Identiti empat penunggang kuda itu nampaknya suatu misteri, tetapi Bible dan peristiwa dalam sejarah moden manusia membantu kita merungkaikan misteri itu. Meskipun kemunculan mereka menandakan masa kesusahan bagi bumi, terdapat berita baik bagi anda dan keluarga anda! Mengapa? Mari kita mengenal pasti identiti setiap penunggang itu.

PENUNGGANG KUDA PUTIH

“Aku nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan sebuah mahkota diberikan kepadanya. Dia pergi untuk menakluki musuhnya dan mengalahkan mereka.”​—Wahyu 6:2.

Siapakah penunggang kuda putih itu? Di ayat lain dalam buku Wahyu, dia digelar sebagai “Firman Tuhan.” (Wahyu 19:11-13) Hanya Yesus Kristus, jurucakap Tuhan, yang menyandang gelaran itu. (Yohanes 1:1, 14) Dia juga “Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan,” dan dipanggil “yang Setia dan yang Benar.” (Wahyu 19:16) Jelaslah, Yesus ialah raja dan pahlawan yang sangat berkuasa, dan dia tidak akan menyalahgunakan kuasanya. Namun ada beberapa soalan yang perlu dijawab.

Siapakah yang memberi Yesus kuasa untuk menakluki musuh? (Wahyu 6:2) Dalam sebuah penglihatan, Nabi Daniel nampak Mesias diberi “kuasa, kehormatan, dan kedaulatan,” oleh “Dia yang hidup selama-lamanya,” iaitu Tuhan Yehuwa. * (Daniel 7:13, 14) Maka, kuasa dan hak Yesus untuk menghakimi dan memerintah diberikan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kuda putih melambangkan peperangan yang dilancarkan oleh Anak Tuhan untuk membela kebenaran, kerana Bible sering menggunakan warna putih sebagai lambang keadilan.​—Wahyu 3:4; 7:9, 13, 14.

Bilakah empat penunggang kuda itu muncul? Penunggang yang pertama, iaitu Yesus, muncul semasa dia diberi mahkota raja. (Wahyu 6:2) Adakah Yesus menjadi Raja sebaik sahaja dia kembali ke syurga? Tidak. Bible menyatakan bahawa dia perlu menunggu untuk suatu jangka masa. (Ibrani 10:12, 13) Semasa di bumi, Yesus memberitahu para pengikutnya bahawa apabila dia mula memerintah di syurga, dunia akan dilanda peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit yang dahsyat. (Matius 24:3, 7; Lukas 21:10, 11) Selepas Perang Dunia Pertama tercetus pada tahun 1914, keadaan di bumi menunjukkan bahawa dia telah menjadi raja, dan bahawa “hari-hari terakhir” sudah bermula.​—2 Timotius 3:1-5.

Namun, mengapakah keadaan dunia bertambah buruk sejak Yesus menjadi raja pada tahun 1914? Kerana Yesus mula memerintah di syurga, bukan di bumi. Setelah Yesus menjadi Raja, dia melemparkan Syaitan dan roh-roh jahat ke bumi. Tidak lama lagi, Tuhan akan melaksanakan kehendak-Nya di bumi dengan menghukum Syaitan. Itulah sebabnya Syaitan mengamuk dan menimbulkan huru-hara di bumi. (Matius 6:10; Wahyu 12:7-9, 12) Sekarang, marilah kita lihat bagaimana tiga penunggang kuda lain mengesahkan bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir.” Tiga penunggang itu tidak melambangkan mana-mana individu, tetapi keadaan hidup yang melanda manusia sejagat.

PENUNGGANG KUDA MERAH

“Kemudian aku nampak seekor kuda yang lain datang. Kuda itu berwarna merah menyala, dan penunggang  kuda itu diizinkan untuk mengambil kedamaian dari bumi sehingga manusia saling membunuh dengan kejam. Dia diberikan sebilah pedang yang besar.”​—Wahyu 6:4.

Penunggang kuda itu melambangkan peperangan. Dia mengambil kedamaian, bukan daripada beberapa negara sahaja, tetapi dari seluruh bumi. Pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama tercetus. Kemudian, Perang Dunia Kedua yang jauh lebih dahsyat telah berlaku. Menurut anggaran, peperangan dan konflik yang berlaku sejak tahun 1914 telah meragut lebih daripada 100 juta nyawa dan menyebabkan orang yang tidak terkira banyaknya cedera parah atau menjadi cacat!

Seberapa terukkah peperangan zaman ini? Buat kali pertama dalam sejarah, manusia memiliki senjata api yang mampu melenyapkan seluruh umat manusia. Sesungguhnya, pertubuhan keamanan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pun tidak dapat menyekat kemaraan penunggang kuda merah itu.

PENUNGGANG KUDA HITAM

‘Aku nampak seekor kuda hitam dan penunggang kuda itu memegang sebuah dacing di tangannya. Selepas itu, aku mendengar suara yang berkata, “Satu kilogram gandum harganya satu denari, dan tiga kilogram barli harganya satu denari. Gunakanlah minyak zaitun dan wain dengan cermat.”’​—Wahyu 6:5, 6.

Penunggang kuda itu melambangkan kebuluran. Penglihatan itu menunjukkan bahawa makanan akan begitu susah didapati sehingga satu kilogram gandum dijual dengan harga satu denari, iaitu gaji satu hari pada abad pertama! (Matius 20:2) Wang yang sama dapat membeli tiga kilogram barli, yang dianggap lebih bermutu rendah berbanding gandum. Adakah makanan itu akan cukup untuk keluarga yang besar? Bahkan bahan makanan yang asas pada masa itu, seperti minyak zaitun dan wain, juga perlu digunakan dengan cermat.

Adakah peristiwa di pentas dunia sejak tahun 1914 membuktikan bahawa penunggang kuda hitam itu sudah muncul? Pada abad ke-20, kira-kira 70 juta orang mati akibat kebuluran. Menurut sebuah sumber rujukan, “antara tahun 2012-2014, terdapat 805 juta orang, atau satu daripada setiap sembilan orang di bumi, kekurangan zat makanan.” Satu lagi laporan menyatakan bahawa “kebuluran membunuh lebih ramai manusia berbanding penyakit AIDS, malaria, dan batuk kering jika digabungkan kesemuanya.” Meskipun ada ramai pihak yang mencuba membantu mangsa kebuluran, usaha mereka tidak dapat menghalang penunggang kuda hitam itu.

PENUNGGANG KUDA PUCAT

‘Aku nampak seekor kuda yang pucat. Penunggang kuda itu bernama Maut, dan Kuburan mengikutinya dari belakang. Mereka membunuh orang dengan menggunakan pedang yang panjang, kebuluran, penyakit yang membawa maut, dan binatang buas.’​—Wahyu 6:8.

Penunggang kuda yang keempat melambangkan kematian akibat wabak penyakit dan sebab-sebab lain. Tidak lama selepas tahun 1914, selesema Sepanyol telah membunuh puluhan juta orang. Sekitar 500 juta orang, iaitu satu daripada setiap tiga orang di bumi, dijangkiti wabak itu!

Namun, selesema Sepanyol hanyalah permulaan. Menurut anggaran, ratusan juta orang telah mati kerana penyakit cacar sepanjang abad ke-20. Biarpun bidang perubatan kian maju, penyakit AIDS, tibi, dan malaria, masih meragut nyawa jutaan orang.

Sesiapa sahaja yang menjadi mangsa peperangan, kebuluran, atau wabak penyakit, akan menghadapi kesudahan yang sama: Mereka akan mati dan ditelan oleh Kuburan.

MASA DEPAN YANG CERAH SUDAH DEKAT!

Semua kesusahan pada hari ini bakal berakhir. Pada tahun 1914, Yesus “pergi untuk menakluki  musuhnya” dengan membuang Syaitan ke bumi, tetapi dia belum mengalahkan semua musuhnya. (Wahyu 6:2; 12:9, 12) Semasa perang Armagedon nanti, Yesus akan melenyapkan pengaruh Syaitan dan membinasakan semua penyokong Si Iblis. (Wahyu 20:1-3) Yesus bukan sahaja akan menghentikan kemaraan tiga penunggang kuda itu, malah dia akan memulihkan segala kerosakan yang disebabkan mereka. Bagaimana? Mari kita lihat janji Alkitab.

Peperangan akan digantikan dengan kedamaian. Yehuwa akan “menghentikan perang di seluruh dunia,” dan manusia akan “menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.”​—Mazmur 46:10; 37:11.

Kebuluran akan digantikan dengan makanan yang melimpah. “Biji-bijian [akan] melimpah di seluruh negeri,” dan “bukit-bukit [akan] diliputi tanaman.”​—Mazmur 72:16.

Yesus akan memulihkan segala kesan buruk yang disebabkan tiga penunggang itu

Wabak penyakit dan kematian akan digantikan dengan kesihatan yang sempurna dan kehidupan kekal. Tuhan “akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​—Wahyu 21:4.

Semasa di bumi, Yesus mengajar orang untuk hidup damai, memberikan makanan kepada ribuan orang, menyembuhkan penyakit, dan membangkitkan orang mati. Semua itu menunjukkan apa yang akan dilakukannya di seluruh bumi pada masa depan.​—Matius 12:15; 14:19-21; 26:52; Yohanes 11:43, 44.

Inginkah anda hidup di bumi yang bebas daripada pengaruh tiga penunggang kuda itu? Hubungilah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka sudi membantu anda mempelajari caranya dengan menggunakan Alkitab anda sendiri.