera Filistin dan membunuh kira-kira 20 orang askar. Yonatan beriman kepada Yehuwa, dan Yehuwa memberkatinya. Yehuwa menyebabkan sebuah gempa bumi berlaku. Tentera Filistin menjadi takut lalu menyerang dan membunuh satu sama lain. Oleh itu, tentera Israel menang.—1 Sam. 13:5, 15, 22; 14:1, 2, 6, 14, 15, 20.

7. Bagaimanakah Yonatan melayan bapanya?

7 Walaupun Saul mengingkari Yehuwa,  Yonatan berusaha mentaati bapanya sekiranya tidak bercanggah dengan prinsip Tuhan. Contohnya, mereka berperang bersama-sama demi umat Yehuwa.—1 Sam. 31:1, 2.

8, 9. Jika kita menghormati orang yang berkuasa, mengapakah hal itu menunjukkan bahawa kita setia kepada Tuhan?

8 Seperti Yonatan, kita boleh setia kepada Yehuwa dengan mentaati kerajaan tempatan, asalkan permintaan mereka tidak melanggar prinsip Tuhan. Yehuwa membenarkan “pihak berkuasa” untuk menguasai kita dan Dia ingin kita menghormati mereka. (Baca Roma 13:1, 2.) Itulah sebabnya kita menghormati pegawai kerajaan, walaupun kita berasa bahawa mereka tidak jujur atau tidak layak dihormati. Selain itu, kita harus menghormati semua orang yang diberikan kuasa oleh Yehuwa.—1 Kor. 11:3; Ibr. 13:17.

Satu cara untuk setia kepada Yehuwa adalah dengan menghormati pasangan yang tidak seiman (Lihat perenggan 9)

9 Olga, [1] seorang saudari dari Amerika Selatan, menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa dengan menghormati suaminya walaupun dia diperlakukan dengan buruk. Ada kalanya, suami Olga menghinanya atau enggan bercakap dengannya kerana dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Suaminya juga pernah mengugut untuk meninggalkannya dan membawa anak-anak bersama. Namun Olga tidak “membalas kejahatan dengan kejahatan.” Dia berusaha untuk menjadi isteri yang baik. Dia memasak dan mencuci baju suami, serta menjaga ahli keluarganya yang lain. (Rm. 12:17) Apabila keadaan mengizinkan, Olga mengikut suami untuk melawat saudara-mara dan kawannya. Contohnya, apabila suaminya ingin pergi ke kota lain untuk menghadiri upacara pengebumian bapanya, Olga menyediakan apa yang diperlukan untuk perjalanan itu. Dia menunggu di luar gereja semasa upacara tersebut berlangsung. Beberapa tahun kemudian, suami Olga mula melayan dia dengan baik kerana Olga sangat sabar dan menghormati suami. Kini, suami Olga menggalakkannya untuk menghadiri perjumpaan dan membawanya ke Dewan Perjumpaan. Ada kalanya, suami Olga menghadiri perjumpaan bersamanya.—1 Ptr. 3:1.

 SEWAKTU MEMILIH UNTUK SETIA ANTARA DUA PIHAK

10. Yonatan memilih untuk setia kepada siapa, dan mengapa?

10 Apabila Saul berkata bahawa dia ingin membunuh Daud, Yonatan berasa susah untuk membuat keputusan. Dia ingin setia kepada bapanya, tetapi dia juga ingin setia kepada Daud. Yonatan tahu bahawa Tuhan menyertai Daud dan bukannya Saul, jadi dia memilih untuk setia kepada Daud. Dia menasihati Daud untuk bersembunyi dan dia mengatakan hal-hal baik tentang Daud kepada Saul.—Baca 1 Samuel 19:1-6.

11, 12. Bagaimanakah kasih terhadap Tuhan membantu kita untuk setia kepada-Nya semasa membuat keputusan?

11 Kesetiaan Alice, seorang saudari dari Australia, telah diuji. Semasa mempelajari Bible, dia memberitahu keluarganya tentang perkara yang dipelajarinya. Dia juga menjelaskan bahawa dia tidak akan menyambut Krismas. Pada mulanya, keluarganya berasa kecewa, kemudian mereka menjadi sangat marah. Mereka berasa bahawa Alice tidak lagi mempedulikan mereka. Ibunya berkata bahawa dia enggan berjumpa dengan Alice lagi. Alice berkata, “Saya terkejut dan sakit hati kerana saya benar-benar mengasihi keluarga. Namun, saya bertekad untuk mengutamakan Yehuwa dan Anak-Nya. Saya dibaptis pada perhimpunan yang seterusnya.”—Mat. 10:37.

12 Kita tidak harus membiarkan sekolah, negara, atau kumpulan sukan menjadi lebih penting daripada Yehuwa. Contohnya, Henry suka bermain catur dan dipilih untuk mewakili sekolah. Dia ingin memenangi kejohanan bagi sekolahnya. Oleh sebab dia bermain catur setiap hujung minggu, dia tiada masa untuk aktiviti penyebaran dan perjumpaan. Henry berkata bahawa kesetiaannya kepada sekolah menjadi lebih penting daripada kesetiaannya kepada Tuhan. Maka dia berhenti bermain catur bagi sekolah.—Mat. 6:33.

13. Bagaimanakah kesetiaan kepada Tuhan membantu kita menghadapi masalah keluarga?

13 Ada kalanya, adalah susah untuk setia kepada dua ahli keluarga pada masa yang sama. Contohnya, Ken berkata, “Saya ingin selalu melawat ibu saya yang lanjut usia dan sekali-sekala menjemputnya untuk tinggal bersama saya. Tetapi ibu dan isteri saya tidak mempunyai hubungan yang baik.” Dia berkata bahawa dia tidak dapat menyenangkan hati kedua-dua pihak. Ken merenungkan ajaran Bible dan sedar bahawa dalam situasi sebegini, dia harus menyenangkan hati isteri dan setia kepadanya. Akhirnya, dia dapat mencari cara untuk melakukan hal itu. Kemudian, dia menjelaskan sebab isterinya harus melayan ibunya dengan baik. Dia juga menjelaskan sebab ibunya harus menghormati isterinya.—Baca Kejadian 2:24; 1 Korintus 13:4, 5.

APABILA SAUDARA SALAH FAHAM ATAU TIDAK ADIL TERHADAP KITA

14. Bagaimanakah Saul memperlakukan Yonatan dengan tidak adil?

14 Kita juga dapat setia kepada Yehuwa apabila saudara yang memimpin memperlakukan kita dengan tidak adil. Raja Saul dilantik oleh Tuhan, namun dia memperlakukan anaknya dengan buruk. Dia tidak faham mengapa Yonatan mengasihi Daud. Maka, apabila Yonatan membantu Daud, Saul berasa sangat marah. Dia juga memalukan anaknya di khalayak ramai. Tetapi, Yonatan tetap menghormati bapanya. Pada masa yang sama, dia setia kepada Yehuwa dan Daud, orang yang dilantik oleh Tuhan untuk menjadi raja Israel yang seterusnya.—1 Sam. 20:30-41.

15. Jika seorang saudara memperlakukan kita dengan tidak adil, apakah sepatutnya reaksi kita?

 15 Hari ini, saudara yang memimpin cuba memperlakukan semua orang dengan adil. Namun, mereka tidak sempurna. Jadi, mereka mungkin tidak faham mengapa kita melakukan sesuatu. (1 Sam. 1:13-17) Jika mereka salah faham atau memperlakukan kita dengan tidak adil, tunjukkanlah kesetiaan kepada Yehuwa.

APABILA SUKAR UNTUK MENEPATI JANJI

16. Kita harus setia kepada Yehuwa dan rela membuat pengorbanan dalam situasi apa?

16 Saul ingin Yonatan menjadi raja yang seterusnya, dan bukannya Daud. (1 Sam. 20:31) Namun Yonatan mengasihi dan setia kepada Yehuwa. Yonatan tidak mementingkan diri. Sebaliknya, dia menjadi sahabat Daud, dan menepati janjinya kepada Daud. Orang yang mengasihi Yehuwa dan setia kepada-Nya akan “sentiasa menepati janji mereka, tanpa mengira kerugian.” (Mzm. 15:4) Jika kita setia kepada Tuhan, kita akan menepati janji. Contohnya, jika kita membuat perjanjian perniagaan, kita akan menepati janji itu walaupun susah. Selain itu, jika kita menghadapi masalah perkahwinan, kita akan menunjukkan kasih kepada Yehuwa dengan tetap setia kepada pasangan hidup.—Baca Maleakhi 2:13-16.

Jika kita setia kepada Tuhan, kita akan menepati perjanjian perniagaan (Lihat perenggan 16)

17. Bagaimanakah rencana ini telah membantu anda?

17 Seperti Yonatan, kita ingin setia kepada Tuhan semasa menghadapi situasi yang mencabar. Maka kita harus setia kepada saudara saudari biarpun mereka mengecewakan kita. Dengan demikian, Yehuwa akan gembira dan kita juga akan menikmati sukacita. (Ams. 27:11) Kita boleh yakin bahawa jika kita setia, Yehuwa akan selalu membantu dan menjaga kita. Dalam rencana seterusnya, kita akan belajar tentang mereka yang setia dan yang tidak setia pada zaman Daud.

^ [1] (perenggan 9) Sesetengah nama telah diubah.