Banyak orang melancong ke tempat yang cantik seperti firdaus untuk melupakan masalah mereka. Tetapi hakikatnya, sebaik sahaja mereka pulang, masalah yang sama menghantui mereka semula.

Sebenarnya, idea firdaus memikat hati banyak orang. Persoalannya, adakah firdaus sekadar cerita dongeng? Jika ya, mengapakah banyak orang tertarik dengan idea firdaus? Dapatkah manusia menikmati hidup di firdaus?

KISAH TENTANG FIRDAUS

Selama berabad-abad, banyak orang sangat tertarik dengan idea firdaus. Ada yang berminat dengan firdaus kerana Bible menyebut tentang “sebuah taman di Eden, di sebelah timur.” Apakah yang begitu menarik dengan taman itu? Bible menyatakan, ‘Di taman itu Tuhan Yehuwa menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang menghasilkan buah-buahan baik.’ Sememangnya taman itu sangat indah dan menarik. Selain itu, “di tengah-tengah taman itu tumbuh juga pokok yang memberi hidup.”​—Kejadian 2:8, 9.

Kisah Bible dalam buku Kejadian juga menyebut tentang empat batang sungai yang mengalir keluar dari taman itu. Dua daripada empat batang sungai itu masih dikenali sampai hari ini, iaitu Sungai Tigris dan Sungai Efrat. (Kejadian 2:10-14) Kedua-dua batang sungai itu mengalir ke Teluk Persia yang terletak di Iraq.

Idea firdaus sebati dengan kebudayaan Persia. Sebuah permaidani Persia yang dihasilkan pada abad ke-16 dan kini dipamerkan di Muzium Seni di Philadelphia, Pennsylvania, A.S., disulami dengan gambar sebuah taman yang bertembok, dengan pokok-pokok dan bunga-bunga. Perkataan bahasa Persia bagi “taman yang bertembok” juga bermaksud “firdaus,” dan gambar pada permaidani itu mirip dengan gambaran Bible tentang Taman Eden.

Sebenarnya cerita tentang firdaus terdapat dalam pelbagai bahasa dan budaya di serata dunia. Semasa manusia berpindah ke tempat-tempat lain di bumi, kisah tentang firdaus juga tersebar. Dengan berlalunya masa, kisah itu dicampuradukkan dengan kepercayaan dan legenda tempatan. Walau bagaimanapun, sampai hari ini, banyak orang masih mengaitkan tempat yang cantik dengan firdaus.

USAHA MENCARI FIRDAUS

Sesetengah peneroka mendakwa bahawa mereka telah menjumpai firdaus. Contohnya Charles Gordon, ketua askar British, yang sampai di Seychelles pada tahun 1881. Dia begitu terpesona dengan keindahan Vallée de Mai (kini merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia) sehingga dia mengatakan bahawa tempat itu ialah Taman Eden. Pada abad ke-15, Christopher Columbus, seorang peneroka berbangsa Itali, juga menyangka bahawa dia sudah menjumpai Taman Eden semasa dia sampai di Pulau Hispaniola (kini Republik Dominika dan Haiti).

Mapping Paradise, sebuah buku sejarah moden, mengandungi lebih daripada 190 peta kuno yang mempunyai gambar Adam dan Hawa di Taman Eden. Salah satu peta dilukis oleh Beatus dari Liébana pada abad ke-13. Di bahagian atas peta itu, terdapat sebuah segi empat tepat. Di tengah-tengah petak itu, terdapat firdaus dan empat batang sungai, iaitu Sungai Tigris, Efrat, Pison, dan Gihon. Sungai-sungai ini mengalir dari firdaus ke empat penjuru petak, dan kononnya melambangkan penyebaran agama Kristian ke empat penjuru bumi. Gambaran sedemikian menunjukkan bahawa meskipun lokasi sebenar firdaus asal tidak ketahui, orang masih amat berminat tentang firdaus.

John Milton, seorang penyair berbangsa Inggeris pada abad ke-17, menulis sebuah sajak yang bertajuk  Firdaus Hilang. Dalam sajak ini, dia menceritakan kisah Adam yang telah berdosa dan diusir dari Taman Eden. Namun, dia juga menceritakan harapan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi. Dia menyatakan, “Seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus.” Kemudian Milton juga menulis sajak yang bertajuk Firdaus Dipulihkan.

FIRDAUS​—DI SYURGA ATAU DI BUMI?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang dari pelbagai bangsa dan kaum percaya bahawa firdaus asal memang pernah wujud di bumi. Tetapi kini mengapakah orang tidak lagi mempedulikannya? Menurut buku Mapping Paradise, hal ini disebabkan para pemimpin agama mengajarkan bahawa firdaus ada di syurga.

Banyak orang Kristian diajar bahawa selepas kematian, mereka akan naik ke syurga, dan bukannya mempunyai harapan untuk hidup di bumi firdaus. Tetapi ayat Bible di Mazmur 37:29 menyatakan, “Orang yang salih akan memiliki [bumi] ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” Memandangkan dunia hari ini bukan firdaus, adakah bumi akan menjadi firdaus pada masa hadapan?

BUMI FIRDAUS AKAN MENJADI KENYATAAN

Yehuwa menciptakan firdaus asal, dan Dia berjanji untuk memulihkan firdaus di bumi melalui Kerajaan-Nya. Itulah Kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia mengajar pengikutnya untuk berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Matius 6:10) Raja Kerajaan itu ialah Yesus Kristus, dan kerajaan itu akan memusnahkan semua kerajaan lain di bumi. (Daniel 2:44) Ya, sesungguhnya Yehuwa akan memastikan firdaus di bumi dipulihkan melalui Kerajaan-Nya.

Nabi Yesaya diilhami oleh Tuhan untuk menggambarkan keadaan di firdaus yang dijanjikan. (Yesaya 11:6-9; 35:5-7; 65:21-23) Pada masa itu, manusia yang taat akan hidup bahagia di bumi firdaus, mendapat perkenan Tuhan, dan bebas daripada semua masalah. Adakah anda juga ingin hidup di firdaus yang dijanjikan Tuhan? Jika ya, luangkanlah sedikit masa untuk membuka Bible anda dan membaca ayat-ayat tadi supaya anda lebih yakin akan janji-janji Tuhan.​—Wahyu 21:3.

Mengapakah kita boleh berasa yakin bahawa harapan untuk hidup di bumi firdaus akan menjadi kenyataan? Bible memberitahu kita, “Syurga adalah kepunyaan Tuhan sahaja, tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia.” Lagipun harapan ini telah “dijanjikan sejak dahulu lagi oleh Tuhan yang tidak dapat berdusta.” (Mazmur 115:16; Titus 1:2) Alangkah indahnya harapan ini!