Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Biarawati Menjadi Saudari Rohani

Biarawati Menjadi Saudari Rohani

DAHULU adik saya, Araceli, berteriak, “Jangan cakap dengan saya lagi. Saya tidak mahu dengar tentang agamamu. Saya tidak suka. Saya benci kamu!” Kata-katanya menyakiti hati saya. Sekarang saya berumur 91 tahun, tetapi saya masih ingat kata-kata itu. Namun, seperti yang tercatat di Pengkhutbah 7:8, “Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya.”—Felisa.

Felisa: Keluarga saya beragama Katolik. Sebenarnya, 13 daripada saudara-mara kami merupakan paderi atau bekerja di gereja. Sepupu ibu saya ialah paderi dan guru di sekolah Katolik. Selepas dia meninggal, Paus John Paul II mencadangkan agar dia dijadikan seorang santo. Saya membesar dalam keluarga yang sederhana di Sepanyol. Bapa saya seorang tukang besi dan ibu bekerja di ladang. Saya ialah anak sulung daripada lapan orang adik-beradik.

Apabila berumur 12 tahun, perang saudara tercetus di Sepanyol. Selepas perang, bapa dipenjarakan kerana kerajaan tidak suka pandangan politiknya. Ibu susah mencari makanan bagi kami. Maka, dia menghantar tiga orang adik saya, Araceli, Lauri, dan Ramoni ke biara di kota Bilbao. Di sana, mereka mendapat cukup makanan.

Araceli: Pada masa itu, saya berumur 14 tahun, Lauri berumur 12 tahun, dan Ramoni 10 tahun. Kami sangat rindu keluarga. Kami disuruh membersihkan biara. Dua tahun kemudian, kami dihantar ke biara yang lebih besar di Zaragoza di mana orang tua dijaga. Kami membersihkan dapur dan kerja ini sangat memenatkan.

Felisa: Apabila adik-adik saya dihantar ke Zaragoza, saya juga dihantar ke sana oleh ibu serta pakcik saya yang merupakan paderi. Mereka ingin menjauhkan saya daripada seorang pemuda yang  menyukai saya. Saya ingin pergi ke biara kerana saya mencintai Tuhan. Saya pergi ke gereja setiap hari dan ingin menjadi seorang mubaligh Katolik seperti sepupu saya di Afrika.

Kiri: Biara di Zaragoza, Sepanyol; kanan: terjemahan Bible Nácar-Colunga

Di biara, saya tidak dapat melakukan apa yang diinginkan. Biarawati tidak menggalakkan saya untuk berkhidmat kepada Tuhan di negara lain seperti yang saya inginkan. Setahun kemudian, saya kembali dan menjaga pakcik saya. Saya melakukan kerja rumah baginya dan kami mengucapkan doa rosario bersama setiap petang. Saya suka meletakkan bunga di gereja dan menghiasi patung Maria serta santo-santo.

Araceli: Di Zaragoza, saya berikrar untuk menjadi biarawati. Kemudian biarawati memisahkan kami, saya dihantar ke Madrid, Lauri ke Valencia, dan Ramoni tetap berada di Zaragoza. Di Madrid, saya mengucapkan ikrar kedua untuk menjadi biarawati. Ramai orang tinggal di sana, seperti pelajar dan orang tua. Maka, ada banyak kerja untuk dilakukan dan saya bekerja di bahagian hospital.

Saya ingin menjadi seorang biarawati kerana saya sangka kami akan meluangkan banyak masa untuk mempelajari Bible. Namun, saya kecewa. Mereka tidak menggunakan Bible atau bercakap tentang Tuhan dan Yesus. Saya belajar sedikit bahasa Latin, kisah hidup santo-santo, dan memuja Maria. Kebanyakan masanya kami melakukan kerja berat.

Saya mula berasa tertekan dan bimbang. Saya berasa saya patut bekerja untuk membantu keluarga, dan bukannya bekerja di biara yang membuat orang lain kaya. Maka saya memberitahu ketua biarawati bahawa saya ingin tinggalkan tempat itu. Tetapi dia mengurung saya agar saya mengubah fikiran.

Apabila biarawati membebaskan saya, mereka sedar bahawa saya masih ingin meninggalkan tempat itu. Maka, mereka mengurung saya lagi. Selepas melakukan hal ini sebanyak tiga kali, mereka membenarkan saya pergi jika saya menulis, “Saya meninggalkan tempat ini kerana saya ingin menyembah Syaitan dan bukannya Tuhan.” Saya terkejut! Saya memang ingin pergi, tetapi saya tidak akan menulis kata-kata itu. Akhirnya saya memberitahu seorang paderi tentang apa yang berlaku. Dia mendapat keizinan daripada uskup agar saya dihantar pulang ke biara di Zaragoza. Selepas beberapa bulan di sana, saya dibenarkan untuk pulang. Tidak lama kemudian, Lauri dan Ramoni juga meninggalkan biara.

 BUKU YANG MEMECAHBELAHKAN KAMI

Felisa

Felisa: Saya berkahwin dan tinggal di wilayah Cantabria, Sepanyol. Saya selalu ke gereja. Pada suatu hari, paderi berteriak, “Lihat buku ini!” Dia menunjukkan buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life) dan berkata, “Jika sesiapa bagi kamu buku ini, beri kepada saya atau buang sahaja!”

Saya menginginkan buku itu. Selepas beberapa hari, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa datang ke rumah saya. Mereka menawarkan buku itu kepada saya dan pada malam itu juga saya membacanya. Apabila mereka kembali, mereka menawarkan pembelajaran Bible dan saya setuju.

Buku “Kebenaran”

Saya ingin menyenangkan hati Tuhan. Setelah belajar tentang Yehuwa, saya semakin mengasihi-Nya. Saya ingin memberitahu orang lain tentang-Nya. Saya dibaptis pada tahun 1973. Apabila ada kesempatan, saya memberitahu keluarga saya tentang kebenaran. Namun keluarga saya, terutamanya Araceli, berkeras mengatakan bahawa kepercayaan saya salah.

Araceli: Saya dilayan dengan buruk di biara. Maka saya berasa marah serta tidak puas hati dengan agama. Namun, saya tetap ke gereja setiap hari Ahad dan mengucapkan doa rosario setiap hari. Saya meminta bantuan Tuhan untuk memahami Bible. Kemudian Felisa mengongsi kepercayaannya dengan saya. Dia begitu teruja sehingga saya rasa dia seperti gila. Saya tidak setuju dengan apa yang dikatakannya.

Araceli

Saya kembali ke Madrid untuk bekerja dan kemudian berkahwin. Selama bertahun-tahun, saya perhatikan orang yang selalu pergi gereja sebenarnya tidak mengamalkan ajaran Yesus. Jadi, saya berhenti pergi gereja. Saya tidak lagi percaya santo-santo dan neraka, serta berasa bahawa paderi tidak dapat mengampuni dosa. Saya juga menghapuskan semua patung agama saya. Saya tidak pasti apa yang saya lakukan itu betul. Saya berasa kecewa, tetapi saya berdoa, “Saya ingin mengenali-Mu. Bantulah saya!” Saksi-Saksi Yehuwa sering mengetuk pintu saya. Namun saya  tidak membukanya kerana saya tidak percaya mana-mana agama.

Lauri tinggal di Perancis, manakala Ramoni di Sepanyol. Pada awal tahun 1980-an, mereka belajar Bible dengan Saksi. Saya rasa mereka seperti Felisa yang tidak sedar bahawa apa yang dipelajari itu salah. Kemudian saya mengenali jiran saya, Angelines, dan kami menjadi rapat. Dia juga seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Angelines dan suaminya selalu menawarkan pembelajaran Bible. Walaupun saya kata saya tidak berminat dengan agama, mereka sedar bahawa saya ingin memahami Bible. Akhirnya saya berkata, “Baiklah. Saya akan belajar Bible dengan kamu tetapi dengan menggunakan Bible saya.” Saya memiliki Bible terjemahan Nácar-Colunga.

AKHIRNYA BIBLE MENYATUKAN KAMI

Felisa: Sewaktu saya dibaptis pada tahun 1973, terdapat kira-kira 70 Saksi di Santander, ibu kota Cantabria. Kami mengadakan perjalanan jauh untuk menginjil. Terdapat ratusan kampung di wilayah itu. Maka kami menaiki bas kemudian menggunakan kereta untuk pergi dari kampung ke kampung.

Saya telah mengajar Bible kepada banyak orang dan 11 daripada mereka dibaptis. Kebanyakannya merupakan penganut Katolik. Saya perlu bersabar dengan mereka. Seperti saya, mereka memerlukan masa untuk sedar bahawa kepercayaan mereka salah. Hanya Bible dan daya aktif Yehuwa dapat mengubah fikiran seseorang untuk memahami kebenaran. (Ibr. 4:12) Suami saya, Bienvenido, seorang bekas polis, dibaptis pada tahun 1979. Ibu saya pula belajar Bible tidak lama sebelum meninggal.

Araceli: Sewaktu mula belajar Bible dengan Saksi, saya tidak percaya mereka. Namun, saya tidak lagi berasa begitu. Para Saksi bukan hanya mengajarkan Bible, tetapi juga mentaatinya. Iman saya kepada Yehuwa dan Bible semakin kuat. Saya juga berasa lebih gembira. Sesetengah jiran sedar akan perubahan saya dan berkata, “Araceli, teruskan haluan hidup kamu!”

Saya berdoa, “Yehuwa, terima kasih kerana tidak putus asa terhadap saya dan memberi saya banyak peluang untuk mendapatkan apa yang saya cari, iaitu kebenaran Bible.” Saya juga meminta maaf daripada Felisa kerana pernah menyakiti hatinya. Sejak itu, kami tidak lagi bergaduh, sebaliknya kami suka bercakap tentang Bible. Pada tahun 1989, saya dibaptis sewaktu berumur 61 tahun.

Felisa: Sekarang saya berumur 91 tahun. Suami saya telah meninggal dan saya tidak lagi dapat melakukan banyak perkara. Namun, saya masih membaca Bible setiap hari dan berusaha untuk pergi perjumpaan serta menginjil.

Araceli: Mungkin kerana pernah menjadi biarawati, saya suka bercakap dengan paderi dan biarawati tentang Yehuwa. Saya menikmati perbualan dengan beberapa di antara mereka, dan banyak yang mengambil bahan bacaan kita. Saya pernah bercakap beberapa kali dengan seorang paderi. Dia setuju dengan apa yang saya katakan. Namun dia berkata bahawa dia sudah tua. Dia berkata lagi, “Apa yang akan dikatakan oleh keluarga dan orang yang datang ke gereja saya?” Saya menjawab, “Apa yang akan dikatakan Tuhan?” Dia kelihatan sedih, namun dia tidak berani untuk berubah.

Saya tidak akan lupa ketika suami saya berkata bahawa dia ingin menghadiri perjumpaan bersama saya. Pada masa itu, dia berumur lebih daripada 80 tahun. Sejak itu, dia tidak pernah mengabaikan perjumpaan. Dia belajar Bible dan mula menginjil. Saya ada banyak kenangan manis sewaktu kami menginjil. Dia meninggal dua bulan sebelum hari pembaptisannya.

Felisa: Sewaktu mula menyembah Yehuwa, tiga orang adik saya menentang. Akhirnya mereka menerima kebenaran. Itu merupakan salah satu perkara yang terindah dalam hidup saya! Kami suka meluangkan masa untuk bercakap tentang Yehuwa serta Firman-Nya. Kami semua menyembah Yehuwa. *

^ per. 29 Araceli berumur 87 tahun, Felisa 91 tahun, dan Ramoni 83 tahun. Mereka masih menyembah Yehuwa dengan setia. Lauri juga setia kepada Yehuwa dan meninggal pada tahun 1990.