Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Penderitaan Hukuman daripada Tuhan?

Adakah Penderitaan Hukuman daripada Tuhan?

KAKI KIRI LUZIA TEMPANG SEJAK KECIL kerana polio, sejenis penyakit berjangkit yang menyerang sistem saraf tubuh. Semasa Luzia berusia 16 tahun, majikannya berkata, “Itulah hukuman daripada Tuhan kerana kamu jahat dan tidak dengar cakap ibu kamu.” Bertahun-tahun kemudian, Luzia masih ingat bagaimana kata-kata itu telah menghancurkan hatinya.

SEMASA DAMARIS DIDAPATI MENGHIDAP KANSER OTAK, bapanya berkata, “Kamu pasti telah melakukan dosa besar. Itulah sebabnya Tuhan menghukum kamu dalam cara ini.” Damaris patah semangat setelah mendengar kata-kata bapanya.

Sejak dahulu lagi, ramai orang menganggap penyakit sebagai hukuman daripada Tuhan. Buku Manners and Customs of Bible Lands menjelaskan bahawa ramai orang pada zaman Kristus percaya bahawa “seseorang akan menghidap penyakit sebagai hukuman atas dosanya atau dosa ahli keluarganya.” Buku Medieval Medicine and the Plague pula menyatakan bahawa pada Zaman Pertengahan, “sesetengah orang percaya bahawa Tuhan mendatangkan tulah untuk menghukum orang atas dosa mereka.” Jika begitu, adakah wabak pada abad ke-14 yang membunuh jutaan orang di Eropah merupakan hukuman Tuhan kepada orang jahat? Atau adakah wabak itu disebabkan jangkitan kuman, seperti yang dibuktikan oleh para penyelidik perubatan? Sesetengah orang tertanya-tanya, “Benarkah Tuhan menggunakan penyakit untuk menyeksa orang kerana dosa mereka?” *

FIKIRKAN: Mengapakah Yesus menyembuhkan orang sakit jika Tuhan menggunakan penyakit dan penderitaan untuk menghukum orang yang berdosa? Tidakkah perbuatan itu bercanggahan dengan keadilan Tuhan? (Matius 4:23, 24) Tindakan Yesus sentiasa selaras dengan fikiran Tuhan. Dia berkata, “Aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya,” dan “aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa.”​—Yohanes 8:29; 14:31.

Bible menyatakan dengan jelas: Yehuwa sentiasa “adil dan benar.” (Ulangan 32:4) Contohnya, Tuhan tidak mungkin menyebabkan ratusan orang yang tidak bersalah terkorban dalam nahas kapal terbang, semata-mata untuk menghukum salah seorang penumpang. Abraham, seorang hamba Tuhan yang setia, mengatakan bahawa Tuhan tidak mungkin “membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang jahat.” Dia menambah, “Mustahil Engkau berbuat demikian.” (Kejadian 18:23, 25) Bible juga menjelaskan bahawa “Tuhan sama sekali tidak akan berbuat jahat” atau “berbuat salah.”​—Ayub 34:10-12.

AJARAN BIBLE TENTANG PENDERITAAN

Penderitaan yang kita alami bukanlah hukuman daripada Tuhan. Yesus menyatakan hal itu dengan jelas semasa dia dan murid-muridnya nampak seorang lelaki yang buta sejak lahir. “Murid-murid Yesus bertanya kepadanya, ‘Rabbi, siapakah yang berdosa sehingga lelaki ini dilahirkan buta? Dia atau ibu bapanya?’ Yesus menjawab, ‘Lelaki ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya. Hal ini berlaku supaya perbuatan Tuhan dapat disingkapkan.’”​—Yohanes 9:1-3.

Kebanyakan orang pada zaman Yesus percaya bahawa penderitaan ialah hukuman daripada Tuhan.  Maka murid-murid Yesus pasti berasa terkejut semasa diberitahu bahawa keadaan lelaki buta itu tidak disebabkan dosanya atau dosa ibu bapanya. Yesus telah menyembuhkan lelaki itu, justeru membuktikan bahawa kepercayaan itu salah. (Yohanes 9:6, 7) Hari ini, orang yang menderita akibat penyakit juga dapat berasa lega, kerana kesusahan mereka tidak disebabkan oleh Tuhan.

Adakah Yesus akan menyembuhkan orang sakit jika penyakit mereka merupakan hukuman daripada Tuhan?

Bible meyakinkan kita

  • “Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat.” (YAKOBUS 1:13) “Kejahatan” yang telah menghantui manusia selama ribuan tahun, termasuk penyakit, kesakitan, dan kematian, akan dilenyapkan tidak lama lagi.

  • Yesus Kristus “menyembuhkan semua orang sakit.” (MATIUS 8:16) Dengan menyembuhkan semua orang yang datang kepadanya, Anak Tuhan menunjukkan apa yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Tuhan di seluruh bumi.

  • “Dia [Tuhan] akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”​—WAHYU 21:3-5.

SALAH SIAPA?

Jika begitu, mengapakah manusia menghadapi begitu banyak kesusahan dan penderitaan? Selama berabad-abad, manusia telah menanyakan soalan itu. Jika Tuhan bukan penyebab masalah kita, siapakah puncanya? Rencana berikut akan membincangkan jawapannya.

^ per. 4 Pada zaman dahulu, Tuhan pernah menghukum orang atas dosa mereka. Namun Bible tidak menyatakan bahawa pada zaman sekarang, Yehuwa menggunakan tragedi seperti penyakit atau kemalangan untuk menghukum orang atas dosa mereka.