Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 TIRULAH IMAN MEREKA | SARA

“Engkau Perempuan Cantik”

“Engkau Perempuan Cantik”

SARA berdiri di tengah-tengah rumahnya. Dengan matanya yang menawan, wanita dari Timur Tengah itu melihat sekelilingnya. Setiap sudut rumah itu penuh dengan kenangan indah, yang dinikmatinya bersama suaminya yang tercinta, Abraham. * Kini, mereka akan meninggalkan rumah itu.

Rumah mereka terletak di Ur, sebuah kota yang kaya. Ramai pedagang dan tukang yang mahir tinggal di situ. Abraham dan Sara ialah orang yang berada, tetapi bagi Sara, rumahnya bukan sekadar tempat menyimpan harta benda. Situlah tempatnya dia dan suaminya melakar suka dan duka selama bertahun-tahun; situlah tempatnya mereka berdoa kepada Yehuwa, Tuhan mereka. Sesungguhnya, rumah itu sangat penting dalam hati Sara.

Namun, Sara yang berusia kira-kira 60 tahun sanggup meninggalkan semua itu dan menjelajah ke tempat-tempat yang tidak dikenalinya. Hidupnya akan menjadi susah dan bahaya, dan dia tidak mungkin kembali kepada kehidupannya yang selesa dahulu. Apakah yang menyebabkan perubahan yang begitu besar dalam hidup Sara? Apakah yang dapat kita pelajari daripada imannya?

“TINGGALKANLAH NEGERIMU”

Hari ini, kota Ur hanya tinggal reruntuhan, tetapi pada zaman Sara, tempat itu sangat sibuk dan makmur. Kapal-kapal pedagang membawa barang berharga dari merata tempat ke situ melalui Sungai Efrat. Kota Ur penuh dengan orang yang lalu lalang, dan bermacam-macam barangan dijual di pasarnya. Barangkali, situlah tempat Sara membesar bersama keluarganya yang besar. Dia mengenali banyak orang di Ur, dan mereka juga pasti ingat akan Sara kerana kejelitaannya yang luar biasa.

Kebanyakan penduduk Ur menyembah dewa bulan, dan terdapat sebuah menara di kota itu yang dibina untuk dewa tersebut. Ayah Sara pernah menyembah berhala untuk suatu ketika, jadi kita mungkin bertanya, “Bagaimanakah Sara menjadi penyembah Yehuwa?” Bible tidak memberitahu kita jawapannya, tetapi yang kita tahu, Sara mempunyai iman yang sangat teguh kepada Yehuwa, Tuhan yang benar. Dia telah berkahwin dengan Abraham yang 10 tahun lebih tua daripadanya, iaitu lelaki yang kemudiannya dipanggil “bapa kepada orang yang beriman.” * (Roma 4:11; Kejadian 17:17) Mereka berdua telah membina rumah tangga yang kukuh dan bahagia. Pasangan itu saling menghormati, rela berkomunikasi, dan sudi bekerjasama untuk mengatasi masalah. Penting sekali, mereka berdua sangat mengasihi Tuhan.

 Sara mengasihi suaminya, namun dia “tidak mempunyai anak kerana dia mandul.” (Kejadian 11:30) Dalam budaya zaman itu, keadaan Sara sangat mengecewakan, tetapi dia tetap setia kepada Tuhan dan suaminya. Barangkali mereka menganggap Lot, anak buah mereka, sebagai anak kandung. Demikianlah kehidupan mereka di Ur. Namun pada suatu hari, semuanya berubah.

Abraham datang kepada Sara dengan wajah yang berseri-seri. Dia hampir tidak percaya apa yang telah berlaku. Tuhan yang disembah mereka telah menampakkan diri dan berfirman kepadanya melalui malaikat! Bayangkan: Sara menatap wajah suaminya dengan teruja dan berkata, “Apa yang dikatakan-Nya? Beritahulah saya!” Mungkin Abraham telah duduk dan bertenang dahulu sebelum memberitahu Sara, “Yehuwa berfirman, ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu lalu pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’” (Kisah 7:2, 3) Pasangan itu merenungkan sejenak bagaimana tugasan itu akan mengubah hidup mereka. Untuk melaksanakannya, mereka perlu meninggalkan kehidupan yang selesa dan hidup berpindah-randah! Abraham pasti tertanya-tanya: Adakah Sara sudi menyokongnya dan membuat perubahan besar itu?

Kita mungkin berfikir, “Tuhan tidak pernah menyuruh saya atau pasangan saya untuk membuat perubahan sebesar itu.” Tetapi, seperti mereka, kita perlu memilih sama ada untuk mengutamakan keselesaan, harta benda, kehidupan yang aman, atau untuk mendahulukan kehendak Tuhan dan hal-hal rohani. (Matius 6:33) Sambil merenungkan haluan hidup Sara, tanyalah diri kita, “Apakah yang akan saya pilih?”

MEREKA “MENINGGALKAN TANAH KASDIM”

Semasa mengemaskan barang, Sara perlu berfikir: Apa yang harus dibawa? Apa yang harus ditinggalkan? Barang yang terlalu besar untuk diangkut oleh keldai dan unta, barang yang tidak sesuai untuk kehidupan berpindah-randah, harus ditinggalkan. Sudah tentu banyak harta milik mereka terpaksa dijual atau diberikan kepada orang lain. Kini, segala kemudahan dan keselesaan hidup di kota, seperti tempat membeli belah, juga akan menjadi kisah silam.

Kerana beriman, Sara sanggup meninggalkan kehidupan yang selesa

Para ahli arkeologi mendapati bahawa rumah di Ur sangat selesa. Sesetengah rumah ada lebih daripada 10 buah bilik, mempunyai sistem paip, dan juga pancuran air segar. Rumah yang sederhana pun ada bumbung, dinding, dan pintu yang berkunci. Tetapi dapatkah khemah memberikan perlindungan sedemikian daripada pencuri? Bagaimana pula dengan serigala, singa, beruang, dan harimau bintang, yang berkeliaran? Sudah pasti Sara akan merindui rumahnya.

 Tuhan telah berfirman, “Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu.” Sara mungkin ada adik-beradik, anak buah, dan saudara mara lain yang rapat dengannya. Tetapi dia harus meninggalkan mereka semua dan mereka mungkin tidak akan bersua lagi. Walaupun keberatan, Sara tidak teragak-agak untuk mengemaskan barangnya.

Pada hari yang ditentukan, Sara telah bersiap sedia untuk berangkat. Terah, ketua keluarga mereka, juga ikut bersama Abraham dan Sara. (Kejadian 11:31) Sara pasti perlu memberikan banyak perhatian untuk menjaga bapanya yang telah berumur hampir 200 tahun. Selain itu, Lot juga menyertai mereka untuk “meninggalkan tanah Kasdim.”​—Kisah 7:4.

Mula-mulanya, mereka menyusuri Sungai Efrat sehingga tiba di Haran, yang terletak kira-kira 960 km di barat laut Ur. Mereka menetap di situ buat seketika kerana Terah mungkin sakit tenat dan tidak dapat meneruskan perjalanan. Setelah Terah meninggal pada umur 205 tahun, mereka bersedia untuk bertolak lagi. Sebelum mereka berangkat, Yehuwa berfirman lagi kepada Abraham dan menyuruhnya pergi ke tanah yang akan ditunjukkan kepadanya. Tuhan juga berjanji bahawa keturunan Abraham “akan menjadi satu bangsa yang besar.” (Kejadian 12:2-4) Tetapi ada satu masalah: Abraham sudah berumur 75 tahun dan Sara pula berumur 65 tahun. Bagaimanakah keturunan Abraham dapat menjadi satu bangsa yang besar padahal mereka tidak mempunyai anak? Memandangkan poligami merupakan amalan biasa pada zaman itu, adakah Abraham akan mengambil seorang isteri lagi? Soalan itu pasti bermain di fikiran Sara.

Mereka kemudiannya mengemaskan semua harta benda mereka lalu bertolak dari Haran. Namun, siapa lagi yang menyertai mereka? Alkitab menyatakan bahawa mereka juga membawa “hamba yang diperoleh mereka di Haran.” (Kejadian 12:4, 5) Menurut sesetengah ulasan Yahudi kuno, hamba-hamba itu merujuk kepada orang yang menyembah Yehuwa bersama Abraham dan Sara. Maksudnya, Abraham dan Sara telah memberitahu orang lain tentang kepercayaan mereka. Oleh sebab iman Sara begitu teguh, kata-katanya tentang Tuhan dan harapannya pasti sangat meyakinkan. Hari ini, kebanyakan orang kehilangan iman dan harapan. Maka semasa anda mempelajari sesuatu yang menggalakkan daripada Alkitab, janganlah lupa untuk mengongsinya dengan orang lain.

“KE NEGERI MESIR”

Selepas menyeberangi Sungai Efrat pada 14 Nisan 1943 SM, mereka meneruskan perjalanan ke tanah yang dijanjikan oleh Yehuwa, yang terletak di arah selatan. (Keluaran 12:40, 41) Bayangkan Sara menghirup udara yang nyaman sambil menjamu matanya dengan pemandangan indah di negeri itu. Apabila mereka berada berhampiran kawasan Sikhem, dekat pokok besar di More, Yehuwa menampakkan diri kepada Abraham lagi dan berfirman, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Perkataan “keturunan” tentu mengingatkan Abraham tentang peristiwa di Taman Eden ketika Yehuwa berjanji bahawa seorang daripada keturunan “perempuan itu” akan meremukkan kepala Syaitan. Abraham juga pasti ingat akan janji Yehuwa sebelum ini bahawa keturunannya akan membawa berkat kepada “semua bangsa di bumi.”​—Kejadian 3:15; 12:2, 3, 6, 7.

Beberapa lama kemudian, kebuluran yang dahsyat melanda tanah Kanaan. Maka Abraham membawa seisi rumah tangganya ke Mesir. Tetapi sebelum mereka tiba, dia memberitahu Sara, “Engkau perempuan cantik. Apabila orang Mesir nampak engkau, mereka akan berkata, ‘Dia ini isteri Abram’, lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan engkau hidup. Lebih baik engkau katakan sahaja bahawa engkau adikku supaya aku dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik kerana engkau.” (Kejadian 12:10-13) Mengapakah Abraham membuat permintaan seperti itu? Adakah dia itu pengecut atau pembohong?

Abraham tidak berbohong kerana Sara memang adik seayahnya. Memandangkan Tuhan sudah menyatakan bahawa keturunan Abraham akan menjadi satu bangsa yang istimewa, Abraham perlu menjaga keselamatan dirinya. Tambahan lagi, penemuan arkeologi menunjukkan bahawa penguasa di  Mesir pernah merampas isteri orang dan membunuh suaminya. Maka Abraham telah bertindak dengan bijak, dan Sara juga rendah hati kerana rela memberikan kerjasama.

Apa yang dikhuatiri Abraham telah berlaku. Tidak lama kemudian, beberapa orang pegawai Firaun nampak Sara, lalu memberitahu Firaun betapa cantiknya Sara. Bayangkan perasaan Abraham apabila Firaun memerintahkan agar Sara dibawa ke istananya! Sara pasti dicengkam ketakutan semasa dia dibawa menghadap Firaun. Namun begitu, dia dilayan seperti tetamu terhormat dan bukannya seperti tahanan. Nampaknya Firaun bercadang untuk menawan hati Sara dengan segala kekayaannya, dan kemudiannya berjumpa dengan “abang” Sara untuk meminangnya.​—Kejadian 12:14-16.

Sekarang bayangkan kehidupan Sara di istana raja. Apakah yang mungkin berlegar di benak fikirannya semasa dia berdiri di beranda istana sambil melihat tanah Mesir? Setelah sekian lama hidup berpindah-randah, adakah kemewahan istana dan lauk-pauk diraja mula menambat hatinya? Jika dia meninggalkan Abraham dan menjadi isteri kepada Firaun, dia dapat menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa daripada apa yang ditinggalkannya di Ur. Sudah pasti Syaitan akan senang hati jika Sara berbuat demikian! Tetapi perbuatan sebegitu tidak pernah terlintas di minda Sara. Dia tetap setia kepada suaminya. Lebih penting lagi, dia setia kepada Yehuwa dan tidak sanggup melakukan apa-apa pun yang dapat menjejaskan perkahwinannya. Alangkah baiknya jika semua suami dan isteri hari ini menunjukkan kesetiaan seperti Sara dalam perkahwinan mereka! Dapatkah anda meniru kesetiaan Sara dalam hubungan anda dengan sahabat handai dan orang tersayang?

Biarpun digoda, Sara tetap setia kepada suaminya

Untuk melindungi Sara, Yehuwa telah mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada Firaun dan keluarganya. Apabila Firaun mendapat tahu bahawa Sara ialah isteri Abraham, dia memulangkan Sara kepada suaminya dan menyuruh mereka semua untuk meninggalkan Mesir. (Kejadian 12:17-20) Abraham pasti sangat bersukacita untuk bersatu semula dengan isteri kesayangannya! Dia pernah berkata kepada Sara, “Engkau perempuan cantik,” tetapi paras rupa Sara bukanlah satu-satunya sebab Abraham mencintainya. Sara amat dikasihi Abraham kerana kecantikan batinnya, iaitu sifat-sifat baik yang membuatnya berharga di sisi Yehuwa. (1 Petrus 3:1-5) Kita semua dapat memupuk kecantikan sebegitu. Bagaimana? Dengan mengutamakan hal-hal rohani, memberitahu orang lain tentang Tuhan, dan dengan berpegang teguh pada piawaian moral Tuhan semasa digoda. Jika kita berbuat demikian, kita sedang meniru iman Sara.

^ per. 3 Pada mulanya, nama mereka ialah Abram dan Sarai, tetapi mereka lebih dikenali dengan nama yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka pada kemudian hari.​—Kejadian 17:5, 15.

^ per. 8 Sara ialah adik seayah Abraham. Mereka mempunyai ibu yang berlainan tetapi ayah mereka ialah Terah. (Kejadian 20:12) Perkahwinan sebegitu tidak wajar pada hari ini. Namun, pada zaman itu, keadaan fizikal manusia lebih baik kerana mereka masih tidak jauh daripada kesempurnaan yang pernah dimiliki Adam dan Hawa. Oleh itu, biarpun mereka berkahwin dengan saudara dekat, risiko keturunan mereka mewarisi masalah genetik sangat rendah. Kira-kira 400 tahun kemudian, jangka hayat manusia telah menurun sehingga menjadi lebih kurang sama dengan zaman sekarang. Pada masa itu, Hukum Musa mengharamkan semua hubungan seks antara saudara-mara dekat.​—Imamat 18:6.