Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Menggalakkan Satu Sama Lain “Lebih-Lebih Lagi” pada Masa Kini

Menggalakkan Satu Sama Lain “Lebih-Lebih Lagi” pada Masa Kini

“Marilah kita memperhatikan satu sama lain . . . , menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.”​—IBR. 10:24, 25.

LAGU: 90, 87

1. Mengapakah Rasul Paulus menggunakan ungkapan “lebih-lebih lagi” semasa menasihati orang Kristian bangsa Ibrani untuk menggalakkan satu sama lain?

MENGAPAKAH kita harus menggandakan usaha untuk menggalakkan satu sama lain? Rasul Paulus memberitahu orang Kristian bangsa Ibrani, “Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.” (Ibr. 10:24, 25) Ya, dalam lima tahun lagi, orang Kristian di Yerusalem akan melihat kedatangan “hari Yehuwa” dan perlu melarikan diri, seperti yang disuruh oleh Yesus. (Kis. 2:19, 20; Luk. 21:20-22) Hari penghakiman itu tiba pada tahun 70 M semasa tentera Roma membinasakan Yerusalem.

2. Mengapakah kita patut lebih peka untuk saling memberikan galakan pada masa ini?

 2 Kini, hari Yehuwa yang “sungguh hebat dan menakutkan” sudah di ambang pintu. (Yl. 2:11) Nabi Zefanya berkata, “Hari besar Yehuwa sudah dekat! Hari itu sudah hampir dan akan segera tiba!” (Zef. 1:14) Memandangkan hari Yehuwa begitu dekat, kita perlu “mengambil berat tentang satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24, nota kaki) Ya, kita patut semakin prihatin terhadap rakan seiman kita agar dapat memberi mereka galakan bila-bila masa mereka memerlukannya.

SIAPAKAH YANG MEMERLUKAN GALAKAN?

3. Apakah yang dikatakan Paulus tentang galakan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 “Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.” (Ams. 12:25) Semua orang perlu digalakkan dari masa ke masa. Paulus menyatakan bahawa orang yang bertanggungjawab memberikan galakan pun perlu menerima galakan. Dia menulis kepada orang Kristian di Roma, “Aku ingin sekali berjumpa dengan kamu supaya aku dapat memberi kamu kurniaan rohani agar kamu diteguhkan; . . . supaya kamu dapat menggalakkan aku melalui iman kamu, dan aku dapat menggalakkan kamu melalui iman aku.” (Rm. 1:11, 12) Ya, Paulus sendiri juga memerlukan galakan.​—Baca Roma 15:30-32.

4, 5. Siapakah yang dapat kita galakkan hari ini? Mengapa?

4 Kita dapat menggalakkan saudara saudari yang membuat pengorbanan untuk berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa, seperti para perintis, mubaligh, ahli Bethel, penyelia litar dan isteri mereka, serta rakan seiman di pejabat terjemahan. Mereka membuat pengorbanan agar mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan khidmat suci, jadi mereka patut digalakkan. Selain mereka, orang Kristian yang ingin meneruskan khidmat sepenuh masa tetapi dihadkan kerana situasi tertentu juga menghargai galakan yang kita berikan.

5 Saudara saudari yang tetap membujang kerana mematuhi nasihat untuk berkahwin dengan “pengikut Tuan kita” juga patut digalakkan. (1 Kor. 7:39) Isteri yang tekun digalakkan semasa mendengar kata-kata yang membina daripada suami. (Ams. 31:28, 31) Orang Kristian yang tabah menghadapi penganiayaan atau penyakit juga memerlukan galakan. (2 Tes. 1:3-5) Yehuwa dan Yesus pasti melegakan mereka semua.​—Baca 2 Tesalonika 2:16, 17.

PARA PENATUA BERUSAHA MENGGALAKKAN KITA

6. Apakah peranan para penatua seperti yang digambarkan di Yesaya 32:1, 2?

6 Baca Yesaya 32:1, 2. Kita hidup pada waktu yang mencabar dan mungkin hilang semangat atau tawar hati. Maka, Yesus Kristus menggunakan “para pemimpin,” iaitu penatua daripada golongan terurap dan biri-biri lain, untuk memberikan galakan dan bimbingan yang diperlukan. Para penatua bukanlah “tuan yang berkuasa atas iman” kita, tetapi “rakan sekerja yang membawa sukacita.”​—2 Kor. 1:24.

7, 8. Selain mengucapkan kata-kata galakan, bagaimanakah penatua dapat menguatkan orang lain?

7 Rasul Paulus menetapkan teladan bagi para penatua. Dia menulis kepada orang Kristian di Tesalonika yang dianiaya: “Kami bukan sahaja bertekad untuk menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, malah kami juga bertekad untuk menyerahkan jiwa kami kerana kami sangat menyayangi kamu.”​—1 Tes. 2:8.

 8 Ada kalanya, sekadar kata-kata perangsang tidak mencukupi. Paulus memberitahu para penatua di Efesus, ‘Kamu mesti bekerja keras untuk membantu mereka yang lemah. Kamu mesti ingat bahawa Tuan Yesus sendiri berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”’ (Kis. 20:35) Paulus bukan sahaja sudi menggalakkan rakan seimannya, malah rela “mengorbankan segala-galanya untuk” mereka. (2 Kor. 12:15) Begitu juga, para penatua yang prihatin bukan sahaja memberikan galakan atau kelegaan melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan juga.​—1 Kor. 14:3.

9. Bagaimanakah penatua dapat memberikan teguran dengan cara yang menggalakkan?

9 Kadangkala, penatua perlu memberikan teguran untuk menguatkan ahli sidang, tetapi mereka patut melakukannya dengan cara yang menggalakkan. Bible mengandungi banyak contoh sebegini. Salah satu contoh yang terbaik diberikan oleh Yesus selepas dia dibangkitkan. Perhatikan bagaimana Yesus menasihati sidang-sidang di Asia Kecil. Walaupun ahli sidang di Efesus, Pergamus, dan Tiatira, perlu ditegur dengan keras, Yesus memuji mereka terlebih dahulu. (Why. 2:1-5, 12, 13, 18, 19) Dia memberitahu sidang di Laodikia, “Aku menegur dan mendisiplinkan semua orang yang aku kasihi. Oleh itu, tunjukkanlah semangat yang berkobar-kobar dan bertaubatlah.” (Why. 3:19) Para penatua, tirulah teladan Kristus semasa anda memberikan teguran.

BUKAN TANGGUNGJAWAB PENATUA SAHAJA

Ibu bapa, adakah anda melatih anak-anak untuk menggalakkan orang lain? (Lihat perenggan 10)

10. Bagaimanakah kita semua dapat menggalakkan satu sama lain?

10 Menggalakkan orang lain bukan hanya tanggungjawab para penatua. Paulus menggesa semua orang Kristian untuk mengucapkan “kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.” (Ef. 4:29) Setiap seorang daripada kita perlu peka terhadap keperluan orang lain. Paulus menasihati orang Kristian Ibrani, “Kuatkanlah tangan yang terkulai dan lutut yang gementar. Teruslah membuat jalan yang lurus bagi  kaki kamu, agar orang yang tempang tidak menjadi semakin teruk tetapi disembuhkan.” (Ibr. 12:12, 13) Kita semua, termasuk kaum muda, dapat menggalakkan orang lain melalui kata-kata kita.

11. Bagaimanakah Martha dibantu semasa dia mengalami kemurungan?

11 Martha, * seorang saudari yang pernah mengalami kemurungan, menulis, “Suatu hari, setelah berdoa minta galakan, saya jumpa seorang saudari yang lebih tua. Dia menunjukkan belas kasihan dan kasih sayang, sifat yang amat saya perlukan ketika itu. Dia juga beritahu saya pengalamannya semasa dia ditimpa cubaan yang sama, dan saya rasa tidak keseorangan lagi.” Barangkali, saudari yang lebih tua itu tidak sedar bahawa kata-katanya telah menabahkan hati Martha.

12, 13. Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat di Filipi 2:1-4?

12 Paulus menasihati semua ahli sidang di Filipi, “Jika kamu dapat saling menggalakkan kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, jika kamu dapat melegakan hati orang lain kerana kamu didorong oleh kasih, jika kamu dapat mengambil berat terhadap satu sama lain, dan jika kamu dapat menunjukkan belas kasihan dan kasih yang mendalam, maka jadikanlah sukacitaku sempurna dengan hidup seia sekata, dengan menunjukkan kasih yang sama, dengan bersatu padu, dan dengan menunjukkan fikiran yang sama. Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri. Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​—Flp. 2:1-4.

13 Ya, kita semua harus berusaha “melegakan hati orang,” “mengambil berat terhadap satu sama lain,” serta “menunjukkan belas kasihan dan kasih yang mendalam.” Dengan itu, kita dapat menjaga kepentingan rakan seiman dan menggalakkan mereka.

PELBAGAI SUMBER GALAKAN

14. Apakah salah satu cara untuk mendapat galakan?

14 Semasa mendengar berita bahawa orang yang pernah kita bantu masih setia kepada Tuhan, kita berasa digalakkan. Rasul Yohanes menulis, “Tidak ada yang membuat aku lebih bersukacita daripada mendengar bahawa anak-anakku tetap berjalan mengikut kebenaran.” (3 Yoh. 4) Ramai perintis sangat teruja semasa mendapat tahu bahawa pelajar Bible mereka dahulu tetap setia dan bahkan mula merintis. Perintis yang tawar hati juga dapat digalakkan semasa mereka diingatkan tentang kenangan indah dalam khidmat sepenuh masa.

15. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan mereka yang berkhidmat dengan setia?

15 Ramai penyelia litar mengatakan bahawa mereka dan isteri mereka amat digalakkan setelah menerima kad terima kasih daripada sidang yang dilawat. Para penatua, mubaligh, perintis, dan ahli Bethel juga berasa digalakkan apabila saudara saudari mengucapkan penghargaan atas kerja keras mereka.

CARA KITA SEMUA DAPAT MEMBERIKAN GALAKAN

16. Apakah hal mudah yang dapat dilakukan untuk menggalakkan orang lain?

16 Biarpun kita rasa kita tidak pandai berkomunikasi, kita masih dapat memberikan galakan. Bagaimana? Cubalah berikan senyuman yang mesra semasa anda jumpa seseorang. Jika dia tidak membalas senyuman anda, barangkali dia sedang menghadapi masalah. Dengan sudi mendengar keluhannya, anda sudah menjadi sumber kelegaan baginya.​—Yak. 1:19.

17. Bagaimanakah seorang saudara muda digalakkan?

 17 Henri, seorang saudara muda, sangat susah hati ketika beberapa saudara dekatnya, termasuk bapanya yang merupakan seorang penatua, meninggalkan kebenaran. Seorang penyelia litar membawa Henri ke kafe untuk minum kopi dan mendengar luahan hatinya. Perbuatan itu menggalakkan Henri dan membantunya sedar bahawa satu-satunya cara untuk membantu keluarganya kembali adalah dengan terus berpegang pada kebenaran. Dia juga digalakkan setelah membaca Mazmur 46; Zefanya 3:17; dan Markus 10:29, 30.

Kita semua dapat menggalakkan dan menguatkan satu sama lain (Lihat perenggan 18)

18. (a) Apakah yang diperhatikan oleh Raja Salomo? (b) Rasul Paulus menasihati kita untuk melakukan apa?

18 Contoh Martha dan Henri menunjukkan bahawa kita dapat menggalakkan rakan seiman yang susah hati. Raja Salomo menulis, “Alangkah baiknya kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya! Wajah yang berseri-seri menggembirakan hati; berita yang baik memberikan semangat.” (Ams. 15:23, 30) Apabila kita membacakan Menara Pengawal atau rencana di laman web kita kepada seseorang yang lemah semangat, kita dapat menggalakkannya. Paulus menyatakan bahawa menyanyikan lagu rohani bersama-sama juga dapat menaikkan semangat. Dia menulis, “Teruslah mengajar dan menggalakkan satu sama lain dengan mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani yang dinyanyikan dengan perasaan syukur. Bernyanyilah kepada Yehuwa dari lubuk hati kamu.”​—Kol. 3:16; Kis. 16:25.

19. Mengapakah kita perlu lebih berusaha untuk saling menggalakkan pada masa yang akan datang? Apakah yang perlu kita lakukan?

19 Oleh sebab hari Yehuwa “semakin mendekat,” kita perlu lebih berusaha untuk saling menggalakkan. (Ibr. 10:25) Paulus menulis, “Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain, sebagaimana yang sedang kamu lakukan.”​—1 Tes. 5:11.

^ per. 11 Nama telah diubah.