Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bagaimanakah Rasul Paulus “diangkat ke syurga yang ketiga secara tiba-tiba” dan “dibawa ke firdaus”?​—2 Kor. 12:2-4.

Di 2 Korintus 12:2, 3, Paulus menyebut tentang seorang lelaki yang “diangkat ke syurga yang ketiga secara tiba-tiba.” Siapakah lelaki itu? Dalam suratnya kepada sidang di Korintus, Paulus menekankan bahawa Tuhan telah melantiknya sebagai rasul. (2 Kor. 11:5, 23) Kemudian, semasa menyebut tentang “penglihatan dan perkhabaran daripada Tuan Yesus,” Paulus tidak mengaitkannya dengan orang lain. Jadi, secara logik, orang yang menerima penglihatan dan perkhabaran itu ialah Paulus sendiri.​—2 Kor. 12:1, 5.

Maka, Pauluslah orang yang “diangkat ke syurga yang ketiga” dan yang “dibawa ke firdaus.” (2 Kor. 12:2-4) Istilah “perkhabaran” yang digunakannya menunjukkan bahawa dia diberitahu tentang keadaan yang akan wujud pada masa depan.

Apakah “syurga yang ketiga” yang dilihat Paulus?

Dalam Bible, perkataan asal untuk “syurga” juga boleh diterjemahkan sebagai “langit,” yang merujuk kepada angkasa. (Kej. 11:4; 27:28; Mat. 6:26) Namun, perkataan itu juga boleh merujuk kepada pemerintahan manusia atau pemerintahan Tuhan, contohnya Kerajaan Tuhan.​—Dan. 4:20-22; Why. 21:1.

Jadi, mengapakah Paulus melihat “syurga yang ketiga”? Bible ada kalanya mengulangi sesuatu sebanyak tiga kali sebagai penegasan. (Yes. 6:3; Yeh. 21:27; Why. 4:8) Maka, dengan menyebut “syurga yang ketiga,” Paulus sedang menonjolkan pemerintahan yang terunggul, iaitu Kerajaan Mesias yang diperintah oleh Yesus Kristus dan 144,000 pembantunya. (Lihat buku “Pemahaman,” Jil. 1, ms. 1389, 1392, dalam bahasa Indonesia.) Kerajaan inilah “langit baharu” yang kita nantikan, seperti yang ditulis oleh Rasul Petrus.​—2 Ptr. 3:13.

Bagaimana pula dengan “firdaus” yang disebut Paulus?

Perkataan “firdaus” juga membawa beberapa maksud: (1) Memandangkan kediaman asal manusia dipanggil firdaus, perkataan itu merujuk kepada keadaan bumi Firdaus pada masa depan. (2) Kemakmuran rohani yang akan dinikmati umat Tuhan dalam dunia baharu. (3) Keadaan yang menakjubkan di syurga, iaitu “firdaus Tuhan” yang disebut di Wahyu 2:7.​—Lihat Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2015, ms. 8, per. 8.

Paulus mungkin merujuk kepada ketiga-tiga maksud itu semasa menggambarkan pengalamannya di 2 Korintus 12:3.

Sebagai ringkasan:

“Syurga yang ketiga” di 2 Korintus 12:2 nampaknya ialah Kerajaan Mesias yang diperintah oleh Yesus Kristus dan 144,000 pembantunya, iaitu “langit baharu.”​—2 Ptr. 3:13.

Kerajaan itu ialah “syurga yang ketiga” kerana merupakan pemerintahan yang terunggul.

“Firdaus” yang dilihat oleh Paulus nampaknya merujuk kepada (1) bumi Firdaus yang akan datang, (2) firdaus rohani yang akan wujud pada masa itu, yang lebih luas daripada firdaus rohani zaman sekarang, dan (3) “firdaus Tuhan” di syurga yang akan wujud pada masa yang sama di dunia baharu.

Maka, dunia baharu itu terdiri daripada langit baharu dan bumi baharu. Aturan baharu ini merangkumi Kerajaan Mesias di syurga dan umat manusia yang menyembah Yehuwa di bumi firdaus.