Rasul Paulus menjelaskan bahawa Yehuwa * ialah “Tuhan yang melegakan hati kita . . . semasa kita mengalami segala macam cubaan.” (2 Korintus 1:3, 4) Maka, Bible meyakinkan kita bahawa Tuhan dapat membantu dan melegakan hati sesiapa pun tidak kira apa jua tragedi yang berlaku.

Sudah tentu, kita perlu melakukan sesuatu untuk memperoleh kelegaan daripada Tuhan. Contohnya, bagaimanakah anda boleh mendapatkan bantuan doktor jika anda tidak membuat temu janji untuk berjumpa dengannya? Nabi Amos berkata, “Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa terlebih dahulu?” (Amos 3:3) Alkitab menggalakkan kita: “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”​—Yakobus 4:8.

Mengapakah kita boleh pasti bahawa Tuhan akan menghampiri kita? Pertama, kerana Dia berulang kali berkata bahawa Dia ingin membantu kita. (Lihat  kotak.) Kedua, kerana terdapat bukti yang meyakinkan daripada orang yang pernah menerima kelegaan hati daripada Tuhan pada masa lampau dan sekarang.

Ramai orang hari ini meminta pertolongan daripada Tuhan. Dahulu, Raja Daud pun pernah mengalami tragedi. Maka dia merayu kepada Tuhan, “Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan.” Adakah Tuhan membantunya? Ya, Daud berkata, “Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku.”​—Mazmur 28:2, 7.

YESUS MELEGAKAN HATI ORANG

Tuhan ingin Yesus memainkan peranan utama untuk memberikan kelegaan. Antara tugas Yesus yang diberikan Tuhan adalah untuk “memulihkan orang yang hancur hati” dan “menghiburkan orang yang berduka.” (Yesaya 61:1, 2) Seperti yang dinubuat, Yesus mengambil berat terhadap orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.”​—Matius 11:28-30.

Yesus melegakan hati orang dengan memberikan nasihat yang bijak, melayani orang dengan baik, dan menyembuhkan orang dalam beberapa situasi. Pada suatu hari, seorang pesakit kusta merayu kepada Yesus, “Jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.” Yesus mengasihaninya dan menjawab, “Aku rela. Sembuhlah!” (Markus 1:40, 41) Pesakit kusta itu pun disembuhkan.

 Hari ini, Anak Tuhan tidak lagi berada di bumi untuk melegakan kita. Namun, Bapanya, iaitu “Tuhan yang melegakan hati,” masih memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesusahan. (2 Korintus 1:3) Lihatlah empat cara yang digunakan Tuhan untuk melegakan hati orang.

  • Alkitab. “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.”​—Roma 15:4.

  • Daya Aktif Tuhan. Tidak lama selepas kematian Yesus, semua sidang Kristian menikmati kedamaian. Mengapa? “Kerana mereka sentiasa takut akan Yehuwa dan hidup selaras dengan galakan yang diterima menerusi daya aktif Tuhan.” (Kisah 9:31) Daya aktif Tuhan sangat berkuasa. Tuhan akan menggunakannya untuk melegakan hati sesiapa sahaja dalam apa jua situasi.

  • Doa. Bible menasihati kita, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun.” Sebaliknya, “nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan. . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”​—Filipi 4:6, 7.

  • Rakan Kristian. Kita juga boleh bergantung pada kawan-kawan sejati untuk melegakan hati kita. Rasul Paulus menggambarkan sahabatnya sebagai “sumber kelegaan hati yang besar” semasa menghadapi “penderitaan dan kesengsaraan.”​—Kolose 4:11; 1 Tesalonika 3:7.

Namun, anda mungkin tertanya-tanya sama ada apa yang dikatakan di atas itu benar. Mari kita melihat pengalaman orang yang menghadapi kesusahan seperti yang disebut dalam rencana sebelumnya. Seperti mereka, anda juga boleh merasai kebenaran janji Tuhan yang menyentuh hati ini: ‘Aku akan menghibur kamu, seperti ibu menghibur anaknya.’​—Yesaya 66:13.

^ per. 3 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.