Bukan senang untuk mencari hadiah yang terbaik, kerana nilai sesebuah hadiah akhirnya ditentukan oleh penerimanya. Tambahan lagi, hadiah yang bernilai bagi seorang penerima tidak semestinya bernilai bagi penerima lain.

Misalnya, seorang remaja mungkin berasa bahawa alat elektronik terkini ialah hadiah yang terbaik. Orang dewasa pula mungkin lebih menghargai hadiah yang ada nilai sentimental, seperti barangan yang diwariskan turun-temurun. Dalam sesetengah budaya, orang lebih suka menerima hadiah berupa wang kerana dapat digunakan untuk membeli apa sahaja yang diinginkan.

Meskipun susah, ramai orang masih berusaha mencari hadiah yang paling sesuai untuk orang yang tersayang. Pencarian sedemikian tidak mudah, namun terdapat sesetengah faktor yang dapat membantu kita. Mari kita lihat empat faktor yang akan menyumbang kepada kepuasan si penerima.

Keinginan penerima. Seorang lelaki di Belfast, Ireland Utara, menggambarkan basikal lumba yang diterimanya semasa berusia sekitar 10 atau 11 tahun sebagai hadiah yang terbaik. Mengapa? “Kerana saya betul-betul menginginkannya,” kata lelaki itu. Ya, keinginan seseorang akan menentukan sama ada sesebuah hadiah akan dihargai atau tidak. Maka fikirlah tentang si penerima dan apa yang bernilai baginya, kerana itulah yang sering diingininya. Contohnya, bagi mereka yang bergelar datuk dan nenek, masa bersama keluarga amat bernilai. Mereka ingin berjumpa dengan anak dan cucu mereka sekerap yang mungkin. Maka, jika kita bercuti bersama mereka, barangkali itulah hadiah yang terbaik bagi mereka.

Satu kunci untuk mengetahui keinginan seseorang adalah dengan menjadi pendengar yang baik. Bible menggalakkan kita untuk “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.” (Yakobus 1:19) Semasa anda berbual bersama kawan dan saudara-mara, dengarlah dengan teliti  agar anda dapat mengetahui apa yang disukai dan yang tidak disukai mereka. Dengan itu, anda dapat memberikan hadiah yang digemari mereka.

Keperluan penerima. Sebuah hadiah mungkin tidak mahal, tetapi sangat dihargai kerana berguna bagi penerimanya. Jadi, bagaimanakah anda dapat mengetahui keperluan orang lain?

Nampaknya, cara yang paling senang adalah dengan menanya orang itu keinginan atau keperluannya. Namun, cara itu mungkin mengurangkan sukacita pemberi, kerana banyak orang ingin memberikan hadiah sebagai kejutan. Selain itu, walaupun sesetengah orang suka bercakap tentang apa yang disukai atau yang tidak disukai mereka, mereka biasanya teragak-agak untuk bercakap tentang keperluan sendiri.

Cubalah perhatikan situasi orang itu. Adakah dia muda, tua, bujang, berumah tangga, duda, janda, bekerja, atau sudah bersara? Fikirkan situasi orang itu dan hadiah yang akan memenuhi keperluannya.

Untuk benar-benar memahami keperluan penerima, tanyalah orang lain yang pernah menghadapi situasi yang sama. Mereka mungkin dapat memberitahu anda keperluan khas yang jarang diketahui orang lain. Maklumat itu akan membantu anda memilih sebuah hadiah yang berguna, yang tidak terfikir oleh orang lain.

Masa. Bible menyatakan, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan.” (Amsal 15:23) Kata-kata yang diucapkan pada masa tertentu akan memberikan kesan yang mendalam. Begitu juga dengan perbuatan kita. Sebagaimana kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan, hadiah yang diberikan pada masa atau acara yang sesuai juga dapat mendatangkan kebahagiaan kepada si penerima.

Majlis perkahwinan sahabat, majlis tamat sekolah anak muda, dan pasangan yang bakal mendapat anak, itulah beberapa peristiwa hadiah biasanya diberikan. Sesetengah orang membuat senarai bagi peristiwa istimewa yang akan berlaku pada tahun seterusnya, supaya mereka dapat merancang dan memilih hadiah yang paling sesuai. *

Sudah pasti, anda dapat memberikan hadiah pada bila-bila masa dan bersukacita kerana berbuat demikian. Namun, kita juga perlu berwaspada. Misalnya, jika seorang lelaki memberi seorang wanita hadiah tanpa sebab, wanita itu mungkin fikir bahawa lelaki itu menyukainya. Sekiranya lelaki itu tiada niat sebegitu atau tidak patut melayan niat sebegitu, hadiahnya akan menimbulkan salah faham atau masalah. Contoh itu menyatakan satu lagi faktor semasa memberi hadiah​—motif pemberi.

Motif pemberi. Seperti yang dinyatakan dalam contoh tadi, pemberi hadiah harus berfikir sama ada motifnya akan menimbulkan salah faham. Tambahan lagi, pemberi itu juga harus menilai niat hati sendiri. Kebanyakan orang beranggap bahawa niat mereka murni, tetapi ada ramai orang yang memberikan hadiah pada musim tertentu kerana berasa tertekan untuk berbuat demikian. Ada pula yang memberikan hadiah kerana mengharapkan layan istimewa atau balasan.

Apakah yang dapat dilakukan supaya hadiah anda diberikan dengan niat yang baik? Bible menyatakan, “Hendaklah kamu melakukan segala sesuatu dengan kasih.” (1 Korintus 16:14) Jika anda memberikan sesuatu kerana anda mengasihi dan mengambil berat terhadap si penerima, hadiah anda akan mendatangkan sukacita kepadanya, dan anda akan meraih kebahagiaan yang lebih besar kerana kemurahan hati anda. Hadiah yang diberikan dengan ikhlas juga menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga. Rasul Paulus memuji orang Kristian di Korintus yang rela memberikan bantuan kepada rakan seiman di  Yudea yang dilanda kesusahan. Dia memberitahu mereka, “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”​—2 Korintus 9:7.

Dengan mengambil kira beberapa faktor itu, anda dapat memberikan hadiah yang menggembirakan orang lain. Itulah antara faktor-faktor yang dipertimbangkan Tuhan semasa menyediakan hadiah yang terunggul bagi manusia. Bacalah rencana yang seterusnya untuk mengetahui apa hadiah itu.

^ per. 13 Banyak orang juga memberikan hadiah semasa sambutan hari jadi atau perayaan lain. Namun acara sebegini sering melibatkan amalan yang bercanggah dengan ajaran Bible. Lihat rencana “Pembaca Bertanya​—Patutkah Orang Kristian Menyambut Krismas?” dalam majalah ini.