Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Yehuwa Membantu Saya Berjaya dalam Khidmat-Nya

Yehuwa Membantu Saya Berjaya dalam Khidmat-Nya

Saya memberitahu pegawai itu bahawa saya pernah dipenjarakan kerana saya tidak ikut berperang. Saya tanya dia, “Adakah saya akan dipenjarakan lagi?” Ini kali kedua saya diperintahkan untuk menyertai Angkatan Tentera Amerika Syarikat.

SAYA lahir pada tahun 1926, di Crooksville, Ohio, Amerika Syarikat. Ibu bapa tidak kuat beragama, tetapi mereka menyuruh kami, lapan orang adik-beradik, untuk pergi ke gereja. Saya menghadiri Gereja Methodist. Pada umur 14 tahun, pemimpin gereja memberi saya hadiah kerana saya pergi ke gereja setiap Ahad dalam masa setahun.

Margaret Walker (saudari yang kedua dari kiri) mengajar saya tentang kebenaran

Sekitar masa itu, jiran kami, Margaret Walker, seorang Saksi-Saksi Yehuwa, mengunjungi ibu dan bercakap tentang Bible. Saya ingin menyertai mereka, tetapi ibu berasa saya akan mengganggu pembelajarannya. Jadi, dia menyuruh saya keluar dari rumah. Tetapi, saya cuba mendengar perbincangan mereka. Setelah beberapa kunjungan, Margaret menanya saya, “Kamu tahu nama Tuhan?” Saya berkata, “Semua orang tahu. Nama-Nya Tuhanlah.” Dia berkata, “Ambil Bible kamu dan baca Mazmur 83:18.” * Saya membaca ayat itu dan mendapati nama Tuhan ialah  Yehuwa. Saya terus beritahu kawan-kawan saya: “Bila kamu balik nanti, baca Mazmur 83:18 dan lihat siapa nama Tuhan.” Mungkin, itulah kali pertama saya menginjil.

Saya belajar Bible dan dibaptis pada tahun 1941. Tidak lama kemudian, saya mula mengendalikan pembelajaran buku sidang. Ibu dan adik-beradik juga menyertai pembelajaran buku sidang itu. Ayah pula tidak berminat.

TENTANGAN DI RUMAH

Saya diberikan lebih banyak tanggungjawab di sidang. Saya juga memiliki banyak buku Saksi-Saksi Yehuwa. Suatu hari, ayah menunjuk ke arah buku saya dan berkata, “Kamu nampak semua itu? Saya mahu semuanya keluar dari rumah ini, termasuk kamu.” Saya berpindah ke Zanesville, Ohio, tetapi saya masih melawat keluarga untuk menggalakkan mereka.

Ayah cuba menghalang ibu daripada menghadiri perjumpaan. Kadangkala, dalam perjalanan ke perjumpaan, ayah mengejar ibu dan menariknya balik ke rumah. Namun, ibu segera keluar dari pintu belakang dan pergi ke perjumpaan. Saya memberitahu ibu, “Jangan risau. Ayah akan penat kejar ibu nanti.” Akhirnya, ayah putus asa dan ibu dapat menghadiri perjumpaan.

Apabila Sekolah Penyebaran Teokratik bermula pada tahun 1943, saya mula menyampaikan tugasan di sidang. Nasihat yang diberikan membantu saya untuk menyampaikan ceramah dengan lebih baik.

TETAP NEUTRAL SEMASA PERANG

Pada tahun 1944, semasa Perang Dunia Kedua, saya disuruh menyertai tentera. Saya melaporkan diri ke Fort Hayes di Columbus, Ohio. Kemudian, menjalani pemeriksaan fizikal dan disuruh mengisi borang. Saya memberitahu bahawa saya tidak mahu menjadi askar. Mereka membiarkan saya balik. Namun, beberapa hari kemudian, seorang pegawai datang ke rumah dan berkata, “Corwin Robison, saya ada waran untuk tangkap kamu.”

Dua minggu kemudian, di mahkamah, hakim berkata, “Ikutkan hati, saya akan jatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Kamu ingin kata apa-apa?” Saya menjawab, “Yang Berhormat, saya seorang penginjil. * Saya berkhutbah dari rumah ke rumah dan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.” Hakim memberitahu para juri, “Kamu di sini bukan untuk menentukan sama ada lelaki ini ialah penginjil atau tidak. Tetapi untuk menentukan sama ada dia setuju untuk menyertai khidmat tentera atau tidak.” Kurang daripada setengah jam, para juri memutuskan bahawa saya bersalah. Saya dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun di penjara Ashland, Kentucky.

YEHUWA MELINDUNGI SAYA DI PENJARA

Selama dua minggu, saya dipenjarakan di Columbus, Ohio. Pada hari pertama, saya tidak keluar dari bilik penjara. Saya berdoa kepada  Yehuwa, “Saya tidak mahu tinggal di penjara selama lima tahun. Apa yang harus saya buat?”

Keesokannya, pengawal membenarkan saya keluar. Saya berjalan ke arah seorang banduan yang tinggi dan tegap. Sambil melihat ke luar tingkap, dia bertanya, “Kenapa kamu dipenjarakan?” Saya menjawab, “Saya Saksi-Saksi Yehuwa.” Dia berkata, “Apa kesalahan kamu?” Saya menjawab, “Saksi-Saksi Yehuwa tidak berperang dan tidak membunuh orang.” Dia berkata, “Mereka penjarakan orang lain sebab membunuh orang. Tapi, kamu dipenjarakan sebab tidak mahu membunuh orang.”

Kemudian dia berkata, “Selama 15 tahun saya di penjara lain. Saya ada baca majalah kamu.” Selepas itu, saya berdoa, “Yehuwa, saya harap lelaki ini bantu saya.” Lelaki yang bernama Paul itu pun berkata, “Kalau ada orang ganggu kamu, jerit saja. Saya akan uruskan mereka.” Jadi, saya tiada masalah dengan 50 orang banduan di bahagian itu.

Saya merupakan salah seorang Saksi yang dipenjarakan di Ashland, Kentucky, kerana berpendirian neutral

Kemudian saya dipindahkan ke penjara Ashland. Di sana, ada beberapa saudara matang. Mereka membantu saya untuk tetap akrab dengan Yehuwa. Kami diberikan tugasan pembacaan Bible mingguan serta menyediakan soalan dan jawapan yang akan digunakan apabila kami berkumpul bersama. Di sepanjang dinding bilik kami terdapat katil-katil. Seorang saudara akan mengatur kawasan penyebaran. Dia memberitahu saya, “Robison, katil itu tanggungjawab kamu. Itulah kawasan penyebaran kamu. Pastikan kamu menginjil kepada setiap orang yang menggunakan katil itu.” Itulah cara kami menginjil.

APA YANG SAYA TEMUI DI LUAR PENJARA

Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945. Tetapi saya masih dipenjarakan. Saya risau akan keluarga kerana ayah pernah berkata, “Asalkan saya dapat usir kamu, yang lain bukan masalah besar.” Selepas dibebaskan, saya menerima satu kejutan. Walaupun ditentang oleh ayah, tujuh ahli keluarga saya menghadiri perjumpaan dan seorang adik perempuan saya dibaptis.

Menginjil bersama Demetrius Papageorge, seorang saudara terurap yang menyembah Yehuwa sejak tahun 1913

Pada tahun 1950, Amerika Syarikat terlibat dalam peperangan di Korea. Saya disuruh melaporkan diri ke Fort Hayes sekali lagi. Selepas menjalani pemeriksaan fizikal, seorang pegawai berkata, “Kamu salah seorang yang dapat markah tertinggi.” Saya berkata,  “OK. Tapi saya tidak akan menyertai tentera.” Saya memetik 2 Timotius 2:3 dan berkata, “Saya sudah menjadi tentera Kristus.” Kemudian, dia menjawab, “Kamu boleh pergi.”

Tidak lama kemudian, saya menghadiri perjumpaan Bethel semasa konvensyen di Cincinnati, Ohio. Saudara Milton Henschel berkata bahawa Bethel memerlukan saudara yang ingin bekerja keras untuk Kerajaan Tuhan. Saya menghantar permohonan dan berkhidmat di Bethel Brooklyn sejak Ogos 1954.

Ada banyak kerja yang perlu dilakukan di Bethel. Selama beberapa tahun, saya mengendalikan dandang pemanas di bahagian percetakan dan bangunan pejabat. Selain itu, saya menjadi mekanik dan tukang kunci. Saya juga bekerja di Dewan-Dewan Perhimpunan di Bandar Raya New York.

Mengendalikan dandang pemanas di bangunan pejabat Bethel Brooklyn

Saya menyukai program di Bethel seperti ibadat pagi, pembelajaran majalah, dan menginjil bersama ahli sidang. Sebenarnya, semua ini patut dilakukan oleh setiap keluarga Saksi. Jika keluarga membincangkan ayat harian bersama, mengadakan Penyembahan Keluarga secara tetap, memberikan komen di perjumpaan, dan rajin menginjil, mereka akan semakin akrab dengan Yehuwa.

Saya ada banyak kawan di Bethel dan di sidang. Ada yang terurap dan sudah naik ke syurga. Ada juga yang tidak terurap. Namun, semua umat Yehuwa tidak sempurna, termasuk ahli Bethel. Jika saya bertikai dengan seorang saudara, saya berusaha berdamai. Saya fikir tentang Matius 5:23, 24 dan cara untuk menangani perselisihan faham itu. Tidak mudah untuk meminta maaf, tetapi cara ini menyelesaikan banyak masalah.

HASIL BAIK YANG DIRAIH

Oleh sebab sudah tua, saya berasa susah untuk menginjil dari rumah ke rumah. Tetapi, saya tidak putus asa. Saya belajar sedikit bahasa Cina dan menginjil kepada orang Cina. Ada kalanya, saya dapat menawarkan 30 atau 40 majalah.

Menginjil kepada orang Cina di Brooklyn, New York

Saya juga pernah membuat kunjungan kembali dengan orang di China! Pada suatu hari, seorang gadis senyum sambil mengedarkan  iklan bagi sebuah gerai buah-buahan. Saya senyum dan menawarkan majalah Menara Pengawal dan Awake! dalam bahasa Cina. Dia menerima majalah itu dan memberitahu namanya ialah Katie. Setiap kali nampak saya, dia berbual dengan saya. Saya mengajar Katie nama buah dan sayur dalam bahasa Inggeris. Saya menyebutnya dan Katie mengulanginya. Saya juga menjelaskan ayat Bible dan dia menerima buku Ajaran Bible. Tetapi, saya tidak nampak dia lagi selepas beberapa minggu.

Berbulan kemudian, saya menawarkan majalah kepada seorang gadis yang mengedarkan iklan. Dia menerima majalah itu. Seminggu kemudian, dia memberikan telefonnya dan meminta saya untuk bercakap dengan orang dari China. Saya menjawab, “Saya tidak kenal orang di China.” Tetapi, dia berkeras. Jadi saya pun mengambil telefonnya dan berkata, “Helo, ini Robison.” Suara dalam telefon itu pun berkata, “Robby, ini Katie. Saya sudah balik ke China.” Saya berkata, “China?” Katie menjawab, “Ya. Robby, gadis yang beri kamu telefon itu adik saya. Kamu telah ajar saya banyak perkara. Tolonglah ajar dia juga.” Saya berkata, “OK Katie, saya cuba. Terima kasih kerana beritahu saya di mana kamu berada.” Tidak lama kemudian, saya bercakap dengan adiknya buat kali terakhir. Tidak kira di mana mereka, saya harap mereka terus belajar tentang Yehuwa.

Saya telah menyembah Yehuwa selama 73 tahun. Saya gembira kerana Dia membantu saya tetap neutral dan beriman ketika di penjara. Adik-beradik saya digalakkan kerana saya menghadapi tentangan ayah tanpa putus asa. Akhirnya, ibu dan enam orang adik-beradik saya dibaptis. Sikap ayah juga berubah dan dia menghadiri beberapa perjumpaan sebelum meninggal.

Saya harap ahli keluarga dan sahabat saya yang sudah meninggal akan dibangkitkan di dunia baru, jika itu kehendak Tuhan. Bayangkan sukacita kita untuk menyembah Yehuwa selama-lamanya bersama mereka yang dikasihi. *

^ per. 6 Dalam Bible bahasa Inggeris yang digunakan oleh Corwin Robison, nama Tuhan, iaitu Yehuwa, tertera di ayat tersebut.

^ per. 14 Di Amerika Syarikat, seorang penginjil dikecualikan daripada khidmat tentera pada masa itu.

^ per. 32 Semasa rencana ini disediakan, Saudara Corwin Robison yang menyembah Yehuwa dengan setia telah meninggal.