Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

‘Yehuwa Baik kepada Kami’

‘Yehuwa Baik kepada Kami’

SAYA dan isteri saya Danièle baru daftar masuk ke hotel semasa penyambut tetamu di situ berkata, “Encik, sila telefon polis sempadan.” Beberapa jam sebelum itu, kami menjejakkan kaki di Gabon, sebuah negara di Afrika Barat yang mengharamkan kerja kita pada tahun 1970-an.

Danièle yang tajam otaknya berbisik kepada saya, “Tak payah telefon polis, mereka sudah sampai!” Di belakang kami, sebuah kereta berhenti di depan hotel, dan kami berdua ditangkap beberapa minit selepas itu. Namun, kerana amaran Danièle, saya sempat menyerahkan beberapa dokumen kepada seorang saudara di situ.

Dalam perjalanan ke balai polis, saya fikir, “Untungnya saya kerana ada isteri yang begitu berani dan bersifat rohani.” Apa yang terjadi hanyalah satu daripada banyak peristiwa yang memerlukan semangat berpasukan antara kami berdua. Biar saya jelaskan sebabnya kami melawat negara-negara yang menyekat kerja penyebaran kita.

YEHUWA MEMBUKA MATA SAYA

Saya lahir pada tahun 1930 di Croix, sebuah pekan kecil di utara Perancis. Keluarga saya penganut setia agama Katolik dan akan menghadiri Misa setiap minggu. Ayah juga agak aktif dalam gereja. Namun, semasa saya hampir berumur 14 tahun, saya telah melihat sifat bermuka dua pihak gereja dengan mata sendiri.

Perancis diduduki tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Semasa berkhutbah, paderi kami sering menggalakkan kami untuk menyokong kerajaan pro-Nazi di Vichy. Kami terkejut semasa mendengar ucapannya. Seperti ramai orang di Perancis, kami curi-curi mendengar siaran daripada Angkatan Tentera Bersekutu melalui radio BBC. Kemudian, paderi itu berpaling tadah dan mengaturkan upacara kesyukuran untuk merayakan kemaraan Angkatan Tentera Bersekutu pada September 1944. Sifat bermuka dua itu membuat saya terkejut, justeru melemahkan keyakinan saya terhadap gereja.

Tidak lama selepas perang, bapa saya meninggal. Kakak saya sudah berkahwin dan menetap di Belgium, maka saya berasa bahawa saya perlu menjaga Mak. Saya telah mendapat kerja di sebuah syarikat tekstil dan ada masa depan yang cerah dalam syarikat itu. Namun, saya bakal menghadapi cubaan kerana bos saya dan anak-anaknya kuat berpegang pada ajaran Katolik.

Kakak saya Simone, yang telah menjadi seorang Saksi, melawat kami pada tahun 1953. Dia  menggunakan Bible dengan mahir untuk mendedahkan ajaran palsu gereja Katolik tentang api neraka, Tritunggal, dan roh orang mati. Mula-mulanya, saya kata penjelasannya tidak berdasarkan Bible Katolik, tetapi kemudian saya percaya bahawa apa yang dikatakannya memang benar. Simone memberi saya terbitan lama Menara Pengawal, dan saya membacanya dengan penuh semangat di bilik tidur pada waktu malam. Saya segera sedar bahawa itulah kebenaran, tetapi saya takut saya akan kehilangan kerja jika saya memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

Saya mengkaji Bible dan rencana Menara Pengawal seorang diri selama beberapa bulan. Kemudian saya memutuskan untuk pergi ke Dewan Perjumpaan. Suasana sidang yang pengasih menyentuh hati saya. Selepas mempelajari Bible untuk enam bulan bersama seorang saudara yang berpengalaman, saya dibaptis pada September 1954. Tidak lama selepas itu, ibu dan adik perempuan saya pun menjadi Saksi.

BERGANTUNG PADA YEHUWA DALAM KHIDMAT SEPENUH MASA

Sedihnya, Mak meninggal beberapa minggu sebelum konvensyen antarabangsa tahun 1958 di New York. Selepas menghadiri konvensyen itu, saya bebas daripada tanggungjawab keluarga. Maka saya berhenti bekerja dan mula merintis. Saya telah bertunang dengan Danièle Delie, seorang perintis yang bersemangat, dan kami berkahwin pada Mei 1959.

Sebelum itu, Danièle merintis di Brittany, kawasan desa yang jauh dari rumahnya. Dia perlu memberanikan diri untuk menaiki basikal ke kawasan terpencil dan menginjil di tempat yang kebanyakan penduduknya beragama Katolik. Seperti saya, dia berusaha dengan giat kerana berasa bahawa akhir sudah sangat dekat. (Mat. 25:13) Sikap rela berkorban yang ditunjukkannya telah membantu kami meneruskan khidmat sepenuh masa.

Kami ditugaskan untuk membuat kerja litar beberapa hari selepas berkahwin, dan kami perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan yang agak sederhana. Sidang pertama yang kami lawat ada 14 orang penyiar, dan mereka tidak dapat menyediakan penginapan di rumah mereka. Jadi kami meletakkan tilam di atas pentas Dewan Perjumpaan. Tempat tidur itu tidaklah selesa, tetapi sangat bagus untuk tulang belakang!

Kami melawat sidang-sidang dengan kereta kecil kami

Danièle berjaya membiasakan diri dengan jadual kerja lawatan yang sibuk. Apabila mesyuarat penatua tiba-tiba diperlukan, dia akan tunggu saya di dalam kereta kecil kami, tetapi dia tidak pernah mengadu. Sepanjang masa dua tahun dalam kerja litar, kami telah belajar pentingnya berkomunikasi secara terbuka dan bekerjasama sebagai satu pasukan.​—Pkh. 4:9.

MENIKMATI TUGASAN-TUGASAN BAHARU

Pada tahun 1962, kami dijemput ke kelas ke-37 Sekolah Gilead di Brooklyn, New York. Antara 100 orang pelajar, terdapat 13 pasangan sahaja, maka kami berbesar hati kerana dapat hadir bersama-sama. Kami telah melakar banyak kenangan manis kerana dapat bergaul dengan orang yang kuat  iman, seperti Frederick Franz, Ulysses Glass, dan Alexander H. Macmillan.

Kami sangat gembira kerana dapat menghadiri Sekolah Gilead bersama-sama!

Sepanjang latihan selama 10 bulan, kami digalakkan untuk meningkatkan daya pemerhatian. Selepas kelas hari Sabtu, kami ada kalanya dibawa untuk melawat Bandar Raya New York. Isnin berikutnya, kami akan menduduki ujian bertulis tentang apa yang kami lihat. Kami sering kepenatan semasa pulang dari lawatan itu, tetapi pemandu pelancong kami, seorang pekerja sukarela Bethel, akan menanyakan soalan ulang kaji supaya kami dapat ingat isi-isi penting. Pernah sekali, kami berjalan-jalan di bandar seluruh petang Sabtu, dan melawat sebuah balai cerap. Di situ kami belajar tentang meteor dan meteorit. Kemudian di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Amerika, kami belajar perbezaan antara buaya dengan aligator. Selepas kami pulang ke Bethel, pemandu pelancong kami bertanya, “Jadi, apakah bezanya meteor dengan meteorit?” Danièle begitu letih sehingga menjawab, “Gigi meteorit lebih panjang!”

Kami suka melawat rakan seiman yang setia di Afrika

Kami tidak sangka kami akan ditugaskan ke pejabat cawangan Perancis dan berkhidmat di situ lebih daripada 53 tahun. Pada tahun 1976, saya dilantik sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan, dan ditugaskan untuk melawat negara-negara di Afrika dan Timur Tengah yang mengharamkan atau menyekat kerja kita. Itulah sebabnya kami melawat Gabon dan menghadapi situasi yang disebut di awal rencana. Banyak kali, saya berasa tidak layak untuk memikul tanggungjawab sebegini, tetapi sokongan Danièle memberi saya keyakinan untuk melakukan apa sahaja tugasan.

Menterjemah ceramah Saudara Theodore Jaracz semasa Konvensyen “Keadilan Tuhan” di Paris, 1988

MENGHADAPI CUBAAN YANG BESAR

Dari awal lagi, kami suka kehidupan Bethel. Danièle telah belajar bahasa Inggeris dalam masa lima bulan sebelum menghadiri sekolah Gilead, dan dia telah menjadi penterjemah yang mahir untuk bahan bacaan kita. Kami amat puas dengan kerja Bethel, tetapi kegiatan sidang menggandakan kepuasan kami. Saya masih ingat bagaimana kami menaiki kereta api bawah tanah untuk pulang pada lewat malam. Kami letih, tetapi sangat gembira kerana dapat mengadakan pembelajaran Bible yang baik. Sedihnya, kegiatan Danièle kemudiannya menjadi terhad kerana kesihatannya tiba-tiba merosot.

Pada tahun 1993, dia didapati menghidap kanser payudara dan perlu menjalani pembedahan dan kemoterapi yang intensif. Lima belas tahun kemudian, dia menghidap kanser yang lebih agresif, tetapi dia begitu menghargai tugasnya sebagai penterjemah sehingga dia akan bekerja bila-bila sahaja keadaannya menjadi stabil.

Meskipun begitu, kami tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Bethel. Namun, kehidupan ini masih mencabar, terutamanya jika orang lain tidak menyedari betapa teruknya situasi kami. (Ams. 14:13) Biarpun sudah hampir berumur 80 tahun, cara Danièle membawa diri dan raut wajahnya tidak mencerminkan penyakitnya. Daripada mengasihani diri, Danièle bertumpu kepada membantu orang lain. Dia tahu betapa pentingnya menjadi tempat mengadu kepada orang yang menderita. (Ams. 17:17) Danièle tidak menganggap  dirinya sebagai pembimbing, tetapi dia menggunakan pengalamannya untuk membantu ramai saudari mengatasi rasa takut akan kanser.

Kami juga perlu menghadapi situasi yang baharu. Apabila Danièle tidak dapat bekerja sepenuh masa lagi, dia cuba memudahkan kehidupan saya. Bantuannya telah membolehkan saya berkhidmat sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan selama 37 tahun. Contohnya, dia akan menyediakan makanan tengah hari supaya kami dapat makan dan rehat bersama-sama di bilik setiap hari.​—Ams. 18:22.

MENANGANI KEKHUATIRAN SETIAP HARI

Danièle selalu berpandangan positif terhadap kehidupan. Tetapi semasa dia menghidap kanser buat kali ketiga, kami berasa tidak berdaya. Rawatan kemoterapi dan radioterapi membuatnya begitu lemah sehingga dia ada kalanya tidak dapat berjalan. Saya hancur hati semasa melihat bagaimana isteri saya yang pandai menterjemah harus bersusah payah untuk mencari perkataan yang ingin digunakan.

Walaupun kami kebingungan, kami terus berdoa dan yakin bahawa Yehuwa tidak akan membiarkan kami menghadapi kesusahan yang tidak dapat kami tanggung. (1 Kor. 10:13) Kami berusaha agar sentiasa menghargai bantuan yang diberi-Nya melalui Bible, ahli perubatan Bethel, dan rakan seiman.

Kami sering meminta bimbingan Yehuwa semasa memilih jenis rawatan. Pernah sekali, kami tidak dapat mencari rawatan. Doktor yang membantu Danièle selama 23 tahun tidak dapat menjelaskan sebabnya Danièle tidak sedarkan diri selepas setiap sesi kemoterapi, dan doktor itu tidak dapat mencadangkan rawatan lain. Kami berasa kebuntuan dan tidak tahu apa yang akan terjadi. Tetapi kemudian seorang doktor kanser yang lain bersetuju untuk menjaga Danièle. Nampaknya Yehuwa telah membuka jalan keluar supaya kami dapat menangani kekhuatiran kami.

Kami belajar untuk menghadapi kekhuatiran sehari demi sehari. Yesus berkata, “Cukuplah masalah untuk hari ini.” (Mat. 6:34) Sikap positif dan suka bergurau juga membantu kami. Pernah sekali, Danièle tidak diberi rawatan kemoterapi selama dua bulan. Tetapi dia tersenyum sambil berkata kepada saya, “Sekarang saya berasa sangat sihat!” (Ams. 17:22) Walaupun menderita, Danièle suka berlatih menyanyikan lagu rohani yang baharu dengan suara lantang.

Sikapnya yang positif juga membantu saya menghadapi keterbatasan sendiri. Selama 57 tahun kami berkahwin, dia menjaga pelbagai keperluan saya, dan bahkan tidak mahu ajar saya menggoreng telur! Maka, apabila kesihatannya merosot, saya perlu belajar cuci pinggan, basuh pakaian, dan menyiapkan makanan yang mudah. Beberapa gelas telah “terkorban,” tetapi saya senang hati kerana dapat menggembirakan Danièle. *

BERSYUKUR ATAS KEBAIKAN YEHUWA

Masalah kesihatan dan usia yang meningkat telah mengajar saya hal-hal yang penting. Pertama, janganlah kita terlalu sibuk sehingga mengabaikan pasangan hidup. Semasa kita masih bertenaga, gunakanlah waktu itu untuk menjaga mereka. (Pkh. 9:9) Kedua, janganlah terlampau risau tentang hal yang kecil. Jika tidak, kita mungkin tidak menyedari berkat-berkat yang kita nikmati setiap hari.​—Ams. 15:15.

Mengenang kembali kehidupan kami dalam khidmat sepenuh masa, saya amat yakin bahawa kami telah dilimpahi berkat yang tidak pernah kami bayangkan. Saya setuju dengan penulis mazmur yang berkata, “Yehuwa baik kepadaku.”​—Mzm. 116:7.

^ per. 32 Saudari Danièle Bockaert meninggal pada usia 78 tahun semasa rencana ini disediakan.