Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kita Direka untuk Hidup Kekal

Kita Direka untuk Hidup Kekal

SIAPAKAH antara kita yang tidak mahu umur panjang dan hidup bahagia? Bayangkan betapa baiknya jika kita dapat hidup selama-lamanya dengan sihat dan gembira! Kita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama orang tersayang, mengembara ke seluruh dunia, mempelajari kemahiran baharu, menjadi lebih bijak, dan mengkaji apa sahaja yang kita sukai dengan sepuas-puasnya.

Mengapakah kita ingin hidup selama-lamanya? Bible menjelaskan bahawa Tuhan telah menanamkan keinginan itu dalam hati kita. (Pengkhutbah 3:11) Bible juga menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Adakah Tuhan yang pengasih akan memberi kita keinginan untuk hidup kekal jika keinginan itu tidak mungkin dicapai?

Jelaslah, tiada orang yang ingin mati. Bible juga menggambarkan kematian sebagai “musuh.” (1 Korintus 15:26) Sesetengah orang ditawan “musuh” ini semasa muda, manakala yang lain ditawan pada usia tua, tetapi lambat laun, semua orang akan ditawannya. Ramai orang berasa takut semasa berfikir tentang kematian. Mungkinkah musuh ini dapat dikalahkan?

ASAS UNTUK MEMILIKI HARAPAN

Tahukah anda bahawa Tuhan tidak pernah menghendaki manusia untuk mati? Buku Kejadian dalam Bible membuktikan bahawa Tuhan bertujuan agar manusia hidup kekal di bumi. Tuhan Yehuwa * telah mempersiapkan bumi dengan teliti sebagai kediaman manusia. Kemudian, Dia menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam, dan menempatkannya dalam sebuah firdaus yang dipanggil Taman Eden. Selepas itu, “Tuhan melihat semua ciptaan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.”​—Kejadian 1:26, 31.

Adam diciptakan dengan sempurna menurut gambaran Tuhan. (Ulangan 32:4) Isterinya Hawa  juga memiliki tubuh dan minda yang sempurna, serta bebas daripada cacat cela. Yehuwa berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya. Hendaklah kamu menguasai ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, dan semua makhluk hidup di bumi.”​—Kejadian 1:28.

Masa diperlukan untuk memenuhi bumi dengan keturunan mereka. Hawa perlu melahirkan anak, dan anak-anaknya perlu beranak cucu lagi sehingga bumi penuh dengan manusia, seperti yang dikehendaki Tuhan. (Yesaya 45:18) Jika Adam dan Hawa hanya diciptakan untuk hidup sehingga zaman anak atau cucu mereka, mereka pasti tidak akan melihat bumi dipenuhi. Jadi, adakah masuk akal jika Yehuwa memberitahu mereka, “Penuhilah bumi”?

Fikirkan juga tugas untuk menguasai binatang. Adam disuruh memberikan nama kepada binatang-binatang, dan kerja itu pasti mengambil masa. (Kejadian 2:19) Namun, untuk menguasai binatang, dia perlu mengenali sifat-sifat setiap binatang dan cara untuk menjaganya. Tugas itu tentu memakan lebih banyak waktu.

Maka, arahan Tuhan kepada pasangan manusia yang pertama untuk memenuhi bumi dan menguasai binatang menunjukkan bahawa mereka direka untuk hidup buat suatu jangka masa yang panjang. Sebenarnya umur Adam sangat panjang.

TUHAN BERTUJUAN AGAR MANUSIA HIDUP SELAMA-LAMANYA DI BUMI FIRDAUS

UMUR MEREKA SANGAT PANJANG

Adam, 930 tahun

Metuselah, 969 tahun

Nuh, 950 tahun

Kini, 70-80 tahun

Bible menyatakan bahawa jangka hayat manusia zaman dahulu jauh lebih panjang daripada kita. Setelah mengatakan bahawa “Adam hidup selama 930 tahun,” enam orang lain yang hidup lebih daripada 900 tahun disenaraikan: Set, Enos, Kenan, Yared, Metuselah, dan Nuh. Mereka semua hidup sebelum Banjir Besar, dan Nuh telah hidup selama 600 tahun sebelum Banjir Besar melanda. (Kejadian 5:5-27; 7:6; 9:29) Mengapakah mereka begitu panjang umur?

Mereka semua dilahirkan tidak lama selepas Adam dan Hawa memiliki kehidupan yang sempurna. Kemungkinan besar itulah sebabnya umur mereka begitu panjang. Namun, apakah kaitan antara kesempurnaan dengan umur yang panjang? Bagaimanakah kematian akan dikalahkan? Untuk mengetahui jawapannya, kita harus menjawab soalan ini terlebih dahulu: Mengapakah kita menjadi tua dan mati?

^ per. 6 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.