Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah kata-kata yang tercatat di Mazmur 144:12-15 ditujukan kepada umat Tuhan atau orang asing jahat yang disebut di ayat 11?

Perkataan Ibrani yang asal mungkin ada lebih daripada satu maksud. Namun begitu, faktor-faktor berikut membantu kita memahami maksud yang betul:

  1. Konteks atau keseluruhan mazmur itu. Perkataan “dengan itu” di ayat 12 menunjukkan bahawa berkat yang disebut di ayat 12 hingga 14 ditujukan kepada orang yang baik, iaitu mereka yang memohon agar ‘diselamatkan daripada tangan orang asing’ (ayat 11). Pemahaman yang sama juga dinyatakan di ayat 15, kerana sebanyak dua kali, bangsa atau umat “yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka” dikatakan ‘berbahagia.’

  2. Pemahaman itu selaras dengan petikan-petikan Bible lain yang menjanjikan bahawa umat Tuhan yang setia akan dicucuri berkat daripada-Nya. Mazmur ini mengungkapkan harapan Daud yang teguh bahawa selepas Tuhan menyelamatkan orang Israel daripada musuh, Dia akan memberkati mereka dan memberi mereka kehidupan yang makmur dan bahagia. (Im. 26:9, 10; Ul. 7:13; Mzm. 128:1-6) Contohnya, Ulangan 28:4 menyatakan, “Diberkatilah kamu sehingga mendapat anak yang banyak dan hasil tanaman yang melimpah serta ternakan yang banyak, termasuk lembu dan bebiri.” Itulah yang terjadi semasa pemerintahan Raja Salomo, putera Raja Daud. Umat Tuhan pada masa itu menikmati kedamaian dan kemakmuran yang melimpah. Tambahan lagi, sesetengah ciri pemerintahan Salomo juga digunakan untuk menggambarkan pemerintahan Mesias pada masa depan.​—1 Raj. 4:20, 21; Mzm. 72:1-20.

Kesimpulannya, dengan adanya penjelasan ini, Mazmur 114 dapat mencerminkan harapan hamba-hamba Yehuwa dengan lebih jelas lagi, iaitu harapan agar Tuhan menghapuskan segala kejahatan lalu mengurniakan kedamaian dan kemakmuran yang berkekalan kepada orang yang berbuat benar.​—Mzm. 37:10, 11.