Don dan Margaret * gembira apabila anak perempuan mereka dan keluarganya datang melawat. Sebelum mereka pulang, Margaret, seorang tukang masak yang sudah bersara, memasak makaroni dan keju, makanan kegemaran dua orang cucunya.

Margaret membawa periuk berisi masakannya dan meletakkannya di tengah-tengah meja. Semasa dia membuka penutupnya, dia terkejut kerana dalam periuk itu hanya ada sos keju. Margaret lupa memasukkan makaroni, ramuan yang utama! *

Kita semua membuat kesilapan tidak kira usia atau pengalaman. Kita mungkin terlanjur kata, melakukan sesuatu pada masa yang salah, atau terlupa untuk membuat sesuatu. Mengapakah kesilapan berlaku? Bagaimanakah kita dapat menanganinya? Dapatkah kita mengelakkan kesilapan? Pandangan yang seimbang terhadap kesilapan dapat membantu kita mengetahui jawapannya.

KESILAPAN​—PANDANGAN KITA DAN TUHAN

Semasa kita melakukan sesuatu dengan baik dan dipuji, kita berasa gembira kerana menganggap kita layak menerima pujian itu. Jika begitu, semasa kita berbuat silap, biarpun kesilapan itu tidak disengajakan atau tidak diketahui, tidakkah kita patut bertanggungjawab atas hal itu? Kita perlu rendah hati untuk berbuat demikian.

Jika kita terlalu menjaga air muka, kita mungkin akan meremehkan atau menafikan kesilapan sendiri, serta menyalahkan orang lain. Perbuatan sebegini biasanya mengundang masalah. Kesilapan itu mungkin tidak akan dibetulkan, dan orang lain yang tidak bersalah pula yang harus menanggung akibatnya. Biarpun kita berjaya menutupi kesilapan sendiri, ingatlah bahawa pada akhirnya, “kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.”​—Roma 14:12.

Tuhan mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kesalahan. Menurut buku Mazmur, Tuhan itu “pengasih dan penyayang,” “tidak selalu murka,” dan “tidak selalu menaruh dendam.” Dia tahu keadaan dan kelemahan kita sebagai orang yang tidak sempurna dan “ingat bahawa kita ini debu belaka.”​—Mazmur 103:8, 9, 14.

Seperti seorang bapa yang berbelas kasihan, Tuhan mahu kita memupuk pandangan-Nya terhadap kesilapan. (Mazmur 130:3) Firman-Nya mengandungi banyak nasihat yang dapat membantu kita menangani kesilapan sendiri dan orang lain.

CARA MENANGANI KESILAPAN

Sering kali, orang yang berbuat silap menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyalahkan orang lain atau membela diri. Janganlah berbuat begitu. Jika kata-kata anda menyinggung perasaan orang, mintalah maaf, betulkan kesilapan itu, dan jagalah persahabatan anda. Jika  anda berbuat salah lalu menyusahkan diri atau orang lain, janganlah marah dengan diri sendiri atau menuding jari kepada orang lain. Sebaliknya, lakukanlah apa yang mampu untuk membaiki situasi itu. Apabila kita berkeras menyalahkan pihak lain, situasi tegang akan berlanjutan dan masalah itu akan bertambah besar. Maka, belajarlah daripada kesilapan sendiri, betulkannya, dan janganlah terus memikirkannya.

Namun apabila orang lain melakukan kesilapan, biasanya kita akan terus menunjukkan perasaan tidak suka. Kita sebaiknya mengikut nasihat Yesus yang berbunyi, “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” (Matius 7:12) Apabila anda berbuat silap, tidakkah anda ingin orang lain berbelas kasihan dan memaafkan anda? Jika begitu, lakukanlah hal yang sama terhadap orang lain.​—Efesus 4:32.

PRINSIP YANG BANTU ANDA MENGURANGKAN KESILAPAN

Menurut sebuah kamus, kesilapan berpunca daripada “keputusan yang salah, pengetahuan yang kurang, atau sikap cuai.” Kita semua menunjukkan ciri-ciri sedemikian dari masa ke masa. Namun, prinsip-prinsip Bible dapat bantu kita mengurangkan kesilapan.

Salah satu prinsip itu terdapat di Amsal 18:13: “Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.” Ya, jika kita meluangkan masa untuk mendengar keadaan sebenar dan memikirkan reaksi kita, kita tidak akan menjawab atau bertindak dengan melulu. Apabila kita mendengar dengan teliti, pengetahuan yang kita peroleh akan membantu kita mengelakkan keputusan yang silap.

Satu lagi prinsip Bible menyatakan, “Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang.” (Roma 12:18) Berusahalah untuk menggalakkan semangat kerjasama dan suka berdamai. Semasa bekerja bersama orang, tunjukkanlah sikap hormat dan timbang rasa. Carilah peluang untuk memuji dan menggalakkan mereka. Dengan itu, kesilapan yang tidak disengajakan akan lebih mudah dimaafkan, dan kesalahan yang serius akan lebih senang dibaiki atau diselesaikan.

Cubalah belajar daripada kesilapan agar tidak mengulanginya. Daripada mencari alasan untuk kata-kata atau perbuatan anda, carilah peluang untuk memupuk sifat-sifat baik. Perlukah anda menunjukkan lebih banyak kesabaran, kebaikan hati, atau kawalan diri? Bagaimana pula dengan kelemahlembutan, kedamaian, dan kasih? (Galatia 5:22, 23) Selain itu, janganlah terlalu serius dengan diri sendiri, dan cubalah berjenaka agar dapat meleraikan situasi yang tegang.

MANFAAT MEMILIKI PANDANGAN SEIMBANG

Dengan adanya pandangan yang wajar terhadap kesilapan, reaksi kita akan lebih positif. Hubungan kita dengan orang lain tidak akan terjejas, dan kita tidak akan terlalu menyalahkan diri atau tawar hati. Jika kita belajar daripada kesilapan sendiri, kita akan menjadi lebih bijak dan disukai orang. Kita juga akan lebih menghampiri orang lain kerana sedar bahawa mereka juga sedang berusaha mengatasi kesilapan sendiri. Penting sekali, kita akan belajar meniru kasih Tuhan dan kerelaan-Nya untuk mengampuni.​—Kolose 3:13.

Adakah kesilapan Margaret yang disebut tadi merosakkan suasana riang keluarganya? Tidak. Mereka semua, terutamanya Margaret, berasa bahawa hal itu lucu. Mereka menikmati makanan itu biarpun tiada makaroni! Bertahun-tahun kemudian, dua orang cucunya menceritakan peristiwa itu kepada anak mereka sebagai sebahagian daripada kenangan manis bersama datuk nenek mereka. Lagipun, itu bukannya kesilapan yang besar!

^ per. 2 Nama-nama telah diubah.

^ per. 3 Makaroni dan keju ialah masakan yang terdiri daripada pasta makaroni yang dilumuri sos keju.