“Kamu Israel, hamba-Ku, adalah umat pilihan-Ku, kamu keturunan Abraham, sahabat-Ku.”—YES. 41:8.

LAGU: 91, 22

1, 2. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa manusia dapat menjadi sahabat Tuhan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

SEJAK lahir dan sehingga akhir hayat, kita memerlukan kasih. Bukan sekadar kasih romantik, tetapi persahabatan yang akrab dan penuh kasih. Lebih penting lagi, kita memerlukan kasih daripada Yehuwa. Banyak orang tidak percaya bahawa manusia dapat menjalin persahabatan yang rapat dan yang penuh kasih dengan Tuhan. Hal ini kerana Dia tidak kelihatan dan maha kuasa. Tetapi kita tahu kebenarannya!

2 Daripada Bible, kita tahu bahawa manusia yang tidak sempurna dapat menjadi sahabat Tuhan. Kita patut meniru teladan mereka. Mengapa? Kerana persahabatan dengan Tuhan merupakan matlamat yang paling penting dalam hidup kita. Maka, mari kita bincangkan teladan Abraham. (Baca Yakobus 2:23.) Bagaimanakah dia menjadi sahabat Tuhan? Persahabatan Abraham dengan Tuhan adalah berdasarkan iman. Itulah sebabnya dia dikenali sebagai “bapa kepada orang  yang beriman.” (Rm. 4:11) Semasa kita membincangkan teladannya, tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat meniru iman Abraham dan menguatkan persahabatan saya dengan Yehuwa?”

BAGAIMANAKAH ABRAHAM MENJADI SAHABAT TUHAN?

3, 4. (a) Apakah yang mungkin menjadi ujian iman yang terbesar bagi Abraham? (b) Mengapakah Abraham rela mengorbankan anaknya?

3 Bayangkan Abraham yang berumur 125 tahun sedang mendaki sebuah gunung. [1] Ishak yang berumur kira-kira 25 tahun mengikuti Abraham. Ishak sedang membawa kayu api, dan Abraham pula membawa sebilah pisau serta bahan untuk menyalakan api. Perjalanan ini mungkin merupakan perjalanan yang paling susah bagi Abraham. Hal ini bukan kerana dia sudah tua. Dia masih mempunyai banyak tenaga. Namun, perjalanan ini susah kerana Yehuwa telah memintanya untuk mengorbankan anaknya!—Kej. 22:1-8.

4 Peristiwa ini mungkin merupakan ujian iman yang paling besar bagi Abraham. Sesetengah orang berkata bahawa Tuhan itu kejam kerana menyuruh Abraham mengorbankan anaknya. Orang lain pula berkata bahawa Abraham rela mengorbankan anaknya kerana dia tidak mengasihi anaknya. Orang sebegini tidak beriman dan tidak mengetahui maksud iman yang sebenar. (1 Kor. 2:14-16) Abraham tidak mentaati Tuhan secara membabi buta. Sebaliknya, Abraham mempunyai iman yang sejati. Dia tahu bahawa Yehuwa tidak akan menyuruhnya untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan. Abraham tahu bahawa jika dia mentaati Yehuwa, dia dan anaknya akan diberkati. Mengapakah iman Abraham begitu kuat? Kerana dia memiliki pengetahuan dan pengalaman.

5. Bagaimanakah Abraham belajar tentang Yehuwa, dan bagaimanakah pengetahuan ini mempengaruhi Abraham?

5 Pengetahuan. Abraham dibesarkan di kota Ur. Orang di sana, termasuk bapanya, menyembah tuhan-tuhan palsu. (Yos. 24:2) Jadi, bagaimanakah Abraham belajar tentang Yehuwa? Bible menunjukkan bahawa anak Nuh, iaitu Sem, merupakan saudara Abraham. Sem hidup sehingga Abraham berumur sekitar 150 tahun. Sem mempunyai iman yang kuat dan dia mungkin memberitahu saudara-maranya mengenai Yehuwa. Kita tidak tahu dengan pasti, tetapi mungkin inilah caranya Abraham belajar tentang Yehuwa. Hal ini mendorong Abraham untuk mengasihi Yehuwa dan pengetahuan itu menguatkan imannya.

6, 7. Bagaimanakah iman Abraham dikuatkan menerusi pengalamannya?

6 Pengalaman. Bagaimanakah Abraham mendapat pengalaman yang mengukuhkan imannya terhadap Yehuwa? Ada yang menganggap bahawa pemikiran menimbulkan perasaan, dan perasaan mendorong seseorang untuk bertindak. Pengetahuan tentang Tuhan mengerakkan Abraham untuk menghormati ‘Yehuwa, Tuhan Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi.’ (Kej. 14:22) Hormat sebegini merupakan perasaan “takut akan Tuhan.” (Ibr. 5:7) Untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan Tuhan, kita juga perlu takut akan Tuhan. (Mzm. 25:14) Perasaan inilah yang mendorong Abraham untuk mentaati Yehuwa.

7 Tuhan menyuruh Abraham dan Sara yang sudah lanjut usia untuk meninggalkan rumah mereka di kota Ur dan berpindah ke negeri lain. Mereka perlu tinggal di dalam khemah sepanjang hayat. Walaupun Abraham tahu bahawa dia akan  menghadapi banyak bahaya, dia bertekad untuk mentaati Yehuwa. Oleh sebab Abraham taat, Tuhan memberkati dan melindunginya. Pernah sekali, isteri Abraham yang cantik, iaitu Sara diambil daripadanya. Nyawa Abraham juga dalam bahaya. Tetapi Yehuwa berulang kali melindungi mereka secara mukjizat. (Kej. 12:10-20; 20:2-7, 10-12, 17, 18) Pengalaman sebegini menguatkan iman Abraham.

8. Bagaimanakah kita boleh memperoleh pengetahuan dan pengalaman untuk mengeratkan hubungan kita dengan Yehuwa?

8 Bolehkah kita menikmati persahabatan yang erat dengan Yehuwa? Sudah tentu! Seperti Abraham, kita perlu belajar tentang Yehuwa. Kita juga boleh mendapat pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan. Hari ini, apa yang kita miliki jauh lebih banyak daripada apa yang dimiliki Abraham. (Dan. 12:4; Rm. 11:33) Bible penuh dengan pengetahuan mengenai “Pencipta langit dan bumi.” Apa yang kita pelajari mengenai Yehuwa akan mendorong kita untuk mengasihi dan menghormati-Nya dengan mendalam. Kasih dan hormat sebegini menggerakkan kita untuk mentaati-Nya. Jika kita mentaati Tuhan, perlindungan dan berkat-Nya akan menjadi sebahagian daripada pengalaman kita, dan iman kita akan semakin kuat. Sekiranya kita menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, kita akan berasa puas, tenteram, dan bahagia. (Mzm. 34:9; Ams. 10:22) Semakin banyak pengetahuan dan pengalaman kita, semakin erat persahabatan kita dengan Yehuwa.

CARA ABRAHAM MENGEKALKAN PERSAHABATANNYA DENGAN TUHAN

9, 10. (a) Apakah yang diperlukan agar persahabatan bertambah erat? (b) Bagaimanakah Abraham menghargai dan mengukuhkan persahabatannya dengan Yehuwa?

9 Persahabatan yang erat sangat bernilai. (Baca Amsal 17:17.) Namun, persahabatan tidak seperti pasu bunga yang hanya digunakan sebagai perhiasan. Sebaliknya, persahabatan disamakan dengan bunga yang indah. Bunga memerlukan air dan jagaan untuk bertumbuh dengan subur. Abraham menghargai dan mengekalkan persahabatannya dengan Yehuwa. Bagaimana?

10 Abraham terus mentaati dan memupuk perasaan takut akan Tuhan. Contohnya, dalam perjalanan ke Kanaan bersama keluarga dan hambanya, dia meminta bimbingan Yehuwa semasa membuat keputusan, tidak kira keputusan itu besar atau kecil. Setahun sebelum kelahiran Ishak, semasa Abraham berusia 99 tahun, Yehuwa menyuruhnya untuk menyunat semua lelaki dalam rumah tangganya. Adakah Abraham mempersoalkan perintah itu? Adakah dia mencari alasan kerana enggan melakukannya? Tidak, dia mempercayai  Yehuwa dan mentaati-Nya “pada hari itu juga.”—Kej. 17:10-14, 23.

11. Mengapakah Abraham risau tentang kota Sodom dan Gomora? Bagaimanakah Yehuwa membantunya?

11 Oleh sebab Abraham sentiasa mentaati Yehuwa bahkan dalam perkara yang kecil, persahabatan mereka bertambah erat. Dia boleh bercakap kepada Yehuwa tentang apa-apa sahaja. Dia boleh meminta bantuan semasa ada persoalan. Misalnya, apabila Yehuwa ingin memusnahkan kota Sodom dan Gomora, Abraham berasa risau. Mengapa? Dia takut sekiranya orang baik akan dimusnahkan bersama orang jahat. Dia mungkin risau tentang anak saudaranya, iaitu Lot dan keluarga Lot yang tinggal di Sodom. Namun Abraham percaya kepada “Hakim bagi seluruh bumi,” iaitu Yehuwa. Maka dengan rendah hati, dia memberitahu Yehuwa tentang kerisauannya. Yehuwa bersabar dan berbelas kasihan terhadap sahabat-Nya, Abraham. Yehuwa menjelaskan bahawa semasa Dia melakukan penghakiman, Dia akan mencari orang yang baik lalu menyelamatkan mereka.—Kej. 18:22-33.

12, 13. (a) Bagaimanakah pengetahuan dan pengalaman Abraham membantunya pada kemudian hari? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Abraham yakin terhadap Yehuwa?

12 Jelaslah bahawa pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki Abraham membantunya untuk mempunyai persahabatan yang kuat dengan Yehuwa. Maka pada kemudian hari, apabila Abraham disuruh oleh Yehuwa untuk mengorbankan anaknya, dia tahu bahawa Yehuwa sentiasa sabar, berbelas kasihan, boleh dipercayai, dan melindungi umat-Nya. Abraham yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa tidak akan menjadi kejam dan tidak berhati perut secara tiba-tiba! Bagaimanakah kita mengetahui hal ini?

13 Sebelum meninggalkan hambanya, Abraham berkata, “Tinggallah di sini bersama dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan; nanti kami balik kepada kamu.” (Kej. 22:5) Apakah yang dimaksudkan Abraham? Adakah dia menipu dengan berkata bahawa dia akan kembali bersama Ishak, padahal dia tahu bahawa Ishak akan dikorbankan? Tidak. Menurut Bible, Abraham tahu bahawa Yehuwa dapat membangkitkan Ishak. (Baca Ibrani 11:19.) Yehuwa mengurniai Abraham dan Sara seorang anak walaupun mereka lanjut usia. (Ibr. 11:11, 12, 18) Maka Abraham sedar bahawa tiada apa-apa pun yang mustahil bagi Yehuwa. Walaupun Abraham tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari itu, dia percaya bahawa Yehuwa dapat membangkitkan anaknya supaya janji-janji Tuhan menjadi kenyataan. Itulah sebabnya Abraham dipanggil “bapa kepada orang yang beriman”!

14. Apakah cabaran yang anda hadapi kerana berkhidmat kepada Yehuwa? Bagaimanakah teladan Abraham membantu anda?

 14 Yehuwa tidak meminta kita untuk mengorbankan anak, namun Dia meminta kita untuk mentaati perintah-Nya. Ada kalanya, kita mungkin tidak faham mengapa sesetengah perintah diberikan atau kita berasa bahawa perintah itu terlalu susah untuk ditaati. Pernahkah anda berasa sedemikian? Bagi sesetengah orang, kerja menginjil sangat susah. Mereka mungkin berasa malu dan susah untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Ada pula berasa takut untuk mempunyai pendirian yang berbeza daripada rakan sekerja atau rakan sekolah. (Kel. 23:2; 1 Tes. 2:2) Apabila anda diminta untuk melakukan sesuatu yang susah, fikirkanlah iman dan keberanian Abraham. Apabila kita merenungkan teladan hamba Tuhan yang setia, kita akan didorong untuk meniru mereka dan mendekati Sahabat kita, Yehuwa.—Ibr. 12:1, 2.

PERSAHABATAN YANG MEMBAWA BERKAT

15. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Abraham tidak menyesal berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia?

15 Adakah Abraham menyesal kerana mentaati perintah Yehuwa? Bible berkata “Abraham meninggal ketika umurnya sudah lanjut, iaitu 175 tahun.” (Kej. 25:8) Sewaktu Abraham meninggal, dia berasa puas. Mengapa? Kerana dia selalu mengutamakan persahabatannya dengan Yehuwa. Walaupun dia berasa puas, hal ini tidak bererti bahawa dia tidak ingin hidup pada masa depan.

16. Apakah sukacita yang akan dinikmati Abraham semasa di Firdaus?

16 Bible berkata bahawa “Abraham menantikan kota yang mempunyai asas yang kukuh, iaitu kota yang direka dan dibina oleh Tuhan.” (Ibr. 11:10) Abraham percaya bahawa satu hari nanti dia dapat melihat kota itu, iaitu Kerajaan Tuhan yang akan memerintah bumi. Bayangkan betapa gembiranya Abraham apabila hidup di bumi firdaus dan terus mengeratkan persahabatannya dengan Tuhan. Dia tentu gembira apabila mengetahui bahawa teladan imannya telah membantu umat Tuhan selama ribuan tahun! Di Firdaus, dia akan mengetahui bahawa korban di Gunung Moria sebenarnya melambangkan sesuatu yang lebih agung. (Ibr. 11:19) Kepedihannya semasa ingin mengorbankan anaknya, Ishak, telah membantu jutaan orang untuk memahami kepedihan Yehuwa semasa menyerahkan anak-Nya, Yesus Kristus, sebagai korban tebusan. (Yoh. 3:16) Teladan Abraham membantu kita untuk lebih menghargai tebusan, pemberian yang paling berharga daripada Tuhan!

17. Apakah tekad anda? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Semoga kita bertekad untuk meniru iman Abraham. Seperti Abraham, kita memerlukan pengetahuan dan pengalaman. Dengan terus belajar tentang Yehuwa dan mentaati-Nya, kita akan melihat bagaimana Dia memberkati dan melindungi kita. (Baca Ibrani 6:10-12.) Jadikanlah Yehuwa Sahabat anda buat selama-lamanya! Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan teladan tiga orang setia yang menjadi sahabat Tuhan.

^ [1] (perenggan 3) Abraham dan Sara pada mulanya dikenali sebagai Abram dan Sarai. Namun rencana ini akan menggunakan nama yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka, iaitu Abraham dan Sara.