Bolehkah kita percaya bahawa semua janji Tuhan akan menjadi kenyataan? Yesus yakin akan hal ini, dan dia juga membina iman para pengikutnya. Pertimbangkan perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung. Katanya, “Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku.”​—Matius 5:18, Alkitab Berita Baik.

Huruf terkecil dalam abjad Ibrani ialah י (yod). Huruf ini ialah huruf pertama dalam empat abjad yang membentuk nama Tuhan, iaitu Yehuwa. * Jurutulis hukum dan orang Farisi bukan sahaja mementingkan setiap perkataan dan huruf dalam Hukum Tuhan, mereka juga mementingkan setiap titik dalam hukum itu.

Yesus sedang mengatakan bahawa butiran terkecil dalam Hukum Tuhan tetap akan menjadi kenyataan meskipun langit dan bumi dibinasakan. Tetapi Bible meyakinkan kita bahawa langit dan bumi akan kukuh selama-lamanya. (Mazmur 78:69) Jadi pernyataan Yesus ini menunjukkan bahawa setiap butiran dalam Hukum Tuhan pasti akan menjadi kenyataan.

Adakah Yehuwa mementingkan butiran kecil? Sudah pasti! Pertimbangkan hal ini: Umat Israel kuno diperintahkan agar tidak mematahkan satu pun daripada tulang bebiri Paska yang dikorbankan. (Keluaran 12:46) Mungkin mereka tidak memahami sebab arahan itu diberikan. Tetapi Yehuwa tahu bahawa butiran yang kecil itu menggambarkan kematian Mesias. Nubuat itu menunjukkan bahawa tiada satu pun daripada tulang Yesus akan dipatahkan semasa dia digantungkan pada tiang.​—Mazmur 34:21; Yohanes 19:31-33, 36.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus? Kita dapat yakin bahawa semua janji Yehuwa, bahkan butiran yang terkecil, pasti akan menjadi kenyataan. Sesungguhnya huruf yang terkecil dalam abjad Ibrani dapat menguatkan keyakinan kita!

^ per. 3 Huruf terkecil dalam abjad Yunani ialah iota. Huruf ini nampaknya serupa dengan huruf י (yod) dalam Ibrani. Memandangkan Hukum Musa pada asalnya ditulis dalam bahasa Ibrani, Yesus mungkin sedang merujuk kepada huruf Ibrani ini.